Semalam, sebelum pelancaran rasminya tak lama lagi, Perodua mengadakan sesi taklimat tertutup bersama media berkaitan model terbaru yang bakal tiba itu, yang ketika ini bukan lagi rahsia — Perodua Axia 2023 generasi kedua yang terbaru. Bagaimanapun, banyak perincian sebenar tentang kereta kompak dalam segmen A ini masih lagi dirahsiakan, misalnya angka-angka dan senarai penawaran yang spesifik, dan hanya akan muncul ketika dilancarkan secara rasmi nanti.
Jadi, setakat ini, apa yang diketahui adalah hal-hal serta maklumat yang sudah pernah kami laporkan. Cuma, yang agak menarik, kami juga sempat memandu secara ringkas dan singkat Axia 2023 ini, dan pengalaman itulah yang ingin dikongsikan di sini. Tetapi, sebelum itu, kita lihat dulu apa yang sudah ditunjukkan semalam.
Gambar rasmi pertama daripada Perodua yang menunjukkan wajah depan dan bahagian belakang Axia 2023 ini telahpun mula ditunjuk. Unit pandu uji dengan pelekat samaran juga pasti ramai yang sudah melihatnya. Hujung Januari lalu, ketika ia dibuka untuk tempahan, maklumat tentang platform dan sistem janaannya juga diketahui — melibatkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan enjin 1KR-VE 1.0L tiga-silinder dari model lama akan dikekalkan, menjana 67 hp/91 Nm. Tiada turbo.
Kita tahu, sebelum ini ada dua model yang sudah menggunakan platform DNGA: Ativa dan Alza. Ini menjadikan Axia 2023 model ketiga yang memanfaatkan platform yang sama. Empat varian Axia 2023 akan diperkenalkan nanti, iaitu G, X, SE dan AV, dengan harga anggaran masing-masing berada di sekitar RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500.
Tiada lagi kotak gear automatik 4AT yang dulu, Itu telah digantikan dengan transmisi Dual Mode CVT (D-CVT) yang sama seperti pada Ativa, Myvi facelift dan juga Alza 2022. Kotak gear yang jauh lebih canggih ini menggabungkan sistem CVT yang menggunakan tali sawat bersama gear sebenar bagi memberikan penggunaan bahan api, pecutan dan juga tahap kesenyapan yang lebih baik.
Dari segi rekaan, lampu depan LED diberikan standard untuk varian X ke atas. Manakala varian SE dan AV dapat dibezakan menerusi pemadanan lampu nyalaan siang LED. Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin juga adalah standard untuk varian X ke atas. Apa yang menarik, kunci boleh dibuka menerusi penderia elektrostatik pada pemegang pintu seperti pada Ativa — ini bahkan lebih canggih dari Myvi yang masih menggunakan butang hitam.
Model varian tertinggi, Axia AV kali ini turut diberikan paparan instrumen digital penuh dengan skrin TFT 7.0-inci. Meter digital berkenaan bukan sahaja menampilkan saiz yang sama seperti pada Ativa dan Alza, malah ia turut memberikan grafik visual yang sama menampilkan meter rpm berbentuk “gegelang 3D”.
Model AV menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri bersaiz 9.0-inci, juga nampak seperti unit yang sama seperti Ativa berdasarkan paparan grafiknya. Perincian-perincian ini menjadikan Axia AV ini lebih mewah dari Myvi yang masih menggunakan meter analog. Namun untuk varian SE dan ke bawah, Axia 2023 masih hadir dengan meter analog dan juga radio biasa tanpa skrin.
Bagi model G dan X, ia diberikan tempat duduk biasa dengan perehat kepala berbentuk bantal di belakang. Manakala bagi model SE dan AV, ia hadir dengan tempat duduk “semi-bucket” di hadapan dan perehat kepala boleh laras di belakang. Namun hanya varian AV yang diberikan upholsteri separa kulit dua tona. Penapis filem keselamatan untuk cermin tingkap pula hanya diberikan pada SE dan AV.
Untuk keselamatan, varian AV hadir dengan enam-beg udara, berbanding hanya dua pada model generasi sebelumnya. Sistem bantuan pemanduan Perodua Smart Drive Assist (PSDA) turut ditawarkan. Sebelum ini, Axia facelift 2019 sudah pun ditawarkan dengan sistem Advanced Safety Assist (ASA, termasuk brek kecemasan automatik) pada varian terpilih.
Rasanya cukup serba sedikit tentang penawaran yang boleh dijangkakan daripada Axia 2023 nanti. Sekarang kita pergi kepada bagaimana rasanya pemanduan Axia 2023 ini? Adakah lebih kurang sama dengan Axia lama?
Ini perkara yang agak menyenangkan sebenarnya: Axia 2023 sangat jauh berbeza pemanduannnya berbanding Axia lama. Walaupun hanya sempat mencubanya dalam pemanduan yang singkat sekitar 7 km atau sekitar 10 minit pemanduan sahaja, ia cukup untuk memberikan tanggapan positif terhadap perbezaan pemanduan antara keduanya.
Bagi saya, Perodua Axia sebelum ini sangat jelas terasa yang ia sebuah kereta asas yang sekadar membolehkan kita bergerak dengan sedikit selesa. Ini memang satu hal yang bagus. Tetapi, Axia 2023 ini membawakan keselesaan dan keseronokan yang lain, dan dalam bahasa mudah, Perodua menyuntik rasa “premium” kepada kereta kompak ini.
Enjin tiga-silinder yang sama misalnya, ia memang kedengaran sedikit bising dari dalam kabin, terutama ketika mengerahnya untuk pergi lebih laju. Tetapi, penambahbaikan paling ketara adalah aspek gegarannya tidak lagi terasa kasar seperti sebelumnya. Ini satu peningkatan yang sangat ketara dan baik untuk Axia.
Hal yang memberikan perubahan ini bagi Axia 2023 mungkin disumbangkan oleh penggunaan transmisi D-CVT yang menggantikan kotak gear automatik 4AT terdahulu. Ia lebih senyap dan lancar. Rasanya lebih mudah untuk kereta ini meluncur dengan respon yang agak segera. Axia tidak lagi terasa “struggle” ketika bergerak, tak kira dari keadaan pegun atau ketika berada dalam kelajuan tahap mana pun.
Tetapan suspensi juga terasa lebih tegap, dan ini membolehkan Axia 2023 dikendalikan dengan yakin di selekoh. Untuk aspek ini, saya merasakan ia jauh lebih teguh dan keras berbanding apa yang ada pada model lama. Tak timbul keresahan yang kereta kecil ini akan teroleng tidak tentu arah di atas jalan. Mengambil selekoh juga senang untuk mengagak maklum balasnya. Axia 2023 sangat stabil.
Melihat kepada bentuk dan saiz fizikal Axia 2023, ia memang nampak besar dari yang lama. Ia lebih lebar, lebar dan rendah — dari beberapa sudut, itu persamaan penampilan yang semakin mirip dengan Myvi mungkin.
Apatah lagi ketika melihat peningkatan yang dilakukan terhadap rekaan dan kelengkapan dalam ruang kabinnya, seperti yang dinyatakan sebelum ini — jangan lupa tentang rekaan kerusinya yang menarik dan gebu, seperti yang ada pada varian AV yang sempat kami uji. Itu boleh jadi kerusi yang paling sedap dan selesa pernah dihasilkan Perodua untuk mana-mana modelnya setakat ini.
Dengan penawaran dan harganya yang semakin hampir dengan Myvi, terutama bagi varian tertinggi, tidak dapat tidak, saya tetap membayangkan yang Axia nanti boleh menjadi pilihan alternatif kepada Myvi, terutama bagi mereka yang mahukan kereta yang lebih kompak dan jimat minyak (Perodua mendakwa Axia baru ini mampu berikan bacaan 27.4 km/l), terutama untuk digunakan pada kebanyakan masa di kawasan bandar.
Axia 2023 ini bukan lagi Axia yang lama, ia telah jauh meninggalkan tahap penawarannya yang dulu. Lebih menarik untuk dilihat, adakah ia nanti dapat menarik perhatian dan minat lebih ramai orang dan menjadi alternatif untuk Myvi?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.