Dengan penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Perodua Axia generasi kedua menjadi kereta yang lebih besar dari segi saiz berbanding model lamanya. Jika anda ingin tahu berapa besar Axia 2023 ini berbanding model hatchback dari satu segmen di atasnya, itulah yang ingin kami tampilkan, dengan membawakan Perodua Myvi dan Proton Iriz sekali ke dalam perbandingan ini.
Sekadar makluman, Axia 2023 memiliki ukuran dimensi 3,760 mm panjang, 1,665 mm lebar dan 1,505 mm tinggi, menjadikannya 115 mm lebih panjang dan 45 mm lebih lebar berbanding Axia lama, dengan ketinggian berkurang 5 mm.
Ini juga melibatkan peningkatan kapasiti ruang barangan sebanyak lima liter, dengan kelebihan susunan ruang kabin juga menjadi lebih baik. Bagaimanapun, badan yang lebih besar ini menyebabkan beratnya juga bertambah, dengan berat model baru ini bermula dari titik penawaran paling lengkap bagi model lama.
Dari sudut dimensi luaran, Myvi sudah tentu kereta yang lebih besar berbanding Axia. Dengan ukuran 3,895 mm panjang dan 1,735 mm lebar, ia 135 mm lebih panjang dan 70 mm lebih lebar berbanding “adik”nya.
Tetapi, Axia 2023 tetap ada kelebihan dari segi jarak antara rodanya, dengan tambahan 25 mm berbanding ukuran sama pada Myvi dengan 2,500 mm — ruang dalaman Axia juga tidak perlu dipertikaikan lagi, memang sejak dulu ia luas. Myvi menawarkan ruang barangan yang 12 liter lagi lebih berbanding Axia 2023 yang hanya ada 277 liter. Dengan kapasiti enjin yang lebih besar dan ciri lain, Myvi juga 120 kg lebih berat.
Bagi Iriz, ia lebih panjang daripada Myvi dengan 3,945 mm, lebih tinggi dengan 1,554 mm serta jarak antara roda juga lebih panjang dengan 2,555 mm. Tetapi kelebarannya kurang dengan 1,722 mm. Walau dengan ukuran ini, ruang but Iriz lebih kecil berbanding kedua-dua model hatchback Perodua ini. Permulaan beratnya juga adalah lebih 180 kg berbanding Myvi.
Dari segi harga, Axia 2023 mengenakan harga lebih tinggi berbanding model lamanya disebabkan saiz lebih besar dan kelengkapan lebih banyak. Varian paling asas 1.0 G kini lebih hampir dengan harga varian 1.0 GXtra dahulu yang datang dengan VSC sebagai standard.
Axia bahkan lebih mahal daripada Myvi melalui varian 1.0 AV (RM49,500), yang RM1,000 lebih mahal berbanding Myvi 1.3 G dengan Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang dijual RM48,500. Bagaimanapun, PSDA pada Myvi ini tidak menyertakan ciri peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, sensor parkir depan dan kamera undur, yang semuanya diberikan kepada Axia AV — anda bagaimanapun akan mendapat enjin 1.3 liter dengan Myvi berbanding enjin 1.0 liter pada tahapan penawaran berkenaan.
Iriz pula dijual antara RM42,800 dan RM57,300, menjadikannya lebih mampu milik berbanding Myvi. Bagaimanapun, semua varian Iriz tidak ditawarkan dengan sistem keselamatan aktif seperti AEB, begitu juga dengan kereta Perodua dari varian yang dinyatakan tadi.
Iriz sebari dengan Myvi dari segi kestabilan kawalan serta hadir dengan minimum empat beg udara untuk varian rendah, dan enam beg udara untuk varian tinggi. Bagi Axia, anda hanya akan mendapat enam beg udara dan PSDA dengan varian paling tinggi 1.0 AV sahaja, dengan semua varian lain datang dengan dua beg udara dan VSC.
Dengan semua maklumat ini, hatchback Malaysia mana yang anda rasakan paling berbaloi untuk dibeli?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.