Proton X90 disahkan terima enjin turbo 1.5L dengan sistem hibrid ringkas 48V; hasilkan 190 PS/300 Nm?

Proton X90 disahkan terima enjin turbo 1.5L dengan sistem hibrid ringkas 48V; hasilkan 190 PS/300 Nm?

SUV tujuh-tempat duduk Proton X90 bakal dilancarkan tahun ini selepas ia ditunda dari tahun lalu akibat pendemik Covid-19 yang mengganggu proses pembangunannya. Tetapi sehingga kini belum ada sebarang informasi rasmi dari Proton sendiri berkenaan spesifikasi model yang diasaskan dari Geely Haoyue/Okavango berkenaan untuk pasaran Malaysia.

Walau bagaimanapun, dalam satu laporan dari sebuah badan penyelidikan berdasarkan pembentangan analisa yang dibuat oleh pemegang saham majoriti Proton iaitu DRB-Hicom 2 Mac lalu, Proton X90 disahkan bakal menerima unit rangkaian kuasa dengan sistem hibrid elektrik ringkas (MHEV).

Ini sememangnya sudah dijangka berdasarkan beberapa petunjuk sebelum ini. Pertama, kembarnya di Filipina iaitu Geely Okavango sememangnya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa MHEV. Ia menggandingkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan motor elektrik sistem hibrid ringkas 48V, memberikan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm.

Okavango berbeza dengan model pasaran China iaitu Geely Haoyue yang menerima enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 MC2 varian paling tinggi.

Malah Proton sebenarnya telahpun mempamerkan unit rangkaian kuasa 1.5L Turbo MHEV ini untuk tatapan orang ramai di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang. Unit rangkaian kuasa hibrid pertama Proton berkenaan digelar sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG).

Sistem ini menampilkan enjin 1.5 liter TGDi yang sama seperti pada Proton X50 flagship dan juga X70 MC2 dalam versi 1.5L serta masih menghasilkan kuasa yang sama iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm, memacu roda hadapan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DC.

Namun ia turut digandingkan dengan dengan unit BSG (tiada motor elektrik yang diletak antara enjin dan transmisi seperti sistem hibrid biasa) bagi memberikan kuasa keseluruhan 190 PS/300 Nm. BSG ini merupakan satu motor elektrik kecil yang dihubungkan ke aci engkol enjin menerusi tali sawat.

Ia berfungsi bukan sahaja untuk menggantikan motor penghidup enjin, malah ia juga mampu mengecas semula bateri sistem hibrid 48-volt tersebut, dan kemudian turut dapat memberikan bantuan kuasa dan tork segera tambahan kepada enjin pembakaran dalaman konvensional.

Bagi sistem yang digunakan oleh Proton ini, ia beroperasi dengan asas seni bina elektrikal 48-volt. Ia dibekalkan dengan bateri lithium-ion untuk memberikan kuasa kepada BSG. Tiada palam plug-in untuk menegecas bateri tersebut dan semua cas bateri yang disimpan adalah dari cas dihasilkan semula oleh BSG secara pemulihan tenaga brek.

Ia bukanlah sistem baharu kerana asas fungsinya sama seperti sistem hibrid ringkas 48-volt yang kini digunakan oleh Mercedes-Benz. Walaupun BSG berkenaan kecil dengan kuasa hanya 13 hp/45 Nm, ia mampu menggerakkan Proton X90 tanpa enjin petrol beroperasi pada kelajuan bawah 15 km/j, dan juga mematikan enjin ketika ia ‘belayar’ pada halaju malar di atas lebuhraya.

Dalam gambar intipan terkini X90 ini, Proton nampaknya memberikan rekaan gril hadapan dengan elemen pin krom yang berbeza dari Haoyue/Okavango, serta bakal hadir dengan kelengkapan lebih tinggi seperti sistem bantuan pemanduan yang tiada pada Okavango di Filipina.

GALERI: Enjin 1.5L TGDi dengan sistem hibrid BSG yang dipamerkan di Galeri Inspirasi Proton

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required