Perodua mengumumkan telah menghantar sejumlah 32,179 unit kenderaan pada Mac 2023, meningkat 29% berbanding 24,936 unit terjual pada Februari tahun ini. Ia juga naik 20.2% berbanding yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu dengan 26,759 unit.
“Pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah menerusi usaha kami untuk memenuhi tempahan PENJANA sebelum 31 Mac 2023, selain penambahbaikan pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik dalam rangkaian jualan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad.
Bagi aspek jualan, pendaftaran meningkat sebanyak 27.5% kepada 78,564 unit dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu. “Di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan PENJANA yang tidak dapat kami penuhi dan kepada pelanggan yang terlibat, kami akan meneruskan jumlah pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” tambah Zainal.
Untuk aspek produksi, bulan lalu menyaksikan pengeluaran Perodua mencecah 33,666 unit, sekaligus rekod asas tahunan telah mencapai peningkatan sebanyak 33.9% kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit yang dikeluarkan pada suku yang sama tahun 2022.
Mengulas lanjut, Zainal berkata prestasi Perodua dijangka terus meningkat di masa hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh. Katanya, pertumbuhan pengeluaran yang berterusan berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk beberapa model tertentu.
“Malah, bagi sesetengah model kami, tempoh menunggu telah berkurangan dengan signifikan, hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna,” katanya.
Bagi aspek pengeluaran pula, beliau berkata penurunan harga bahan mentah di peringkat global baru-baru ini telah memberikan kelegaan kepada pembekal, Perodua serta kebanyakan pemain industri automotif. “Situasi ini memberi kelebihan yang mana kami boleh memanfaatkannya dengan menyiapkan stok kenderaan lebih cepat dan dalam masa yang sama mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami,” kata Zainal.
Pada hujung Januari lalu, Perodua mengumumkan sasaran pengeluarannya sebanyak 330,000 kereta dan sasaran jualan sebanyak 314,000 kereta pada tahun 2023.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.