Dengan pengenalan Perodua Axia D74A 2023 minggu ini, menarik juga sekiranya untuk mengagak bagaimana pula rupa model sedan Bezza jika mengambil pendekataan rekaan yang ada pada kereta kompak hathcback ini. Dan itulah yang dilakukan oleh Theophilus Chin menerusi rekaan bayangan digitalnya terhadap Bezza seperti yang ditunjuk ini.
Melalui rekaan ini, Theo membayangkan Bezza ditampilkan dalam rekaan yang lebih seimbang secara keseluruhannya, pastinya juga dengan cara untuk mengurangkan lagi imej “tonggek” yang sinonim dengan Bezza model semasa. Untuk melakukan itu, wajah dan separuh bahagian depan Axia 2023 dikekalkan, dan beliau hanya mengerjakan rekaan untuk bahagian belakang.
Untuk rujukan bahagian but belakang tersebut, Theo menggunakan asas dari model sedan Fiat Cronus untuk dilanjutkan kepada Axia 2023 berkenaan. Antara rekaan yang diubah adalah tiang C yang dianjak dan ditebalkan lebih kebelakang daripada versi hatchback. Garis bumbung menuju cermin belakang juga diperkemas untuk disesuaikan sebagai kereta sedan.
Paling banyak diubah adalah bahagian belakang tentunya, dengan rekaan umum dari model sedan Fiat yang dinyatakan tadi, serta dengan rekaan lampu belakang yang pada umumnya dikekalkan. Selebihnya, Theo menyesuaikan rekaan tersebut bagi mendapatkan kesimbangan penampilan di bahagian belakang itu, supaya bahagian bawahnya tidak terlalu tercungkit ke atas dan diimbangi juga dengan penggunaan spoiler serta sudut cermin belakang yang diubah.
Hasilnya ialah sebuah Bezza yang lebih sekata rekaannya, baik dari bahagian depan mahupun belakang. Terutama bahagian belakang ini, ia nampak lebih mahal dan menarik, tidak lupa juga hadir dengan suntikan lebih sporty. Apa pandangan anda tentang rekaan bayangan Perodua Bezza terbaru ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.