Pastinya ramai mungkin sedar bahawa ada banyak kelebihan pada Perodua Alza 2022. Yang paling penting mungkin pembaharuan yang diberikan kepadanya, jika dibanding dengan model generasi pertama yang sudah berada dalam pasaran tempatan sekitar 13 tahun. Dah lama sangat, memang patut ada model pengganti, dan lebih menarik ia adalah pengganti yang jauh lebih berkeupayaan, dengan nilai yang besar.

Kami mencatat banyak perihal model ini dalam laporan pandu uji yang pernah diterbitkan sebelum ini, selepas meluangkan banyak masa dengan MPV tujuh-tempat duduk berkenaan, baik untuk perjalanan dalam bandar mahupun perjalanan jauh, untuk memerhatikan apa yang ada ditawarkan oleh Alza terbaru ini.

Menjadi nadi utama Alza 2022 ini adalah enjinnya, unit 1.5L Dual VVT-i dengan Eco Idle empat-silinder petrol yang menghasilkan 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Ini enjin yang sama dengan Myvi, walaupun antara keduanya ada melibatkan perbezaan output sedikit (Alza lebih 3 hp dan 1 Nm, dengan Perodua memaklumkan bahawa kecekapan penggunaan minyak 40% lebih baik berbanding versi sebelumnya).

Melengkapi paduan sistem janaan ini adalah kotak gear D-CVT yang pertama kali diperkenalkan untuk SUV Ativa sebelum ini dan kemudiannya diberikan juga kepada Myvi dalam versi facelift yang terkini. Tidak lupa, platformnya juga dari generasi baru: DNGA. Semua ini memberikan kelebihan kepada Alza 2022. Dalam banyak hal, ia bahkan dirasa sangat berbaloi sekiranya mereka yang mempertimbangkan atau sudah menggunakan Myvi untuk beralih kepada Alza.

Ia rendah, lebih kuasa, dengan tetapan yang cukup selesa. Tambahan pula, ruang kabin yang lebih luas dan praktikal yang sentiasa berguna dalam keadaan yang memerlukan. Jika tidak perlu, konfigurasi tempat duduknya boleh saja dikekalkan kepada lima, dan ruang di belakang digunakan sebagai ruang barangan semata. Banyak lagi kelebihan (tak lupa juga kekurangann) Alza 2022, dan kami soroti semuanya dalam video ini. Tonton untuk tahu lebih lanjut.