MIR-Rally of Melaka 2026 – Karamjit Singh juara lagi pada usia 64-tahun dengan Proton Gen2 4WD Turbo

Juara FIA Production WRC 2002, Karamjit Singh sekali lagi membuktikan bahawa beliau masih lagi pemandu rali nombor 1 negara apabila menjuarai Malaysia Iconic Rally – Rally of Melaka 2026 hujung minggu lalu walaupun kini sudah berusia 64 tahun.

Karamjit yang masih berjuang dengan Proton Gen2 4WD Turbo yang sudah pun berusia 19-tahun dan dibantu oleh juruarah Daveender Singh menamatkan rali di atas permukaan gravel yang berlangsung sekitar ladang kelapa sawit Felda Tun Ghaffar tersebut dalam masa 1 jam 8 minit 32 saat, menewaskan saingan utamanya di Malaysia buat masa sekarang iaitu Haji Suttan Mustafa Salihin di tempat kedua.

Haji Sutan yang memandu Subaru Impreza WRX GDB bersama juruarahnya Haji Kamarul Anuar Mohd Razali menghabiskan rali ini dengan masa keseluruhan 1 jam 14 minit 21 saat. Kedua-dua pemandu ini bukan sahaja menduduki tempat pertama dan kedua secara keseluruhan, malah turut berada di kedudukan sama untuk kategori Open dan 4WD.

Tempat ketiga bagi kategori Open dan 4WD pula menjadi milik Muhammad Khairul Nizam Yaacob bersama juruarah Shahrol Bin Zainal dengan menghabiskan kesemua SS dalam masa 1 jam 28 minit 13 saat. Ini merupakan kali pertama Nizam menamatkan rali tanpa masalah selepas beralih dari Mitsubishi Lancer Evo III kepada jentera unik Proton Iriz 4WD Turbo yang dibina sendiri oleh pasukannya, SuciMuci Motorsport.

Manakala pemandu pasukan Purnama Rally Team, Muhammad Ikhsan bin Muhammad Husni bersama juruarah Teh Yie Seng sekali lagi membuat kejutan dengan berada di tempat ketiga keseluruhan dengan mencatatkan masa 1 jam 20 minit 56 saat, walaupun hanya memandu Proton Satria 1.6 liter pacuan roda hadapan, menewaskan beberapa pelumba kategori Open 4WD! Ikhsan dan Teh turut membawa pulang trofi juara kelas M2, 2WD dan juga kategori Classic.

Seorang lagi pelumba Purnama Rally Team, Hashrul Jamaludin bersama juruarah Muhammad Azrul Fahmi Azhari yang memandu Honda Integra Type R DC2 berada di tempat keempat secara keseluruhan, dalam masa yang sama bergelar juara kelas M3, dengan menamatkan rali ini sedikit lambat dari rakan sepasukannya iaitu 1 jam 21 minit 23 saat.

Purnama Rally Team juga kini sedang menggilap seorang lagi pelumba baharu iaitu Nurhashriza Jamaludin, di mana kemunculannya dengan Proton Satria di Rally of Melaka 2026 yang dibantu juruarah Ruzana Tukimin kali ini membuahkan hasil dengan menjuarai kelas M1 dan juga Ladies Cup.

Satu lagi kejutan dalam Rally of Melaka 2026 ini adalah dengan kehadiran seorang pemandu rookie, Farid Jamel bersama juruarah Diana Khairi yang menampilkan pemanduan yang cukup agresif dengan ‘membelanja’ penonton menerusi aksi-aksi scandinavian flick menggunakan Proton Satria 1.8 2WD di banyak selekoh tajam. Farid dan Diana menamatkan rali ini dengan masa 1 jam 22 minit 53 saat, sekali gus merangkul tempat pertama untuk kelas M4 dan kategori Clubman.

Rally of Melaka kali ini juga menampilkan satu kategori istimewa yang ditaja oleh Saladin Rallying iaitu Satria Neo Cup, di mana bagi kategori ini dimenangi oleh Hasrin Tahir yang dibantu oleh juruarah Hendra Erywan. Hasrin yang berada di kedudukan ke-11 keseluruhan turut membawa balik trofi tempat kedua untuk kelas M3.

MIR – Rally of Melaka 2026 yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Bermotor Pengembaraan Millennium (MMAC) ini menampilkan tiga Special Stage (SS) permukaan gravel di sekitar kawasan Menggong, Felda Tun Ghaffar dan juga Felda Machap, yang dinamakan sempena tokoh-tokoh kepimpinan negeri Melaka, iaitu SS Tok Rauf (2.41 km), SS Menggong (7.92 km) dan juga SS Datuk Sem (13.97 km).

Ketiga-tiga SS ini akan digunakan secara berulang bagi membentuk 10 SS, di mana pelumba perlu meredah laluan sukar dalam pelbagai keadaan permukaan jalan, selekoh teknikal serta laluan lurus berkelajuan tinggi sepanjang 107 km secara keseluruhan.

SS1 dimulakan pada petang Sabtu, 27 Jun di mana garis mula SS berkenaan hanya terletak di sebelah Service Park, membolehkan orang ramai menyaksikan aksi-aksi pelumba sejurus acara ini dirasmikan oleh YB Datuk Ngwe Hee Sem, ADUN Machap Jaya merangkap Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka. SS istimewa tersebut menampilkan satu laluan lurus di atas permukaan tar sekitar 200 meter sebelum pelumba perlu membuat hand brake turn pada selekoh pertama berbentuk hairpin untuk masuk ke laluan kebun sawit.

Aksi hari pertama menyaksikan Saladin Mazlan bersama juruarahnya Arish Qutb di dalam Subaru Impreza WRX GC8 bermula garang, mendahului SS1 dengan catatan masa 3 minit 17 saat, meninggalkan Karamjit Singh di tempat kedua dengan masa 3 minit 23 saat.

SS2 pula bermula pada hari Ahad, 28 Jun, namun ia terpaksa dibatalkan selepas pemandu Perodua Myvi Turbo 4WD yang dipandu oleh Ezamin Ezham Ismail melanggar sebatang pokok sawit, menyebabkan kecederaan kepada juruarahnya, Fazrul Akmal Khalid yang terpaksa di bawa keluar dari SS menggunakan Ambulans.

Saladin terus mendahului rali ini pada SS ketiga, namun mula dikejar oleh Karamjit pada SS keempat, dan akhirnya jentera Subaru Saladin dilihat ditarik keluar dari SS6 menggunakan jentera penyelamat, seterusnya menamatkan terus rali ini kerana berlaku kerosakan.

MIR-Rally of Melaka 2026 – Karamjit Singh juara lagi pada usia 64-tahun dengan Proton Gen2 4WD Turbo

Keputusan penuh Rally of Melaka 2026, klik untuk besarkan

Selain dari perlumbaan, pengunjung-pengunjung yang hadir turut boleh menyertai aktiviti lain yang disediakan menerusi Karnival Rally of Melaka yang diadakan di padang sama menempatkan Service Park dan Parce Ferme rali kali ini yang terletak di Padang Felda Tun Ghafar Machap.

Malah karnival berkenaan sebenarnya telah bermula lebih awal iaitu menerusi acara pembukaan majlis bacaan Yasin Perdana, Majlis Berselawat & Bual Bicara Santai bersama tokoh jemputan Ustaz Dr.Nur Muhammad Hadi bin Zahalan (Akademi Al-Bayan), diikuti dengan pembukaan karnival pada hari Jumaat yang menampilkan persembahan artis dan Konsert Rally of Melaka, aktiviti kanak-kanak dan keluarga, cabutan bertuah serta pelbagai pertandingan menarik yang lain.