Proton telah mengumumkan tempahan bagi SUV tiga barisan tempat duduk baharu X90 kini telah pun dibuka di mana-mana cawangan pusat 3S/4S Proton sahaja. Walau bagaimana pun, Proton masih belum mendedahkan tarikh sebenar pelancaran X90 ini, namun difahamkan, ia akan diadakan sekali dengan sambutan ulangtahun ke-40 syarikat pengeluar kereta ini dalam masa terdekat.
Buat masa ini, Proton juga masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan harga untuk X90 ini. Namun dengan saiz dan juga perincian yang dilihat lebih maju dari X50 dan X70, kami menjangkakan X90 mungkin dijual pada harga RM130k hingga RM150k.
Proton X90 ini akan ditawarkan dalam empat varian bermula 1.5 TGDi BSG Standard, BSG Executive, BSG Premium and BSG Flagship. Model Standard hingga Premium menampilkan konfigurasi tujuh-tempat duduk, manakala varian Premiun diberikan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah di mana bahagian baris tengahnya diberikan sepasang tempat duduk kapten dengan perehat kepala pilot.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, X90 diasaskan dari Geely Haoyue untuk China, dan untuk Malaysia, ia diberikan unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV) yang sama seperti versi pasaran Filipina iaitu Geely Okavango.
Sistem berkenaan menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (sama dengan enjin X50 dan X70, kini turut telah dipasang oleh Proton di Tanjong Malim) dan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.
Manakala dimensinya sama dengan Houyue dan Okavango yang berukuran panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm. Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh.
Untuk bahagian hadapannya, X90 ini menampilkan rekaan gril “diamond” atau krom pin yang lebih ringkas seperti rekaan gril Mercedes-Benz, bersama bingkai elemen busur panah yang masih lagi dikekalkan. Tiada lagi rekaan gril Infinite Weave seperti pada X70 dan X50 pada X90 ini.
Rekaan lampu utamanya juga berbeza di mana kedudukan bahagian lampu isyarat sequential berada dalam jalur yang paling bawah dalam unit berkenaan, dengan empat petak lampu LED di atasnya. Haoyue dan Okavango menampilkan lampu utama matriks dengan kedudukan jalur berkenaan di tengah dan diapit oleh masing-masing tiga dan satu unit LED di atas dan bawahnya.
Bagi bahagian kabinnya, ia diberikan papan pemuka yang seiras dengan Haoyue dan Geely Okavango tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Ia menampilkan skrin infotaimen berdiri sendiri bersaiz 12.3-inci dengan pemproses EO2 pada bahagian tengah, paparan instrumen digital dengan skrin 10-inci, serta liang pendingin hawa empat segi dihubungkan dengan panel kemasan yang merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut.
Konsol terowong juga dilihat sama, hadir dengan tombol gear segi empat yang kelihatan seiras dengan Geely Haoyue versi kemaskini untuk tahun 2020. Turut dapat dilihat butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan pada konsol terowong tersebut.
Model terbaharu Proton ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) berdasar kamera yang terletak di bahagian atas cermin hadapan serta set penderia yang berada di bahagian bawah gril hadapan bagi memberikan fungsi sistem brek kecemasan automatik dan sebagainya.
Antara perincian ADAS lain yang sah disertakan adalah termasuk Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang serta Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya – Proton menyatakan bahawa X90 merupakan model pertamanya yang diberikan perincian tersebut.
Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.
Proton turut memaklumkan telah memulakan siri jelajah ke enam buah bandar sejak 8 April lalu dan ia berdasarkan jemputan sahaja. Mana-mana orang awam yang berminat, bolehlah menghubungi cawangan pusat 3S/4S. Setakat ini tinggal empat tarikh yang masih berbaki untuk pra tonton khas X90 iaitu pada 15-16 April untuk Johor dan Pahang serta 29-30 April bagi Sabah dan Sarawak.
Lebih perincian berkenaan Proton X90 ini boleh anda baca menerusi PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Pengganti exora katanya tp harga innova, sama kes axia, rakyat nak kereta mampu milik dah skg mampus milik