Mitsubishi Motors baru-baru ini mendedahkan rancangan pengenalan produk mereka yang menjadi sebahagian daripada pelan perniagaan ‘Challenge 2025’ mereka. Ia didedahkan bersama dengan perolehan tahun kewangan 2022 (FY2022) yang bermula dari 1 April 2022 hingga 31 Mac 2023.
Melihat dalam slaid pembentangan yang dibuat, FY2023 bakal menyaksikan pengenalan enam model, dengan dua daripadanya telah pun didedahkan iaitu ASX generasi kedua (Renault Captur yang dijenamakan semula), serta Delica Mini (menggantikan eK X Space).
Untuk yang selebihnya, satu daripadanya adalah Xpander versi hibrid. Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, model tujuh tempat duduk itu hanya ditawarkan dalam satu versi enjin pembakaran dalaman di beberapa negara ASEAN (termasuk Malaysia), dan ini masih tidak berubah sehingga ia diberikan facelift pada tahun 2021.
Setakat ini Mitsubishi masih belum memberikan perincian untuk Xpander HEV ini, tetapi gambar teaser yang disiar menunjukkan ia akan mempunyai corak lampu yang sama di hadapan. Selain itu, berdasarkan slaid yang ditunjukkan juga kita boleh menjangkakan ketibaan Xpander HEV ini pada tahun 2024 – FY2023 Mitsubishi bermula 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.
Trak pikap Triton generasi keenam juga akan membuat penampilan pertama Julai tahun ini, setelah ditunjukkan awal melalui XRT Concept di Bangkok International Motor Show 2023. Triton yang direka semula ini dilaporkan akan membuat peralihan kepada casis ladder frame yang dikongsi bersama Nissan Navara – tetapi diubah sedikit mengikut kesesuaian. Mitsubishi mendakwa platform ini adalah serba baru dan dibangunkan sendiri oleh mereka.
Ia juga diberitahu akan dipadankan bersama enjin baru, dengan unit empat silinder diesel turbo 2.4 4N15 akan diganti dengan unit 4N16 yang sekarang ini digunakan pada Nissan Caravan. Pada Caravan, enjin ini digabungkan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan Jatco. Jika padanan sama digunakan pada Triton, ia merupakan satu naik taraf berbanding kotak gear automatik enam kelajuan sekarang.
Dalam pembentangan awal Challenge 2025 sebelum ini, satu model tanpa nama yang dipanggil sebagai ‘Pickup BEV’ telah ditunjuk, dan ia dijangka akan menjadi sebuah versi elektrik bagi Triton generasi baru. Walaubagaimanapun, model ini tidak termasuk dalam rancangan produk yang akan dikeluarkan sehingga tahun 2025.
Satu lagi model yang termasuk dalam senarai adalah versi produksi bagi XFC Concept, yang ditunjukkan di Vietnam Oktober tahun lalu. SUV kompak baru ini akan mula dijual di pasaran ASEAN tahun ini, dengan varian yang mempunyai kuasa elektrik juga berada dalam perancangan.
Akhir sekali, pada FY2023 juga kita akan menyaksikan kemunculan semula nama Colt. Dirancang membuat penampilan pertama pada 8 Jun, Colt baru ini akan menggunakan platform CMF-B sama seperti Renault Clio generasi kelima. Penampilannya pula akan menjadi unik bagi Mitsubishi sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.