Mitsubishi Xpander facelift 2022 didedahkan di Indonesia – CVT ganti 4AT, suspensi lebih selesa

Mitsubishi Xpander facelift 2022 didedahkan di Indonesia – CVT ganti 4AT, suspensi lebih selesa

Sebelum membuat kemunculan sulung yang dijadualkan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021 bermula 11 November nanti, Mitsubishi secara rasminya telah mendedahkan secara rasmi gambar dan juga perincian untuk Xpander facelift 2022.

Sama seperti sebelum ini, unit awalan bagi Xpander facelift ini akan meluncur ke pasaran Indonesia terlebih dahulu sebelum diperkenalkan pada pasaran ASEAN lain, dan produksi MPV tujuh tempat duduk tersebut masih kekal di kilang Mitsubishi Motors-Krama Yudha di Bekasi.

Xpander diperkenalkan buat pertama kali di GIIAS 2017, setahun selepas model konsepnya iaitu Mitsubishi XM Concept didedahkan di GIIAS 2016. Bagi model facelift kali ini, ia bukan sahaja menerima penyegaran pada rupa luar dan dalam, malah turut menampilkan tingkat taraf pada sistem mekanikal dan casis.

Dari segi rupa luaran, perubahan terbesar dibuat pada bahagian muka Xpander facelift ini adalah pada lampunya. Lampu nyalaan siang LED yang diletakkan di atas masih kekal dengan bentuk tirus, tetapi dilihat diberikan grafik baharu serta bersaiz lebih panjang.

Mitsubishi Xpander facelift 2022 didedahkan di Indonesia – CVT ganti 4AT, suspensi lebih selesa

Manakala lampu utama yang diletakkan pada bampar pula menerima perubahan drastik dengan kluster berbentuk-T, berbanding hanya berbentuk segi empat tidak sama sisi pada model sedia ada. Lampu isyarat membelok juga nampaknya telah dialihkan dari lampu utama kepada hujung lampu nyalaan siang di atas.

Muka Xpander facelift ini juga menerima gril baharu yang direka lebih ringkas, menampilkan dua bar tebal disusun melintang bersama logo tiga berlian di tengahnya. Gril bampar kini direka lebih besar dengan liang kemasukan udara lebih luas, serta ruang plat pendaftaran kini telah dipindahkan lebih rendah.

Kemasan krom yang menghasilkan huruf-X pada muka Xpander facelift ini juga lebih tebal dari sebelum ini, bersama kemasan bawah yang juga perumah kepada lampu kabus di bawah bampar kini telah direka semula. Bagi model tertinggi, Xpander kini menerima rim 17-inci kemasan dua tona rekaan baharu.

Di belakang, kluster lampu utama masih nampak sama, tetapi perumah lampu pada pintu tailgate telah dipanjangkan bersama grafik dalam lampu telah direka semula. Elemen berbentuk-X pada bahagian belakang Xpander facelift ini juga sudah kurang menonjol kerana garis yang menghubungkan perumah nombor plat dan bampar kini lebih tegak melintang bebanding serong sebelum ini.

Mitsubishi Xpander facelift 2022 didedahkan di Indonesia – CVT ganti 4AT, suspensi lebih selesa

Bampar belakang juga menerima penyegaran semula di mana reflektor merah kini berada dalam posisi menegak berbanding melintang sebelum ini, bersama bahagian skid plate yang juga kini direka lebih elemen melintang. Menurut Mitsubishi, rekaan muka dan belakang baharu ini telah menyebabkan juntaian hadapan menjadi 75 mm lebih panjang dan juntaian belakang juga 45 mm lebih panjang – ia “menghasilkan bentuk dengan rasa berkelas tinggi.”

Ketinggiannya juga kini dinaikkan sekitar 15 hingga 20 mm dari model sebelum ini, membolehkan ia mencapai jarak kelegaan tanah terbaik dalam kelasnya iaitu 220 mm hingga 225 mm. Mitsubishi menyatakan bahawa dengan badan lebih tinggi ini turut meningkatkan prestasi Xpander ketika melalui permukaan off-road.

Mitsubishi Xpander facelift ini masih dijana oleh enjin petrol NA 4A91 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS dan tork maksima 141 Nm. Namun ia kini diberikan sistem edaran semula gas ekzos (EGR) jenis luaran baharu yang dikatakan mampu memberi kecekapan bahan api lebih baik.

Kuasa dari enjin terus dihantar hanya kepada roda hadapan, namun kotak gear automatik empat-kelajuan konvensional 4AT pada model sebelum ini telah digantikan dengan transmisi CVT.

Untuk casis pula, Mitsubishi menyatakan bahawa ketegaran Xpander facelift ini telah ditambah baik menerusi pemadanan cagak topang baharu pada suspensi hadapan dan juga penyerap hentak belakang yang kini menampilkan silinder lebih besar.

Mitsubishi Xpander facelift 2022 didedahkan di Indonesia – CVT ganti 4AT, suspensi lebih selesa

Mitsubishi turut mendakwa bahawa injap penyerap hentak prestasi tinggi pada suspensi hadapan dan belakang juga kini telah diperbaharui bagi menambah baik kualiti pemanduan.

Pada bahagian kabin, Xapnder facelift ini diberikan papan pemuka yang direka lebih bersegi dari sebelum ini, bagi memberikan rasa yang lebih luas dan lebar. Pemandu juga diberikan roda stereng dengan rekaan perumah beg udara lebih kecil yang kelihatan lebih sporty.

Model dengan spesifikasi tertinggi kini menerima skrin infotainmen bersaiz sembilan-inci dengan rekaan baharu. Manakala panel kawalan pendingin hawa menggunakan suis putar sebelum ini digantikan dengan panel baharu yang menampilkan paparan LCD.

Tiada lagi tuil brek tangan manual pada model facelift ini dan ia digantikan dengan brek parkir elektronik, yang bukan sahaja menampilkan rekaan lebih ringkas, malah turut memberikan fungsi brake hold automatik ketika kereta berhenti dalam aliran trafik.

Rekaan baharu ini juga membolehkan konsol tengah berkenaan menerima tray storan lebih besar untuk meletakkan telefon pintar, manakala varian terpilih yang diberikan perehat tangan turut mempunyai ruang untuk meletakkan empat botol minuman 600 ml.

Mitsubishi Xpander facelift 2022 didedahkan di Indonesia – CVT ganti 4AT, suspensi lebih selesa

Untuk kabin belakang pula, penumpang kini menerima port USB Type A dan Type C yang diletakkan pada bahagian belakang konsol yang menerima perehat tangan, manakala penumpang di baris ketiga kini turut diberikan pemegang cawan.

Mitsubishi Xpander facelift ini diberikan pilihan warna baharu iaitu Blade Silver Metallic, bersama pilihan-pilihan warna sedia ada termasuk Quartz Metallic Pearl, Graphite Grey Metallic, Jet Black Mica, Red Metallic dan Deep Bronze Metallic.

Sebelum ini Malaysia agak lambat menerima kehadiran Mitsubishi Xpander – ia hanya dilancarkan pada pasaran tempatan pada November 2020, terus dalam versi yang sama seperti model kemaskini 2020 di Indonesia, serta dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

Antara kelengkapan yang ditelah diberikan pada model pasaran Malaysia sedia ada termasuk lampu hadapan reflektor bi-LED, rim aloi 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit dengan elemen quilted, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 9.0-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kamera perakam digital (dashcam) 360-darjah.

Dijual dengan hanya satu varian tunggal pada harga atas jalan tanpa insuran RM91,369 (dengan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022), Xpander merupakan MPV bukan-nasional terlaris di Malaysia dengan mencatatkan sejumlah hampir 13,000 unit tempahan sejak ia dilancarkan. Sehingga September 2021, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menghantar 5,756 unit Xpander kepada pelanggan yang sudah menempahnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required