Mitsubishi eK Space dan eK X Space dilancarkan di Jepun – Kei-MPV dengan pilihan enjin 660 turbo hybrid

Mitsubishi eK Space dan eK X Space dilancarkan di Jepun – Kei-MPV dengan pilihan enjin 660 turbo hybrid

Tahun lalu, Mitsubishi telah memperkenalkan K-Car generasi baharu di Jepun iaitu pasangan kembar eK Wagon dan eK X, dan kini kedua-duanya model tersebut hadir dalam versi kei-MPV yang digelar eK Space dan eK X Space.

Model Space ini dihasilkan dengan dimensi 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar, 1,780 mm tinggi, dan jarak roda sejauh 2,495 mm. Walaupun nampak macam model Space ini lebih panjang dari eK biasa, ia sebenarnya hanya menampilkan bumbung yang 140 mm lebih tinggi bagi memberikan ruang kepala lebih luas, tanpa diberikan panjang badan tambahan.

Konsep muka kedua-dua versi Kei-MPV juga masih sama dengan versi Kei-Car dimana eK Space hadir dengan muka lebih comel, manakala eK X Space diberikan muka Dynamic Shield yang lebih garang. Berbeza dengan versi Kei-Car, kedua-dua sisi Kei MPV empat-tempat duduk ini diberikan pintu belakang jenis gelangsar yang boleh dibuka tanpa sentuhan (hanya perlu menyentuh kaki pada bahagian bawah bendul sisi) bagi memberikan akses sebesar 650 mm.

Mitsubishi eK Space dan eK X Space dilancarkan di Jepun – Kei-MPV dengan pilihan enjin 660 turbo hybrid

Kabin belakang model Space ini hadir dengan tempat duduk jenis bench yang boleh digelangsarkan dalam jarak 320 mm. Dengan bumbung yang lebih tinggi, ia mempunyai ruang antara lantai dan siling setinggi 1,400 mm yang membolehkan kanak-kanak menukar pakaian dengan berdiri di ruang tersebut, dakwa Mitsubishi.

Selain itu, bahagian belakang ini juga didakwa mempunyai ruang kaki paling besar dalam kelasnya. Penumpang belakang turut MPV kecil ini juga dapat menikmati penghembus pendingin hawa mereka sendiri yang disegarkan dengan teknologi plama cluster dari Sharp.

Bergantung pada varian, kabin Space ini diberikan upholsteri fabrik kalis-air, meja kecil untuk penumpang belakang, penyangkut baju, skrin sesentuh untuk kawalan pendingin hawa, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear, butang penghidup enjin dan skrin infotaimen bersaiz 9-inci.

Dari segi kelengkapan, eK Space hadir dengan lampu hadapan halogen reflektor, rim 14-inci, dan pilihan enam warna biasa atau tiga warna dua tona. Manakala untuk eK X, ia hadir dengan lmapu hadapan projektor LED adaptif, kemasan skid plate, rim aloi dua-tona, spoiler belakang, serta tujuh pilihan warna biasa atau enam pilihan warna dua tona.

Juga, model eK X ini turut diberikan pilihan upholsteri dalaman yang lebih premium dengan gabungan kulit sintetik dan fabrik berwarna perang, bersama serlahan jahitan dengan benang merah.

Pilihan unit janakuasa versi Space ini masih sama seperi model biasa. Kedua-duanya boleh dipilih dengan enjin tiga silinder 659 cc yang digandingkan dengan motor elektrik sistem mild hybrid berkuasa 2.7 PS/40 Nm, sama ada dalam versi NA atau dengan pengecas turbo.

Model NA menjana 52 PS pada takat 6,400 rpm dan tork maksima 60 Nm pada takat 3,600 rpm, manakala versi turbo pula lebih berkuasa dengan 64 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 100 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, manakala model tertinggi akan menerima pedal penukar gear yang memberikan tukaran manual dengan tujuh-kelajuan maya.

Seperti model Kei-Car, versi Space ini turut menerima kelengkapan keselamatan termaju yang sama. Antaranya pakej e-Assist merangkumi ciri seperti Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCM), Emergency Assist for Pedal Misapplication, Amaran Keluar Lorong (LDW), Automatic High Beam (AHB) dan Lane Departure Prevention (LDP).

Model lebih tinggi diberikan sistem pemanduan separa automatik yang digelar Mitsubishi Intelligent Pilot (MI-Pilot). Sistem ini membekalkan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA).

Pecahan varian juga sama di mana kedua-dua versi datang dalam tiga varian berbeza, dijual pada harga bermula dari 1,399,200 yen (RM56k) hingga 1,859,000 yen (RM75k). Menurut Mitsubishi, lebih dari 5,000 tempahan dari pelanggan di Jepun telah di buat sehingga kini, di mana 65% dari mereka memilih eK X Space, dan selebihnya memilih eK Space,

Mitsubishi ek Space

Mitsubishi ek X Space

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required