TASKL 2023: 14 kereta ubahsuai dari Jepun dibawa – GT-R Top Secret terjual; lebih 91,000 pengunjung!

TASKL 2023: 14 kereta ubahsuai dari Jepun dibawa – GT-R Top Secret terjual; lebih 91,000 pengunjung!

Selepas diumumkan Mac lalu, akhirnya acara Tokyo Auto Salon (TAS) yang julung kalinya di bawa ke Malaysia dengan nama Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur telah berjaya dilangsungkan di di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 9 hingga 11 Jun lalu.

Acara ini dibuka secara rasmi oleh menteri perdagangan dan industri Senator Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz pada hari Jumaat malam, dan menurut penganjur TASKL telah berjaya menarik lebih dari 91,000 pengunjung selama tiga hari penganjurannya.

TASKL ini berlangsung dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi, iaitu melibatkan penggunaan Dewan 2,3 dan 4 di MITEC. Ia juga telah menarik minat sekurang-kurangnya 14 penala dari Jepun untuk menghantar kereta ubahsuai masing-masing ke Malaysia, dan ada juga yang membuka reruai di TASKL 2023.

Antara jentera yang paling menarik perhatian adalah sebuah Nissan Skyline GT-R R32 binaan Garage Active dengan keselurahan panel badannya menggunakan gentian karbon, serta dipacu oleh enjin RB30 dari HKS bersama pengecas turbo sebesar pasu bunga membolehkan ia bernafas dengan kuasa 1,000 hp. Lebih perincian berkenaan R32 yang diberi nama Carbon-R ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Selain itu, Nissan GT-R R35 binaan penala ‘otai’ Jepun, Top Secret turut dibawa untuk dipamerkan. Apa yang menarik, jentera yang diberi nama sebagai Nissan GT-R TS R35GTR Gold berkuasa 815 PS itu dikhabarkan berjaya dijual oleh pengasas Top Secret iaitu Smokey Nagata kepada seorang rakyat Malaysia ketika TASKL ini berlangsung.

Ada khabar angin yang menyatakan bahawa kereta tersebut dibeli oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ). Namun menerusi gurauan yang dibuat oleh putera berkenaan di laman Instagramnya menunjukkan pembelinya mungkin adalah individu lain.

Antara jentera-jentera dari Jepun lain yang turut dibawa adalah termasuk Driving Performer GR86 Type R, HKS GR Supra Aero, MARS1 (diasaskan dari Toyota RAV4), Kuhl Racing Subaru Levorg, Sphere Racing Mitsuoka Orochi, Spoon Honda NSX dan GReddy Stance RZ34 iaitu Nissan Z baharu dengan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny.

Ada juga jentera-jentera buatan Amerika Syarikat tetapi menerima sentuhan dari penala Jepun di bawa ke TASKL ini iaitu sebuah Chevrolet Corvette dengan kit badan lebar, Ford Mustang dari Rohan Izawa Art Design dan juga Jeep Wrangler dari Rinei.

Tidak ketinggalan, wakil dari benua Eropah iaitu sebuah Alpine A110 yang diubahsuai oleh Cars Hatano, diberi nama Ravage A110. Kereta ini menampilkan panel-panel badan gentian karbon yang dipadankan pada bahagian hadapan dan belakang, serta diberikan set rim unik yang dihasilkan bersama OZ.

TASKL 2023: 14 kereta ubahsuai dari Jepun dibawa – GT-R Top Secret terjual; lebih 91,000 pengunjung!

Turut menarik perhatian adalah Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor yang turut dipamerkan di TASKL ini. R34 berkenaan dibina khas hanya sebuah oleh sayap perlumbaan rasmi Nissan iaitu Nismo di fasilit Omori Factory mereka di Jepun. Lebih perincian berkenaan GT-R J-Tune ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Selain dari barisan-barisan kereta yang dibawa dari Jepun ini, TASKL 2023 turut menampilkan kereta-kereta ubahsuai tempatan yang bertarung dalam pertandingan Auto Styling. Tiga juri dilantik untuk mencari pemenang dalam pertandingan ini iaitu Smokey Nagata, Takemoto Yuki iaitu Ketua Editor Option Magazine, dan Hirofumi Nozaki iaitu Ketua Editor Auto Salon Online.

Acara ini juga menyaksikan beberapa ikon sukan permotoran Jepun sanggup turun ke Malaysia untuk bertemu peminat masing-masing, antaranya Takuya Kai dan Daisuke Jomoto dari Spoon Sports dan juga Takahiro Ueno iaitu pemandu drift dan juga pengasas Vertex.

Selain dari syarikat-syarikat penala, TASKL kali ini turut disertai oleh dua pengeluar Jepun yang bertapak di Malaysia iaitu Nissan dan Mitsubishi. Nissan menghasilkan empat model edisi khas TASKL yang masing-masing dibina hanya sebuah dan dijual hanya dalam acara ini, manakala Mitsubishi pula mempamerkan beberapa unit trak pikap Triton dan MPV Xpander yang telah diubahsuai.

GALERI: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R di TASKL 2023

GALERI: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor di TASKL 2023

GALERI: Koleksi replika kereta watak-watak Initial D di TASKL 2023

GALERI: Van-van dan MPV yang diubahsuai di TASKL 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required