TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 hujung minggu lalu, agak kecoh di media-media sosial bahawa pengasas syarikat talaan dari Jepun, Top Secret iaitu Smokey Nagata berjaya menjual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret yang dibawa untuk dipamerkan di acara tersebut kepada seorang rakyat Malaysia.

Ketika ia berjaya dijual, identiti pembeli berkenaan tidak didedahkan. Namun khabar angin bertiup bahawa ia dibeli oleh Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ) kerana putera berkenaan dilihat meluangkan masa yang agak lama dengan Smokey sambil membelek R35 berkenaan.

Namun semalam, Tunku Abdul Rahman membuat hantaran story di akaun rasmi instagram miliknya, menyatakan bahawa ‘GT-R R35’ tersebut “sudah berada dalam tangan” tetapi ia tidak boleh dipandu. Story berikut pula mendedahkan bahawa putera berkenaan hanya bergurau dengan menunjukkan sebuah model skala R35 GT500 kecil yang diletak di atas tapak tangan, berlatar belakangkan sebuah Bugatti Veyron.

TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

Jadi sehingga kini, identiti pembeli GT-R R35 Top Secret tersebut masih lagi menjadi misteri. Sekirannya jentera berkenaan benar-benar dibeli oleh TPJ, mungkin tak lama lagi kelibat R35 berwarna emas itu dapat dilihat dipandu di sekitar Istana Bukit Serene atau di Bandaraya Johor Bahru?

Top Secret R35GTR Gold ini adalah antara unit-unit R35 terbaharu yang dibina sendir oleh Smokey Nagata. Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap demo car yang dibina oleh beliau akan dijual selepas itu, bagi membolehkannya membina jentera lain.

TS R35GTR Gold ini masih dijana oleh enjin VR38DETT 3.8 liter V6, tetapi telah dirombak semula secara keseluruhan membolehkan kuasanya diekstrak sehingga 815 PS, berbanding hanya 570 PS untuk versi standard.

TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

Sistem ekzos juga dipertingkat dengan pemadanan sports catalyzer dari Trust, diadun dengan muffler titanium binaan Top Secret sendiri. Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan GR6 dari Borg Warner, namun ia telah ditingkat taraf dengan penggunaan set klac juga dari Top Secret.

Bagi memastikan kereta ini kekal stabil pada kelajuan lebih dari 300 km/j, ia dipadankan dengan kit aero rekaan Top Secret, terdiri dari set fender lebih lebar, bampar hadapan dan juga komponen-komponen dari material gentian karbon termasuk spoiler hadapan, skirt sisi dan juga spoiler gergasi pada penutup but belakang.

Untuk mengurangkan beratnya, penutup bonet hadapan dan juga but belakang turut dihasilkan menggunakan material gentian karbon. Akhir sekali badan kereta ini disudahkan dengan warna emas ikonik Top Secret Candy Gold.

TASKL 2023: Smokey Nagata jual Nissan GT-R R35 Gold Top Secret kepada Tunku Panglima Johor?

Untuk bahagian roda, GT-R TS R35GTR Gold ini dipadankan dengan set rim O.Z Futura generasi baharu dari versi khas dibuat untuk Top Secret. Set rim berkenaan menampilkan saiz 20-inci dengan lebar 11j pada kesemua bahagian, tetapi dengan offset berbeza iaitu ET33 di hadapan dan ET10 di belakang. Ia dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE71RS bersaiz 285/35R20 di hadapan dan 285/35R20 di belakang.

Manakala untuk pengendalian, suspensi GTR ini ditingkat taraf menerusi pemadanan set coilover Top Secret Dumptronic yang menampilkan penyerap hentak Top Secret Time Attack SPL bersama spring dari Swift. Lengan-lengan suspensi asal juga tidak lagi digunakan dan diganti dengan komponen keluaran Top Secret.

Bagi Tunku Abdul Rahman pula, kedatangannya ke TASKL juga adalah untuk mendedahkan GT-R yang sangat rare miliknya, iaitu Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune yang hanya dibina sebuah sahaja oleh sayap perlumbaan Nissan iaitu Nismo di fasiliti Omori Factory di Jepun. Perincian berkenaan R34 J-Tune ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

GALERI: Nissan Skyline GT-R R35 J-Tune milik Tunku Panglima Johor di TASKL 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required