Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Kita tahu bahawa Proton merupakan jenama automotif pertama dari Malaysia, ditubuhkan pada 7 Mei 1983. Dan dua tahun selepas itu, Proton muncul dengan produk pertamanya untuk dijual dalam pasaran iaitu Proton Saga, dirasmikan oleh Perdana Menteri ke-4 (yang juga pengasas Proton) Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 9 Julai 1985.

Sehingga kini, Saga merupakan model nasional paling lama pernah dijual. Penghasilannya tidak pernah dihentikan – ia berterusan sehingga kini dan sudahpun masuk ke generasi keempat versi facelift kedua (MC2) yang boleh ditemui di bilik-bilik pameran Proton sama ada di Malaysia dan juga pelbagai pasaran eksport.

Proton telah merekodkan jualan melebihi 1.9 juta unit untuk Saga sehingga tahun lalu, di mana 1.2 juta unit daripadanya adalah Saga generasi pertama yang dijual sejak 1985 sehingga awal 2008. Dengan tempoh jualan lebih 27 tahun dan jumlahnya di atas jalan raya yang begitu banyak, sudah tentu kebanyakkan rakyat Malaysia ada cerita-cerita nostalgik bersama Saga generasi pertama ini kan?

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Begitu juga dengan pemilik Saga generasi pertama yang kami tampilkan kali ini – kenangan yang begitu indah bersama kereta tersebut telah ‘membakar semangat’ sehingga ianya dapat direstorasi sepenuhnya, dan kondisinya kini adalah jauh lebih baik dari keadaannya ketika meninggalkan kilang Proton di Hicom Shah Alam kira-kira 33 tahun yang lalu!

Ini merupakan Proton Saga generasi pertama keluaran 1990, dan ia adalah dari varian 1.5S yang menggunakan enjin Megavalve 4G15 1.5 liter 12-injap dengan suapan sistem karburator, dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual. Kereta ini dibeli baru oleh bapa mertua pemilik sedia ada dan digunakan sebagai pengangkutan harian keluarga.

‘Ikatan’ pemilik sedia ada bersama Saga ini bermula selepas dia mengenali isterinya (ketika itu masih lagi teman wanita). Menurutnya, apabila hubungan mereka semakin rapat, dia kerap ke Kulim, Kedah untuk berjumpa bakal mertuanya itu – walaupun ketika itu dia sudah pun memandu kereta buatan Eropah, dia tetap akan bersiar-siar sehingga ke Pulau Pinang dengan memandu Saga ini.

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Jadi kenangan ketika bercinta kekal pada Proton Saga berwarna Gerimis Grey berkenaan. Dan bagi membolehkan kenangan itu kekal berpanjangan, Saga ini perlu direstorasi sehingga ia boleh diwarisi oleh anak-anak mereka kelak. Dan segala kerja-kerja berkenaan diserahkan kepada pakar restorasi Proton iaitu Dream Street Restoration (DSR) yang kini bertapak di Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor.

Pada asalnya Saga ini mahu di bawa pulang ke Kuala Lumpur ketika semua ahli keluarga berkenaan berpindah dari Kedah ke Ibu Negara, namun segala perancangan tidak menjadi apabila virus Covid-19 mula melanda negara. Jadi Saga ini terpaksa ditinggalkan di rumah jiran (yang juga ahli keluarga terdekat) di Kulim, dan syukur ia dijaga dan enjinnya dihidupkan sekali sekala bagi memastikan ia tidak ‘mereput’ kerana ditinggalkan.

Setelah badai Covid mula reda, kereta ini terus diangkut dari Kulim menggunakan trak flat bed terus ke Kuala Lumpur pada 31 Disember 2021. Saga ini hanya dapat dihantar ke DSR pada Februari 2022 (ketika itu DSR masih lagi berkongsi tempat dengan Sterling Automotive juga di Subang Jaya) kerana mengikut giliran yang sudahpun ditetapkan.

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Kerja-kerja restorasi dimulakan dengan membaraikan semua panel badan Saga ini. DSR turut membina dolly stand khas untuk meletakkan kerangka kosong Saga berkenaan bukan sahaja bagi memudahkan ia dialih ke sana ke sini, malah ia juga penting bagi memastikan semua bahagian yang perlu diperbaiki dapat diakses.

Hampir kesemua panel badan Saga ini adalah baharu – bonet hadapan, penutup but belakang, keempat-empat pintu (dari Saga LMST), bumbung kesemua cermin adalah antara komponen baharu yang dapat dijumpai bagi menggantikan panel-panel asal Saga ini.

Malah ketika kerangka badan Saga ini dalam keadaan ‘bogel’, DSR turut melakukan pelbagai kerja memperbaiki struktur badan, termasuk menggunakan produk anti-kakisan dari Roberlo bagi memastikan ‘tulang-tulang’ utama dalam badan Saga ini tahan lebih lama.

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Satu lagi permintaan pemilik Saga ini kepada DSR adalah untuk memadankan set tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang. Ini kerana undang-undang yang mewajibkan semua kereta baharu wajib mempunyai tali pinggang keledar belakang hanya bermula pada 1 Januari 1995, dan Saga ini memang tidak mempunyai set tali pinggang keledar belakang ketika baharu dulu.

Untuk memadankan set tali pinggang tersebut, DSR bukan hanya sekadar menebuk tiang-C sebelah dalam, tetapi keseluruhan panel tersebut telah dipotong dan digantikan dengan panel dari model Saga Iswara yang sememangnya diberikan lubang skru untuk memasang tali pinggang keledar berkenaan.

Selepas panel-panel badan dipadankan kembali, badan Saga ini disudahkan dengan warna aslinya kembali iaitu Gerimis Grey.

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Walaupun Saga ini tidak mensasarkan sebarang tingkat taraf kuasa, DSR masih melakukan proses blueprinted pada enjin dan juga kotak gear, bagi memastikan ia boleh dipandu dengan lebih lancar selepas siap nanti. Jadi enjin 4G15 yang telah dikeluarkan dari perut, kemudian dibaraikan komponennya satu persatu.

Apa yang dijumpai, laluan air (water jacket) pada blok enjin tersebut telah tersumbat dengan karat. Minyak pelincir pada enjin berkenaan juga sudah lama tidak ditukar (kerana PKP ketika pendemik) telah menyebabkan dinding pada silinder omboh, aci engkol dan juga galas pada rod penghubung omboh telah calar.

Oleh itu, proses blueprinted pada enjin 4G15 ini turut melibatkan proses rebore pada silinder dan omboh ditukar kepada unit yang berdiameter lebih besar untuk disesuaikan dengan silinder lebih besar. Menurut DSR, segala komponen dalaman enjin yang perlu ditukar termasuk omboh, kit gasket, kit rombak rawat karburator dan sebagainya berjaya diperolehi baru dari Jepun.

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Proses blueprinted juga turut meliputi sistem transmisi, di mana semua komponen dalam kotak gear dikeluarkan dan diperiksa, sementara semua galas bebola telah diganti baharu.

Setelah siap, unit rangkaian kuasa tersebut dimasukkan semula ke ruang enjin Saga ini. Seperti yang anda boleh tengok, ruang enjin berkenaan kini nampak seperti baru keluar kilang; buka sahaja enjin dan kotak gear dalam keadaan berkilat, malah segala skru cagak serta komponen logam telah disadur anod semula, dan komponen lain seperti tangki air tambahan dan tangki pencuci cermin, radiator, kipas elektrik dan pelbagai lagi telah diganti baru.

Kalau anda perasan, pelekat-pelekat spesifikasi pada ruang enjin ini juga nampak seperti baru bukan? Ini kerana semua pelekat berkenaan telah direka dan dicetak semula, dan DSR turut mengemaskini maklumat berkenaan selari dengan spesifikasi semasa, contohnya jenis minyak brek yang telah ditukar kepada DOT4 (berbanding DOT3 sebelum ini) dan juga spesifikasi minyak enjin yang digunakan.

Bukan hanya pelekat pada ruang enjin ini sahaja telah dicetak semula, malah pelekat ‘anti karat’ dan spesifikasi angin tayar pada pintu, pelakat spesifikasi RON minima pada penutup pengisi petrol serta simbol-simbol pada tuil pelaras tempat duduk hadapan turut mendapat sentuhan yang sama.

Dalam sesi penggambaran yang dibuat di Putrajaya ini, penulis turut berpeluang memandu Saga ini. Terus terang, ini adalah Saga generasi pertama paling baik pernah dipandu oleh penulis. Dengan proses blueprinted yang telah dibuat pada enjin, anda akan terasa gegaran yang sangat minimal walaupun memandu dalam kelajuan rendah tetapi dengan gear tinggi.

Malah bunyi knocking ikonik pada enjin Megavalve setiap kali ia dipandu mendaki bukit turut tidak kedengaran pada Saga ini – bukan sahaja kerana proses blueprinted yang dibuat, malah sejak ianya siap, tangki minyak Saga ini tidak pernah dituang dengan petrol RON95 dan hanya diisi dengan petrol RON97.

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Casis Saga yang telah diperbaiki sepenuhnya ini turut digantikan dengan sistem suspensi yang dibina semula. Segala getah-getah bushing, penyambungan dan juga lengan-lengan telah diganti. Manakala sistem torsion beam belakang turut dibuka dan segala komponen haus dan lusuh di dalamnya telah diganti baru, kemudian ia dicat semula untuk kelihatan seperti baru.

Penyerap hentak Saga ini mungkin nampak standard, namun ia juga sebenarnya telah mendapat sentuhan bekas pakar pengendalian Proton R3 iaitu Faidzil Alang dari Fawster Motorsport. Manakala sistem stereng kini telah dipertingkat dengan pemadanan rak stereng yang mempunyai bantuan kuasa hidraulik.

Pada sebelah luar, Saga ini kelihatan hampir ‘standard kilang’, cuma cermin sisinya sahaja telah ditukar dengan komponen dari kembarnya di Jepun iaitu Mitsubishi Lancer Fiore. Ada komponen asli yang tidak dapat dibeli baru telah direstorasi semula oleh DSR sehingga ke tahap kelihatan hampir baru, contohnya logo Proton hadapan yang kini bernyala semula.

Proton Saga 1.5S 1990 restorasi penuh oleh Dream Street Restoration – Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Begitu juga dengan kesemua penutup rim besi pada keempat-empat roda – ia tidak dapat dibeli baru, yang dapat cuma set terpakai yang kemudian direstorasi semula. Penutup rim yang tidak lagi rata berkenaan terpaksa dipanaskan untuk ‘diluruskan’ kembali, kemudian ia disembur dengan cat berwarna perak, sementara tulisan ala-jawi ‘Proton’ pada penutup tersebut dibuat semula dengan airbrush.

Kerja-kerja pembaikkan turut dibuat pada sebelah dalam kabin. Seperti yang anda boleh lihat, papan pemuka, panel pintu, roda stereng, panel meter, panel suis-suis kawalan semuanya telah dibersihkan semula dan direstorasi sehingga kelihatan seperti ia dipelihara dalam muzium.

Manakala pelapik bumbung telah dibalut semula dengan material lebih moden dan ia kini berwarna hitam. Apa yang menarik, kesemua tempat duduk Saga ini telah dibalut dengan pembalut aksesori ketika ia masih baru dahulu, dan ia terpelihara di bawah pembalut berkenaan sehingga kini.

Jadi selain menjimatkan masa dan wang untuk merestorasi semula tempat duduk tersebut, ia juga menyajikan ‘aroma’ bau sabut di dalam kusyen berkenaan, iaitu bau kabin yang sama ketika Saga ini diambil dari bilik pameran dahulu!

DSR turut mengambil berat berkenaan faktor NVH dalam merestorasi Saga ini. Oleh itu, sebelum segala komponen kereta ini dipasang, kerangka Saga ini sebenarnya telah dipasang dengan bahan penebat pada bahagian lantai, bumbung sehingga ke ruang but belakang. Anda turut boleh lihat bahan penebat berkenaan turut dipasang pada penutup hud enjin hadapan dan penutup but belakang.

Walaupun kabin Saga ini nampak standard, DSR sebenarnya telah memberikan sistem audio yang cukup padu. Pemain kaset utama Blaupunkt Phoenix asli pada papan pemuka Saga ini telah direstorasi untuk kelihatan dan berfungsi semula seperti baru.

Namun tak cukup dengan itu, ada satu lagi pemain utama dari Kenwood yang lebih moden disorokkan dalam glovebox bagi membolehkan pelbagai sumber media lain seperti USB, Bluetooth dan sebagainya dapat dimainkan. Kedua-dua pemain utama ini disambungkan pada pemproses bunyi bagi mendapatkan bunyi lebih baik, dan pemandu boleh menukar sama ada untuk menggunakan pemain klasik Blaupunkt atau Kenwood hanya dengan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

Bunyi-bunyian tersebut disalurkan kepada empat pembesar suara Infinity Kappa dari Harman, dan disokong oleh subwoofer juga dari Harman yang disorokkan di bawah tempat duduk hadapan. Jadi jangan tertipu dengan rupa standard kabin Saga ini, kerana bunyi audio yang dihasilkan adalah lebih baik dari kereta yang diberikan subwoofer ‘kedai abang’ sebesar peti ais di dalam but belakang.

Menurut pengasas bersama DSR, Suriya Sankaran, proses restorasi Saga ini merupakan antara projek paling sukar dan mengambil masa paling lama yang pernah dibuat oleh syarikatnya kerana faktor seperti kesukaran untuk mendapatkan alat ganti yang benar-benar asli dan sebagainya.

Projek ini bermula pada Februari 2022, dan ia hanya siap pada bulan Jun tahun ini, iaitu hampir setahun setengah untuk disiapkan. Suriya menjelaskan dalam tempoh sedemikian, syarikatnya mampu untuk menyudahkan dua projek restorasi penuh Proton Satria GTi, tetapi hanya sebuah Saga siap dalam tempoh yang sama!

GALERI: Proses restorasi Proton Saga 1.5S 1990 oleh Dream Street Restoration

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required