Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

Walaupun pada asasnya ia dibangunkan khas untuk pasaran ASEAN, Mitsubishi Xforce yang baru sahaja membuat kemunculan sulung global di Indonesia minggu lalu turut akan dibawa ke pasaran Amerika Syarikat. Menurut laporan Automotive News, Xforce bakal menggantikan tempat SUV segmen-B Mitsubishi ASX (dikenali sebagai Outlander Sport di negara berkenaan) yang sudah berada lebih dari satu dekad dalam pasaran.

Ini bermakna Mitsubishi ASX generasi baharu yang telahpun dilancarkan di Eropah (model rebadge dari Renault Captur) pada September tahun lalu tidak akan dibawa ke pasaran Amerika Syarikat, dan memilih model yang dibangunkan sepenuhnya oleh mereka untuk dijual ke pasaran negara Uncle Sam tersebut.

Selain dari versi petrol sedia ada, Xforce dijangka bukan hanya bakal diperkenalkan dalam versi hibrid, malah berpotensi untuk hasilkan dalam versi elektrik sepenuhnya (EV) untuk masa hadapan.

“Kami berharap untuk mengembangkan model dari kenderaan yang berkaitan dengan pasaran negara-negara Asia Tenggara kepada kenderaan strategik global, menjadikan ia model asas yang penting,” kata CEO Mitsubishi, Takao Kato.

Mitsubishi X-Force merupakan SUV yang dihasilkan dengan saiz yang hampir sama dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross. Namun buat masa sekarang ia hanya ditawarkan dengan enjin 1.5 liter DOHC MIVEC berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT untuk memacu hanya roda hadapan.

Namun SUV ini direka dan ditala untuk pemanduan pada permukaan lasak di Asia Tenggara, termasuk untuk meredah laluan banjir yang kerap berlaku di rantau ini. Antara yang dibuat termasuk memberikan jarak kelegaan tanah 222 mm, set roda yang lebih lebar dengan rim 18-inci, saiz silinder penyerap hentak juga direka besar bagi memberikan kestabilan pada roda stereng serta keselesaan pemanduan walaupun dipandu pada permukaan tidak rata dan lasak.

Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

Sudut caster suspensi hadapan juga dilaras lebih besar bagi memberikan kestabilan kelajuan tinggi dan respon stereng lebih baik, serta menggunakan set bushing suspensi belakang yang dipertingkat.

Tetapan suspensi, roda dan rekabentuk Xforce ini juga membolehkan ia mendapat sudut approach dan sudut departure antara yang terbaik dalam kelasnnya, masing-masing 21 dan 30.5 darjah. Ini membolehkan Xforce ‘memanjat’ laluan dengan sudut-sudut yang curam, dan ia juga mudah dikendalikan pada laluan sempit dengan radius pusingan minimum 5.2 meter, yang juga paling kecil dalam kelasnya.

Tidak cukup dengan itu, Xforce turut hadir dengan teknologi kawalan empat roda yang pertama untuk sebuah Mitsubishi yang hanya memacu dua roda. Teknologi ini menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.

Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik.

Mitsubishi turut menyatakan bahawa mod Wet merupakan mod yang baru diperkenalkan buat pertama kali menerusi Xforce ini, dan ia akan memberikan prestasi mengambil selekoh dan kestabilan yang lebih baik pada jalan basah ketika hujan, dan mengekalkan kawalan yang baik ketika meredah banjir.

GALERI: Mitsubishi Xforce di GIIAS 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required