Toyota GR86 40th Anniversary Limited 2024 – bermula RM121k, 200 unit hanya di Jepun, rai ulangtahun AE86

Toyota GR86 40th Anniversary Limited 2024 – bermula RM121k, 200 unit hanya di Jepun, rai ulangtahun AE86

Tahun ini genap 40 tahun Toyota AE86 (Levin dan Sprinter Trueno) dalam pasaran, iaitu Corolla dalam varian sports terakhir dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, yang kemudiannya menjadi lagenda dalam sukan permotoran serta dunia ubahsuai model-model pasaran domestik Jepun (JDM).

Bagi meraikan ulangtahun tersebut, Toyota memperkenalkan model istimewa edisi terhad bagi ‘cucu’ kepada AE86 iaitu Toyota GR86 dalam versi 40th Anniversary Limited. Hanya 200 unit dihasilkan dan hanya untuk pasaran Jepun, manakala pelanggan yang mahu membelinya perlu merebut peluang menerusi sistem loteri.

Model ini diasaskan dari GR86 dalam gred varian RZ pasaran Jepun. Hanya dua warna badan yang ditawarkan iaitu Spark Red dan Crystal White Pearl. Ia kemudiannya diberikan pelekat bawah pintu berwarna hitam dengan grafik diispirasikan dari tema warna badan dua tona AE86 asli, bersama tulisan ‘Since 1983 40th’ yang juga meniru tulisan-tulisan pada badan Levin dan Sprinter Trueno.

Ia turut diberikan spoiler ‘ekor itik’ dan cermin sisi dalam kemasan hitam, dan dengan gandingan serlahan hitam pada set rim, kemasan liang udara pada bampar hadapan dan diffuser pada bampar belakang melengkapkan lagi rupa seakan warna badan dua-tona model ini.

Model ini masih dijana oleh enjin NA FA24D 2.4 liter boxer empat-silinder yang berkuasa 235 PS dan juga tork maksima 250 Nm, dan pembeli masih boleh memilihnya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan. Namun model istimewa ini dipadankan dengan set brek Brembo dan juga penyerap hentak prestasi dari Sachs secara standard.

Tiada perubahan besar diberikan pada bahagian dalaman, cuma tulisan ‘Since 1983 40th’ disulam pada panel pintu dan diberikan set karpet kaki istimewa dengan tulisan sama.

Selain dari model istimewa ini, Toyota turut mendedahkan kemaskini bagi model-model GR86 biasa untuk versi 2024. Kini bagi model manual, ia turut sudah dipadankan sistem bantuan pemanduan Eyesight yang sama seperti kembarnya iaitu Subaru BRZ. Sebelum ini sistem berkenaan hanya ditawarkan pada model transmisi automatik pada GR86 dan BRZ.

Model dengan gred varian lebih rendah iaitu SZ kini turut ditawarkan dengan sistem pemantau titik buta (standard pada RZ) dan juga sistem VSC yang dikemaskini bagi meningkatkan kestabilan serta prestasi keselamatan. Toyota turut menala semula karekter pedal pendikit elektronik pada model 2024 ini bagi memberikan kawalan lebih baik. Sistem brek Brembo dan suspensi Sachs ditawarkan secara opsyen untuk gred SZ dan RZ.

Toyota GR86 40th Anniversary Limited dijual pada harga bermula 3.822 juta yen (RM120,882) untuk model dengan kotak gear manual dan 3.92 juta yen (RM123,982) bagi versi automatik. Manakala versi RZ pula kini berharga 3.476 juta yen (RM109,912) untuk manual dan 3.574 million yen (RM113,010) untuk auto.

Varian SZ masih menjadi versi paling mampu milik untuk pasaran Jepun dengan dijual pada harga 3.153 juta yen (RM99,722) untuk versi manual dan 3.251 juta yen (RM102,790) untuk versi automatik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required