Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mencadangkan bahawa insentif elektrifikasi yang bakal diberikan di bawah Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Oktober nanti, perlu meliputi semua jenis kenderaan elektrifikasi (xEV) berbanding hanya untuk EV bateri (BEV) untuk merancakkan lagi usaha perluasan penggunaan EV di negara ini.
Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain memaklumkan xEV, yang terdiri daripada kenderaan hibrid elektrik (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik fuel-cell (FCEV) juga merupakan pelanjutan kepada BEV, dan akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada segmen tersebut.
“Pendekatan berperingkat, bermula dari HEV, adalah cara berkesan untuk beralih kepada kenderaan dengan enjin konvensional. Hibrid merupakan langkah pertama bagi penggunaa lebih meluas kenderaan elektrikfikasi,” ujarnya kepada Bernama.
Beliau juga berkata, MAA berharap bahawa insentif sedia ada berupa rebat RM2,500 dan juga pengecualian cukai jalan bagi EV akan diperluas kepada xEV lain bagi kategoti kenderaan penumpang dan komersial. MAA juga mencadangkan yang pelepasan cukai pendapatan peribadi perlu diberikan ke atas pembelian xEV, begitu juga dengan pemasangan panel solat di rumah. “Ia akan menyokong lagi campuran tenaga yang digunakan, dan menjadikan tenaga boleh diperbaharui akan menyumbang 17% daripada keseluruhan sumber tenaga menjelang 2040,” katanya.
Berkaitan pengecualian duti import dan eksais, MAA menghargai langkah kerajaan untuk melanjutkan pengecualian tersebut bagi tempoh dua tahun, bagi BEV CBU sehingga 2025 dan BEV CKD sehingga 2027, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Bagaimanapun, persatuan itu merasakan tempoh insentif berkenaan yang diberikan untuk perniagaan adalah agak singkat. Beliau menjelaskan, industri automotif sangat bergantung kepada modal, dan perancangan perniagaan biasanya dalam jangka masa panjang.
“Tempoh insentif yang diberikan untuk syarikat automotif haruslah dalam jangka masa panjang, dan kami alu-alukan perundingan dengan pihak berkepentingan dan MAA untuk menentukan jangka masa insentif yang sesuai. Ini akan membolehkan kedua-dua pengedar tempatan dan syarikat induk luar negara untuk mengkaji, menyediakan dan merangka pelan pelaburan jangka panjang yang menyeluruh untuk pasaran Malaysia,” tambahnya.
Dasar jangka panjang juga akan membantu membangunkan keyakinan pelabur luar, jelasnya. “Dasar jangka pendek atau yang mengejut sifatnya akan menyukarkan syarikat untuk merangka pelan dan menilai kebolehlaksanaan perniagaan, terutama dalam memperkenalkan teknologi baru dan kenderaan lebih canggih untuk pasaran tempatan,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.