SUV CX-60, CX-90 ‘ada untung’, Mazda mungkin hasilkan sedan Mazda 6 pacuan roda belakang!

SUV CX-60, CX-90 ‘ada untung’, Mazda mungkin hasilkan sedan Mazda 6 pacuan roda belakang!

Mazda telah mendedahkan platform bersaiz besar dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan roda belakang pada 2019, dan ia disusuli dengan pemfailan paten enjin enam-silinder sebaris bersama kotak gear automatik lapan kelajuan. Ketika itu ramai yang membayangkan Mazda akan menghasilkan sedan besar pacuan roda belakang (RWD) bagi bersaing dengan sedan-sedan Eropah seperti BMW dan Mercedes-Benz.

Produksi sebenar bagi platform yang digelar Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dan unit rangkaian kuasa berkenaan akhirnya muncul buat pertama kali pada Mac 2022, menerusi pengenalan SUV CX-60. Ia kemudiannya diperkenalkan pada tiga lagi model SUV lain termasuk CX-70, CX-80 dan CX-90.

Apa sudah jadi dengan sedan RWD yang digembar gembur sebelum ini? Ketua pembangunan dan kejuruteraan Mazda Eropah, Joachim Kunz memberitahu portal Drive pada Mac tahun lalu rancangan untuk menghasilkan sedan besar RWD terpaksa dibatalkan kerana pasaran untuk model-model tradisional kini merosot, dan Mazda perlu menumpukan terhadap segmen yang mempunyai permintaan tinggi buat masa sekarang iaitu SUV.

SUV CX-60, CX-90 ‘ada untung’, Mazda mungkin hasilkan sedan Mazda 6 pacuan roda belakang!

Walau bagaimanapun, mungkin ada sinar kembali untuk melihat Mazda menghasilkan sedan pacuan roda belakang. Menurut laporan portal Jepun Best Car Web, Mazda kini sedang membangunkan model generasi baharu Mazda 6 menggunakan platform pacuan roda belakang tersebut bagi menggantikan model generasi sedia ada yang kini sudah berusia lebih satu dekad dalam pasaran!

Portal tersebut menyebut keputusan ini diambil oleh Mazda kerana empat SUV pacuan roda belakang yang telah diperkenalkan di Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat tersebut kini menghasilkan jualan yang baik, membolehkan pembangunan untuk sedan pacuan roda belakang diteruskan semula.

Best Car juga menyatakan bahawa di Jepun jualan untuk CX-60 kini telah mengatasi jualan SUV segmen-C pacuan roda hadapan popular Mazda iaitu CX-5. Malah kos pembangunan untuk sedan berkenaan juga kini lebih rendah kerana sebahagian besar kerja-kerja untuk penambahbaikkan pada platform dan juga unit rangkaian kuasa baharu tersebut sudah dibuat pada empat SUV pacuan roda belakang berkenaan.

SUV CX-60, CX-90 ‘ada untung’, Mazda mungkin hasilkan sedan Mazda 6 pacuan roda belakang!

Laporan itu turut menyebut Mazda 6 pacuan roda belakang yang lebih mewah ini akan disasarkan untuk pasaran Amerika Utara. Dan unit rangkaian kuasa yang akan digunakan akan disalin terus dari SUV-SUV pacuan roda belakang Mazda sedia ada, termasuk enjin empat-silinder 2.4 liter dengan sistem hybrid plug-in, 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel dan juga 3.3 liter enam-silinder petrol.

Sekiranya Mazda 6 ini generasi baharu dengan spesifikasi sedemikian dilancarkan kelak, harganya sudah tentu jauh lebih mahal. Di Malaysia, Bermaz Motor masih menawarkan Mazda 6 generasi sedia ada yang diimport terus dari Jepun.

Menerusi kemaskini yang diperkenalkan minggu lalu, Mazda 6 kini ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan varian asas Mazda 6 2.0L dalam badan sedan yang dijual pada harga bermula RM180,359.00, varian pertengahan yang hanya hadir dalam versi wagon iaitu Mazda 6 2.5L Touring yang dijual pada harga RM230,848.00, serta varian tertinggi sedan dalam versi edisi istimewa iaitu Mazda 6 2.5L High Plus “20th Anniversay Edition” dijual pada harga RM240,848.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required