Selepas harga sebenarnya diumumkan ketika dilancarkan minggu lalu, tempahan untuk Proton S70 meningkat menepati ramalan yang dibuat oleh syarikat tersebut. Menurut Proton, dalam tempoh masa seminggu pertama, sebanyak 900 unit tempahan baharu diterima untuk sedan segmen-C tersebut atau tiga kali ganda lebih banyak berbanding minggu-minggu sebelumnya.
Tempahan untuk Proton S70 ini sudah dibuka seawal 1 November lalu, dan ketika dilancarkan pada 28 November tempahan yang diterima adalah sebanyak 1,200 unit. Secara keseluruhan Proton kini sudahpun menerima lebih dari 3,000 unit untuk model yang menggantikan Proton Preve tersebut.
Proton S70 ditawarkan dalam empat varian bermula dengan varian asas 1.5T Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM73,800, diikuti 1.5T Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800, dan varian paling tinggi Flagship X dijual pada harga RM94,800.
Sebelum ini Proton turut mensasarkan tempahan akan meningkat sehingga 5,000 unit menjelang akhir tahun ini dengan jangkaan 40% daripadanya dari varian Premium, 40% varian Flagship dan 40% varian Flagship X.
Dengan harga rasmi yang diumum lebih rendah dari jangkaan, Proton turut meramalkan ramai pelanggan yang telah menempah varian lebih rendah sebelum ini akan bertukar ke Flagship X kerana ia turut ditawarkan dengan kit badan percuma.
Proton S70 merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.
Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.
Untuk perincian lebih lengkap anda bolah baca laporan pelancaran Proton S70 ini pada PAUTAN INI. Kami turut sudah menguji sedan ini di litar ujian Proton tiga minggu sebelum pelancarannya, di mana ulasannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Proton S70 2024 Executive
Proton S70 2024 Premium
Proton S70 2024 Flagship X
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.