Setiap pengeluar automotif ada sentuhan signatur masing-masing. Untuk pengeluar automotif nasional, Proton, ia dikenali dengan talaan suspensi “Proton Ride & Handling” yang dipelajari ketika memiliki jenama kereta sport British iaitu Lotus satu ketika dahulu.
Ilmu berkenaan masih digunakan sehingga kini, walaupun Proton kini menghasilkan kereta berasaskan model-model Geely dari China. Begitu juga untuk sedan Proton S70 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi – dengan mengambil kira bahawa model yang dibangunkan oleh Proton ini menggunakan enjin yang lebih berkuasa dari model asasnya iaitu Geely Emgrand di China, talaan suspensinya sudah tentu perlu dibuat semula.
Bagi yang belum mengetahui, Proton S70 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Manakala Geely Emgrand hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS dan tork maksima 147 Nm, bersama kotak gear CVT automatik.
Berbanding Emgrand dipasaran lain yang diberikan suspensi yang lebih lembut untuk keselesaan maksimum, Proton memberikan talaan yang lebih sesuai untuk penggunaan di jalan raya Malaysia untuk S70, dengan menjadikannya lebih dinamik untuk kawalan yang lebih baik dan pemanduan lebih tangkas.
Namun talaan suspensi yang dibuat bukanlah ditumpukan pada prestasi pemanduan semata-mata. Ini kerana sekiranya ia diberikan penyerap hentak atau spring yang terlalu keras, ia bukan sahaja memberikan ketidakselesaan kepada penumpang, malah pemandu juga tidak dapat ‘menikmati’ pengendaliannya pada permukaan jalan raya yang tidak rata.
Oleh itu Proton turut menumpukan pada aspek keselesaan dan elegen pada talaan S70 ini supaya ia sesuai untuk kegunaan setiap hari tanpa masalah, selesa dan juga praktikal. Namun ia masih diseimbangkan dengan unsur prestasi di mana suspensi tersebut masih memberikan kestabilan yang cukup ketika sedan ini dipandu laju. Malah untuk lebih keseronokan memandu, S70 turut diberikan tiga mod talaan stereng iaitu Normal, Sport dan Comfort.
Bagi memuktamadkan talaan suspensi tersebut, Proton telah menggunakan masa bekerja selama 75,000 jam melibatkan ujian jalan raya sebenar di Malaysia sejauh 1.2 juta km. Proton S70 dibangunkan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Jadi ia turut menggunakan konfigurasi suspensi yang sama iaitu Topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang.
Kami sudah pun berpeluang untuk memandu Proton S70 ini dalam satu sesi ringkas yang dibuat dalam litar ujian Proton di Shah Alam dua minggu lalu. Bagaimana prestasi sedan segmen-C baharu Proton ini? Anda boleh baca ulasannya pada PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.