Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

Tahun lalu Mitsubishi Motors agak meriah dengan pendedahan sulung bagi peringkat global untuk dua model iaitu trak pikap Triton generasi ketiga dan juga SUV segmen-B Mitsubishi Xforce. Walau bagaimanapun, divisi tempatan bagi jenama Jepun tersebut iaitu Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) masih lagi sunyi, dan hanya menjual dua model iaitu Triton generasi kedua dan juga Xpander pre-facelift.

Namun ‘kemeriahan’ tersebut mungkin akan dibawa ke Malaysia pada tahun ini kerana produk-produk baharu berkenaan sememangnya dihasilkan untuk pasaran Asia Tenggara. Jadi apa model yang berkemungkinan akan di bawa ke pasaran tempatan oleh MMM untuk 2024? Ikuti kupasannya menerusi artikel ini.

Trak pikap Mitsubishi Triton generasi ketiga

Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

Triton generasi baharu ini membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada Julai tahun lalu. MMM sudahpun mengesahkan bahawa ia bakal masuk ke Malaysia pada separa pertama 2024 bagi menggantikan model sedia ada, namun tarikh sebenar pelancarannya masih belum di muktamadkan.

Ia menggunakan platform casis ladder frame yang langsung tidak sama dengan model generasi kedua – diasaskan dari platform Nissan Navara, tetapi menerima kejuruteraan semula hampir kesemua aspek oleh Mitsubishi bagi menghasilkan sebuah platform baharu sepenuhnya.

Oleh itu saiznya juga kini jauh lebih besar dengan dimensi 5,360 mm panjang (+55 mm), 1,930 mm lebar (+115 mm), 1,815 mm tinggi (+35 mm) bersama jarak roda sejauh 3,130 mm. Malah dengan kejuruteraan baharu ini juga membuatkan Mitsubishi yakin untuk menjual Triton kembali ke pasaran Jepun selepas ia dihentikan 12 tahun lalu.

Mitsubishi Xforce

Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

Mitsubishi Xforce merupakan SUV segmen-B penuh yang dihasilkan bagi menentang model-model seperti Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dalam pasaran ASEAN. Walaupun ia tidak menggantikan mana-mana model yang pernah dihasilkan oleh Mitsubishi sebelum ini, namun nampaknya tugas Xforce adalah untuk mengisi kekosongan yang telah lama ditinggalkan oleh Mitsubishi ASX.

Ia membuat kemunculan sulung global ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 Ogos lalu. Model ini dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi, meletakkan ia di tengah-tengah antara HR-V dan Corolla Cross.

Xforce diasaskan dari platform MPV Mitsubishi Xpander, jadi ia turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin NA 4A91 1.5L DOHC MIVEC menghasilkan kuasa 105 PS/141 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.

Ia turut menampilkan konfigurasi suspensi Topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang yang sama. Namun Mitsubishi menyatakan Xforce dihasilkan khas untuk pasaran ASEAN dan bersedia untuk mengharungi banjir serta bentuk muka bumi yang mencabar, jadi ia tampil dengan jarak kelegaan roda setinggi 222 mm, serta sistem Active Yaw Controller (AYC) yang pertama kali dipadankan pada model 2WD bagi mengagihkan kuasa pacuan setiap roda hadapan.

Buat masa sekarang Xforce hanya dipasang di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Walaupun peluang untuk melihat SUV ini dibawa ke Malaysia adalah besar, namun masih belum ada apa-apa perincian rasmi berkenaannya dari MMM.

Mitsubishi Xpander facelift

Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

Xpander facelift ini sebenarnya sudah lama dilancarkan di luar Malaysia – November 2021 pada pasaran Indonesia dan Mac 2022 di Thailand. Ia bukan sahaja melibatkan perubahan komestik, malah turut diberikan beberapa perubahan dari segi mekanikal.

Perubahan dari segi rupa membuatkan overhang pada bampar hadapan dan belakang meningkat masing-masing 75 mm dan 45 mm. Jarak kelegaan tanah pada Xpander facelift ini juga ditingkatkan sehingga 225 mm, dan Mitsubishi mendakwa bahawa ia adalah yang terbaik dalam kelasnya.

Ia masih dijana oleh enjin 4A91 1.5 liter NA yang menghasilkan 105 PS/141 Nm, namun dipertingkat dengan sistem EGR luaran bagi memberikan kadar penggunaan bahan api yang lebih efisien. Manakala kotak gear 4AT sebelumnya pula (masih lagi digunakan pada model pasaran Malaysia) digantikan dengan kotak gear CVT automatik. Setelah sekian lama ditawarkan di luar, mungkin 2024 kita dapat melihat model facelift ini dilancarkan di Malaysia?

Mitsubishi Outlander PHEV

Mitsubishi 2024 – Triton gen. ke-3, Xforce, Xpander facelift, Outlander PHEV akan ke Malaysia tahun ini?

Mitsubishi Outlander generasi baharu ini membuat penampilan sulung globalnya pada Februari 2021. Ia diasaskan dari platform CMF-C/D Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, iaitu platform yang sama mengasaskan Nissan X-Trail generasi keempat. Manakala untuk rekaan luaran dan dalaman, Outlander serba baharu ini merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi Engelberg Tourer yang didedahkan pada 2019.

Tiada sebarang berita dari MMM menyatakan model ini akan dibawa ke pasaran tempatan seperti model generasi sebelumnya atau tidak, namun pada Jun tahun lalu, Outlander baharu berkenaan dilihat berada di Malaysia dengan nombor plat tempatan, dalam versi PHEV (plug-in hybrid).

Outlander PHEV ini menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal.

Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.

Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Bukan sahaja lebih berkuasa, malah sistem ini turut membolehkan Outlander berkenaan bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 55 km sehingga 87 km dalam kitaran WLTP.

Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC).

Walau bagaimanapun sehingga sekarang mengapa unit Outlander PHEV berkenaan di bawa ke Malaysia masih tidak diketahui dengan jelas. Tetapi sekiranya ia benar-benar dilancarkan di Malaysia kelak, Outlander PHEV dengan teknologi hibrid yang canggih ini sudah tentu dijual dengan harga yang agak premium.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required