Sebelum ini Proton telahpun mengesahkan bahawa model elektrik sepenuhnya (EV) jenama berkenaan bakal diperkenalkan seawal 2025. Bagaimana dengan satu lagi pengeluar automotif tempatan, Perodua? Setakat ini masih ada petunjuk jelas dikeluarkan oleh jenama yang berpusat di Rawang itu, namun apa yang diumumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini nampaknya telah ‘membongkar’ rancangan EV Perodua tersebut.
Menurut Tengku Zafrul yang dibuat menerusi hantaran di laman X.com, Perodua telah pun dilantik sebagai peneraju pengeluaran EV mampu milik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Untuk itu, Perodua kini sudahpun bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa bagi menghasilkan prototaip EV mampu milik berkenaan, manakala model produksi sebenarnya akan mula dikilangkan bermula akhir 2025 nanti!
Jadi model apa yang bakal dihasilkan oleh Perodua sebagai EV mampu milik ini? Menerusi sedikit carian yang kami buat di laman LinkedIn, salah satu profil pembekal Perodua sudah menyenaraikan satu kod model baharu yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu dikenali sebagai ‘D010D’.
Model tersebut dijangka merupakan model generasi baharu bagi Perodua Myvi, dan angka ’01’ dalam kod berkenaan berkemungkinan bermaksud ia adalah model EV pertama dari Perodua.
Buat masa sekarang rakan kerjasama Perodua iaitu Daihatsu masih belum ada lagi sebarang model yang dijana unit rangkaian elektrik sepenuhnya. Jadi projek pembangunan EV mampu milik ini mungkin diterajui oleh Perodua kerana permintaan segera tersebut adalah untuk pasaran Malaysia.
Sebelum ini Astra Daihatsu Motor di Indonesia ada menghasilkan model konsep EV berasaskan model produksi sedia ada iaitu hatchback segmen-A Ayla EV dan van Vision-F (menggunakan asas Gran Max), namun ia jelas hanya kekal sebagai model konsep tanpa rancangan untuk di bawa ke barisan produksi.
Berdasarkan kemampuan Perodua untuk melancarkan satu model baharu setiap tahun, ia sudahpun mempunyai tiga model baharu untuk dilancarkan sehingga 2026 nanti. Tahun ini Perodua mungkin akan melancarkan model hibrid pertamanya menerusi SUV segmen-B penuh yang kini hanya dikenali dengan kod D66B, diikuti dengan model generasi baharu Bezza pada 2025, serta EV pertamanya pada 2026.
Mei tahun lalu Perodua telahpun menunjukkan model skala kecil bagi model konsep EV yang diberi nama Electric Motion Online (EMO), di mana versi skala penuh dijangka akan membuat kemunculan sulungnya pada KLIMS 2024 yang bakal berlangsung Disember nanti.
Menerusi spesifikasi yang disiarkan, model EMO Concept berkenaan menampilkan dimensi yang hampir sama seperti Perodua Myvi generasi ketiga. Model konsep itu dirancang untuk dilengkapi bateri berkapasiti 50 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 350 km dengan satu cas penuh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.