Berdasarkan data pendaftaran kenderaan baharu dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Perodua Myvi merupakan model segmen-B paling laris di Malaysia untuk tujuh-bulan pertama tahun ini. Dalam tempoh berkenaan sebanyak 41,466 unit telah terjual dalam pasaran tempatan, atau sekali ganda dari jumlah jualan yang dicatatkan pesaing terdekatnya iaitu Toyota Vios dan Yaris yang disatukan angka jualannnya.
Sebelum kita kupas lebih jauh, ada beberapa penafian terlebih dahulu yang perlu dibuat. Pertama angka pendaftaran ini adalah diambil dari data.gov.my, iaitu data awam yang boleh diakses oleh semua orang. Manakala yang kedua, data pendaftaran JPJ ini tidak mengasingkan angka jualan mengikut bentuk badan sedan atau hatchback, dalam kes ini merujuk kepada Honda City dan Mazda 2.
Oleh itu untuk lebih adil, kami turut menggabungkan data jualan untuk model sedan dan hatchback di bawah satu jenama yang diberikan nama berbeza, tetapi masih dalam kelas segmen-B; untuk kes ini adalah Toyota Vios dan Yaris serta Proton Persona dan Iriz.
Seperti yang disebut tadi, gandingan Vios dan Yaris berada di tempat kedua dengan jumlah jualan 20,961 unit. Ia diikuti oleh Honda City di tempat ketiga dengan 15,546 unit, Persona dan Iriz di tempat keempat dengan 14,960 unit, Nissan Almera pula hanya 1,256 unit, manakala Mazda pula hanya 32 unit terjual sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.
Kedudukan ini juga tidak berubah sekiranya kita hanya mengambil data jualan untuk bulan Julai 2024, di mana Myvi masih berada di tangga pertama dengan 6,778 unit terjual. Ia diikuti gandingan Vios dan Yaris dengan 3,436 unit, Honda City mencatatkan 2,731 unit, Persona dan Iriz pula dijual sebanyak 2,446 unit, Nissan Almera hanya laku sebanyak 221 unit, dan Mazda 2 hanya terjual sebanyak lima unit.
Penguasaan Myvi ini dijangka akan kekal hingga akhir tahun, seperti tahun-tahun sebelum ini, sementara Vios dan Yaris juga selesa di tempat kedua. Honda City yang berada di tempat ketiga pula mempunyai kelebihan tak sampai 1,000 unit berbanding Persona dan Iriz. Tapi mungkin City yang lebih baru dalam pasaran mempunyai momentum lebih besar untuk kekal berada di atas model-model yang agak berusia ditawarkan oleh Proton.
Anda pula rasa bagaimana? Adakah kedudukan ini akan kekal hingga penghujung Disember nanti? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.