Honda mengeluarkan notis panggilan balik untuk model CB350, CB350RS, H’ness CB350, CB300R dan CB300F atas beberapa sebab termasuk yang melibatkan bahagian enjin dan sensor.
Untuk model-model yang dinyatakan tadi, satu masalah yang dikongsi untuk kesemuanya adalah sensor kelajuan roda hadapan dan belakang. Setakat yang diberitahu, prosedur acuan komponen tersebut tidak dilakukan dengan betul dan boleh menyebabkan air masuk seterusnya merosakkan sensor tersebut.
Jika sensor ini tidak berfungsi dengan betul (atau rosak terus), ia boleh menyebabkan ralat kepada meter kelajuan, sistem kawalan cengkaman serta ABS. Lebih teruk lagi, sistem brek boleh menjadi tidak efektif.
Kemudiannya untuk CB300R, ia ditambah dengan penukaran penutup crankcase di bahagian kanan. Ini kerana bahagian itu dikesan bermasalah, boleh bocor dan mengeluarkan minyak. Dalam keadaan paling teruk, minyak yang memancut boleh kena ke bahagian panas dan menyebabkan kebakaran, atau terkena kepada tayar dan menyebabkan gelinciran.
Pergi pula kepada model 350 iaitu CB350, CB350RS dan H’ness CB350, masalah sensor roda yang dinyatakan tadi ditambah lagi dengan panggilan balik untuk penukaran camshaft yang dikatakan tidak mengikut proses pengeluaran yang sepatutnya dan boleh menjejaskan prestasi enjin.
Model CB350RS dan H’ness CB350 melibatkan jumlah bahagian bermasalah paling banyak dalam panggilan balik ini, dengan kesemuanya ada empat bahagian. Selain sensor roda dan camshaft, turut perlu ditukar adalah lampu belakang yang dikatakan boleh mudah masuk air kerana proses pembuatan yang tidak betul. Ini adalah untuk model keluaran Oktober 2020 hingga Januari 2023.
Satu lagi komponen adalah bank angle sensor. Sama juga seperti komponen lain di atas, proses pembuatannya dikesan bermasalah, boleh menyebabkan air masuk, seterusnya meningkatkan kebarangkalian sensor itu rosak dan motosikal tidak boleh bergerak. Panggilan balik komponen ini dibuat untuk model keluaran Oktober 2020 hingga Disember 2021.
Notis panggilan balik ini dibuat oleh Honda Big Wing India, dan kesemua model yang terlibat dikeluarkan sendiri oleh kilang di sana. Untuk dalam negara kita, setakat ini Boon Siew Honda belum mengeluarkan sebarang notis namun kita tahu, CB350RS yang dilancarkan Jun lalu juga datang dari negara itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.