Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

Sudah menjadi satu tradisi sejak model GC8 terakhir, setiap varian muka Subaru Impreza WRX STI atau WRX STI akan ‘ditutup’ dengan varian edisi terhad paling berkuasa siri ‘S’, bermula dengan Impreza WRX STI S201 pada tahun 2000. Model terakhir siri ini iaitu Subaru WRX STI S209 diperkenalkan pada 2019, dan agak mustahil untuk Subaru menawarkan versi siri S baharu kerana model generasi terkini WRX yang muncul pada 2022 tidak dihasilkan dalam versi STI.

Walau bagaimanapun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu, Subaru membuat kejutan dengan memperkenalkan model penerus siri tersebut iaitu S210. Ia masih lagi dalam bentuk prototaip, tetapi versi produksinya nanti akan tampil dalam rupa yang sama.

Dengan ketiadaan versi STI sebenar, Subaru Technica International menghasilkan model ini berasaskan model WRX S4 STI Sport R EX. Menurut badan penala rasmi tersebut, Subaru WRX S210 ini dihasilkan menerusi teknologi dan pengetahuan yang mereka perolehi dalam perlumbaan endurance Nurburgring 24-jam, dan ia hanya ditawarkan sebanyak 500 unit sahaja.

Enjin asal FA24 2.4 liter empat-silinder boxer turbo pada perut WRX S4 tersebut diusik semula oleh STI dengan pemadanan penapis udara, pengalir udara kemasukan dan pengalir udara sebelum pengecas turbo yang baru dibangunkan. Ia turut digandingkan dengan sistem ekzos baharu dengan peredam bunyi back pressure lebih rendah bersama paip yang lebih besar dengan kebuk berbentuk meriam didakwa dapat merendahkan rintangan pada udara kemasukan dan gas ekzos.

Dengan tetapan baharu ini, STI turut menala semula kotak komputer enjin berkenaan bagi mendapatkan respon tork yang lebih linear ketika memecut bagi memberikan pemandu yakin untuk memijak pedal pendikit dalam apa jua situasi, serta sasaran kuasa kuda lebih besar iaitu 300 hp berbanding kuasa asal 271 hp.

Namun model paling berkuasa ini tidak ditawarkan dengan kotak gear manual di mana ia hanya menampilkan pilihan kotak gear Subaru Performance Transmission, secara tidak langsung menjadikan S210 ini sebagai model siri S pertama yang menerima kotak gear CVT automatik itu.

STI turut menala semula kotak gear berkenaan dengan TCU unik bagi menyesuaikan ia dengan kuasa lebih tinggi serta memberikan karekter lebih sporty bagi memberikan kawalan lebih baik kepada pemandu, serta dibekalkan dengan penyejuk minyak transmisi bagi memastikan bendalir berkenaan sentiasa pada suhu optimum walaupun kereta berkenaan sedang dibelasah di dalam litar.

Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

Kuasa lebih besar ini turut disokong dengan larasan semula dibuat pada pengendaliannya. STI telah menala semula penyerap hentak kawalan elektronik yang dibina oleh ZF dan spring WRX ini serta memberikan set bush bar penstabil belakang yang baru dibangunkan. Ia juga dilengkapi rim aloi forged 19-inci STI Flexible Performance Wheels yang dihasilkan oleh BBS, dibalut dengan tayar prestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/35R19.

Selain itu ia turut menerima Tower Bar hadapan, rod Draw Stiffner hadapan dan belakang kesemuanya keluaran STI dengan logo S210. Manakala untuk brek, WRX S210 ini diberikan cakera brek berliang 18-inci di hadapan dengan angkup Brembo enam omboh kemasan merah bersama logo STI, dan juga cakera 17-inci di belakang.

Pada bahagian luaran, model istimewa ini sekali lagi menerima teknologi dari perlumbaan Nurburgring 24 Jam menerusi kit badan yang dibekalkan. Kit tersebut menampilkan spoiler bawah bampar hadapan, belakang serta skirt sisi, diffuser pada bambar belakang dan juga spoiler GT gentian karbon di belakang dengan rekaan ‘leher angsa’.

Komponen-komponen kit aero tersebut bersama gril hadapan dan juga pelindung badan sisi pada setiap ruang roda WRX ini diberikan kemasan hitam berkilat, sementara serlahan jalur Chery Red signatur STI diberikan pada kerangka bawah gril hadapan.

Untuk kabin pula, sedan prestasi tinggi ini diberikan roda stereng balutan kulit, butang penghidup enjin STI kemasan Chery Red, tempat duduk karbon Recaro balutan kulit Nappa dengan larasan elektrik lapan-hala, plat nombor siri istimewa 1 hingga 500, dan pelbagai lagi.

Subaru menyatakan bagaimana cara untuk mereka tentukan pelanggan yang layak bagi membeli WRX S210 STI ini akan diumumkan pada musim bunga tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required