Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

Proton hari ini mengumumkan bahawa kumpulannya (domestik, eksport, smart, Proton dan eMas) mencatatkan jualan sejumlah 13,918 unit kenderaan untuk bulan Mac 2025. Angka ini membolehkan kumpulan berkenaan mencatatkan kenaikan jualan sebanyak 23.9% berbanding Februari 2025, dan 9.6% lebih tinggi daripada bulan yang sama pada tahun 2024.

Dengan Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 71,596 unit bulan lalu, jualan yang dicatatkan tersebut juga membolehkan kumpulan Proton menjangkakan pegangan pasaran sebanyak 19.4%.

Prestasi ini membolehkan kumpulan Proton menutup suku pertama 2025 dengan jumlah jualan sebanyak 35,068 unit kenderaan, atau memperolehi bahagian pasaran sebanyak 18.9% berdasarkan jumlah volum industri (TIV) sebanyak
184,652 unit.

Antara faktor peningkatan ini sudah tentu disumbangkan oleh jenama EV Proton eMas yang masih belum wujud pada awal tahun lalu. Model pertama jenama tersebut iaitu eMas 7 terjual sebanyak 797 unit pada bulan lalu, menjadikan jualan keseluruhan untuk suku pertama tahun ini berjumlah 1,853 unit, membolehkan ia terus kekal memakai takhta EV paling laris di Malaysia untuk tiga bulan pertama tahun ini.

Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

Untuk jenama Proton, dua modelnya masih kekal sebagai model paling laris dalam segmennya. Yang pertama adalah sedan segmen-C Proton S70 terjual sebanyak 2,125 unit sepanjang Mac 2025, naik sebanyak 77.5% berbanding bulan sebelumnya dan jumlah jualan kumulatif bagi tiga bulan pertama tahun ini telah pun mencecah 4,465 unit.

Manakala yang kedua adalah SUV segmen-D Proton X90 yang berjaya dijual sebanyak 302 unit bulan lalu. Ini bermakna jumlah tersebut naik 73.6%, manakala jumlah jualan tahunan sehingga suku pertama tahun ini untuk X90 telah pun mencapai 679 unit.

Walaupun sudah tidak menjuarai carta segmen, SUV segmen-C Proton X50 masih lagi menjadi model SUV paling laris dari Proton dengan 1,858 unit terjual pada bulan Mac dan jumlah jualan keseluruhan suku pertama 2025 mencecah sebanyak 5,117 unit.

Bagi Proton X70 pula, jualannya dilihat meningkat sebanyak 11.9% berbanding Februari dengan 835 unit terjual pada bulan Mac. SUV segmen-C ini telah terjual sebanyak 2,158 unit untuk suku pertama 2025, naik 52% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Manakala model paling mampu milik dari Proton iaitu Saga masih menjadi model paling laris jenama itu dengan terjual sebanyak 6,154 unit pada Mac 2025 – meningkat sebanyak 22.5% dan melepasi paras 6,000 unit buat pertama kali untuk tahun ini.

Kembar sedan dan hatchback segmen-B Proton Persona dan Proton Iriz, turut mencatatkan jualan bulanan tertinggi pada bulan Mac dengan masing-masing terjual sebanyak 1,482 unit dan 337.

“Jualan bulanan Proton meningkat sebanyak 23.9% pada bulan Mac, mengatasi pertumbuhan TIV sebanyak 12%, sementara jumlah jualan juga meningkat sebanyak 9.6% berbanding bulan yang sama pada tahun 2024. Kami mengaitkan keputusan ini dengan promosi jualan agresif kami yang menawarkan nilai hebat kepada semua pembeli Proton, dan tahap perkhidmatan terbaik dalam kelasnya yang disampaikan oleh rangkaian pengedar 3S/4S di seluruh negara yang tiada tandingan,” kata Roslan Abdullah, CEO Proton Edar.

Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

“Menjelang suku kedua tahun 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baru yang akan menawarkan pelbagai tawaran menarik. Namun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang terbaik kepada pelanggan kami,” tambahnya.

Operasi eksport Proton juga terus berkembang pada suku pertama 2025, dengan jumlah eksport meningkat sebanyak 211% pada bulan Mac kepada 417 unit terjual berbanding Februari. Ini membolehkan jumlah jualan eksport kini 11.4% lebih tinggi berbanding suku pertama 2024, dengan Proton Saga menerajui penghantaran 410 unit ke pasaran luar negara pada tahun ini.

Menurut Proton lagi, pengenalan jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton eMas juga bukan hanya membantu peningkatan jualan domestik, malah ia juga menambah jumlah eksport di mana eMas 7 telah dihantar ke Nepal dan Trinidad & Tobago yang menjadi penyumbang ketara kepada jualan eksport.

“Eksport merupakan tonggak penting bagi strategi pertumbuhan Proton. Walaupun perjalanan untuk mencapai sasaran jangka panjang kita masih jauh, kita yakin pelaburan luar negara kita mula menunjukkan hasi yang positif dan penawaran model semasa serta masa depan, kita akan menarik minat pembeli di dalam dan luar negara,” tambah Roslan Abdullah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required