Honda mengumumkan bahawa ia akan mula memproduksi semula komponen alat-alat ganti untuk beberapa modelnya yang telah lama dihentikan. Program ini bukan hanya untuk pelanggannya di Jepun, tetapi ia akan dibuat secara global bermula musim bunga 2026.
Menurut Honda program ini dibuat khas untuk pelanggan yang mahu memandu kereta-kereta Honda mereka dalam tempoh lebih lama, dan program ini dapat memastikan pelanggan-pelanggan berkenaan memastikan kereta masing-masing berada dalam keadaan yang baik dalam tempoh yang lama.
“Sehingga sekarang, Honda telah terus membekalkan komponen pembaikan dengan komponen asli untuk kenderaan selepas produksinya ditamatkan dalam tempoh tertentu. Namun, ia menjadi semakin sukar untuk membekalkan semua komponen asli bagi kereta lama.
“Dengan kerjasama dari pelbagai rakan perniagaan, kami telah mempertimbangkan untuk memproduksi komponen alternatif untuk komponen yang tidak lagi dihasilkan dan dibekalkan. Sebagai tambahan, ada juga evolusi teknologi seperti pembuatan semula dan cetakan 3D, dan kemungkinan untuk kaedah pembuatan serta perolehan baharu untuk terus membekalkan komponen kini turut sedang berkembang.
“Berdasarkan inisiatif-inisiatif dan latar belakang ini, Honda telah mengambil keputusan untuk menerima guna komponen yang memenuhi standard kualiti dalam aspek fungsi dan prestasi sebagai “komponen serasi yang tulen” dan akan membekalkannya secara global,” kata Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Honda turut menyatakan bahawa program ini akan dimulakan dengan penghasilan semula alat-alat ganti untuk NSX generasi pertama, dan kemudian akan dikembangkan kepada model-model sports yang lain.
Dengan bermulanya program ini juga, Honda akan menghentikan program “NSX Refresh Plan” yang dijalankan untuk pemilik-pemilik NSX untuk memastikan kereta mereka sentiasa dalam keadaan segar ditawarkan sejak 1993, dan ia akan digantikan dengan program restorasi baharu yang akan menggunakan alat-alat ganti asli bagi melayan lebih banyak permintaan pelanggan.
Untuk yang berminat dengan program ini, Honda menyatakan bahawa lebih maklumat dan perincian berkenaan servis baharu dan pembekalan komponen ini akan diumumkan pada musim luruh tahun ini.
Program penghasilan semula komponen kenderaan untuk model-model lagenda ini turut telah dimulakan oleh jenama-jenama Jepun yang lain. Nissan menerusi program Nismo Heritage Parts telah pun menghasilkan semula pelbagai alat ganti untuk model Skyline GT-R R32, R33 dan R34 termasuk menawarkan enjin baharu RB26DETT. Begitu juga dengan Toyota dengan program GR Heritage Parts menawarkan semula alat-alat ganti asli untuk model-model ikonik seperti Corolla AE86, Supra A70 dan A80, 2000 GT dan Land Cruiser BJ40.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.