Ini mungkin yang berita yang ditunggu-tunggu oleh ramai pemilik generasi terakhir Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno pacuan belakang iaitu AE86 di seluruh dunia – program penghasilan semula komponen alat ganti yang dijalankan oleh sayap perlumbaan Toyota, Gazoo Racing Heritage Parts kini secara rasmi akan menjual komponen repro untuk kereta sports ikonik tersebut!

Menurut TGR, program Heritage Parts bagi AE86 berkenaan akan bermula pada hari ini, 1 November 2021, dan ia terbuka bukan sahaja untuk pelanggan di Jepun, malah untuk seluruh dunia. Buat permulaan, dua komponen akan mula dijual terlebih dahulu iaitu angkup brek belakang dan juga lengan knuckle hadapan untuk sistem stereng. Ia akan diikuti dengan syaf pacu belakang pada 1 Disember nanti.

Toyota Gazoo Racing menjalankan program GR Heritage Parts ini adalah untuk menyokong pemilik-pemilik model lagenda dan ikonik mereka bagi memastikan kereta-kereta yang penuh dengan memori berkenaan terus boleh bergerak di atas jalan raya untuk tempoh masa lebih lama.

Walau bagaimanapun, komponen-komponen yang dihasilkan semula ini hanya akan dihasilkan dalam tempoh masa terhad, dengan kerjasama istimewa pembekal-pembekal komponen mereka. Selepas produksi istimewa ini tamat, komponen-komponen tersebut hanya akan dijual sehingga kehabisan stok.

Perincian berkenaan nombor komponen dan juga tempoh produksi semula akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Toyota Gazoo Racing yang boleh anda lihat pada PAUTAN INI.

Adik-beradik ‘Kilat dan Guruh’ Corolla Levin dan Sprinter Trueno ini bukanlah kereta sport yang benar-benar berkuasa. Ia hanya dijana oleh enjin 4A-GE 1.6 liter DOHC 16 injap menghasilkan 130 PS dan tork maksima 149 Nm, digandingkan dengan kotak gear T50 lima kelajuan manual, memacu roda belakang.

Namun resipi ini menghasilkan sebuah kereta sports ringan yang sangat seronok dipandu, dan sangat popular digunakan di litar, rali mahupun disiplin drift, serta mampu mencabar kereta-kereta sports yang jauh lebih berkuasa. Dengan pengaruh kuat dari ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya dan juga siri manga dan anime Initial D, AE86 telah mencetuskan fenomena global dan harganya kini sedang ‘meroket’ naik.

Kereta sports kecil ini juga yang mencetuskan idea Ketua jurutera pembangunan Toyota, Tetsuya Tada untuk menghasilkan semula model kelahiran semula yang digelar sebagai Toyota 86 pada 2012, diikuti Toyota GR86 yang baru dilancarkan tahun ini.

Selain dari AE86, program GR Heritage Parts ini juga telah menghasilkan semula komponen alat ganti bagi model-model lagenda dan ikonik Toyota yang lain termasuk Supra A70 dan A80, 2000GT dan juga jentera off-road Land Cruiser BJ40.