Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

Selepas menghasilkan semula berberapa alat ganti untuk Toyota Supra A70 (generasi ketiga) dan Supra A80 (generasi keempat), program GR Heritage Parts yang diterajui oleh sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Toyota Gazoo Racing (TGR) kini mengumumkan mereka turut akan menghasilkan semula komponen untuk Toyota 2000GT pula.

Toyota 2000GT merupakan kereta sport flagship jenama automotif Jepun tersebut yang muncul pada tahun 1967, dibangunkan dengan kerjasama Yamaha Motor Co., Ltd. Ia menampilkan pelbagai teknologi terkini pada era berkenaan, menggemparkan dunia automotif seterusnya mengangkat kebolehan jurutera-jurutera negara tersebut seiring dengan negara-negara lain yang lebih maju.

Kereta sport dua tempat tersebut menampilkan suspensi jenis double wishbone untuk kesemua roda, dan dijana oleh enjin 2.0 liter enam-silinder DOHC menghasilkan 148 hp, memacu roda belakang menerusi kotak gear manual lima-kelajuan. Ia juga tampil dengan ciri terkini lain seperti sistem brek cakera untuk kesemua roda, rim dari material magnesium dibalut dengan tayar radial.

Reka bentuk kereta ini juga menampilkan elemen yang begitu aerodinamik bersama lampu hadapan yang boleh disorokkan. Gandingan semua ini membolehkan Toyota 2000GT mencapai kelajuan maksima 220 km/j, setanding dengan kereta-kereta sport buatan Eropah zaman tersebut

Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

Sebelum ia dilancarkan secara rasmi dalam pasaran, 2000GT terlebih dahulu telah mencatatkan rekod dunia dengan mengelilingi litar ujian Yatabe selama 72-jam dengan jarak 15,000 km, serta 13 rekod antarabangsa yang lain. Ia juga turut pernah dijelmakan sebagai kereta untuk watak James Bond dalam filem You Only Live Twice.

Ada yang berpendapat, walaupun dengan rupa seperti sebuah jentera sport GT dengan enjin di hadapan, 2000GT adalah supercar pertama dari Jepun sebelum wujudnya Honda NSX. Ia juga hanya diproduksi sehingga tahun 1970 dengan jumlah hanya 337 unit.

Buat permulaan dalam program Heritage Parts ini, berberapa komponen gantian untuk sistem transmisi akan dihasilkan semula untuk dijual kepada pemilik 2000GT sedia ada bagi memudahkan kerja-kerja restorasi mereka. Antara alat ganti berkenaan termasuk set gear, hab synchro, gasket bersama kit pengedap minyak, kit bearing, sesendal, shift fork dan pelbagai lagi.

Komponen-komponen unit differential belakang juga turut ditawarkan antaranya kit gear akhir dan juga set bol untuk gear gegelang. Usaha bagi menghasilkan semula alat-alat ganti ini sedang dijalankan oleh kilang-kilang Toyota menerusi divisi-divisi tertentu bersama pembekal-pembekal mereka.

Toyota hasilkan semula alat ganti untuk 2000GT – bantu pemilik-pemilik restorasi semula kereta mereka

Ia bakal dijual bermula 1 Ogos 2020, dan segala butiran penjualan akan dipaparkan di laman rasmi Toyota Gazoo Racing. Namun komponen-komponen ini hanya akan dijual kepada pemilik-pemilik tulen 2000GT sahaja, dalam jumlah yang terhad. Menurut Toyota, langkah ini diambil untuk mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab yang membeli barang tersebut untuk dijual semula.

Inisiatif ini diambil oleh TGR bagi memudahkan pemilik-pemilik kereta sport flagship Toyota berkenaan agar ia boleh terus kekal berada di atas jalan raya. Di Jepun, kereta-kereta lama perlu untuk lulus ujian yang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan ia selamat bagi digunakan di atas jalan raya, dan ia menjadi antara sebab mengapa pengeluar-pengeluar hadir dengan program-program sebegini.

Pada 2017, Mazda telah membuat pengumuman program restorasi kilang bagi model roadster Miata MX-5 generasi pertama, dan unit pertama untuk program tersebut telah siap pada September 2018.

Manakala Nissan menerusi sayap perlumbaannya, Nismo, mengumumkan program Nismo Heritage Parts pada November 2017 bagi menghasilkan semula alat-alat ganti untuk ‘Godzilla’ Nissan Skyline GT-R R32. Kemudian pada November 2018, program ini dikembangkan lagi untuk Skyline GT-R R33 dan R34, dan paling mengejutkan pada Mac tahun 2019 ia turut memproduksi semula enjin ‘kosong’ RB26DETT yang menjana ketiga-tiga Skyline GT-R berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required