Suzuki Fronx yang dilancarkan di Indonesia bulan lalu kini dipamerkan secara rasmi di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025. SUV kompak ini diletakkan dalam segmen yang sama dengan model seperti Honda WR-V, Daihatsu Rocky (turut dikenali di Malaysia sebagai Perodua Ativa dan Toyota Raize) serta Nissan Magnite.
Pertama kali diperkenalkan di India pada tahun 2023, model ini turut dipasarkan di beberapa negara lain termasuk Jepun, Afrika Selatan dan pasaran GCC (Majlis Kerjasama Teluk). Fronx juga berkongsi platform dengan Toyota Urban Cruiser Taisor. Ia merupakan SUV bawah empat meter yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Dimensi kompak ini membolehkan membelok dengan radius minimum hanya 4.8 meter — sesuai untuk kegunaan bandar.
Di Indonesia, Suzuki Fronx ditawarkan dalam tiga varian iaitu GL, GX dan SGX, dengan harga antara 259 juta hingga 321.9 juta rupiah (sekitar RM67,000 hingga RM84,000). Dua pilihan rangkaian kuasa disediakan, termasuk versi hibrid ringkas (mild hybrid) yang ditawarkan untuk varian GX dan SGX.
Untuk varian hibrid ringkas, Fronx menggunakan enjin petrol empat silinder sebaris K15C 1.5 liter NA yang menghasilkan 101 PS dan 135 Nm. Sistem hibridnya terdiri daripada bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG) yang menyediakan bantuan tork serta fungsi start-stop automatik.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui pilihan transmisi manual lima kelajuan (khusus untuk GX) atau automatik enam kelajuan (untuk GX dan SGX). Bagi varian asas GL, ia hadir dengan enjin K15B tanpa sistem hibrid, tetapi menawarkan kuasa sedikit lebih tinggi iaitu 105 PS dan 138 Nm. Pilihan transmisi untuk GL termasuk manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan.
Semua varian dilengkapi tangki bahan api 37 liter, tayar bersaiz 195/60, suspensi hadapan jenis MacPherson dan torsion beam di belakang, brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.
Dari segi kelengkapan, varian GL datang dengan rim aloi 16 inci, lampu utama LED jenis reflektor, lampu posisi LED, lampu belakang jenis mentol, stereng pelbagai fungsi berbalut urethane, tempat duduk fabrik, pendingin hawa manual dengan corong belakang, unit audio dengan skrin tujuh inci, empat pembesar suara, enam beg udara, pengesan jarak belakang, sistem kestabilan elektronik (ESP), kamera undur dan bantuan mula mendaki.
Varian GX ditambah dengan kemasan stereng balutan kulit, skrin pelbagai info 4.2 inci, skrin infotainmen sembilan inci, cruise control, pendingin hawa automatik, penukar gear di stereng (untuk transmisi 6AT sahaja) dan tambahan dua tweeter menjadikan jumlah pembesar suara kepada enam.
SGX sebagai varian tertinggi menawarkan lebih nilai tambah dengan spoiler bawah di depan dan belakang, visor pintu serta pilihan warna luaran dua tona. Ia juga hadir dengan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik dan pengecas telefon tanpa wayar.
Dari aspek keselamatan, sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) disediakan secara eksklusif untuk SGX. Ini termasuk Adaptive Cruise Control, kamera 360 darjah, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran pemanduan tidak stabil, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, head-up display dan sistem brek kecemasan Suzuki (Dual Sensor Brake Support II).
Suzuki Fronx dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Suzuki di Cikarang, Indonesia, yang turut mengeluarkan model Ertiga dan XL7. Warna yang ditawarkan untuk varian GL ialah Cool Black, Pearl Snow White dan Metallic Magma Grey. Bagi GX, warna tambahan Savanna Ivory turut tersedia. Untuk SGX, satu warna biasa iaitu Cool Black ditawarkan, manakala pilihan dua tona termasuk Ice Grayish Blue, Pearl Snow White dan Savanna Ivory yang digabungkan dengan bumbung hitam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.