Daihatsu Rocky 2022 pasaran Indonesia terima kemaskini ringkas; bermula RM62k hingga RM82k

Daihatsu Rocky 2022 pasaran Indonesia terima kemaskini ringkas; bermula RM62k hingga RM82k

Baru sahaja dilancarkan pada April tahun lalu, kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky kini diberikan penyegaran kecil bagi model 2022. Model kemaskini berkenaan membuat kemunculannya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang berlangsung minggu lalu.

Secara asasnya, rupa Rocky 2022 pasaran Indonesia ini masih lagi sama seperti sebelum ini – hampir sama dengan Rocky untuk pasaran domestik Jepun. Tetapi dengan sedikit perubahan dibuat pada kemasan tertentu, ia memberikan rupa baharu untuk SUV segmen-B tersebut. Jika sebelum ini gril hadapan Rocky ini diberikan kemasan berwarna perak pada kedua-dua sisi dan jalur merah di atas, model 2023 ini menampilkan gril dengan kemasan hitam keseluruhan (kecuali logo Daihatsu).

Kemasan hitam turut diberikan pada cermin sisi, manakala kemasan skid plate bawah bampar hadapan dan juga kemasan pelindung badan pada skirt sisi diberikan warna gunmetal. Walau bagaimanapun kemasan-kemasan gelap yang lebih sporty ini hanya ditawarkan untuk pelanggan yang memilih pakej ADS.

Daihatsu Rocky 2022 pasaran Indonesia terima kemaskini ringkas; bermula RM62k hingga RM82k

Pada pasaran Indonesia, Rocky ditawarkan dalam dua jenis enjin; unit 1.0 liter tiga silinder turbo berkuasa 98 PS dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm sama seperti Ativa di Malaysia, dan juga unit WA-VE 1.2 liter NA berkuasa 88 PS pada 6,000 rpm dan tork 113 Nm pada 4,500 rpm.

Bagi model dengan enjin NA tetapi dengan gred kemasan lebih tinggi iaitu 1.2X, ia menerima rim 16-inci berwarna hitam serta ditawarkan dengan dua warna badan istimewa yang sebelum ini hanya diberikan pada model turbo iaitu Shining Pearl White dan Red Compagno.

Untuk perincian lain, penawaran untuk Rocky pasaran Indonesia ini nampaknya masih tidak berubah. Sistem bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) hanya ditawarkan untuk varian paling mahal iaitu 1.0 R TC CVT. Ini agak berbeza dengan Ativa di Malaysia kerana Perodua memberikan sistem berkenaan kepada semua varian termasuk varian paling asas X.

Juga, Rocky varian paling tinggi ini juga tidak dilengkapi dengan sistem cruise control asas, berbanding Ativa varian tertinggi iaitu AV diberikan sistem cruise control adaptif yang didatangkan sekali fungsi Kawalan Kekal Lorong bagi melengkapkan sistem pemanduan autonomi Tahap 2. Sistem lain termasuk pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang seperti pada Ativa AV juga tidak diberikan pada Rocky pasaran Indonesia ini.

Dalam kabin, Daihatsu Rocky di Indonesia ini diberikan panel kawalan pendingin hawa yang berbeza dari Rocky JDM dan Ativa. Panel tersebut tidak menampilkan fungsi memori seperti Ativa tetapi menerima fungsi ‘Max Cool’ dengan satu sentuhan butang.

Manakala untuk skrin infotainmen, Rocky dari ADM ini sudahpun sedia datang dengan sistem Android Auto dan Apple CarPlay, sementara Perodua hanya baru dapat menyediakan sistem yang sama pada Alza 2022, sementara Ativa masih perlu menggunakan Smart Link screen mirroring untuk menggunakan sistem dari telefon pintar pada skrin berkenaan.

Di Indonesia, Daihatsu Rocky dijual pada harga bermula Rp 205.2 juta (RM61,825) untuk varian paling asas 1.2L NA dengan kotak gear manual lima kelajuan hingga Rp 273.6 juta (RM82,433) untuk model 1.0 R TC CVT. Apa yang menarik, Rocky di Indonesia ini turut ditawarkan dalam versi turbo dengan kotak gear manual.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required