Toyota akan produksi semula blok & kepala silinder enjin 4A-GE untuk AE86, boleh tempah bulan ini

Toyota akan produksi semula blok & kepala silinder enjin 4A-GE untuk AE86, boleh tempah bulan ini

Sayap perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) mengumumkan bahawa ia akan memproduksi semula beberapa komponen utama bagi enjin 1.6 liter empat-silinder 4A-GE menerusi program GR Heritage Parts. Secara spesifiknya komponen tersebut adalah blok dan juga kepala silinder enjin, dan ia adalah bagi 4A-GE versi 16-injap untuk kembar Toyota AE86 iaitu Corolla Levin dan juga Sprinter Trueno.

Kedua-dua komponen ini akan dipamerkan di acara sambutan ulangtahun manga/anime Initial D yang ke-30 iaitu “Initial D 30th Anniversary 2 days” berlangsung di Litar Fuji Speedway pada 13 hingga 14 September ini, di mana TGR turut akan mula mengambil pra-tempahannya pada hari tersebut.

Komponen-komponen berkenaan bukan sekadar diproduksi semula, malah ia telah diberikan penambahbaikkan seiring dengan teknologi yang ada sekarang seperti teknologi simulasi, kaedah pengilangan dan juga material yang digunakan.

Untuk kepala silinder yang akan diproduksi semula tersebut, ia akan menampilkan kebuk pembakaran dengan tambahan proses pemesinan bagi mengurangkan kawasan permukaan yang tidak disentuh sebelum ini. Proses tersebut dapat mengurangkan perbezaan variasi nisbah mampatan yang tidak sama pada sesebuah enjin dengan enjin yang lain.

Port kemasukan campuran udara-bahan api juga kini dibawa untuk proses salutan bagi mengurangkan kecacatan permukaan yang telah dibuat proses pra-gilap. Cemat penutup aci sesondol yang sebelum ini hanya digunakan sebahagian sahaja kini telah ditambah bagi kebolehkerjaan pemasangan yang lebih baik.

Dengan mengambil maklum balas dari pelanggan juga, beberapa bahagian pada port kemasukan serta port ekzos kepala silinder tersebut diberikan dinding yang lebih tebal.

Manakala untuk blok enjin pula, ia kini menampilkan bahagian bore silinder yang diberikan proses honing moden, memberikan menghasilkan bore dengan pemesinan yang lebih jitu. Blok ini juga lebih tahan menerusi penggunaan material besi tuang yang lebih tegar serta struktur crank-cap yang telah diubahsuai berasaskan simulasi.

Blok silinder ini juga kini datang sekali dengan bahagian yang membolehkan ia disesuaikan dengan cagak versi pacuan hadapan – jadi blok baru enjin 4A-GE berkenaan bukan hanya boleh dipadankan pada AE86, malah untuk model-model seperti Corolla AE82, Corolla AE92 dan sebagainya.

Program GR Heritage Parts ini mula diperkenalkan pada 2019, iaitu program penghasilan semula alat-alat ganti bagi model-model legenda Toyota seperti Supra A70 dan A80, 2000 GT, Levin dan Trueno AE86, serta barisan SUV off-road Land Cruiser dari siri J40, J60, J70 dan J80. Menurut Toyota, sehingga kini terdapat lebih dari 200 jenis komponen alat ganti telah diproduksi semula menerusi program ini.

Bagi AE86, GR Heritage mula menghasilkan semula model sport pacuan belakang ini bermula hujung 2021, dan sehingga kini ia telah menawarkan komponen-komponen alat ganti bahagian casis dan stereng, transmisi, lampu-lampu luaran, pendawaian enjin dan pelbagai lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required