
Setelah beberapa siri tontonan khas bagi GWM Ora 5 Hi2 HEV berlangsung, akhirnya ia dilancarkan secara rasminya di pasaran Malaysia lewat petang ini. Ora 5 Hi2 HEV ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan dengan satu varian sahaja pada harga atas jalan RM106,800 tanpa insurans. Malah GWM turut menawarkan rebat sebanyak RM5,000 untuk 1,000 pembeli pertama.
Untuk pengetahuan anda, Ora 5 versi hibrid ini merupakan sebuah SUV crossover yang dikuasakan oleh sistem hibrid Hi2 GWM – ‘H’ untuk hibrid, ‘i’ untuk pintar dan ‘2’ mencerminkan dua manfaat iaitu kecekapan dan prestasi. Label ‘2’ juga boleh merujuk kepada pacuan dua roda yang melengkapinya (kerana GWM menggelar sistem hibrid pacuan empat rodanya sebagai Hi4) — menjadikan Ora 5 HEV sebagai kereta pacuan roda hadapan.
Ia diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kausa hingga 150 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan tork 340 Nm dari 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi hibrid khusus dua-kelajuan (DHT) bersama motor elektrik bersepadu berkuasa 190 PS dan 236 Nm, serta bateri bervoltan tinggi berkapasiti 1.09 kWh.

Gabungan output tersebut memberikan kuasa kepada Ora 5 HEV mencecah 223 PS dan tork 476 Nm. Membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksima mencecah 180 km/j.
Bagi penggunaan bahan apinya pula, ia didakwa sekitar 4.4 liter bagi setiap 100 km, atau sekitar 22.7 km bagi setiap liter bahan api. Jarak perjalanan dengan satu tangki bahan api penuh pula didakwa mampu mencapai 1,100 km. Sebelum ini, GWM Malaysia pernah menyatakan bahawa Ora 5 HEV mampu melakukan perjalanan sejauh itu dari Sarawak ke Sabah dengan hanya menggunakan satu tangki bahan api berkapasiti 55 liter.
Bentangan suspensi bagi Ora 5 HEV adalah sama dengan versi EV iaitu topang MacPherson di hadapan dan larasan multi-link di belakang, bersama stereng kuasa elektrik. Sistem breknya pula menggunakan cakera ventilasi di hadapan dan cakera solid di belakang.

Untuk dimensinya pula, Ora 5 HEV ini berukuran 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm. Jarak kelegaan tanah (ground clearance) bagi crossover lima-tempat duduk ini pula mencecah 175 mm.
Bagi kelengkapan luarannya, Ora 5 HEV dilengkapi dengan lampu utama LED automatik berbentuk titisan air, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi clover-inspired 18-inci yang dibaluti tayar bersaiz 225/60, spoiler belakang dengan lampu brek yang dipasang tinggi, pintu tailgate manual, bilah pengelap cermin hadapan dengan fungsi penderia hujan, cermin sisi larasan kuasa dan rel bumbung.
Menjengah bahagian kabinnya pula, ia banyak menerima sentuhan dari Good Cat, bagi aspek elemen penggayaan dan juga material. Kemasan rose gold dan pencahayaan ambien menyerlahkan lagi penampilannya. Manakala susunan suis jenis toggle ala-Mini pada konsol tengah merupakan satu sentuhan yang menarik. Walau bagaimana pun susunan suis berkenaan mempunyai kawalan untuk penghawa dingin serta butang blower, tetapi pelarasan suhu dan kelajuan kipas masih perlu dilakukan secara digital melalui skrin.

Ora 5 HEV menerima skrin paparan instrumen 10.25-inci dan skrin sesentuh infotainment 15.6-inci dengan paparan antara muka Coffee OS 3.0, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, Bluetooth, navigasi dalam talian pintar, pencahayaan ambien Dynamic, arahan suara, telematik, fungsi kawalan kenderaan menerusi aplikasi dalam telefon pintar, kemaskini OTA, brek parkir elektronik (EPB) dengan penahan auto dan sistem audio dengan sembilan-pembesar suara.
Ia juga diberikan bumbung suria panoramik dengan tirai elektrik, ruang storan berkapasiti 3.2 liter dengan fungsi penghawa dingin dan GWM mendakwa Ora 5 HEV ini turut menawarkan ruang yang selesa untuk haiwan peliharaan. Selain itu, ia juga diberikan tempat duduk balutan kulit dengan bahagian pemandu bersama larasan kuasa enam-hala dengan fungsi liang pengudaraan dan tiga tetapan memori, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala juga dengan fungsi pengudaraan.
Untuk ketersambungan perkakasan, ia juga diberikan pengecas peranti tanpa wayar 50-watt, 1 soket USB-A dan USB-C pada barisan hadapan dan soket USB-C pada tempat duduk penumpang belakang.
Bagi sistem bantuan pemanduan dan keselamatan, ia dilengkapi ADAS Tahap 2, sama seperti yang ada pada versi EV, merangkumi kawalan keluncuran adaptif dengan bantuan selekoh pintar, amaran pelanggaran hadapan, AEB, pengesan isyarat trafik, amaran had kelajuan, bantuan pemusatan lorong, bantuan kekal lorong dan amaran ketibaan lorong. Ia juga diberikan bantuan menukar lorong, pengesan titik buta, amaran membuka pintu, kekal lorong kecemasan, kepekaan trafik belakang, brek trafik belakang, kepekaan trafik hadapan dan brek trafik hadapan.
Ia turut diberikan enam beg udara, kamera sekeliling 360° dengan Transparent Chassis, ABS, EBD, sistem kawalan cengkaman (TSC), kawalan kestabilan elektronik (ESC), Roll Movement Intervention (RMI), Amaran Membuka Pintu, empat sensor parkir belakang dan Millimetre-wave Radar.
Ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Emerald Green, Cliff White, Mountain Grey dan Sun Black. Bagi setiap pembeliaannya, Ora 5 HEV ini diberikan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan, waranti enam-tahun tanpa had perbatuan untuk enjin dan transmisi, waranti lapan-tahun atau 180,000 km bagi bateri voltan tinggi, motor pacuan elektrik, dan unit kawalan motor elektrik, serta servis percuma selama lima-tahun termasuk alat ganti dan kos buruh. Selain itu, ia turut disertakan dengan perkhidmatan telematik kenderaan percuma selama lima-tahun.
GALERI: GWM Ora 5 Hi2 HEV di Malaysia yang dipertontonkan pada Ogos lalu