PANDU UJI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 lebih mantap dengan sistem suspensi talaan khas

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada Mac 2021, boleh dikatakan Toyota Corolla Cross kian popular di kalangan penggemar SUV di sini. Ia banyak kelihatan di sana sini, menandakan kehadirannya makin diterima di Malaysia. Untuk pasaran tempatan, versi enjin petrol terlebih dahulu diperkenalkan, disusuli dengan varian hibrid (HEV) yang dilancarkan hampir setahun selepas itu.

Bagi versi petrol, Corolla Cross bersaing dengan lebih banyak model termasuk Honda HR-V, Mazda CX-30, Proton X70 dan Subaru Crosstrek. Manakala bagi versi HEV, ia bersaing rapat dengan Honda HR-V e:HEV RS dan Haval H6 HEV. Dan kini, untuk versi HEV, ia turut diberikan varian 1.8 HEV GR Sport 2026 yang diperkenalkan pada Februari tahun ini dan ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM148,800. Di mana harga ini RM8,000 lebih mahal berbanding Corolla HEV standard.

Baru-baru ini, kami tidak melepaskan peluang untuk memandu uji Corolla Cross HEV GR Sport 2026 bagi memberikan serba sedikit gambaran mengenai prestasi dan pengendalian SUV hibrid ini, khas untuk anda yang memasang impian untuk memilikinya suatu hari nanti.

PANDU UJI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 lebih mantap dengan sistem suspensi talaan khas

Berbanding varian hibrid standard, versi GR Sport ini menerima talaan suspensi khas (GR Sport Tuned Suspension), dan ia bukan sekadar perubahan kosmetik. Walau pun masih mengggunakan suspensi yang sama iaitu MacPherson Strut di hadapan dan Torsion Beam di belakang namun dengan talaan yang lebih mantap. Ia juga diberikan spring dan penyerap hentak yang ditala semula supaya lebih keras sedikit untuk mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh.

Masa melayan SUV ini di Lebuhraya Utara-Selatan menuju utara, banyak juga melayan selekoh terutamanya selepas Ipoh. Boleh dikatakan syok juga melayan selekoh sebab talaan khas yang diberikan ini boleh dikatakan mampu menambah ‘perasa’ untuk pengendaliannya. Pengendalian SUV ini juga dirasai lebih stabil dan meyakinkan di selekoh. Tetapi disebabkan suspensi HEV GR Sport ini lebih keras berbanding varian HEV standard, jika melalui jalan yang berbonggol atau permukaan yang tidak rasa, kesan ‘hentakan’ agak mudah dirasai oleh penumpang tempat duduk belakang.

Selain itu, versi GR Sport ini juga diberikan penambahan performance bracing untuk meningkatkan kekakuan casis atau chassis stiffness, sekali gus menjadikan pengendalian lebih mantap. Tidak cukup dengan itu, Electric Power Steering (EPS) dengan Sport ECU yang memberikan tindak balas stereng lebih responsif dan kawalan stereng yang lebih tepat.

Bagaimana pula dengan penjana kuasanya? Untuk pengetahuan anda, tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa Corolla Cross HEV kali ini di mana ia masih mengekalkan enjin hibrid 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson Dual VVT-i NA empat-silinder berkuasa 97 hp (98 PS) pada 5,200 rom dan tork maksima 142 Nm pada 3,600 rpm.

PANDU UJI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 lebih mantap dengan sistem suspensi talaan khas

Ia turut digandingkan dengan dua motor elektrik di mana motor utamanya berkuasa 71 hp (72 PS) dan 163 Nm, sekaligus menghasilkan kuasa keseluruhan cecah 120 hp (122 PS) bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri Ni-MH 168 sel berkapasiti 6.5 Ah yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

Sebagai perbandingan, Corolla Cross 1.8V yang merupakan versi petrol sepenuhnya mampu menghamburkan kuasa hingga 138 hp pada 6,400 rpm dan tork 172 Nm pada 4,000 rpm.

Jadi, adakah ini bermakna varian hibrid kurang padu berbanding versi petrol? Cuba tanya diri sendiri. Apakah tujuan anda inginkan sebuah kenderaan dengan enjin hibrid? Jika inginkan prestasi enjin yang ‘wow’, versi hibrid bukanlah pilihan yang patut diutamakan, melainkan enjin dia memang sedia padu. Tapi kalau anda perlukan sebuah kenderaan yang menawarkan penjimatan bahan api dan dalam masa yang sama masih mampu memberikan prestasi yang memuaskan…inilah jawapannya.

Untuk pengetahuan anda, enjin hibrid yang diberikan buat Corolla Cross HEV menampilkan beberapa kelebihan yang mampu menjadikannya antara SUV hibrid paling praktikal di Malaysia, terutamanya untuk pemanduan harian dan perjalanan jauh.

Sebab utama sudah pasti ia menggunakan bahan api yang lebih rendah berbanding model petrol biasa. Bagi pemanduan di dalam bandar yang kerap berhenti dan bergerak, motor elektrik membantu mengurangkan penggunaan petrol dengan ketara. Toyota mendakwa penggunaan bahan api untuk versi HEV ini adalah sekitar 23.3 km bagi setiap liter, namun itu tertakluk pada cara dan keadaan pemanduan.

Untuk perjalanan pergi-balik ke/dari Kedah, rekod penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah sekitar 23.8 km bagi setiap liter dengan gabungan pemanduan di bandar dan lebuh raya. Ketika dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, trafik bergerak agak perlahan dari Plaza Tol Juru hingga ke Behrang yang mengambil masa perjalanan hampir 9 jam. Untuk satu tangki penuh bahan api berkapasiti 36 liter yang mampu mencapai lebih kurang 800 km.

Selain itu, semasa bergerak perlahan atau dalam kesesakan lalu lintas, SUV hibrid ini boleh dipacu menggunakan motor elektrik sahaja untuk tempoh tertentu. Walau bagaimana pun, ia masih mampu memberikan pecutan awal yang lebih lancar tanpa kedekut untuk memuntahkan tenaganya. Di mana enjin petrol ‘dimatikan’ secara automatik ketika berhenti atau melahu.

Jangan risau tentang prestasinya, ia masih boleh dianggap memuaskan kerana penjana kuasa hibrid ini masih mampu memberikan responsif yang optimum. Di mana motor elektriknya mampu menghasilkan tork serta-merta apabila pedal minyak ditekan termasuklah ketika ia diperlukan untuk memotong kenderaan lain atau bergerak dari keadaan pegun.

Walaupun enjinnya berkapasiti 1.8 liter, gabungan enjin dan motor elektrik memberikan pemanduan yang tidak mengecewakan, melainkan anda merupakan seorang yang gemarkan pemanduan agresif. Seperti biasa, sebagai sebuah kenderaan hibrid, ia dicas secara automatik melalui enjin petrol dan sistem brek regeneratif ketika membrek atau memperlahankan kenderaan.

Jadi, adakah pemilihan bagi Corolla Cross HEV (sama ada versi standard atau pun GR Sport) ini berbaloi dimiliki? Ya, terutamanya bagi anda yang memilihnya sebagai kenderaan harian terutamanya kerap memandu di kawasan bandar yang selalu alami kesesakan lalu lintas dan juga yang melibatkan perjalanan jauh merentasi lebuhraya (tetapi bukan sentiasa dalam kelajuan tinggi).

Dari sudut pengendalian, adakah berbaloi pula memilih varian GR Sport? Ya, sekiranya anda gemarkan pengendalian yang lebih ‘sharp’ terutamanya ketika memandu di lebuhraya. Tetapi jika anda mengutamakan keselesaan yang lebih jitu, varian HEV standard lebih memadai kerana talaan suspensinya yang lebih lembut.

Selain pengendalian, apakah lagi ‘wow factor’ yang ada pada varian GR Sport ini? Pastinya imej yang dipertaruhkan dengan sentuhan lebih sporty dan maskulin berbanding varian standard. Berbanding versi 2025, Corolla Cross HEV GR Sport 2026 ini nampak lebih ringkas kerana ia tidak lagi mempunyai ‘misai’ pada bahagian gril hadapan untuk ‘memegang’ logo Toyota di tengah, dan elemen sarang lebah dipenuhkan sehingga ke bahagian atas.

Malah bingkai gril berkenaan tersebut juga lebih ringkas kerana tiada lagi bahagian yang berhubung dengan kedua-dua lampu hadapan yang kini sama dengan warna badan berbanding dalam kemasan hitam sebelum ini. Model kemaskini ini juga diberikan lencana GR di hadapan yang dilekat pada bahagian bawah kanan gril hadapan.

Ia juga nampak lebih sporty di mana kemasan skid plate di bawah bampar hadapan yang kini digantikan dengan spoiler dalam kemasan perak. Manakala di belakang kemasan bawah bampar juga telah ditukar dengan rekaan lebih ringkas, bersama serlahan berwarna perak.

Lain-lain perincian luaran masih lagi nampak sama di mana ia diberikan rim aloi 18-inci jejari turbin dengan kemasan dua-tona, lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok LED bina dalam, lampu belakang LED dengan lensa jernih, lampu kabus LED hadapan dan belakang, rel bumbung dan visor pintu. Tiga warna badan ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Red Mica Metallic dan Dark Turquoise, di mana ketiga-tiganya dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.

PANDU UJI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 lebih mantap dengan sistem suspensi talaan khas

Untuk bahagian kabinnya, tiada perubahan besar diberikan. Namun serlahan benang merah yang sebelum ini diberikan pada upholsteri kulit hitam tempat duduk, roda stereng dan tuil penukar gear kini turut disulam pada papan pemuka dan panel-panel pintu. Tali pinggang keledar yang sebelum ini berwarna hitam juga telah ditukar kepada warna merah bagi menaikkan lagi imej sporty.

Rupa tempat duduk hadapan Corolla Cross GR Sport ini masih lagi sama, tetapi logo GR yang belum ini hanya ditekap pada pada perehat kepala kini diberikan sulaman berwarna, manakala pada bahagian perehat badan pula dihiasi jalur menegak di tengah. Logo-logo GR lain boleh ditemui pada roda stereng, butang penghidup enjin, karpet kaki dan juga pada kunci kawalan jauh.

Kelengkapan-kelengkapan lain yang diberikan juga masih sama, antaranya paparan instrument digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci, skrin infotainmen 10.1-inci diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, enam pembesar suara, pendingin hawa dua-zon dengan liang penghembus belakang, cermin pandang belakang auto-malap, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, pengecas tanpa wayar, tag RFID, filem penapis haba keselamatan,alas ruang but dan juga pintu tailgate bantuan kuasa bukaan tanpa sentuhan.

Ia juga diberikan kamera perakam digital dan kamera 360-darjah, serta ciri keselamatan lain termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang,
Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS).

Corolla Cross HEV GR Sport 2026 ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Kelajuan Adaptif, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Dengan harga atas jalan yang hampir RM150,000, adakah Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 ini mampu menjadi antara SUV yang popular di Malaysia seperti pencabar terdekatnya iaitu HR-V e:HEV RS? Bagi yang mempercayai dan yakin dengan jenama Toyota yang ‘tidak banyak karenah’ serta mampu memberikan ketenangan minda dari sudut penyelenggarannya, Corolla Cross HEV GR Sport 2026 ini pemilihan yang bijak. Apatah lagi bagi anda yang tidak begitu ‘memandang’ imej ranggi dengan pelbagai elemen futuristik yang sarat seperti mana yang dipertaruhkan oleh kebanyakan model buatan China termasuk tiada skrin paparan besar gedabak.

GALERI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026

GALERI: Corolla Cross HEV 2026