Ikuti kami:
Carian lanjutan
           
Jual kereta andaBayaran dalam 24 jam Jual sekarang Jadikan paultan.org sumber pilihan anda di Google Tambah
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam

Kandungan terkini

  • PANDU UJI: Mazda 3 Liftback 1.5L High Plus – varian ‘paling murah’, tapi tak rasa murah dan seronok dipandu!

    PANDU UJI: Mazda 3 Liftback 1.5L High Plus – varian ‘paling murah’, tapi tak rasa murah dan seronok dipandu!

    Varian entry level atau varian asas bagi sesebuah model biasanya dihasilkan oleh pengeluar bagi memberikan peluang kepada pembeli untuk ‘merasa’ model berkenaan pada harga yang paling rendah, namun diberikan perincian paling asas. ‘Perincian’ berkenaan biasanya bukan hanya merujuk kepada kelengkapan-kelengkapan kosmetik, keselesaan dan juga keselamatan, malah ada juga yang melibatkan unit rangkaian kuasa.

    Misalnya Proton S70 dengan enjin 1.5 liter NA yang dilancarkan baru-baru ini, menerusi model berkenaan Proton memberikan sebuah sedan yang masih nampak sama seperti Proton S70 sebelumnya, ruang dalaman yang besar dan selesa juga sama, namun dengan pengalaman pemanduan yang kurang mengujakan kerana tiada pengecas turbo dan tiada kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Sekarang anda lihat pula Mazda 3 hatchback yang penulis uji ini. Sekali tengok, adakah anda rasa ia merupakan sebuah varian asas? Atau masih nampak mahal seperti mana anda melihat mana-mana model Mazda?

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
  • Mitsubishi Pajero 2027 dilancarkan di Thailand – hanya 7-tempat duduk, 3 varian, bermula RM182k hingga RM242k

    Mitsubishi Pajero 2027 dilancarkan di Thailand – hanya 7-tempat duduk, 3 varian, bermula RM182k hingga RM242k

    Selepas didedahkan untuk peringkat global awal bulan lalu, kini model generasi terbaharu Mitsubishi Pajero dilancarkan secara rasmi di pasaran pertamanya iaitu Thailand, di mana negara tersebut juga merupakan pangkalan produksi bagi SUV yang diasaskan dari casis ladder frame trak pikap Triton berkenaan.

    Di Thailand, SUV ini hanya hadir dalam versi tujuh-tempat duduk (berbanding pasaran Australia yang telahpun diumum turut menerima versi lima tempat duduk), ditawarkan dalam tiga varian. Ia bermula dengan varian asas GLS dijual pada harga 1.499 juta baht (RM182k), GSR berharga 1.699 juta baht (RM206k) dan Super Exceed berharga 1.999 juta baht (RM242k).

    Semua varian ini digerakkan oleh enjin diesel 2.4 liter dengan pengecas turbo tunggal bervariasi (VGT) berkuasa 204 PS dan tork maksima 480 Nm. Kuasa kemudiannya dialirkan ke kotak gear automatik lapan-kelajuan (8AT) serta dilengkapi dengan pedal penukar gear.

    Semua varian juga menerima unit LSD Aktif pada gandar belakang. Namun untuk varian GLS dan GSR hanya memacu roda belakang, manakala hanya varian Super Exceed menerima sistem pacuan empat-roda Super Select 4WD-II, dipadankan sekali dengan teknologi Super-All Wheel Control (S-AWC) dan Active Yaw Control (AYC). Varian tertinggi ini juga menerima sistem kawalan menurun cerun.

    Mitsubishi Pajero 2027 dilancarkan di Thailand – hanya 7-tempat duduk, 3 varian, bermula RM182k hingga RM242k

    Seperti yang telah disebut sebelum ini, walaupun Pajero berkongsi casis ladder frame yang sama dengan Triton, namun ia diberikan sistem suspensi yang tersendiri, khususnya pada bahagian belakang yang menggunakan konfigurasi lima-hubungan dengan spring gegelung, berbanding kembar trak pikapnya yang masih menggunakan spring dedaun. Manakala hadapan ia masih kekal dengan suspensi jenis double wishbone.

    Antara perincian standard yang dipadankan pada Pajero pasaran Thailand ini termasuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu kombinasi belakang semuanya dengan teknologi LED, pengelap cermin automatik, cermin sisi lipatan dan larasan kuasa, rel bumbung, pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan operasi tanpa sentuhan, cermin akustik, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold dan juga sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Bagi varian asas GLS, ia boleh dikenali dengan pemadanan rim aloi 18-inci yang dibalut dengan tayar 255/65R18 serta gril hadapan dengan elemen jalur melintang, manakala di dalam ia menerima kemasan kabin hitam, sistem pendingin hawa dua zon (satu zon hadapan, satu zon belakang), skrin 12.3-inci berkembar untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital serta sistem audio dengan enam pembesar suara.

    Manakala bagi varian GSR, bahagian luarannya menerima tambahan lampu hadapan LED adaptif bersama animasi Dynamic Flow Light pada gril hadapan ketika kenderaan membuka kunci/dikunci serta rim aloi 20-inci dengan tayar 255/55R20.

    Mitsubishi Pajero 2027 dilancarkan di Thailand – hanya 7-tempat duduk, 3 varian, bermula RM182k hingga RM242k

    Dalam kabin, varian pertengahan ini ditambah dengan larasan roda stereng elektrik, fungsi memori untuk larasan cermin sisi, tempat duduk hadapan dan roda stereng, sokongan lumbar untuk tempat duduk hadapan, cermin pandang belakang auto-malap, ruang simpanan dalam perehat tangan tengah dengan fungsi penyejuk, pendingin hawa tiga zon serta sistem bunyi Yamaha dengan 12-pembesar suara.

    Untuk varian tertinggi Super Exceed pula, pada sebelah luar ia boleh dikenali dengan gril berbeza menampilkan elemen sarang lebah, diberikan skid plate di bahagian bawah bampar hadapan dan belakang, bumbung berwarna hitam serta lampu puddle yang memancarkan logo Pajero di atas permukaan tanah.

    Manakala di dalam, varian tertinggi ini diberikan kabin dengan kemasan kabin berwarna Camel (tan) dan hitam, cermin pandang belakang digital, bumbung panaromik, upholsteri kulit premium semi-aniline dengan liang pengudaraan, skrin berkembar lebih besar sersaiz 14.3-inci bersama servis terhubung Mitsubishi Connect.

    Mitsubishi Pajero 2027 dilancarkan di Thailand – hanya 7-tempat duduk, 3 varian, bermula RM182k hingga RM242k

    Bagi aspek keselamatan pula, ketiga-tiga varian Pajero pasaran Thailand ini menerima kelengkapan yang sama iaitu tujuh beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk brek kecemasan automatik hadapan, cruise control adaptif serta amaran lintasan trafik hadapan dan belakang.

    Namun bagi varian tertinggi Super Exceed, ia menerima tambahan fungsi ADAS yang merangkumi sistem pemanduan separa autonomi Tahap 2 MiPilot, amaran lintasan trafik belakang dengan fungsi brek, bantuan kekal lorong dan pengenal tanda trafik.

    Pelbagai warna badan boleh dipilih untuk Pajero pasaran Thailand ini, namun ia masih berdasarkan varian dan ada warna memerlukan bayaran tambahan. Bagi varian GLS, ia boleh dipilih dengan warna Graphite Gray dan Blade Silver, manakala warna White Diamond perlu tambahan 20k baht. Varian GSR pula disediakan dalam warna Graphite Gray secara standard, manakala warna Phantom Blue dan White Diamond perlu tambahan 20k baht. Untuk Super Exceed pula, Graphite Gray juga masih ditawarkan secara standard, sementara warna Black Diamond, Phantom Blue dan Armour Copper semuanya perlu tambahan 20k baht.

     
  • ACE 2026: Pandu uji GWM Wey G9 HEV, MPV mewah tujuh tempat duduk berharga RM249,800

    ACE 2026: Pandu uji GWM Wey G9 HEV, 31 Oktober-1 November 2026, Setia City Convention Centre

    Hanya tinggal seminggu lagi sebelum paultan.org Auto Car Expo (ACE), dikuasakan oleh Petronas Primax, berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November di Setia City Convention Centre (SCCC). Tandakan tarikh ini dalam kalendar anda, kerana di sinilah anda akan menemui tawaran terbaik untuk pelbagai jenis kenderaan.

    Turut menyertai ACE 2026 ialah GWM, yang akan mempamerkan Wey G9 HEV di ekspo jualan ini. Wey G9 HEV menyertai kembarnya, Wey G9 PHEV, sebagai MPV mewah tujuh tempat duduk. Bezanya, kenderaan ini menguruskan sendiri gabungan kuasa petrol dan elektrik, jadi anda tidak perlu risau untuk mengecasnya.

    Wey G9 HEV juga lebih mampu milik, dengan harga RM249,800 atas jalan tanpa insurans, iaitu RM20,000 lebih rendah berbanding versi PHEV yang setara.

    Ia dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter turbo dengan transmisi DHT (dedicated hybrid transmission) empat kelajuan dan motor elektrik bersepadu yang menggunakan bateri 1.67 kWh. Gabungan kuasanya ialah 358 PS dan 782 Nm, dengan jarak gerak gabungan sekitar 718 km (WLTP).

    Kelengkapan versi HEV dan PHEV pada asasnya sama, jadi anda tidak rugi apa-apa dengan memilih versi hibrid swa-cas ini. Antaranya termasuk Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar 50 W di bahagian hadapan, port pengecas USB di ketiga-tiga baris, kaca akustik serta kulit Nappa premium di dua baris pertama.

    Penumpang baris kedua pula mendapat kerusi graviti sifar dengan pelarasan enam arah dan penyandar kepala empat arah, penyokong kaki elektrik dua arah, fungsi pengudaraan, fungsi urut 10 titik, panel kawalan bersepadu, meja lipat, bidai matahari pada tingkap sisi dan titik penambat Isofix. Datanglah ke ACE 2026 untuk melihatnya sendiri. Lebih baik lagi, cuba pandu sendiri, kerana pandu uji turut disediakan!

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    Selain GWM, ACE 2026 turut disertai Audi, BMW, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Perodua, Proton, Proton eMas, smart, Volkswagen dan Zeekr. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, manakala TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Membeli kereta di ACE 2026 turut membawa manfaat tambahan selain promosi daripada setiap jenama, kerana 200 tempahan terawal yang disahkan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada kami. Setiap tempahan yang disahkan juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan RM57,000.

    Ini termasuklah hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kemasan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu. Turut ditawarkan ialah beg cenderahati ihsan V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Jumpa anda di ACE 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax, dari 31 Oktober hingga 1 November di Setia City Convention Centre (SCCC). Kemasukan adalah percuma. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026.

     
  • Lebuhraya KL-Karak, LPT1 catat 3,000 transaksi pencerobohan setahun, kerugian lebih RM20,000

    Lebuhraya KL-Karak, LPT1 catat 3,000 transaksi pencerobohan setahun, kerugian lebih RM20,000

    Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) merekodkan kira-kira 3,000 transaksi pencerobohan setahun atau purata lapan kes sehari, dengan kerugian lebih RM20,000 setahun akibat aktiviti pencerobohan tol yang berterusan, laporan Harian Metro.

    Menurut Ismaliza Ibrahim, selaku Pengurus Besar AFA Systems and Services Sdn Bhd, syarikat pengendali dan pemegang konsesi kedua-dua lebuhraya terbabit, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merangka serta melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu bermula 3 hingga 5 pagi di Plaza Tol Karak. Ia bertujuan mengesan, membendung dan mengurangkan kesalahan mengekor rapat serta pencerobohan laluan tol di sepanjang rangkaian lebuh raya berkenaan.

    “Berdasarkan maklumat kami, kenderaan Kelas 1 menjadi kumpulan terbesar melanggar aturan pembayaran tol, iaitu sebanyak 95%, diikuti kenderaan Kelas 2 (1.9%) dan Kelas 3 (1.3%). Kaedah utama yang sering digunakan penceroboh adalah dengan mengekor rapat kenderaan di hadapan bagi melepasi palang tol, yang menyumbang hingga 63%,” katanya.

    Lebuhraya KL-Karak, LPT1 catat 3,000 transaksi pencerobohan setahun, kerugian lebih RM20,000

    Tambahnya, fokus operasi tertumpu kepada 37 kenderaan tegar pelbagai kelas yang dikenal pasti kerap melakukan pelanggaran berulang di Plaza Tol Karak, membabitkan kerugian kumulatif RM10,600.

    “Antara rekod pencerobohan tegar tertinggi yang dikesan melibatkan kerugian RM771.50 menerusi 27 kali pelanggaran oleh sebuah kenderaan, manakala sebuah lagi kenderaan merekodkan frekuensi pencerobohan tertinggi, iaitu 44 kali dengan jumlah kerugian RM350.10,” katanya.

    Beliau berkata langkah tegas itu bukan sahaja berhasrat mengutip semula tunggakan hasil, malah bertujuan mendidik pengguna lebuh raya mengenai kepatuhan pembayaran tol dan implikasi undang-undang yang boleh dikenakan.

    “Di bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984, individu yang disabitkan kesalahan menceroboh tol boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara hingga satu tahun,” katanya.

     
  • ACE 2026: Rebat MINI sehingga RM66,700 untuk JCW Countryman, hingga RM43k untuk Countryman S

    ACE 2026: Rebat MINI sehingga RM66,700, 31 Oktober-1 November 2026

    paultan.org Auto Car Expo (ACE), dikuasakan oleh Petronas Primax, akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November tahun ini di Setia City Convention Centre (SCCC), dan seperti biasa, tawaran hebat untuk pelbagai kenderaan menanti anda. Jangan lupa bawa keluarga dan rakan-rakan sekali!

    Singgahlah di reruai MINI, kerana rebat sehingga RM66,700 yang eksklusif untuk ACE menanti anda. Angka tertinggi itu adalah untuk MINI JCW Countryman, yang menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork. Jika anda mahukan sesuatu yang lebih santai, MINI Countryman S pula ditawarkan dengan rebat sehingga RM43,000.

    Sementara itu, rebat sehingga RM30,000 turut ditawarkan untuk MINI Aceman dan MINI Convertible. Kedua-duanya pasti menarik perhatian, tetapi dengan cara berbeza. Aceman menawarkan pemanduan elektrik tanpa pelepasan, manakala Convertible membolehkan anda memandu dengan bumbung terbuka.

    Peminat fesyen juga boleh melihat MINI Paul Smith Edition yang ditawarkan dengan rebat sehingga RM17,000. Hanya tinggal satu unit, dalam warna Inspired White yang diserikan dengan sentuhan Nottingham Green, Dark Steel, Black Blue dan Anthracite Grey.

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    Selain MINI, ACE 2026 turut disertai Audi, BMW, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Perodua, Proton, Proton eMas, smart, Volkswagen dan Zeekr, antara lain. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, manakala TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Membeli kereta di ACE 2026 turut membawa manfaat tambahan selain promosi daripada setiap jenama, kerana 200 tempahan terawal yang disahkan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada kami. Setiap tempahan yang disahkan juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan RM57,000.

    Ini termasuklah hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kemasan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu. Turut ditawarkan ialah beg cenderahati ihsan V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Jumpa anda di ACE 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax, dari 31 Oktober hingga 1 November di Setia City Convention Centre (SCCC). Kemasukan adalah percuma. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026.

     
  • ACE 2026: BMW 530i M Sport dengan rebat sehingga RM81k, EV i5 eDrive40 M Sport Pro hingga RM62k

    ACE 2026: Rebat BMW hingga RM81,000 untuk 530i M Sport, hingga RM62,000 untuk i5 eDrive40, 31 Oktober-1 November 2026

    paultan.org Auto Car Expo (ACE), dikuasakan oleh Petronas Primax, akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November tahun ini di Setia City Convention Centre (SCCC). Di sinilah anda boleh mendapatkan tawaran hebat untuk pelbagai jenis kenderaan, semuanya di bawah satu bumbung.

    BMW akan hadir di ACE 2026 dengan beberapa rebat yang sangat menarik, termasuk sehingga RM81,000 untuk 530i M Sport, sedan eksekutif utama jenama itu. Jika anda lebih gemarkan 5 Series dengan rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya, i5 eDrive40 M Sport Pro pula ditawarkan dengan rebat sehingga RM62,000.

    Untuk sesuatu yang lebih kecil, 218 Gran Coupe Sport terbaharu boleh dimiliki dengan potongan sehingga RM8,000. 218 juga hadir dalam versi M Sport yang lebih berani, dengan pelbagai pilihan warna luaran dan dalaman.

    Ini baru sebahagian daripada apa yang ditawarkan BMW di ACE 2026, kerana turut ada rebat eksklusif yang hanya diberikan apabila anda membuat tempahan di acara ini. Pandu uji juga disediakan sepanjang hujung minggu acara bagi membantu anda mencari BMW yang paling sesuai dengan gaya hidup anda.

    Selain BMW, ACE 2026 turut disertai Audi, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Perodua, Proton, Proton eMas, smart, Volkswagen dan Zeekr, antara lain. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, manakala TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    Membeli kereta di ACE 2026 turut membawa manfaat tambahan selain promosi daripada setiap jenama, kerana 200 tempahan terawal yang disahkan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada kami. Setiap tempahan yang disahkan juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan RM57,000.

    Ini termasuklah hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kemasan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu. Turut ditawarkan ialah beg cenderahati ihsan V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Jika anda sedang menunggu masa terbaik untuk membeli kereta baharu, ACE 2026 ialah tempat untuk mendapatkan tawaran terbaik, jadi kunjungilah SCCC dari 31 Oktober hingga 1 November ini. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026. Jumpa anda di sana!

     
  • Aplikasi Waze mungkin akan diharamkan di M’sia – PMX

    Aplikasi Waze mungkin akan diharamkan di M’sia – PMX

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mungkin bakal mengharamkan penggunaan Waze, selepas negara memiliki alternatif bagi aplikasi navigasi, laporan Harian Metro.

    Katanya, langkah itu mungkin dilakukan selepas kerajaan membuat kajian menyeluruh mengenai aplikasi navigasi alternatif bagi menggantikan Waze.

    Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai tidak terus menggunakan Waze memandangkan ibu pejabat aplikasi itu berpangkalan di Israel, selain hanya mengguna pakai perundangan Tel Aviv.

    Aplikasi Waze mungkin akan diharamkan di M’sia – PMX

    “Isunya bukan masalah kita. Bila saya dapat maklumat, kita semak. Pertama, ibu pejabatnya (Waze) pangkalan di Israel. Seterusnya, dalam perjanjian, hanya undang-undang Israel diguna pakai (bagi mengawal selia kepenggunaan) Waze dan tiada perundangan dari negara lain.

    “Ini yang menyebabkan saya ambil tindakan agak spontan dan tak boleh tangguh satu hari pun kerana dia secara automatik menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Justeru, kita jangan buat silap dan kerajaan tidak akan berkompromi dengan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya.

    Kelmarin, kerajaan dilapor memutuskan untuk melarang penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam, bertujuan melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh Israel.

    Pejabat Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

     
  • KTMB perkenal Koc Eksekutif untuk perkhidmatan tren khas MySawasdee – diskaun 50% hingga Dis 2026

    KTMB perkenal Koc Eksekutif untuk perkhidmatan tren khas MySawasdee – diskaun 50% hingga Dis 2026

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan Koc Eksekutif atau Executive Coach (AXC) menerusi perkhidmatan tren khas MySawasdee bagi laluan KL Sentral-Hat Yai-KL Sentral bermula hari ini, 23 Oktober 2026, sekali gus menawarkan pengalaman perjalanan rentas sempadan yang lebih eksklusif dan selesa kepada penumpang.

    Menurut KTMB, koc eksekutif yang ditawarkan melalui KTM Charter Train ini dilengkapi 14 tempat duduk yang boleh ditukar menjadi katil rata, membolehkan penumpang menikmati perjalanan jarak jauh dengan lebih selesa, khususnya bagi perjalanan pada waktu malam.

    “Selain susun atur tempat duduk yang lebih eksklusif, penumpang turut menikmati hidangan snek dan makanan sebanyak tiga kali sepanjang perjalanan yang telah termasuk dalam harga tiket, berserta minuman panas percuma. Kemudahan lain yang disediakan termasuk lampu bacaan individu, bantal, selimut, kit kelengkapan perjalanan serta akses WiFi. Koc berkenaan turut dilengkapi ruang solat, tandas dan ruang penyimpanan bagasi khusus.

    “Pengalaman perjalanan ini turut dilengkapi akses ke Ruby Lounge di KL Sentral, keutamaan menaiki tren serta kemudahan urusan imigresen yang diselaraskan bagi perjalanan rentas sempadan Malaysia-Thailand,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Bersempena pengenalan Koc Eksekutif tersebut, KTMB menawarkan diskaun 50 % menerusi kod promosi AXC50, menjadikan tambang perjalanan sehala hanya RM375 berbanding harga biasa RM750. Promosi ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pelancong antarabangsa bagi pembelian tiket dewasa sehala atau pergi balik untuk semua tarikh perjalanan sepanjang Oktober hingga Disember 2026.

    Sejak diperkenalkan pada 15 September 2022, perkhidmatan MySawasdee telah merekodkan lebih 32,925 penumpang sehingga 28 September 2026, sekali gus mencerminkan sambutan terhadap perkhidmatan tren khas yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan destinasi pelancongan popular di selatan Thailand.

    Pengenalan AXC merupakan sebahagian daripada usaha KTMB mempelbagaikan pilihan perjalanan rel dengan menawarkan pengalaman lebih premium, di samping memperkukuh daya tarikan perkhidmatan tren rentas sempadan sebagai alternatif pengangkutan kepada orang ramai.

    Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTMB Mobile, KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB serta kiosk tiket KTMB. Promosi tertakluk kepada tarikh perjalanan yang ditetapkan, tidak terpakai kepada tambang konsesi, kanak-kanak dan pas percuma. Tiket promosi juga tidak boleh dipulangkan dan tidak termasuk makanan atau minuman tambahan serta pakej pelancongan.

     
  • Harga tiket ECRL pakej keluarga boleh dipertimbangkan, keputusan di tangan pengendali — Anthony Loke

    Harga tiket ECRL pakej keluarga boleh dipertimbangkan, keputusan di tangan pengendali — Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa pakej tambang keluarga boleh dipertimbangkan oleh pengendali Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), lapor NST. Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan mengenai jumlah kos tiket bagi keluarga, berikutan pengumuman harga tiket ECRL pada minggu ini.

    Loke menjelaskan bahawa keputusan untuk menawarkan pakej tambang keluarga terletak di tangan pihak pengendali, iaitu sebuah usaha sama antara Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC). ECRL dijadualkan memulakan operasi pada 12 Disember tahun ini, dengan menyediakan perkhidmatan Ekspres dan Transit; perkhidmatan Ekspres akan mempunyai jumlah perhentian yang terhad.

    Tambang kelas ekonomi bagi ECRL Transit bermula serendah RM24 untuk perjalanan Gombak-Bentong, dan mencecah sehingga RM125 bagi perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu. Sebagai sebahagian daripada promosi pelancaran, diskaun sebanyak 30% untuk tiket kelas ekonomi bagi perkhidmatan Ekspres dan Transit akan ditawarkan sepanjang bulan pertama operasi.

    Diskaun promosi ini adalah berasingan daripada konsesi yang tersedia secara tetap untuk golongan yang layak, termasuk potongan 50% bagi warga emas, kanak-kanak (berumur dua hingga 12 tahun), dan orang kurang upaya, serta potongan 40% bagi pelajar yang berumur 13 hingga 24 tahun.

     
  • Honda City sedan V facelift 2026 di Malaysia, RM95k

    Honda City sedan V facelift 2026 di Malaysia, RM95k

    Honda City facelift 2026 telah dilancarkan di Malaysia bulan lalu, bermula dengan varian sedan sebelum diikuti oleh varian hatchback pada awal bulan Oktober.

    Versi terbaharu ini merupakan kemaskini kali kedua bagi kedua-dua model sedan dan hatchback untuk City dari generasi semasa. Sebagai makluman, model sedan generasi kelima ini telah dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020, manakala versi hatchback pula menyusul setahun kemudian, iaitu pada Disember 2021.

    Selepas itu, kemaskini pertama bagi model City sedan telah diperkenalkan pada Ogos 2023, sementara versi hatchback pula diberikan peningkatan pertamanya pada Mei 2024. Berikut adalah galeri penuh sebenar bagi versi terbaru yang telah diberi kemaskini itu; dengan pemerhatian khusus terhadap varian sedan.

    Honda City sedan V facelift 2026 di Malaysia, RM95k

    Bagi model City facelift 2026, barisan varian untuk versi sedan mahupun hatchback telah dikurangkan. Untuk versi sedan, varian asas S telah digugurkan, menjadikan jumlah keseluruhan varian yang ditawarkan kini ada empat — iaitu E, V, dan RS bagi model berenjin petrol, serta satu-satunya pilihan hibrid, e:HEV RS. Model yang dipaparkan dalam galeri ini ialah varian V dengan enjin petrol.

    Sebagai satu daripada varian bukan RS, model V mempunyai panjang 4,577 mm — 5 mm lebih panjang berbanding model 2023 — manakala lebar dan tingginya kekal tidak berubah, masing-masing dengan 1,748 mm dan 1,467 mm. Bahagian hadapan varian bukan RS seperti ini menampilkan corak bukaan udara utama yang melengkung ke bawah, berbeza dengan varian RS yang mempunyai reka bentuk melengkung ke atas.

    Antara pembaharuan yang diperkenalkan termasuklah lampu hadapan yang lebih ramping dan reka bentuk bampar hadapan baru. Selain itu, ia turut dilengkapi gril bercorak honey comb yang lebih nipis, manakala logo Honda telah dialihkan dari gril ke panel bahagian atas, di hadapan bonet.

    Honda City sedan V facelift 2026 di Malaysia, RM95k

    Rekaan bahagian belakang juga telah diperbaharui, dengan kini menampilkan bampar belakang yang direka semula, kemasan ala diffuser, serta pemantul cahaya dalam kedudukan menegak.

    Bagi bahagian roda, varian V dilengkapi dengan rim bersaiz sama seperti varian RS, 16-inci dengan kemasan dua-tona dengan gaya turbin berwarna “Shark Grey” (manakala roda varian RS berwarna “Berlina Black”). Tayar yang digunakan ialah Toyo Proxes R57 dengan saiz 185/55R16.

    Perbezaan bagi model tahun 2026 bagi barisan model City menyaksikan tayar ganti tidak lagi disertakan, yang diganti dengan kit baik pulih tayar bagi varian berenjin petrol (varian e:HEV memang tidak disertakan dengan tayar ganti). Honda Malaysia sebelum ini telah menjelaskan bahawa penggunaan kit baik pulih tayar adalah lebih pantas dan selamat berbanding menukar roda di bahu jalan. Selain itu, perkhidmatan bantuan tunda 24/7 turut disediakan oleh Honda Malaysia sekiranya berlaku kerosakan tayar yang serius.

    Di bahagian dalam, City V — seperti varian RS — dilengkapi skrin sentuh infotainmen 10-inci baru yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar; fungsi berkenaan sebelum ini memerlukan sambungan berwayar bagi model facelift yang terdahulu.

    Kelengkapan tambahan yang meletakkan City V di atas varian E (yang kini menjadi varian asas) termasuk paparan TFT tujuh-inci untuk panel instrumen, kemasan balutan kerusi kulit campuran, serta kemasan kulit pada stereng dan tombol gear.

    Turut disertakan ialah cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, pencahayaan pada poket pintu, ruang kaki dan pemegang pintu, pencahayaan ambien berwarna biru, serta pilihan warna luaran baharu, Stellar Diamond Pearl (khusus untuk varian V dan RS petrol sahaja).

    Bagi model City V 2026, sistem janaan kuasa kekal sama, menampilkan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC empat-silinder NA yang menjana sebanyak 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,300 rpm, dan dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams.

    Kelengkapan keselamatan pada City 2026 tetap merangkumi sistem Honda Sensing sebagai ciri standard, termasuk brek kecemasan autonomi, bantuan ke tengah lorong, sistem penghindaran keluar lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, dan lampu tinggi automatik.

    Ciri tambahan terbaru bagi model City 2026 ialah pemantauan titik buta dengan amaran trafik lintasan belakang. Ciri ini berfungsi bersama sistem kamera LaneWatch sedia ada, yang kini memberikan amaran kepada pemandu di kedua-dua sisi kenderaan. Sementara itu, fungsi “low-speed follow” (mengikut kenderaan hadapan pada kelajuan rendah) dan “auto brake hold” (pegangan brek automatik) dikhususkan untuk varian e:HEV RS.

    Sejak pelancarannya, sedan Honda City V 2026 versi facelift ditawarkan pada harga atas jalan RM94,900, belum termasuk insurans. Dari segi kedudukannya dalam barisan model City, varian ini berada satu tahap di atas varian E (RM89,900), serta di bawah varian RS petrol (RM99,900) dan e:HEV RS (RM111,900). Seperti semua model Honda yang dijual secara rasmi di Malaysia bermula 1 September, City V versi terbaru ini diberikan jaminan selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.

    Honda City 1.5L sedan V facelift 2026

     
  • Lorong kenderaan berat di Plaza Tol Kota Damansara ditutup pada 23-25 Okt, 10 malam-12 tengahari – PLUS

    Lorong kenderaan berat di Plaza Tol Kota Damansara ditutup pada 23-25 Okt, 10 malam-12 tengahari – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa lorong kenderaan berat dan lebar di Plaza Tol Kota Damansara akan ditutup bagi kelancaran kerja-kerja pembaikan turapan konkrit.

    Ia melibatkan lorong masuk M01 yang akan ditutup pada jam 10 malam, 23 Okt hingga 12 tengahari pada 24 Okt. Manakala lorong keluar K11 pula akan ditutup mulai jam 10 malam pada 24 Okt hingga 12 tengahari, 25 Okt.

    “Sehubungan dengan itu, lorong M01 dan lorong K11 ini akan ditutup sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan selamat.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan, gunakan lorong alternatif dan patuhi papan tanda trafik serta arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran perjalanan,” kata PLUS menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

     
  • Jetour T2 Ultra nama yang akan diguna untuk model facelift pasaran antarabangsa, masuk M’sia tahun 2028?

    Jetour T2 Ultra nama yang akan diguna untuk model facelift pasaran antarabangsa, masuk M’sia tahun 2028?

    Jetour T2 versi facelift yang mula dijual di China bulan lalu dengan nama Traveller 7 akan menggunakan nama T2 Ultra untuk pasaran antarabangsa. Model SUV itu diperlihatkan buat kali pertama dengan nama tersebut pada acara 2026 Jetour Global Technology Experience Day yang sedang berlangsung di China, sekaligus mendedahkan perubahan reka bentuk yang dibawanya.

    Di China, Traveller 7 dijual bersama Traveller sedia ada, iaitu model yang dikenali sebagai T2 di Malaysia. Ini bermakna versi facelift tersebut tidak menggantikan model asal di pasaran domestik. Memandangkan T2 menerima sambutan yang baik di Malaysia, model baru ini berpotensi memasuki pasaran tempatan pada masa akan datang.

    Bagaimanapun, Jetour masih belum menawarkan versi pemanduan sebelah kanan untuk T2 Ultra. Model itu dijangka hanya tiba di Malaysia seawal 2028, jadi pemilik T2 sedia ada masih boleh menikmati SUV mereka untuk beberapa tahun lagi. Selain itu, reka bentuk baru yang lebih lembut mungkin tidak menepati cita rasa semua pembeli, terutama mereka yang menggemari penampilan lasak model semasa.

    Jetour T2 Ultra nama yang akan diguna untuk model facelift pasaran antarabangsa, masuk M’sia tahun 2028?

    Apabila diperkenalkan kelak, T2 Ultra dijangka menggantikan T2 sedia ada di Malaysia dan bukannya dijual sebagai model tambahan seperti di China. Ini kerana versi facelift tersebut menggunakan banyak komponen baru, termasuk pada bahagian luaran dan kabin. Oleh itu, pengeluaran kedua-dua versi secara serentak di kilang pemasangan tempatan (CKD) Jetour di Johor mungkin kurang praktikal.

    Dari segi reka bentuk, T2 Ultra mengekalkan bentuk badan berkotak yang menjadi identiti model ini, tetapi penampilannya kini lebih kemas dengan bucu yang tidak terlalu tajam. Bahagian hadapan menerima lampu utama LED berbentuk bulat yang lebih menonjol, dihubungkan oleh jalur lampu merentasi gril. Susunan ini turut menyebabkan tulisan Jetour yang sebelum ini berada pada gril dialihkan ke atas bonet, mengingatkan kita kepada gaya reka bentuk model Land Rover.

    Bampar hadapan juga direka semula dengan permukaan lebih sekata, manakala kemasan plastik hitam yang sebelum ini menyerlahkan imej lasak digantikan dengan warna badan. Perubahan serupa turut diterapkan pada bahagian sisi dan belakang bagi memberikan penampilan lebih premium. Lampu tambahan yang menyerupai kelengkapan kenderaan offroad serta cangkuk tunda terdedah pada bampar hadapan juga sudah tiada.

    Di bahagian belakang, T2 Ultra masih mengekalkan corak empat garisan pada lampu walaupun lampu LED empat titik di hadapan telah digugurkan. Ia turut menerima spoiler belakang baru, kemasan tiang D yang lebih licin tanpa corak berjalur serta bampar yang direka semula. Bekas simpanan pada pintu but yang dibuka ke sisi juga mempunyai reka bentuk baru, lengkap dengan tulisan Jetour.

    Secara keseluruhan, perubahan ini menjadikan T2 Ultra kelihatan lebih moden dan matang, tetapi pada masa sama mengurangkan sedikit imej maskulin serta keunikan reka bentuk asalnya. Pendekatan ini jelas menunjukkan Jetour mahu menawarkan SUV yang lebih premium berbanding penampilan lasak yang menjadi tarikan utama T2 sebelum ini.

    Perubahan lebih ketara turut dapat dilihat dalam kabin, yang kini menggunakan reka bentuk papan pemuka lebih ringkas dengan kemasan dan bahan yang kelihatan lebih berkualiti. Corong pendingin hawa menegak baru ditempatkan pada kedua-dua hujung papan pemuka, dengan kemasan krom gelap. Gaya sama turut diterapkan pada stereng baru dan beberapa suis di dalam kabin.

    Jetour T2 Ultra nama yang akan diguna untuk model facelift pasaran antarabangsa, masuk M’sia tahun 2028?

    Tuil gear besar yang menjadi ciri T2 sebelum ini digantikan dengan tuil penukar gear berhampiran stereng. Langkah ini membolehkan konsol tengah mempunyai susun atur lebih kemas, dengan pemilih mod pemanduan berbentuk putar sebagai elemen utama. Menariknya, Jetour masih mengekalkan banyak butang fizikal, sesuatu yang semakin jarang ditemui pada model keluaran China dan lebih praktikal untuk sebuah SUV yang dibangunkan dengan keupayaan meredah laluan lasak.

    Sistem paparan masih terdiri daripada panel instrumen digital 10.25 inci dan skrin infotainmen sentuh 15.6 inci. Bagaimanapun, skrin infotainmen kini menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8255 bersama RAM 24 GB dan storan 256 GB, membolehkan sistem kawalan suara berasaskan kecerdasan buatan generatif Spark daripada iFlytek digunakan. Panel pintu turut menerima reka bentuk baru dengan kemasan berjahit corak berlian, manakala pemegang tangan dilapisi kulit untuk meningkatkan rasa premium.

    Bagi rangkaian kuasa, varian asas petrol masih menggunakan enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 184 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan yang menyalurkan kuasa kepada roda hadapan. Varian petrol lain menggunakan enjin 2.0 liter turbo dengan pacuan semua roda (AWD), menghasilkan 254 PS dan 390 Nm. Enjin ini turut digunakan pada T2 di Malaysia, namun versi baru di China menawarkan tambahan 9 PS dan 15 Nm. Varian petrol tertinggi pula menerima transmisi automatik lapan kelajuan dengan penukar tork.

    Jetour T2 Ultra nama yang akan diguna untuk model facelift pasaran antarabangsa, masuk M’sia tahun 2028?

    Bagi versi plug-in hybrid (PHEV) i-DM, enjin 1.5 liter turbo masih menghasilkan 156 PS dan 220 Nm. Namun, sistem hibridnya kini menggunakan satu motor elektrik yang menghasilkan 307 PS dan 330 Nm, menggantikan konfigurasi terdahulu. Transmisi hibrid khusus tiga kelajuan turut digantikan dengan unit satu kelajuan. Susunan ini pada asasnya serupa dengan sistem pacuan roda hadapan yang digunakan oleh Jaecoo J7 PHEV, tetapi T2 Ultra menerima motor elektrik yang lebih berkuasa.

    Perubahan sistem hibrid itu turut meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga. Dengan bateri LFP berkapasiti 26.61 kWj, jarak pemanduan elektrik mengikut piawaian WLTP kini mencapai 108 km, berbanding 100 km sebelum ini. Pilihan bateri lebih besar berkapasiti 45.12 kWj pula menawarkan jarak sehingga 173 km, meningkat daripada 162 km bagi model terdahulu yang menggunakan bateri 43.24 kWj. Sistem ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output 6.6 kW.

    Jetour mendakwa gabungan enjin petrol dan sistem elektrik membolehkan T2 Ultra PHEV mencapai jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,400 km berdasarkan kitaran ujian CLTC, dengan bantuan tangki bahan api berkapasiti 70 liter. Sebagai perbandingan, T2 i-DM yang baru dilancarkan di Malaysia menggunakan bateri 18.4 kWj dengan jarak pemanduan elektrik 100 km mengikut NEDC, atau kira-kira 85 km berdasarkan WLTP.

    Dari segi kelengkapan, T2 Ultra kini dilengkapi tempat duduk dengan pelarasan kuasa 10 hala dan fungsi urutan lapan titik. Sistem audio sekeliling dengan 23 pembesar suara serta lampu suasana yang menawarkan 256 pilihan warna turut disediakan.

    Selain kemasan tempat duduk berjahit corak berlian, stereng baru yang diambil daripada model SUV lasak utama G700 turut digunakan, dengan bentuk bahagian atas yang lebih bulat dan konvensional.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, T2 Ultra ditawarkan dengan fungsi pemanduan bantuan autonomous tinggi untuk kegunaan di bandar dan lebuh raya. Walaubagaimanapun, sistem yang digunakan berbeza mengikut jenis rangkaian kuasa. Varian petrol menggunakan teknologi Falcon 500 yang dibangunkan oleh Chery Group, manakala versi PHEV dilengkapi sistem Qiankun ADS5 daripada Huawei.

    Jetour T2 Ultra nama yang akan diguna untuk model facelift pasaran antarabangsa, masuk M’sia tahun 2028?

    Di China, Traveller 7 versi petrol dijual pada harga antara 149,900 yuan hingga 169,900 yuan (kira-kira RM91,200 hingga RM103,400). Varian PHEV pula ditawarkan pada harga antara 159,900 yuan hingga 179,900 yuan (sekitar RM97,300 hingga RM109,500).

    Buat masa ini, Jetour T2 Ultra dijangka hanya menggantikan T2 sedia ada di Malaysia pada 2028 paling awal, tertakluk kepada perkembangan pengeluaran dan perancangan pasaran. Dengan reka bentuk lebih kemas, kabin premium serta pilihan rangkaian kuasa yang dipertingkatkan, model ini membawa perubahan ketara berbanding T2 semasa. Namun, persoalannya, adakah anda lebih menggemari penampilan baru T2 Ultra atau reka bentuk asal T2 yang lebih lasak?

     
  • 38 pemandu positif dadah ditangkap di P.Pinang tahun ini

    38 pemandu positif dadah ditangkap di P.Pinang tahun ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang setakat tahun ini telah menangkap seramai 38 pemandu (23 pemandu lori, 12 pemandu kenderaan persendirian dan tiga pemandu bas) yang didapati positif dadah, laporan Bernama.

    Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata pemandu yang terlibat iaitu berusia antara 30-50 tahun, telah menjalani ujian saringan dan mendapati mereka positif pelbagai jenis bahan terlarang, termasuk methamphetamine atau syabu (23 kes), ketum (enam kes), kanabis (lima kes) dan morfin (satu kes). Sebanyak lima lesen memandu dan lima lesen memandu vokasional telah digantung.

    “Kita tidak boleh menunggu sehingga kemalangan berlaku sebelum mengambil tindakan. Langkah pencegahan dan operasi penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara berterusan. Keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab pemandu semata-mata. Majikan dan pengendali pengangkutan juga mesti memastikan pekerja mereka berada dalam keadaan sihat, cergas dan selamat untuk menjalankan tugas,” katanya baru-baru ini.

    Walaupun sesetengah pemandu memberikan alasan pengaruh rakan sebaya dan percaya bahawa dadah boleh membantu mereka kekal bertenaga serta berjaga lebih lama, khususnya ketika memandu pada waktu malam, Zulkifly berkata perkara itu bukan alasan untuk mengambil dadah kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

     
  • Omoda C7 HEV tampilkan bateri 5 kWh lebih besar, beri jarak EV lebih jauh — bakal masuk Malaysia pada 2027

    Omoda C7 HEV tampilkan bateri 5 kWh lebih besar, beri jarak EV lebih jauh — bakal masuk Malaysia pada 2027

    Omoda C7 masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, tetapi model tersebut dijangka akan membuat kemunculan sulungnya di sini tidak lama lagi, berkemungkinan sebelum bulan November berakhir. Apabila dilancarkan kelak, SUV ini — yang merupakan model pertama direka khusus untuk jenama Omoda | Jaecoo bagi pasaran antarabangsa — akan hadir dalam versi petrol, walaupun petunjuk awal sebelum ini mencadangkan bahawa varian plug-in hybrid (PHEV) akan dilancarkan terlebih dahulu.

    Walaupun terdapat perubahan ini, varian PHEV — yang juga akan dipasang CKD seperti versi petrol — dijadualkan untuk diperkenalkan selepas versi enjin pembakaran dalaman (ICE) mula dijual. Selain itu, ada ura-ura bahawa varian ketiga juga turut dirancang untuk pasaran Malaysia, namun ia mungkin hanya akan tiba menjelang tahun 2027.

    Model yang dikenali sebagai Omoda 7 di pasaran domestiknya serta di beberapa pasaran terpilih yang lain, juga akan ditawarkan sebagai model hibrid di pasaran Malaysia. Perkara ini dinyatakan semasa acara tahunan Chery International User Summit (IUS) yang sedang berlangsung di Wuhu, China.

    Dalm satu pembentangan di luar acara sidang kemuncak tersebut, diumumkan bahawa Omoda 7 Super Hybrid System–Hybrid (SHS-H; akhiran “H” merujuk kepada HEV) bakal diperkenalkan di Malaysia. Omoda 7 SHS-H ini menampilkan komponen yang membuat kemunculan sulung di peringkat global — iaitu bateri 5 kWh — seperti yang diumumkan di IUS. Komponen ini juga akan dimuatkan dalam versi HEV bagi model Omoda X, yang turut membuat kemunculan sulung globalnya pada acara tersebut.

    Omoda C7 HEV tampilkan bateri 5 kWh lebih besar, beri jarak EV lebih jauh — bakal masuk Malaysia pada 2027

    Tiada perincian teknikal didedahkan mengenai unit tersebut setakat ini, baik dari segi komposisi mahupun spesifikasi teknikalnya. Bagaimanapun, ada dinyatakan bahawa model tersebut mampu memberikan kenderaan hibrid (HEV) ini keupayaan vehicle-to-load (V2L) sebanyak 2.2 kW — satu ciri pertama bagi HEV konvensional — serta menawarkan Super Quiet Mode yang memberikan kesenyapan setaraf kenderaan elektrik (EV) semasa permulaan, serta ketika pecutan dan pemanduan biasa.

    Bateri yang berkapasiti lebih besar ini akan membolehkan jarak pemanduan dalam mod EV yang lebih jauh berbanding unit 1.83 kWh yang terdapat pada model HEV Jaecoo J5 dan J7. Memandangkan J5 HEV mempunyai jarak pemanduan keseluruhan yang didakwa mencecah 980 km (dibantu oleh tangki bahan api 51 liter), bateri 5 kWh baru ini sepatutnya membolehkan Omoda 7 hibrid melepasi angka 1,000 km dengan mudah, malah mungkin menghampiri 1,100 km jika dipandu dengan lebih berhemah.

    Sistem pacuan SHS-H yang digunakan dijangka serupa dengan yang terdapat pada model HEV Jaecoo — iaitu enjin petrol 1.5 liter empat-silinder kitaran Atkinson dengan pengecas turbo (seperti yang terdapat pada J7 PHEV). Enjin ini menghasilkan 143 PS dan tork 215 Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 204 PS/310 Nm serta transmisi hibrid khusus (Dedicated Hybrid Transmission — DHT) satu-kelajuan, yang memberikan output gabungan sebanyak 224 PS dan 295 Nm.

    Bagi pasaran tempatan, Omoda C7 versi petrol pula akan hadir dengan konfigurasi pacuan roda hadapan. Ia akan dilengkapi dengan enjin petrol 1.6 liter empat-silinder sebaris dengan pengecas turbo yang menjana sebanyak 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan tork 290 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan.

    Omoda C7 HEV tampilkan bateri 5 kWh lebih besar, beri jarak EV lebih jauh — bakal masuk Malaysia pada 2027

    Bagi varian PHEV — yang menampilkan rangkaian kuasa sama seperti pada Jaecoo J7 PHEV — sistemnya terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter empat-silinder pengecas turbo khusus untuk hibrid — yang pada model C7 telah ditala sedikit untuk menghasilkan 156 PS dan tork 220 Nm — serta motor elektrik berkuasa 204 PS/310 Nm. Sistem ini digandingkan dengan transmisi hibrid khusus (DHT) satu kelajuan.

    Jumlah output gabungan yang dihasilkan ialah 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan 530 Nm, iaitu 13 PS dan 5 Nm lebih tinggi berbanding J7 PHEV. Ia dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade berkapasiti 18.3 kWh daripada BYD — sama seperti yang digunakan pada J7 — yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 95 km.

    Mengenai Omoda 7 HEV pula, perincian lanjut dijangka akan didedahkan dalam beberapa bulan akan datang, dengan maklumat penuh mungkin akan diperjelaskan menjelang pameran Auto China 2027. Apa yang pasti, model ini akan diperkenalkan kelak.

    Dalam pembentangan yang sama, jenama tersebut turut menyatakan bahawa Omoda 2 dan Jaecoo J9 — yang pernah disebut lebih dua tahun lalu — akan dilancarkan tidak lama lagi, sekali gus mengesahkan semula pengumuman yang dibuat mengenai model-model tersebut pada bulan April lalu.

    Omoda C7 PHEV 2026 — Pratonton di Malaysia

    Omoda C7 Petrol — Pratonton di Malaysia

     
  • Honda lancar trak pikap pertama untuk pasaran ASEAN pada 2028; MoU dengan Mitsubishi; berasaskan Triton

    Honda lancar trak pikap pertama untuk pasaran ASEAN pada 2028; MoU dengan Mitsubishi; berasaskan Triton

    Berita hangat dari Jepun apabila Honda dan Mitsubishi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan model baharu Honda berasaskan trak pikap Triton, sekali gus mengesahkan laporan sebelum ini. Perkembangan ini penting kerana ia menandakan inisiatif pertama antara kedua-dua syarikat untuk saling membekalkan produk bagi melengkapi barisan model masing-masing.

    Buat masa ini, Honda masih belum mendedahkan butiran lanjut, namun syarikat itu mengesahkan bahawa trak pikap terbaharunya dijadualkan memasuki pasaran ASEAN pada 2028. Pastinya kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Honda akan mempunyai model untuk ditawarkan dalam segmen yang belum pernah diceburinya sebelum ini, manakala Mitsubishi berpeluang meningkatkan jumlah pengeluaran serta kadar penggunaan kapasiti kilang pengeluarannya di Thailand.

    Berkenaan dengan penggunaan kapasiti kilang pengeluarannya di Thailand, ia secara tidak langsung mengesahkan bahawa Mitsubishi akan mengeluarkan trak pikap Honda berkenaan di kilangnya di Laem Chabang, wilayah Chonburi. Honda bukanlah baharu dalam segmen trak pikap kerana syarikat itu kini menawarkan model Ridgeline di Amerika Utara. Bagaimanapun, Ridgeline menggunakan struktur badan unibody (monocoque), manakala model khusus untuk pasaran ASEAN ini akan menjadi trak pikap pertama Honda yang menggunakan binaan badan di atas casis berasingan (body-on-frame atau ladder-frame).

    Dalam kenyataan bersama, Honda dan Mitsubishi berkata bahawa mereka telah meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang berdasarkan rangka kerja perkongsian strategik yang terkandung dalam MoU yang ditandatangani pada 1 Ogos 2024. MoU itu turut ditandatangani oleh Nissan, beberapa bulan sebelum satu lagi MoU berhubung kemungkinan penggabungan ketiga-tiga syarikat dimeterai pada Disember tahun yang sama. Bagaimanapun, rancangan penggabungan tersebut akhirnya dibatalkan.

     
  • ACE 2026: Perodua Axia 1.0L G dari RM33,900 — pilihan hebat kereta pertama; tempah dan nikmati ganjaran

    ACE 2026: Perodua Axia kini dari RM33,900, serendah RM360/bulan, 31 Oktober-1 November 2026

    paultan.org Auto Car Expo (ACE), dikuasakan oleh Petronas Primax, akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November tahun ini di Setia City Convention Centre (SCCC). Seperti edisi sebelumnya, ACE 2026 ialah tempat untuk anda mendapatkan tawaran hebat bagi pelbagai jenis kenderaan, semuanya di bawah satu bumbung.

    Perodua akan turut hadir di ACE 2026, dan barisan modelnya termasuk Axia 1.0L G yang menerima penurunan harga sebanyak RM4,700 dan kini boleh dimiliki dengan harga serendah RM33,900. Ini menjadikannya pilihan hebat untuk pembeli kereta pertama yang mahukan kenderaan mampu milik tanpa melebihi bajet yang ditetapkan.

    Axia 1.0L G bukan sekadar mampu milik. Saiznya yang kompak menjadikannya sesuai untuk pemanduan di bandar, manakala susun aturnya yang praktikal memberikan fleksibiliti sama ada anda membawa penumpang atau barangan.

    Digabungkan dengan enjin yang jimat bahan api dan pengalaman pemilikan yang dipercayai hasil usaha Perodua sejak berdekad lamanya, Axia 1.0L G ialah pilihan bijak untuk mereka yang bakal memiliki kereta pertama, malah untuk mereka yang mencari kereta kedua untuk kegunaan harian.

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    Selain Perodua, ACE 2026 turut disertai oleh jenama seperti Audi, BMW, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Proton, Proton eMas, smart, Volkswagen dan Zeekr, antara lain. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, manakala TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Membeli kereta di ACE 2026 turut membawa manfaat tambahan. Selain promosi daripada setiap jenama, 200 tempahan terawal yang disahkan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada penganjur. Setiap tempahan yang disahkan juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai keseluruhan RM57,000.

    Ini termasuklah hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kemasan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu. Turut ditawarkan ialah beg cenderahati ihsan V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Jika anda sedang menunggu masa terbaik untuk membeli kereta baharu, ACE 2026 ialah tempat untuk mendapatkan tawaran terbaik, jadi kunjungilah SCCC dari 31 Oktober hingga 1 November ini. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026. Jumpa anda di sana!

     
  • ACE 2026: Rebat hingga RM72k untuk Volkswagen, dan hingga RM90k untuk Audi Q7 S-Line keluaran MY2026

    ACE 2026: Volkswagen rebat hingga RM72,000, Audi jimat hingga RM90,000, 31 Oktober-1 November 2026

    paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax, akan berlangsung dalam masa lebih kurang seminggu sahaja lagi! Bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC) pada 31 Oktober hingga 1 November, pengunjung akan menemukan antara tawaran paling menarik untuk pembelian kenderaan baharu.

    Tawaran daripada Volkswagen dan Audi pastinya antara yang bakal menanti pembeli. Bermula dengan Volkswagen, jenama Jerman itu menawarkan rebat sehingga RM72,000 untuk semua model.

    Pemilik Volkswagen sedia ada juga diberi insentif untuk memilih SUV tiga baris tempat duduk daripada jenama itu sebagai kenderaan seterusnya. Beli Tayron Elegance atau Tayron R-Line, dan anda akan menerima sokongan trade-in sebanyak RM10,000.

    Ingin mencuba sendiri Tayron sebelum membuat keputusan? Unit pandu uji Volkswagen Tayron akan disediakan di acara ini. Selain itu, pembelian kenderaan Volkswagen turut disertakan dengan perlindungan waranti kenderaan sehingga tujuh-tahun*.

    Bagi Audi pula, tawaran yang lebih menarik menanti pembeli Audi Q7 S line. Dengan harga dari RM369,990 untuk model tahun 2026 (ya, dikeluarkan tahun ini!), termasuk pakej Audi Assurance dengan waranti kenderaan sehingga tujuh tahun, Q7 S line kini ditawarkan dengan rebat sehingga RM90,000. Unit pandu uji juga akan disediakan di pameran ini.

    Penaja dan jenama yang menyertai ACE 2026

    Selain Volkswagen dan Audi, ACE 2026 turut disertai BMW, BMW Motorrad, Chery, Dongfeng, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Leapmotor, Lotus, Mazda, MINI, Mitsubishi, Omoda | Jaecoo, Perodua, Proton, Proton eMas, smart dan Zeekr. Penaja bersama Jacar dan Carro akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing. TNB Electron juga merupakan penaja bersama.

    Selain promosi tersendiri daripada setiap jenama, paultan.org turut menyediakan baucar bernilai RM3,000 untuk 200 tempahan terawal yang disahkan di pameran ini.

    Setiap tempahan yang disahkan juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan hadiah dengan nilai keseluruhan RM57,000, termasuk hadiah utama pakej percutian bernilai RM10,000, tiga set filem cermin gelap Llumar oleh Jacar bernilai RM4,000 setiap satu, lima telefon pintar bernilai RM3,000 setiap satu serta lima naik taraf balutan kemasan kulit DK Schweizer Prestige bernilai RM4,000 setiap satu.

    Beg cenderahati juga menanti anda, ihsan daripada V-Kool, Harman Kardon, DK Schweizer, Dodo, The Carage dan Kuzig Glanz Detailing.

    Semua tawaran ini menanti anda di ACE 2026, dikuasakan oleh Petronas Primax, yang akan berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) dari 31 Oktober hingga 1 November. Kemasukan adalah percuma. Dapatkan maklumat lanjut di laman mikro ACE 2026. Jumpa anda di sana!

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
  • Kerajaan tiada rancangan memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan khusus ikut nama pemilik – Loke

    Kerajaan tiada rancangan memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan khusus ikut nama pemilik – Loke

    Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan mengikut nama pemilik, meskipun ia berpotensi menjana pendapatan yang lebih tinggi, laporan The Star. Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang mendedahkan bahawa cadangan berkenaan pernah dibincangkan sebelum ini.

    “Pernah ada cadangan sebelum ini, misalnya pembeli boleh menggunakan nama mereka sebagai nombor pendaftaran kenderaan. Memandangkan kita sudah mempunyai sistem pendaftaran yang mantap menggunakan abjad dan nombor, kita memutuskan untuk kekal dengan sistem sedia ada,” katanya.

    Idea untuk memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan yang mengikit nama pemilik atau vanity plate pernah dibangkitkan sebelum ini. Melalui sistem ini, pemilik kenderaan perlu membayar harga premium untuk mendapatkan kombinasi huruf dan nombor mengikut pilihan mereka. Di sesetengah bidang kuasa, pemilik juga dibenarkan menggunakan nama atau perkataan tertentu. Bagaimanapun, sistem ini tidak pernah dilaksanakan di Malaysia dan kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Loke menunjukkan bahawa perkara itu tidak akan berubah.

    Walau bagaimanapun, siri nombor pendaftaran khas akan terus diperkenalkan setiap tahun, dengan hasil kutipannya digunakan untuk inisiatif bagi membantu orang ramai. Siri ‘H’ yang diperkenalkan baru-baru ini menjana pendapatan sebanyak RM91.2 juta kepada kerajaan, dengan sebahagian daripada hasil tersebut disalurkan untuk membantu pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.

     
  • Pengerusi Chery minta maaf berhubung isu gandar belakang Chery Omoda 5 yang berlaku di Malaysia

    Pengerusi Chery minta maaf berhubung isu gandar belakang Chery Omoda 5 yang berlaku di Malaysia

    Pengerusi dan presiden Chery, Yin Tongyue, telah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu kualiti produk pada kenderaan Chery di Malaysia, menurut satu video yang disiarkan di laman web China, Sohu.

    Yin menyentuh perkara tersebut semasa Persidangan Kenderaan Terhubung Pintar Dunia (WICV) yang berlangsung di Beijing semalam, 21 Oktober. Beliau mengakui bahawa Chery telah menghadapi isu kualiti produk di Malaysia, dan memaklumkan bahawa beliau sendiri telah memohon maaf secara peribadi kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) pada hari yang sama.

    Beliau turut menyatakan bahawa Chery telah mengambil tanggungjawab segera terhadap para pelanggannya susulan insiden tersebut, dan menekankan bahawa pengembangan antarabangsa seharusnya bukan bertujuan untuk mengeksploitasi pasaran luar negara, sebaliknya hadir ke pasaran tempatan dengan kukuh dan mampan.

    Pengerusi Chery minta maaf berhubung isu gandar belakang Chery Omoda 5 yang berlaku di Malaysia

    Yin juga menekankan keperluan untuk kekal rendah diri serta mengelakkan promosi diri yang berlebihan atau keyakinan diri yang keterlaluan semasa mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa. Beliau juga menekankan pentingnya menghormati undang-undang, peraturan, dan amalan perniagaan tempatan di pasaran luar negara, serta memberi amaran bahawa pengembangan ke luar negara tanpa persediaan yang rapi boleh membawa kepada kegagalan dan bukannya kejayaan.

    “Kami ke luar negara bukan untuk meraih keuntungan pantas, sebaliknya untuk bertapak kukuh dan membangunkan pasaran tersebut bagi jangka masa panjang. Kita mesti menghormati undang-undang, peraturan, dan amalan perniagaan tempatan. Tanpa persediaan yang sewajarnya, langkah ke luar negara boleh dengan mudah bertukar menjadi kegagalan yang merugikan. Daripada berjaya berkembang di luar negara, kita mungkin akhirnya ‘terkubur’ di sana,” ujar Yin dalam ucapannya.

    Isu kualiti kenderaan yang dihasilkan oleh Chery sekali lagi menjadi perhatian di Malaysia apabila sebuah Chery Omoda 5 mengalami masalah gandar belakang yang tercabut ketika dipandu dan ia tular di media sosial. Ia mengulangi kejadian sama yang turut terjadi di Malaysia pada 2024.

    Berikutan kejadian yang berulang tersebut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan penggantungan sementara Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model Omoda 5, sekali gus menghentikan pendaftaran model tersebut sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dikenal pasti.

    Pengerusi Chery minta maaf berhubung isu gandar belakang Chery Omoda 5 yang berlaku di Malaysia

    Chery Malaysia kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasmi pada keesokan harinya, manakala pada 14 Oktober, syarikat itu mengumumkan perincian terkini mengenai kempen panggilan semula tersebut, yang melibatkan sejumlah 8,878 buah kenderaan Omoda 5 bagi varian C dan H.

    Walau bagaimanapun, Omoda 5 sebenarnya sudah lagi tidak dijual di Malaysia. Ini kerana ia telah digantikan dengan model facelift dan ditukar nama sebagai Chery O5, di mana ia tidak lagi menggunakan sistem suspensi jenis torsion beam di belakang, dan digantikan dengan sistem jenis multilink yang menggunakan gandar yang berlainan sepenuhnya.

    Dalam insiden yang berlaku pada 2024, Chery sebenarnya telah pun membuat panggilan semula terhadap 600 unit Omoda 5 yang dipercayai terjejas. Panggilan semula tersebut dibuat sebelum pihak JPJ mengeluarkan kenyataan dan notis panggilan semula berhubung perkara itu.

     
  • BYD Seagull generasi kedua diperkenal di China – lima tempat duduk, RWD, jarak gerak hingga 420 km

    BYD Seagull generasi kedua diperkenal di China – lima tempat duduk, RWD, jarak gerak hingga 420 km

    BYD melancarkan Seagull generasi kedua di China dengan perubahan besar dari segi saiz, ruang kabin dan sistem pacuan. Kereta elektrik (EV) kompak ini sekarang 425 mm lebih panjang, menawarkan lima tempat duduk berbanding empat sebelum ini dan beralih kepada sistem pacuan roda belakang. Model baru ini turut dilengkapi teknologi pengecasan pantas BYD yang membolehkan bateri dicas daripada 10% kepada 70% dalam masa lima minit.

    BYD Seagull generasi kedua ditawarkan dalam lima varian dengan harga bermula 65,900 yuan (sekitar RM40,000) hingga 99,900 yuan (sekitar RM61,000). Diskaun tukar beli sebanyak 3,000 yuan turut diberikan, menjadikan harga permulaan turun kepada 62,900 yuan (kira-kira RM38,000). Model ini dilancarkan pada 20 Oktober lalu di Litar Antarabangsa Zhengzhou, China.

    Dari segi dimensi, Seagull baru berukuran 4,205 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,570 mm tinggi, dengan jarak roda 2,650 mm. Selain pertambahan panjang, lebarnya meningkat 95 mm, ketinggian bertambah 30 mm dan jarak roda dipanjangkan sebanyak 150 mm berbanding model terdahulu. Dimensi ini menjadikannya hampir menyamai BYD Dolphin yang berukuran 4,290 mm panjang dengan jarak roda 2,700 mm.

    BYD Seagull generasi kedua diperkenal di China – lima tempat duduk, RWD, jarak gerak hingga 420 km

    Pertambahan saiz turut memberikan ruang lebih luas kepada penumpang belakang, dengan tempat duduk jenis bangku yang boleh memuatkan tiga orang serta ruang pinggul selebar 1,242 mm. Ruang but belakang berkapasiti 380 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,380 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Sebuah ruang simpanan hadapan berkapasiti 94 liter yang boleh dibuka secara elektrik turut disediakan, manakala radius pusingan ialah 4.95 meter.

    BYD menggunakan tema reka bentuk “Marine Aesthetics” dengan lampu posisi hadapan berbentuk trisula serta pekali seretan udara 0.28. Pembeli boleh memilih daripada enam warna badan, iaitu Lime Green, Berry Pink, Mango Orange, Ice Coconut Blue, Cream White dan Sesame Grey.

    Sistem pacuan kini menggunakan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang untuk memacu roda belakang. Dua varian dengan jarak perjalanan 320 km menghasilkan kuasa 85 kW (116 PS), manakala tiga varian dengan jarak perjalanan 420 km menawarkan 95 kW (129 PS). Kedua-dua konfigurasi menghasilkan tork maksimum 130 Nm, dengan pecutan 0-50 km/j dalam 4.9 saat bagi semua varian. Kelajuan maksimum pula ialah 150 km/j.

    BYD Seagull generasi kedua diperkenal di China – lima tempat duduk, RWD, jarak gerak hingga 420 km

    Dari segi casis, suspensi belakang menggunakan sistem multi-link bebas yang menggantikan suspensi torsion beam pada model terdahulu. Bahagian hadapan pula menggunakan tetapaj MacPherson, manakala semua varian dilengkapi brek cakera pada keempat-empat roda dan tayar bersaiz 205/60 R16.

    Seagull generasi kedua menggunakan bateri Blade LFP (lithium iron phosphate) generasi kedua keluaran BYD. Pek bateri 30.1 kWj menawarkan jarak perjalanan sehingga 320 km, manakala bateri 39.2 kWj membolehkan kereta ini bergerak sehingga 420 km mengikut kitaran CLTC China. Penggunaan tenaga bermula daripada 9.0 kWj bagi setiap 100 km, sementara pengecasan AC disokong pada kadar maksimum 7 kW untuk semua varian.

    Teknologi pengecasan pantas hanya ditawarkan pada varian dengan bateri 39.2 kWj, iaitu Ease, Flight dan Smart. Menggunakan stesen pengecasan pantas BYD, bateri boleh dicas daripada 10% kepada 70% dalam lima minit, atau mencapai 97% dalam masa sembilan minit. BYD turut mendakwa pengecasan pada suhu serendah -30 darjah Celsius hanya memerlukan kira-kira tiga minit tambahan berbanding keadaan biasa.

    BYD Seagull generasi kedua diperkenal di China – lima tempat duduk, RWD, jarak gerak hingga 420 km

    Setakat 20 Oktober, BYD telah membina 12,165 stesen pengecasan pantas di China dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 20,000 stesen menjelang akhir tahun ini. Sebagai tawaran pelancaran, pembeli persendirian bagi tiga varian yang menyokong pengecasan pantas turut menerima pengecasan percuma selama 12 bulan di rangkaian stesen berkenaan.

    Semua varian dilengkapi lampu utama LED, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, kunci digital melalui NFC dan Bluetooth, penyaman udara automatik serta kamera 360 darjah. Kelengkapan lain termasuk mod pemantauan keselamatan, beg udara hadapan dan sisi hadapan, fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan tenaga kepada peralatan elektrik serta sambungan 5G dengan kemas kini perisian melalui udara (OTA). Tuil pemilih gear ditempatkan pada tiang stereng, manakala paparan instrumen konvensional digugurkan dan maklumat pemanduan dipaparkan pada skrin tengah.

    Bagi varian asas Vitality dan Ease, kelengkapan merangkumi rim keluli 16 inci, tempat duduk dengan pelarasan manual, sistem audio empat pembesar suara dan skrin sesentuh 12.8 inci. Varian Freedom dan Flight pula menerima rim aloi 16 inci, pintu but berkuasa elektrik, beg udara tirai yang menjadikan jumlah keseluruhan enam beg udara, serta tempat duduk hadapan dengan pelarasan elektrik, pemanas dan pengudaraan. Fungsi urutan untuk pemandu, pengecas telefon tanpa wayar 50 W, lapan pembesar suara, saluran pendingin hawa belakang dan lampu suasana pelbagai warna turut disertakan.

    Varian tertinggi Smart menerima semua kelengkapan Freedom dan Flight, selain skrin sentuh lebih besar berukuran 15.6 inci, kamera papan pemuka dan sistem bantuan pemandu God’s Eye B (DiPilot 300) dengan sensor lidar. Sistem ini menggunakan satu sensor lidar, tiga radar, 12 sensor ultrasonik dan 11 kamera untuk menyokong fungsi pemanduan bantuan, termasuk navigasi dengan kawalan automatik di lebuh raya dan bandar, kawalan jelajah adaptif, bantuan mengekalkan kedudukan di lorong, pemantauan titik buta, parkir automatik serta brek kecemasan autonomous (AEB).

    Bagaimanapun, empat varian lain tidak dilengkapi sistem AEB. Ciri bantuan pemandu bagi varian tersebut terhad kepada kawalan jelajah, kamera 360 darjah dan sensor parkir belakang. Di China, BYD turut menawarkan jaminan sepanjang hayat untuk bateri, motor elektrik dan sistem kawalan elektronik kepada pemilik persendirian pertama, manakala jaminan kenderaan meliputi tempoh enam tahun atau 150,000 km.

    Untuk pasaran luar China, Seagull generasi pertama dipasarkan menggunakan nama berbeza mengikut rantau, termasuk Dolphin Mini di Amerika Latin, Dolphin Surf di Eropah dan Atto 1 di beberapa pasaran seperti Singapura dan Indonesia. Model itu turut dipasang secara tempatan di Indonesia. Bagaimanapun, BYD masih belum mengumumkan bila Seagull generasi kedua akan ditawarkan di pasaran antarabangsa.

    BYD Seagull generasi kedua diperkenal di China – lima tempat duduk, RWD, jarak gerak hingga 420 km

    Di Malaysia, BYD Seagull belum pernah dipasarkan secara rasmi. Peraturan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi EV import sepenuhnya (CBU) yang berkuat kuasa pada 1 Julai menetapkan nilai CIF minimum RM200,000 serta kuasa sekurang-kurangnya 180 kW. Syarat ini menyebabkan model kompak seperti Seagull tidak memenuhi kelayakan untuk dibawa masuk sebagai EV CBU.

    Satu-satunya pilihan untuk model ini memasuki pasaran Malaysia adalah melalui pemasangan tempatan (CKD). Pada 15 Oktober lalu, BYD Malaysia memilih Inokom milik Sime Motors di Kulim, Kedah sebagai rakan pemasangan CKD, namun model yang akan dipasang di kilang berkenaan masih belum diumumkan. EV pemasangan tempatan pula dikecualikan sepenuhnya daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan sehingga akhir 2027.

     
 

Jual kereta anda pada harga lebih tinggi, dibayar dalam 24 jam