Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Dasar sifar lubang W. Persekutuan – menteri mahu aduan jalan berlubang selesai dalam masa 12 jam

    Dasar sifar lubang W. Persekutuan – menteri mahu aduan jalan berlubang selesai dalam masa 12 jam

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa setiap aduan mengenai jalan berlubang di Wilayah Persekutuan perlu diselesaikan dalam tempoh 12 jam berbanding 24 jam sebelum ini. Menurutnya langkah itu selaras dengan “dasar sifar lubang” di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur.

    “Perkara itu penting untuk keselamatan pengguna tambahan pula tahun ini kita berdepan dengan Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan,” katanya dalam laporan Bernama.

    Beliau menyatakan keyakinannya bahawa setiap aduan dapat diselesaikan lebih cepat menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan secara langsung untuk mengesan jalan yang berlubang, dan ini dapat menyelesaikan isu penyelenggaraan bandar.

    Dr Zaliha turut memberitahu semua aduan berkaitan jalan berlubang boleh disalurkan kepada Adu@KL atau mana-mana saluran aduan agensi yang menjadi ahli “KL Strike Force”. Buat masa sekarang beliau menjelaskan aduan yang biasa diterima kebanyakan di kawasan Kuala Lumpur yang dilalui banyak kenderaan serta kawasan laluan perindustrian.

    Menurutnya lagi kini terdapat 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih dan dilengkapi Al telah dipasang di sekitar Kuala Lumpur.

    “CCTV ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan awam tetapi juga akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan termasuk pemantauan secara proaktif dan tindakan lebih pantas kepada situasi kecemasan, insiden trafik mahu pun aktiviti jenayah,” katanya.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan akan gubal akta elak lori sewa tayar untuk pemeriksaan di Puspakom

    Kementerian Pengangkutan akan gubal akta elak lori sewa tayar untuk pemeriksaan di Puspakom

    Bagi mengatasi kegiatan pemilik-pemilik kenderaan berat khususnya lori yang memanipulasi keputusan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan cara menggunakan alat ganti seperti tayar yang hanya di sewa sementara, Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal mengkaji kerangka perundangan sedia ada sekiranya terdapat ruang untuk menggubal undang-undang bagi mengelakkan perkara sedemikian dari terus berlaku, lapor Kosmo.

    Menurut timbalan menterinya, Datuk Hasbi Habibollah dalam Dewan Rakyat hari ini, mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut menyewa tayar yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan ketika membawa kenderaan masing-masing untuk di periksa, namun tayar berkenaan ditukar semula kepada tayar lama atau tidak selamat selepas pemeriksaan selesai.

    “Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu terhadap ekosistem yang terlibat dalam sindiket ini merangkumi pembekal atau kedai yang menawarkan perkhidmatan sewa tayar, orang tengah dan pemilik kenderaan terbabit.

    “MOT melalui JPJ akan mempergiatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dengan melaksanakan pemeriksaan mengejut di lokasi strategik selepas pemeriksaan kenderaan di Puspakom.

    “Selain itu, Pasukan Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) turut ditubuhkan oleh JPJ untuk meningkatkan pematuhan kenderaan perdagangan terhadap peraturan, khususnya di lebuh raya dan laluan utama yang mempunyai aliran trafik tinggi,” katanya.

    Beliau memberitahu perkara ini ketika menjawab pertanyaan, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang ingin tahu berapa jumlah kedai tayar dan bengkel yang telah diambil tindakan kerana menyewakan tayar kepada lori sebagai helah semasa pemeriksaan di Puspakom.

    Pada masa yang sama Hasbi turut menyatakan bagi masa jangka masa panjang, MOT dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan mengkaji kaedah yang lebih efektif dengan menggunakan penerapan teknologi bagi menangani isu manipulasi sewa tayar bagi kelulusan pemeriksaan kenderaan.

     
     
  • BHPetrol, TNB Electron rasmikan stesen pengecas DC 200 kWj yang pertama, terletak di Jln. Genting Klang

    BHPetrol, TNB Electron rasmikan stesen pengecas DC 200 kWj yang pertama, terletak di Jln. Genting Klang

    BHPetrol dengan rakan strategiknya TNB Electron hari ini merasmikan Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCS) di BHPetrol Jalan Genting Klang 1. Premis tersebut telah dijadikan tapak contoh bagi pemasangan pengecasan TNB berkelajuan tinggi 200 kWj DC yang pertama.

    Selain itu, dua lagi stesen BHPetrol yang sedang dalam proses pemasangan pengecas EV yang sama, iaitu di BHPetrol Karak–KL dan BHPetrol Ladang Bikam (U) yang terletak di lebuhraya utama untuk kemudahan pemanduan jauh. Setiap lokasi akan menempat dua penegcas berkapasiti tinggi 200 kWj DC, melibatkan enam pengecas keseluruhannya.

    BHPetrol, TNB Electron rasmikan stesen pengecas DC 200 kWj yang pertama, terletak di Jln. Genting Klang

    Stesen pengecasan TNB Electron yang bertempat di BHPetrol Jalan Genting Klang 1 ini dijangka akan memberi tenaga pengecasan sebanyak 1,200MWh dalam tempoh lima tahun. Ini berpotensi untuk mengurangkan 460 tan metrik pembebasan CO2 dalam tempoh yang sama.

    Kerjasama antara BHPetrol dan TNB Electron untuk membangunkan kemudahan pengecasan EV di stesen BHPetrol seluruh Semenanjung Malaysia adalah selaras dengan sasaran kerajaan melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) bagi mencapai penggunaan EV sebanyak 15% daripada jumlah industri pada tahun 2030 dan 80% menjelang tahun 2050 — sejajar dengan Low Carbon Mobility Blueprint dan National Energy Transition Roadmap.

    BHPetrol, TNB Electron rasmikan stesen pengecas DC 200 kWj yang pertama, terletak di Jln. Genting Klang

    “BHPetrol amat berbesar hati kerana berpeluang menjadi sebahagian penyumbang dalam langkah Malaysia mencapai net zero carbon selewat-lewatnya pada tahun 2050, seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Kami percaya, inisiatif ini bakal memberi impak yang positif kepada pertumbuhan infrastruktur EV di Malaysia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.

    Bagi melengkapi infrastruktur industri EV yang semakin meningkat, BHPetrol mengambil inisiatif untuk bekerjasama membangunkan tempat pengecasan di stesen BHPetrol dengan TNB serta dua lagi Charger Point Operator (CPO) mengikut ketetapan kriteria melalui penelitian dari pelbagai segi yang telus oleh pihak pengurusan BHPetrol.

     
     
  • Kos selenggara Proton eMas 7 — kurang RM1.6k untuk lima tahun, berbanding RM5.2k untuk Proton X70

    Kos selenggara Proton eMas 7 — kurang RM1.6k untuk lima tahun, berbanding RM5.2k untuk Proton X70

    Ramai yang percaya bahawa kos penyelenggaraan kenderaan elektrik adalah lebih rendah berbanding kereta enjin pembakaran dalaman (ICE). Dan, hal itu benar jika kita bandingkan kos selenggara antara Proton eMas 7 dan X70 — dua SUV daripada Proton ini.

    Kedua-duanya merupakan SUV dalam segmen C yang dijual dengan tanda harga yang hampir sama: eMas 7 bermula dari RM105,800 hingga RM119,800 (atas jalan belum termasuk insurans), sementara X70 pula dijual bermula dari RM99,800 hingga RM126,800. Untuk memilih antara keduanya, pembeli perlu memilih sama ada untuk menukar gaya hidup dengan penggunakan EV atau sebaliknya.

    Jadi, berapa banyak penjimatan ke atas kos penyelenggaraan eMas 7 ini? Berdasarkan data rasmi daripada Proton, eMas 7 memerlukan kos penyelenggaraan hanya RM1,575.48 bagi tempoh lima-tahun. Sebagai perbandingan, X70 pula memerlukan RM3,612.58 atau 229% lebih mahal bagi tempoh sama, dengan kos keseluruhan RM5,188.06.

    Kenderaan ICE memerlukan lebih banyak penukaran komponen enjin dan pacuan berbanding EV, seperti yang dapat dilihat daripada jadual penyelenggaraan lima-tahun bagi X70. Selain daripada jaminan lima-tahun standard, X70 memerlukan penukaran timing belt dan drive belt ketika mencecah 110,000 km/66-bulan penggunaannya, yang melibatkan kos tambahan RM236.52 belum termasuk kos pekerja.

    Kos selenggara Proton eMas 7 — kurang RM1.6k untuk lima tahun, berbanding RM5.2k untuk Proton X70

    Bagi eMas 7 pula, Proton hanya menyenaraikan empat barangan dalam jadual penyelenggaraannya, yang hanya melibatkan penukaran minyak gear, coolant bagi motor elektrik, bendalir brek dan penapis udara kabin. Senggang waktu jadual penyelenggaraan EV ini juga lebih panjang berbanding X70, seperti berikut:

    • Servis pertama: eMas 7 (5,000 km/3 bulan); X70 (1,000 km/1 bulan)
    • Servis kedua: eMas 7 (25,000 km/12 bulan); X70 (10,000 km/6 bulan)
    • Servis berikutnya: eMas 7 (setiap 20,000 km/12 bulan); X70 (setiap 10,000 km/6 bulan)

    Tentunya ada kos penggunaan dan pemilikan lain yang turut terlibat: misalnya untuk tayar. Dalam hal seperti ini, eMas 7 tidak lari jauh daripada keperluan X70. Size tayar eMas 7 ialah antara 18-19 inci, sementara X70 dari 17-inci hingga 19-inci. X70 juga menggunakan tayar biasa dan bukannya yang spesifik untuk EV seperti eMas 7, yang biasanya lebih mahal.

    Selain itu, eMas 7 mempunyai berat antara 1,662 dan 1,765 kg, yang tidaklah terlalu berbeza daripada X70 yang berada antara 1,585 kg hingga 1,610 kg (beza paling besar ialah 180 kg). Dengan ciri regenerative braking, pad brek eMas 7 juga boleh bertahan lebih lama berbanding X70.

    Kos selenggara Proton eMas 7 — kurang RM1.6k untuk lima tahun, berbanding RM5.2k untuk Proton X70

    Dengan insentif EV yang ada sekarang, anda tidak perlu membayar cukai jalan untuk eMas 7, sekurang-kurangnya hingga hujung tahun ini. Tahun depan akan bermula pelaksanaan cukai jalan baru berdasarkan kilowatt (kW) untuk EV. Dengan 160 kW, anda perlu membayar RM180 pada 2026 nanti. X70 pula dengan enjin 1.5 liter (1,477 cc) turbocas tiga-silinder petrolnya dikenakan cukai jalan sebanyak RM90 setahun.

    Berkaitan penggantian bateri, Proton memaklumkan pihaknya akan membuat gantian penuh sekiranya kesihatan bateri berada di bawah 70% dalam tempoh 160,000 km atau lapan-tahun — BYD dan Chery juga menawarkan hal yang sama. Bateri merupakan komponen paling mahal pada EV, jadi jaminan ini sangat melegakan pengguna.

    Ringkasnya, eMas 7 lebih murah untuk diselenggara dalam tempoh 100,000 km/60 bulan berbanding X70. Namun, jika memilih EV, anda perlu mengubah cara penggunaan terhadap kenderaan.

    Kos selenggara Proton eMas 7 — kurang RM1.6k untuk lima tahun, berbanding RM5.2k untuk Proton X70

    Satu cas penuh eMas Premium yang paling lengkap akan memberikan jarak perjalanan 410 km mengikut WLTP (345 km untuk Prime). Jika jauh dari rumah (dengan andaian anda ada wallbox sendiri), anda perlu mencari stesen pengecas awam di lokasi yang mungkin jauh, dan perlu meluangkan masa untuk mengecas bateri. Kedua-dua varian eMas (Prime, 49.52 kWj; Premium, 60.22 kWh) menyokong pengecasan pantas DC yang membolehkan bateri mencapai tahap 30%-80% SoC dalam masa 20 minit.

    Bagaimanapun, ini hanya boleh dicapai dengan pengecas DC awam, dan dirumah biasanya hanya ada wallbox AC — dengan pengecasan biasa ini, eMas mampu menampung 11 kW, dengan 10%-80% SoC mengambil masa 4.9 jam (Prime) atau 6.1 jam (Premium). Untuk X70, hanya memerlukan beberapa minit untuk membuat isian semula di stesen petrol (penggunaan minyaknya 7.3 liter per 100 km, atau sekitar 800 km untuk satu tangki penuh).

    Jadi, mana satu pilihan anda? Kekal dengan kenderan ICE atau beralih kepada EV?

     
     
  • JPJ siar kempen panggil balik terkini model termasuk Mercedes-Benz, Honda, Kia, Ford, Audi, MAN TGS

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggilan balik (product recall) bagi beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima yang membabitkan jenama Mercedes Benz, Honda, Kia, Ford, Audi dan dan lori keluaran Man TGS yang melibatkan sejumlah 41,688 kenderaan.

    Honda
    Disebabkan bunyi yang tidak normal dan pusingan tidak lancar pada stereng sewaktu membelok.

    • Honda Civic 1.5E, V, RS, 2.0L e:HEV RS (keluaran 2022-2024) – 26,802 unit
    • Honda Civic Type R (keluaran 2023-2024) – 159 unit
    • Honda CRV 1.5 E, V, S, 2.0L e:HEV RS (keluaran 2024) – 9,717 unit

    Kia

      Kerosakan pada rod bearing penyambung enjin

    • Kia Sorento XM (keluaran 2022-2015) – 1,384 unit
    • Kenderaan mungkin mengalami litar pintas elektrik yang boleh menyebabkan kebakaran pada circuit board hydraulic electronic control unit.

    • Kia Sorento XM (keluaran 2010-2014) – 2,861 unit

    Ford

      Bateri e-shifter susut teruk sewaktu pemanduan.

    • Ford Everest 2.0L Titanium 4WD AT (keluaran 2022-2024) – 8 unit
    • Masalah tingkap sebelah pemandu dan penumpang hadapan

    • Ford Everest 2.0L Sport 2WD 6AT (keluaran 2022-2024) – 44 unit
    • Ford Everest 2.0L Titanium 4WD AT (keluaran 2022-2024) – 214 unit
    • Ford Everest 2.0L Trend 4WD AT (keluaran 2022-2024) – 12 unit
    • Ford Everest 2.0L Wildtrak 4WD AT (keluaran 2022-2024) – 10 unit

    Audi

      Rekahan pada hos brek bahagian gandar hadapan kemungkinan berlaku dari semasa ke semasa.

    • Audi e-tron GT (keluaran 2022-2024) – 48 unit
    • Audi RS e-tron GT (keluaran 2022-2024) – 49 unit
    • Bateri voltan tinggi yang bermasalah.

    • Audi e-tron GT (keluaran 2022-2023) – 32 unit
    • Audi RS e-tron GT (keluaran 2022-2023) – 39 unit

    Mercedes-Benz

      Kawalan lambda dalam perisian unit kawalan enjin mungkin tidak memenuhi spesifikasi.

    • Mercedes-Benz S 580 e (keluaran 2020-2023) – 9 unit
    • Penyambung elektrik untuk rangkaian pendawaian transmisi mungkin tidak dihasilkan dengan betul.

    • Mercedes-AMG E 53 (keluaran 2017-2022) – 3 unit
    • Mercedes-AMG CLS 53 (keluaran 2017-2022) – 4 unit
    • Mercedes-AMG GT 43 (keluaran 2017-2022) – 1 unit
    • Mercedes-AMG GT 53 (keluaran 2017-2022) – 1 unit

    MAN TGS

      Masalah pada soket 24V dalam panel instrumen. Kesemuanya melibatkan keluaran 2021-2023 dan sebanyak 291 unit.

    • TGS 18,360 4×2 BL SA
    • TGS 33,540 6×4 BB SA
    • TGS 28,440 6×2 BL SA
    • TGS 33,480 6×4 BB SA

    Menurut JPJ, pihak pengeluar akan menghubungi pemilik-pemilik kenderaan yang berkenaan untuk membuat penetapan tarikh temujanji serta membawa kenderaan untuk pemeriksaan dan menjayakan aktiviti pemanggilan semula yang dilaksanakan ini.

    “Aktiviti pemanggilan semula produk ini penting bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan oleh kecacatan pada struktur atau peralatan yang ada pada kenderaan tersebut. Setiap pemilik kenderaan yag terlibat akan dihubungi oleh syarikat pengeluar kenderaan masing-masing bagi penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan. Oleh yang demikian, semua pemilik kenderaan yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi memolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan dapat dijalankan secepat mungkin.

    “Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pengeluar kenderaan masing-masing,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Volvo EX90 dilihat di Malaysia sebelum dilancarkan tahun ini – SUV EV tiga-baris tempat duduk, 517 PS

    Volvo EX90 dilihat di Malaysia sebelum dilancarkan tahun ini – SUV EV tiga-baris tempat duduk, 517 PS

    Awal bulan ini Volvo Cars Malaysia (VCM) ada mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan Volvo EX90 pada tahun ini. Nampaknya pelancaran tersebut kini semakin hampir kerana unit awalan SUV EV dengan tiga baris tempat duduk berkenaan telah pun dijumpai oleh pembaca paultan.org, Ismail Mohd di Petaling Jaya hari ini.

    Volvo EX90 merupakan penawaran versi EV untuk model dengan enjin pembakaran dalaman Volvo XC90. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar.

    Ia didedahkan pada peringkat global pada November 2022, namun produksinya hanya bermula pada pertengahan 2024 – ini mungkin sebab mengapa pengenalannya di Malaysia sepatutnya pada dibuat pada suku ke-empat tahun lalu ditunda ke tahun ini. Ia juga sebenarnya sudahpun dilancarkan di Thailand tahun lalu, ditawarkan dalam tiga varian.

    Varian asas di Thailand dikenali sebagai Twin Motor Plus yang menawarkan tujuh-tempat duduk, serta konfigurasi dua motor elektrik bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda. Secara keseluruhan kedua-dua motor berkenaan menghasilkan 408 PS (300 kW) dan tork 770 Nm, membolehkan SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.9 saat.

    Varian pertengahan pula dikenali sebagai Twin Motor Performance Ultra dalam versi tujuh-tempat duduk, manakala yang paling mahal pula adalah Twin Motor Performance Ultra dengan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah. Kedua-dua varian ‘Performance Ultra’ ini menerima kuasa keserluruhan 517 PS (380 kW) dan 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Kesemua varian tersebut juga dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan model asas Twin Motor Plus bergerak sejauh 600 km manakala varian lebih berkuasa Twin Motor Performance Ultra pula bergerak sejauh 590 km – angka-angka ini adalah berdasarkan ujian WLTP.

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.

    Model asas EX90 di Thailand ini diberikan kelengkapan standard seperti rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, bumbung panaromik, paparan instrumen digital dengan skrin 9-inci, skrin infotainmen bersaiz 14.5-inci, sistem bunyi Bose dengan 14-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa empat zon.

    Untuk varian Performance Ultra pula ia diberikan tambahan tingkat taraf seperti suspensi udara dengan penyerap hentak adapatif, lampu LED piksel berdefinasi tinggi dan lampu tinggi aktif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, dan juga sistem bunyi 3D Bowers & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

    Masih tiada sebarang petunjuk berkenaan harga EX90 ini untuk pasaran Malaysia. Dan sekali lagi maklumat dari pasaran Thailand boleh dijadikan panduan – di sana varian asas Plus/Twin Motor dijual pada harga bermula 4.29 juta baht (sekitar RM565k), manakala varian Ultra/Twin Motor Performance dijual pada harga bermula 4.89 juta baht (RM644k).

     
     
  • Kia PV5 — gambar van penumpang dan kargo ditunjuk

    Kia PV5 — gambar van penumpang dan kargo ditunjuk

    Kia telah mendedahkan gambar awal model produksi PV5, sebuah van elektrik pertama keluarannya yang ditunjuk dalam bentuk van penumpang dan van kargo. PV5 merupakan model pertama Kia daripada barisan kenderaan Platform Beyond Vehicle (PBV) yang akan menampilkan teknologi EV Kia terkini. Model ini juga akan ditawarkan dalam beberapa konfigurasi.

    Varian penumpang dan kargo yang ditunjukkan ini antara lain tampil dengan bahagian lengkuk roda geometrik hitam dan rocker panel untuk memberikan karakter imej ala SUV dan off-road yang lasak. Di depan, kemasan hitam dan lampu unik membawakan identiti baru jenama ini.

    Antara yang membezakan dua varian ini adalah rekaan pintu belakangnya, dengan versi penumpang dengan pintu bukaan ke atas seperti biasa, manakala versi cargo dengan pintu bukaan ke tepi untuk memudahkan keluar-masuk barangan. PV5 Cargo juga tampil lebih berkotak berbanding versi penumpang — untuk pengurusan ruang yang lebih cekap.

    Kia PV5 — gambar van penumpang dan kargo ditunjuk

    PV5 Concept yang ditunjukkan tahun lalu ketika Consumer Electronics Show (CES) menggunakan platform E-GMP yang diubah suai dan memanfaatkan tetapan motor di depan dan senibina elektrikal 400-volt (dan bukannya 800-volt seperti EV6 dan EV9).

    Sebuah lagi van EV yang menggunakan penawaran yang sama ialah Volkswagen ID. Buzz, yang ditawarkan dalam versi penumpang dan juga cargo — dengan versi kargo turut dihadirkan dalam bentuk jarak roda panjang untuk lebih ruang barangan di dalam.

    Kia bagaimanapun belum mendedahkan spesifikasi teknikal bagi PV5 Passenger dan PV5 Cargo, dengan maklumat lanjut akan mula dikeluarkan pada 24 Februari ini. Barisan model lain bagi kenderaan komersial Kia ini nanti turut akan disertai oleh model-model akan datang seperti PV1, PV3 dan PV7.

     
     
  • Denza Z9 GT PHEV dipertontonkan di Malaysia – 3 e-motor, 2.0T generator, 870 PS, jarak gerak EV 201 km

    Denza Z9 GT PHEV dipertontonkan di Malaysia – 3 e-motor, 2.0T generator, 870 PS, jarak gerak EV 201 km

    Denza Malaysia telah mengadakan kejutan dengan menampilkan Denza Z9 GT PHEV di atas pentas utama dalam majlis pelancaran Denza D9 hari ini. Versi fastback-hatchback-shooting-brake ini adalah lebih kurang sama dengan Zeekr 001 dan Porsche Taycan Sport Turismo. Malah Z9 GT PHEV ini juga akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dan ia telah disahkan sendiri oleh Denza Malaysia tanpa memaklumkan jangkaan masanya.

    Sebelum ini Denza memang ada membangunkan model prestasi bagi PHEV dengan menggunakan ketatapan DM-p 490 PS sedia ada oleh BYD, namun untuk Z9 GT ini ia menggunakan keseluruhan larasan berbeza. Ia menampilkan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder yang berfungsi sebagai generator untuk menjanakan tiga motor elektrik termasuk dua di belakang untuk penvektoran tork yang lebih tepat bagi menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 870 PS, yang membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.6 saat.

    Selain angka prestasinya, Denza juga mendakwa fastback-hatchback-shooting-brake ini mampu mencapai jarak gerak dengan rangkaian elektrik sekitar 201 km dan apabila tahap baterinya menyusut, ia masih boleh dipacu dengan penggunaan bahan api iaitu sekitar 5.6 liter bagi setiap 100 km.

    Denza Z9 GT PHEV dipertontonkan di Malaysia – 3 e-motor, 2.0T generator, 870 PS, jarak gerak EV 201 km

    Namun di China, ia juga ada versi EV yang lebih menakjubkan dengan gandingan tiga motor tanpa penjana kuasa petrol yang boleh meledakkan hingga 963 PS/710 Nm, mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 3.4 saat. Manakala bateri 100 kwj boleh memberikan jarak gerak hingga 630 km mengikut kitaran CLTC.

    Untuk mengekalkan kesemua prestasinya, Z9 GT ini turut didatangkan dengan dual-chamber air suspension secara standard, memberikan jarak dari tanah (ground clearance) dari 105 kepada 155 mm, bersama stereng roda belakang dinaikkan kepada sudut 20-darjah, memendekkan jejari pusingan menjadi hanya 4.62 m.

    Z9 GT memiliki ukuran dimensi 5,180 mm panjang dan 1,990 mm lebar, menjadikan ia 217 mm lebih panjang dan 24 mm lebih lebar berbanding Taycan Sport Turismo, sementara jarak rodanya mencecah 3,125 mm iaitu lebih panjang sebanyak 225 mm.

    Dengan dimensi yang diberikan itu membuatkan Denza lebih rendah, ditambah pula dengan garisan bumbung yang melunjur dan cermin belakang yang bagai melengkung ke dalam. Sementara itu, kelebaran jentera ini lebih jelas kelihatan dengan penekanan lampu hadapan dua tingkat dan lampu belakang juga yang lebar, dengan kedua-duanya diberikan rekaan grafik berilhamkan jam pasir seperti logo Denza.

    Di dalamnya, serlahan serba mewah, termasuk rekaan papan pemuka yang nampak mahal, konsol tengah ala terapung dan kulit Nappa yang membuatkannya lebih sofistikated. Z0 GT versi China yang diperkenalkan pada tahun lalu turut diserlahkan dengan instrumen pada cermin hadapan dan paparan penumpang hadapan bersama skrin sesentuh tengah ala terapung, ditambah dengan dua lagi skrin paparan untuk kamera pandangan-sisi.

    Turut ditampilkan tempat duduk penumpang belakang “zero-graviti”, sistem bunyi Devialet dan bumbung kaca panoramik yang dipisahkan tirai gelangsar hadapan dengan belakang.

    Apabila ia tiba di pasaran Malaysia kelak, pastinya ada versi pemanduan sebelah-kanan. Untuk China, versi EV ditawarkan dengan harga RMB359,800-385,800 (RM219k-235k). Agak-agak bila berapakah harganya untuk Malaysia?

    Denza Z9 GT PHEV di majlis pelancaran Denza D9 untuk Malaysia

     
     
  • Hari pertama peluasan larangan masuk kenderaan berat pada waktu puncak – ELITE 30% lebih lancar

    Hari pertama peluasan larangan masuk kenderaan berat pada waktu puncak – ELITE 30% lebih lancar

    Akhbar The Star melaporkan bahawa aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) kini 30% lebih lancar ketika waktu puncak pada hari pertama peluasan larangan pergerakan kenderaan berat dilaksanakan.

    “Purata kelajuan kenderaan pada waktu puncak di sepanjang lebuh raya ini telah meningkat sekitar 30 km/j hingga 40 km/j, berbanding sekitar 10 km/j hingga 20 km/j sebelum larangan baharu ini dibuat,” kata ASP Amir Che Ya, ketua pegawai operasi lebuh raya zon B jabatan siasatan dan penguatkuasaan trafik (JSPT).

    “Kami juga melihat kebanyakan pemandu kenderaan berat telah menyesuaikan diri dengan larangan baharu ini, dengan ramai yang berhenti di lokasi rehat (R&R) yang ditetapkan sejurus sebelum larangan pergerakan kenderaan berat ketika waktu puncak pagi. Mereka kemudian meneruskan perjalanan selepas tempoh sekatan tamat tanpa sebarang masalah,” tambahnya.

    “Ada sebilangan yang tidak bersetuju kerana mereka tidak faham mengapa sekatan ini dilaksanakan, tetapi penglibatan keseluruhan kami dengan pihak berkepentingan telah diterima dengan baik,” kata pengurus besar kanan PLUS Mohd Yusuf Abdul Aziz pula.

    Hari pertama peluasan larangan masuk kenderaan berat pada waktu puncak – ELITE 30% lebih lancar

    Bermula pada 19 Februari iaitu semalam, peluasan larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak mula dilaksanakan di jajaran beberapa lebuhraya untuk ke dan dari bandaraya Kuala Lumpur. Peraturan ini diwartakan oleh kerajaan pada Oktober 2024, dan ia adalah untuk melancarkan aliran trafik di Lembah Klang dengan larangan kenderaan berat yang bergerak perlahan semasa waktu puncak.

    Sebelum ini, larangan berkenaan hanya diwartakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan disambungkan ke Lebuhraya NKVE, khususnya di laluan Sungai Buloh-Bukit Lanjan (KM456.0 hingga KM459.3, kedua-dua arah) dan dari Shah Alam ke Jalan Duta (KM9 hingga KM31, kedua-dua arah), pada waktu puncak pagi (6.30 pagi hingga 9.30 pagi).

    Menerusi peraturan baharu yang mula dilaksanakan tersebut, peraturan yang sama diaplikasikan untuk waktu puncak petang, dari 4.30 petang hingga 7.30 malam. Selain itu, Lebuhraya ELITE (Shah Alam ke Bandar Saujana Putra, KM1.03 hingga KM16.2, kedua-dua arah) dan Lebuhraya DUKE juga termasuk dalam larangan pergerakan lori, iaitu pada waktu puncak pagi dan petang (sama seperti NKVE).

    Peraturan ini adalah untuk semua kenderaan berat Kelas 2 dan Kelas 3 tidak termasuk bas. Kelas 2 merujuk kepada lori dengan dua gandar dan enam roda manakala lori Kelas 3 mempunyai tiga gandar atau lebih. Walau bagaimana pun, kenderaan berat yang terlibat dalam pembersihan dan pelupusan sisa domestik, perkhidmatan kecemasan, penguatkuasaan undang-undang dan penyelenggaraan lebuh raya adalah dikecualikan dari larangan pergerakan yang dinyatakan ini.

     
     
  • Denza D9 dilancarkan di Malaysia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; harga dari RM259k

    Denza D9 dilancarkan di Malaysia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; harga dari RM259k

    Sime Motors yang membawa masuk jenama Denza ke pasaran Malaysia telah melancarkan MPV elektrik, Denza D9 selepas ia dipertontonkan secara eksklusif untuk media tempatan pada minggu lalu. Denza merupakan jenama premium yang berada di bawah naungan BYD yang kini makin mendunia dalam pengenalan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) hingga mampu memintas kedudukan Tesla.

    Untuk pasaran Malaysia, Denza D9 ditawarkan dengan dua varian iaitu Advanced yang merupakan versi pacuan roda-hadapan (FWD) dengan harga RM259,000 dan Premium yang dilengkapi sistem pacuan semua-roda (AWD) pula berharga RM309,000. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Sempena dengan pelancarannya, ia diberikan tawaran ekslusif dengan wallbox 22 kW percuma termasuk pemasangan, penyelenggaran percuma enam-tahun atau 120,000 km, bantal leher dan pinggang serta beg Denza. Tempahan bagi Denza D9 ini juga sudah dibuka sejak 22 Januari lalu.

    Denza D9 dilancarkan di Malaysia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; harga dari RM259k

    Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2022, MPV elektrik ini berukuran 5,250 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,920 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 3,110 mm, dan Denza D9 ini dikatakan mampu memberikan persaingan buat Toyota Alphard/Vellfire dan Zeekr 009.

    Bagi varian Advanced FWD, ia dilengkapi motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan hamburan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 360 Nm. Bagi MPV seberat 2,764 kg ini, ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.5 saat dan jarak gerak maksimum cecah 520 km (WLTP) atau 620 km mengikut standard CLTC.

    Untuk varian tertinggi Premium AWD pula, ditampilkan dengan motor elektrik tambahan yang dipasang di belakang dengan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan tork 110 Nm, memberikan keseluruhan kuasa bagi sistem pacuan semua-roda mencecah 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan tork 470 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai pada 6.9 saat, dan jarak geraknya pula sekitar 480 km (WLTP) atau 600 km mengikut standard CLTC.

    Kedua-dua versi penjana kuasa ini didatangkan dengan kapasiti bateri yang sama iaitu unit Blade lithium iron phosphate (LFP) 103 kWh dan D9 boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 166 kW dan AC 11 kW. Jika menggunakan pengecas DC, ia mampu mencapai status pengecasan antara 30-80% dalam masa sekitar 30 minit dan dalam 10 minit pengecasan, ia boleh memberikan jarak gerak sekitar 150 km.

    D9 juga dilengkapi dengan sistem e3 DENZA yang berkuasa merangkumi tiga motor elektrik, stereng roda belakang, teknologi Cell-to-Body (CTB), dan Kawalan Pergerakan Kenderaan (VMC), menghasilkan prestasi unggul dalam pelbagai keadaan pemanduan. Untuk FWD, ia diberikan suspensi peredam boleh laras Frequency Selective .Manakala bagi AWD, ia diberikan tambahan sistem kawalan badan pintar DiSus meningkatkan pengalaman pemanduan dengan suspensi aktif DiSus-C untuk kestabilan dalam semua keadaan dan DiSus-A untuk pelarasan dinamik, memaksimumkan keselesaan serta mengoptimumkan keupayaan luar jalan.

    Untuk penampilan luarannya, Denza D9 diserlahkan dengan gril hadapan Motion yang menampakkan imej yang garang, lampu utama LED automatik dengan lampu tinggi pintar, Intelligent sensor dynamic welcome headlights, lampu nyalaan siang (DRL) LED dan lampu belakang berbentuk anak panah.

    Selain itu, ia juga ditampilkan dengan bumbung suria elektronik dengan bumbung panoramik 1.1 meter, dua lapisan kaca penebat bunyi, cermin sisi larasan elektronik, pintu gelangsar untuk kedua-dua sisi, dan roda aloi pelbagai-jejari bersaiz 18-inci dibaluti tayar Michelin/Marlin.

    Denza D9 dilancarkan di Malaysia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; harga dari RM259k

    Ruang dalaman antara ciri yang paling ingin ditonjolkan oleh pengeluar kereta ini, dengan D9 mampu memuatkan tujuh penumpang dewasa dengan selesa biarpun berketinggian sekitar 180 cm. Sementara ini, ruang kargonya pula berkapasiti 410 liter, dan boleh mencecah hingga 2,310 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan. Dan Denza mendakwa ruang itu boleh menempatkan sekitar tujuh beg 20-inci dan tujuh beg sandang. Ruang kabinnya juga dikatakan agak senyap, dengan tahap kebisingan sekitar 64.6 dBA apabila dipacu dalam kelajuan sekitar 120 km/j.

    Ciri kelengkapan standard termasuk elemen kemasan wood veneer asli, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup-enjin, penghidup kawalan kenderaan/pendingin hawa, pencahayaan ambien pelbagai-warna dan sistem kawalan suhu automatik dengan tiga-zon, corong udara individual untuk barisan tengah dan belakang, paparan skrin sesentuh sentral 15.6-inci (tidak boleh dipusingkan) dan skrin instrumen digital 10.25-inci dan sistem audio HiFi dengan 14-pembesar suara Danner.

    Spesifikasi umumnya juga termasuk tiga alas pengecasan tanpa wayar 50 watt (satu di barisan hadapan, dua di barisan kedua), enam unit port USB (satu Type A, lima Type C), dan Remote High Temperature Sterilization and Disinfection, dan ruang peti sejuk berkapasiti 6.8 liter dengan dwi kawalan suhu (yang boleh dilaras antara 06 dan 50-darjah celsius) yang diletakkan di bawah perehat tangan di antara tempat duduk hadapan.

    D9 juga didatangkan dengan upholstery kulit premium dan headlining fabrik, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-hala dan pengaliran udara serta tempat duduk kapten larasan kuasa pada barisan kedua, setiap satunya diberikan skrin digital dan dilengkapi dengan corong pemanas/pengaliran udara serta fungsi 10-titik mengurut.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan tempat duduk larasan manual enam-cara untuk barisan ketiga, pencahayaan ambien, sistem pembersihan udara PM2.5 dengan negative ion purifier dan tailgate kuasa. Namun untuk varian tertinggi, ia diberikan ciri tambahan termasuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadpaan dengan fungsi mengurut dan memori, upholstery kulit Nappa, textured suede headlining dan paparan utama.

    Bagi kelengkapan bantuan pemandu dan keselamatan, ia diberikan lapan beg udara dan set ADAS termasuk kawalan kelajuan adaptif, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan autonomous, kepekaan trafik lintasan belakang dan hadapan dengan brek auto, amaran pelanggaran belakang, pemantauan titik buta, amaran ketibaan lorong dan bantuan kekal lorong kecemasan, pengesan isyarat trafik, kawalan pemanduan pintar, Ultrasonic radar, High Precision Millimeter Wave Radar, Smart Driving Surround View Camera dan Smart Driving High Perception Camera.

    Untuk pilihan warna luarannya, untuk pasaran Malaysia, Denza D9 ditawarkan dengan rona Arctic White, Whale Sea Blue dan Cosmos Black. Manakala untuk rona dalam kabin pula ialah coklat dan varian AWD Whale Sea Blue ditawarkan dengan tambahan warna Beige.

    Denza D9 Advanced FWD

    Denza D9 Premium AWD

     
     
  • Mazda 6e akan dilancarkan di Thailand tahun ini – mungkin Malaysia juga terima sedan EV yang sama?

    Mazda 6e akan dilancarkan di Thailand tahun ini – mungkin Malaysia juga terima sedan EV yang sama?

    Mazda telah mengumumkan beberapa perancangannya untuk pasaran Thailand yang melibatkan pengenalan model EV, PHEV dan hibrid baharu, serta pelaburan tambahan untuk fasiliti pemasangannya di negara tersebut. Menerusi pengumuman ini, jenama automotif Jepun berkenaan menegsahkan bahawa sedan EV penerus bagi model Mazda 6 iaitu Mazda 6e akan dilancarkan di Thailand tahun ini. Model berkenaan dibangunkan di China bersama pengeluar automotif negara tersebut iaitu Changan.

    Ia baru sahaja dilancarkan di sana pada November tahun lalu (dikenali sebagai Mazda EZ-6 di China), dihasilkan menggunakan platform EPA Hybrid yang sama dengan sedan EV Deepal L07, iaitu jenama di bawah Changan. Malah pada bulan lalu Mazda 6e ini turut sudah disahkan akan menembusi pasaran Eropah tahun ini.

    Di benua berkenaan, Mazda 6e bakal ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa iaitu Mazda 6e dan Mazda 6e Long Range. Bagi model asas Mazda 6e, ia dilengkapi dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 68.8-kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 479 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 258 PS dan tork 320 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Mazda 6e akan dilancarkan di Thailand tahun ini – mungkin Malaysia juga terima sedan EV yang sama?

    Manakala bagi Mazda 6e Long Range, ia menerima bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 80-kWj yang, memberikan jarak gerak sejauh 552 km. Jarak yang lebih jauh ini bukan hanya disumbang oleh bateri lebih besar, malah kuasa yang dihasilkan pada motor elektrik juga lebih rendah iaitu 245 PS dan tork 320 Nm. Kelajuan maksima masih sama pada 175 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j adalah sedikit lambat iaitu 7.8 saat.

    Mazda turut dijangka akan membawa satu lagi model baharu yang dibangunkan di China bersama Changan iaitu SUV yang diasaskan dari model konsep Arata yang telah didedahkan di Beijing tahun lalu. Versi produksi untuk SUV berkenaan dijangka akan dikenali sebagai Mazda CX-6e, dan ia akan diasaskan dari Deepal S05.

    Selain itu, Mazda turut akan melancarkan beberapa model elektrifikasi ‘asli’ dari jenama tersebut ke Thailand termasuk CX-80 dalam versi plug-in hybrid (PHEV) dan hibrid ringkas, serta CX-60 dalam versi hibrid ringkas.

    Mazda 6e akan dilancarkan di Thailand tahun ini – mungkin Malaysia juga terima sedan EV yang sama?

    Dalam pengumuman ini juga Mazda menyatakan bahawa ia akan menyuntik pelaburan sebanyak lima bilion baht (RM658.9 juta) kepada kilang pemasangan AutoAlliance Thailand (AAT), yang bakal membolehkan fasiliti tersebut menjadi hab SUV kompak dengan kapasiti pengeluaran 100,000 unit setahun.

    Menurut Mazda langkah ini akan memperkasakan peranan kilang tersebut sebagai pangkalan eksport yang difokuskan kepada pasaran Jepun dan Asia Tenggara, serta mempertingkatkan jualannya di Thailand sendiri.

    Berbalik kepada Mazda 6e, ada kemungkinan model berkenaan turut akan dibawa ke Malaysia. Ini kerana pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto telah pun mewujudkan subsidiari Bermaz Changan dan dianugerahkan hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia pada November tahun lalu, dan dijangka bakal melancarkan Deepal S05 dan S07 pada pertengahan 2025.

    Dengan adanya Deepal S05 disini, tidak mustahil Bermaz turut akan membawa Mazda 6e ke sini kerana kedua-dua model tersebut berkongsi banyak komponen yang sama dan memudahkan urusan penyelenggaraan.

     
     
  • Harga minyak 20-26 Februari – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 20-26 Februari – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel untuk tempoh 20 hingga 26 Februari 2025, dan ini merupakan minggu ketiga berturut-turut tiada perubahan harga dilakukan.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.43 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM3.18 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Auto ConneXion buka Pusat 3S Ford terbesar dan paling canggih di Pulau Pinang bernilai RM16.6 juta

    Auto ConneXion buka Pusat 3S Ford terbesar dan paling canggih di Pulau Pinang bernilai RM16.6 juta

    Pengedar Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) telah pun merasmikan pembukaan pusat 3S terbaharu jenama tersebut di Pulau Pinang yang didakwa paling canggih dan paling besar di negeri berkenaan. Fasiliti yang terletak di Seberang Perai tersebut dibina dengan kos pelaburan bernilai RM16.6 juta.

    Pusat 3S sebesar 46,000 kaki persegi ini menampilkan bilik pameran yang boleh mempamerkan enam buah kenderaan serentak, dan pelanggan akan dibantu oleh 38 perunding jualan dan selepas jualan. Manakala pada bahagian servis, ia dilengkapi dengan 16 ruang servis dan satu pusat alat ganti.

    “Bilik pameran ini mencerminkan usaha gigih kami untuk terus menaik taraf pengalaman pelanggan. Langkah meluaskan rangkaian ini dapat membolehkan kami untuk memastikan pengalaman Ford boleh didapati dengan lebih mudah di kawasan utara, menyediakan pengalaman pemilikan yang tiada tandingan,” kata Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan.

    “Kami teruja untuk melancarkan kemudahan yang serba canggih ini untuk memenuhi keperluan pelanggan kami di kawasan utara. Bilik pameran baharu ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam segmen trak pikap di Malaysia, tetapi juga menunjukkan dedikasi kami dalam menambah baik pengalaman pemilikan Ford secara keseluruhan. Sejajar dengan inisiatif global Ford, pelaksanaan Pengalaman Tetamu Ford di bilik pameran ini akan menambah baik interaksi pelanggan pada setiap langkah kunjungan mereka ke sini,” Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair.

    Pusat 3S Auto ConneXion terbaharu di Pulau Pinang ini terletak di Lot 6984, Jalan Baru, Mukim 1, 13700, Seberang Perai Tengah. Bilik pameran beroperasi bermula pukul 8.30 pagi hingga 6.00 petang dari Isnin hingga Sabtu, dan dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang pada hari Ahad dan cuti umum.

    Manakala pusat servis pula dibuka dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Isnin hingga Jumaat dan
    dari pukul 8.00 pagi hingga 12.30 petang pada hari Sabtu.

    Terdapat juga sebuah Pusat Baik Pulih dan Cat Badan disediakan hanya sekitar 7 kilometer dari pusat 3S baharu ini, terletak di di 11A, Jalan Saga Jaya 1, Taman Perindustrian Saga Jaya, 13600 Perai, Pulau Pinang. Pusat seluas 28,000 kaki persegi berkenaan menawarkan rangkaian perkhidmatan lengkap termasuk baik pulih badan kenderaan, semburan cat, penggantian cermin depan dan penggilapan. Ia mempunyai lima ruang kerja mekanikal dan mampu menampung sehingga 20 buah kenderaan sebulan untuk kerja baik pulih badan kenderaan.

     
     
  • Cadangan wajibkan pemeriksaan kereta lama berusia lebih 15-tahun tak berasas – ketua penerangan PAS

    Cadangan wajibkan pemeriksaan kereta lama berusia lebih 15-tahun tak berasas – ketua penerangan PAS

    Susulan cadangan Ahli Parlimen PH-Tebrau Jimmy Puah untuk mewajibkan pemeriksaan semula kenderaan berusia 15 tahun ke atas sebelum boleh memperbaharui cukai jalan di Dewan Rakyat tempoh hari, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan bahawa cadangan itu disifatkan tidak berasas.

    Dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi laman media sosial Facebook, Fadhli yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menyatakan bahawa kerajaan tidak pernah mengeluarkan data peratusan kemalangan melibatkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas untuk diwajibkan pemeriksaan tersebut.

    Beliau turut menegaskan bahawa cadangan itu hanya akan membebankan rakyat. “Saya harap kerajaan tidak melaksanakan cadangan dari MP Kerajaan ini. Secara ‘KEBETULAN’, ia dicadang selepas PUSPAKOM ada pesaing yang diumumkan sendiri oleh kerajaan. Sudah tentu, ada kerja, ada lah keuntungan….,” tambahnya lagi.

    Dalam cadangan yang disebut dalam Dewan Rakyat minggu lalu, Puah memberitahu langkah bagi mewajibkan pemeriksaan tersebut adalah penting kerana kereta lama lebih berpotensi untuk rosak, seterusnya menyebabkan kesesakan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan insentif tunai bagi menggalakkkan pemilik-pemilik untuk melupuskan kereta lama, dan menyifatkan langkah tersebut adalah cara yang berkesan bagi melupuskan kereta yang sudah berusia di atas jalan raya.

    Puah juga mendedahkan bahawa kenderaan di Malaysia sekarang telah melebihi 36.6 juta, atau sudah melepasi jumlah populasi, tidak termasuk kanak-kanak di bawah 17 tahun dan warga emas 80 tahun ke atas. “Ini bermakna hampir semua rakyat Malaysia memiliki dua buah kereta,” katanya.

     
     
  • GAC buka pusat 3S baharu di Bayan Lepas, P.Pinang

    GAC buka pusat 3S baharu di Bayan Lepas, P.Pinang

    WTC Automotif (WTCA), pengedar bagi jenama GAC mengumumkan bahawa satu lagi rangkaian pengedar bagi jenama automotif China berkenaan telah di buka di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Fasiliti berstatus pusat 3S tersebut dikendalikan oleh WariTan Automobile Sdn Bhd yang akan menjual dan memberikan khidmat selepas jualan untuk jenama GAC dan AION.

    Pusat ini terletak hanya lima minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dengan bilik pameran berkeluasan 2,045 kaki persegi, ia mampu untuk mempamerkan kesemua model baharu dalam barisan model GAC dan AION buat masa sekarang. Pemilik-pemilik kenderaan elektrik (EV) AION juga boleh datang untuk mengecas kereta menerusi pengecas EV7 kW yang disediakan.

    Manakala untuk pusat servis dan alat ganti, ia menampilkan fasiliti berkeluasan 5,897 kaki persegi yang menampilkan 10 ruang servis serta kemudahan lounge yang menyediakan ruang rehat, minuman ringan dan WiFi bagi membolehkan pelanggan menunggu dengan selesa ketika datang untuk menservis kereta masing-masing.

    GAC buka pusat 3S baharu di Bayan Lepas, P.Pinang

    “Kami sangat teruja untuk memperluaskan jaringan kami di wilayah utara Malaysia dengan pusat 3S baharu ini,” kata Encik Tan Keng Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, syarikat induk WTCA. “Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kebolehcapaian dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami, memastikan mereka mempunyai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk semua keperluan automotif mereka,” tambahnya lagi.

    Bilik pameran GAC Bayan Lepas ini dibuka dari 8.30 pagi hingga 7 petang dari Isnin hingga Jumaat, sementara hari Sabtu, Ahad dan cuti kelepasan am pula ia dibuka dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Manakala untuk pusat servis, ia dibuka bermula 8.30 pagi hingga 5 petang dari hari Isnin hingga Sabtu.

    Sempena pembukaannya, satu acara istimewa akan diadakan di fasiliti baharu berkenaan dari 22 hingga 23 Februari ini di mana ia menyediakan aktiviti menarik untuk kanak-kanak, makanan dan minuman ringan percuma, dan pelanggan akan diberikan hadiah istimewa sekiranya menyertai pandu uji serta diberikan rebat jika membuat tempahan sempena kempen Fuel Your Fortune yang sedang berlangsung.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025