Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Ahli Parlimen PH-Tebrau cadang wajibkan pemeriksaan terhadap kenderaan lebih dari 15 tahun

    Ahli Parlimen PH-Tebrau cadang wajibkan pemeriksaan terhadap kenderaan lebih dari 15 tahun

    Ahli Parlimen kerajaan, Jimmy Puah (PH-Tebrau) mencadangkan agar kenderaan yang berumur 15 tahun ke atas wajib untuk menjalani pemeriksaan sebelum memperbaharui cukai jalan setiap tahun.

    Laporan FMT menyatakan bahawa Puah memberitahu Dewan Rakyat langkah tersebut adalah penting kerana kereta lama lebih berpotensi untuk rosak, seterusnya menyebabkan kesesakan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan insentif tunai bagi menggalakkkan pemilik-pemilik untuk melupuskan kereta lama, dan menyifatkan langkah tersebut adalah cara yang berkesan bagi melupuskan kereta yang sudah berusia di atas jalan raya.

    Puah juga mendedahkan bahawa kenderaan di Malaysia sekarang telah melebihi 36.6 juta, atau sudah melepasi jumlah populasi, tidak termasuk kanak-kanak di bawah 17 tahun dan warga emas 80 tahun ke atas. “Ini bermakna hampir semua rakyat Malaysia memiliki dua buah kereta,” katanya.

    Beliau turut memetik data dari Persatuan Automotif Malaysia yang menyatakan bahawa pendaftaran kereta baharu pada 2025 akan mencecah 800,000 unit, dan menambah lebuhraya dan jalan di kawasan bandar kini telah sesak.

    “Ke mana sahaja kita pergi, jalan raya kita penuh dengan kereta. Hari ini, Lebuhraya Utara-Selatan pun sesak. Keadaan bertambah buruk pada hujung minggu dan musim perayaan,” tambahnya.

     
     
  • Audi Q7 CKD akan dilancarkan Mei ini – Audi pemasangan tempatan pertama di Malaysia & ASEAN

    Audi Q7 CKD akan dilancarkan Mei ini – Audi pemasangan tempatan pertama di Malaysia & ASEAN

    Pengarah urusan PHS Automotive Malaysia (PHSAM) dan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) Denyu Bosthandziev mengumumkan bahawa Audi Q7 bakal dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia tidak lama lagi. Ini bermakna SUV tersebut bukan sahaja akan menjadi Audi pertama yang di pasang di sini, malah yang pertama di produksi di Asia Tenggara.

    Pemasangan tersebut akan di buat di kilang Volkswagen Group Malaysia di Pekan, Pahang menerusi barisan produksi baharu yang akan diwujudkan, sementara pelancarannya akan dibuat pada Mei nanti.

    Rancangan Audi untuk memulakan operasi CKD di Malaysia ini telah disebut oleh Bosthandziev sejak Januari tahun lalu. “Kami mempunyai perancangan untuk beralih ke arah CKD. Ini kerana, harganya juga lebih kompetitif berbanding CBU, dan ia membantu untuk kami lebih mudah mendekati pelanggan dari segi harga dan dapat memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

    Audi Q7 CKD akan dilancarkan Mei ini – Audi pemasangan tempatan pertama di Malaysia & ASEAN

    Versi terbaharu Q7 buat masa sekarang adalah model generasi kedua yang telah pun masuk ke fasa facelift kedua, diperkenalkan pada tahun lalu. SUV dengan tiga baris tempat duduk ini ditawarkan dengan pelbagai jenis enjin termasuk 3.0 liter turbodiesel dengan pilihan talaan 231 PS/500 Nm dan 241 PS/600 Nm, dan juga enjin petrol turbo V6 berkuasa 340 PS/500 Nm.

    Kesemua pilihan enjin dengan enam-silinder tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, pacuan semua roda, dan juga sistem hibrid ringkas 48-volt menampilkan bateri lithium-ion dan unit starter generator pacuan tali sawat. Dengan sistem tersebut, SUV ini boleh ‘berlayar’ dengan enjin dimatikan sepenuhnya dalam masa 40 saat pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j.

    Kali terakhir Q7 ini dilancarkan di Malaysia adalah pada 2019, iaitu model generasi kedua pre-facelift. Ketika itu SUV yang diimport sepenuhnya (CBU) berkenaan dijual pada harga bermula RM600k. Agak-agak berapa harga untuk model terkini yang akan dipasang di Pekan kelak?

     
     
  • Nissan Navara generasi baharu akan muncul tahun ini – asas sama Mitsubishi Triton, tapi rupa berbeza

    Nissan Navara generasi baharu akan muncul tahun ini – asas sama Mitsubishi Triton, tapi rupa berbeza

    Bayangan digital Nissan Navara generasi baharu yang dihasilkan oleh Theophilus Chin

    Nissan Navara D23 sudahpun berada satu dekad dalam pasaran tahun ini. Jadi walaupun Nissan kini sedang bergolak dengan krisis kewangan yang mungkin akan menyebabkan ia muflis sekiranya tidak mendapat pelabur yang stabil selepas rancangan untuk bergabung dengan Honda sebelum ini dibatalkan, model generasi baharu bagi trak pikap berkenaan masih perlu dibangunkan dan diperkenalkan dalam pasaran.

    Khabar terbaharu dari portal automotif Australia, Drive, Nissan Navara 2026 berkenaan bakal diperkenalkan di pasaran tersebut pada akhir tahun ini. Menurut laporan tersebut imej Navara berkenaan telah pun ditunjukkan secara tertutup kepada pengedar-pengedar Nissan di Australia yang menghadiri persidangan nasional minggu lalu.

    Model generasi baharu itu dijangka akan berada di bilik-bilik pameran Nissan Australia pada suku keempat tahun ini, jadi pendedahannya sulung globalnya mungkin akan dibuat lebih awal daripada itu. Drive turut menyatakan bahawa Navara generasi baharu ini tidak akan diproduksi oleh kilang Nissan, sebaliknya ia akan dipasang oleh kilang Mitsubishi di Thailand kerana ia berkongsi asas yang sama dengan Triton generasi terkini.

    Triton telah dilancarkan jauh lebih awal iaitu pada 2023. Trak pikap dari Mitsubishi itu juga sebenarnya menggunakan casis ladder frame baharu yang dibangunkan berdasarkan casis Navara D23. Ini adalah kerana kedua-dua jenama ini berada dalam pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi bagi saling memanfaatkan sumber yang ada.

    Dalam satu lagi laporan Drive minggu lalu, pengarah urusan Nissan Oceania Andrew Humberstone mengesahkan bahawa walaupun Navara berkongsi asas dengan Triton, ia akan menampilkan rupa yang berbeza dan menyerlahkan DNA Nissan sebenar.

    Nissan Navara generasi baharu akan muncul tahun ini – asas sama Mitsubishi Triton, tapi rupa berbeza

    Bayangan digital Nissan Navara generasi baharu yang dihasilkan oleh Theophilus Chin

    “Kami memastikan bahawa ia adalah Nissan. Jadi kami akan membuat beberapa perubahan untuk memastikan perkara itu berlaku,” kata Humberstone.

    Dengan berkongsi kilang yang sama, dapat dijangka Navara turut akan menggunakan enjin MIVEC turbodiesel 4N16 2.4 liter empat-silinder berkuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Enjin berkenaan jelas lebih berkuasa dari enjin Navara sedia ada iaitu unit empat silinder 2.5 liter turbodiesel yang menghasilkan 190 PS dan tork 450 Nm.

    Enjin tersebut juga mungkin akan dipadankan terus dengan kotak gear enam-kelajuan automatik yang sama dengan Triton, namun tidak dapat dipastikan Navara akan menggunakan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II Mitsubishi, atau menggunakan sistem rekaannya tersendiri.

    Dengan menggunakan asas Triton juga, Navara dijangka tidak lagi akan menggunakan spring gegelung untuk suspensi belakang seperti model sedia ada, dan ia akan diganti dengan spring dedaun sama seperti Triton. Sebelum ini ketua pegawai perancangan Nissan untuk rantau Afrika, Timur Tengah, India, Eropah dan Oceania, François Bailly ada menyatakan bahawa keputusan Nissan untuk memadankan spring gegelung pada D23 adalah “satu kesilapan”, dan ia tidak akan diulang pada model generasi baharu berkenaan.

    Penggunaan spring gegelung berkenaan sebelum ini adalah untuk memberikan keselesaan pada Navara, namun ia menyebabkan bahagian belakang mendap sekiranya ada beban diletakkan pada bahagian bed.

     
     
  • LLM beri peringatan lorong kecemasan bukan eksklusif untuk motosikal, elakkan kemalangan maut

    LLM beri peringatan lorong kecemasan bukan eksklusif untuk motosikal, elakkan kemalangan maut

    Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sazali Harun mengingatkan agar semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal tidak menganggap laluan kecemasan sebagai lorong eksklusif, dan perlu lebih berhati-hati semasa melalui lorong berkenaan bagi mengelak berlaku kemalangan sehingga meragut nyawa.

    “Kesedaran yang perlu ada ialah lorong kecemasan bukan eksklusif untuk kita, lorong ini kegunaan semua jenis kenderaan untuk berhenti jika mengalami kerosakan. Jadi kita perlu lebih berhati-hati, ini yang penting.

    “Saban hari saya menerima mesej berkenaan kemalangan maut disebabkan motosikal melanggar kenderaan statik, jadi kita cuba mencari penyelesaian masalah ini,” katanya dalam laporan Bernama.

    LLM beri peringatan lorong kecemasan bukan eksklusif untuk motosikal, elakkan kemalangan maut

    Walau bagaimanapun Sazali turut memberitahu kini kesedaran penunggang motosikal adalah lebih baik dan memahami laluan kecemasan untuk dikongsikan bersama di lebuh raya selepas smart lane diwujudkan.

    “Sekarang ini, adanya smart lane, kita lihat ada kesedaran. Kalau dulu penunggang motosikal akan tendang dan sebagainya kalau ada kenderaan lain di lorong kecemasan, tapi sekarang mereka tahu jalan ini dikongsi bersama pengguna lebuh raya yang lain,” katanya.

     
     
  • Geely EX5 terima talaan suspensi, ADAS khusus untuk Australia – tak jadi guna talaan suspensi Proton?

    Geely EX5 terima talaan suspensi, ADAS khusus untuk Australia – tak jadi guna talaan suspensi Proton?

    Kembar Proton eMas 7 iaitu Geely EX5 bakal dilancarkan di Australia tidak lama lagi, dan menurut laporan GoAuto, model berkenaan telahpun lengkap menjalani talaan suspensi dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) khusus untuk keadaan jalan negara tersebut.

    Menurut portal berkenaan, talaan termasuk ujian dan juga penilaian berkenaan telah mengambil masa selama 12 bulan. Pasukan yang membuat talaan itu mahu memastikan EX5 sesuai dengan keadaan jalan di Australia dengan karekteristik yang lebih unik, di mana ia menampilkan permukaan yang disalut dengan serpihan kasar yang menghasilkan pemanduan lebih kasar, lebuhraya jarak jauh dengan permukaan beralun, dan jalan raya di kawasan subbandar yang banyak bonggol serta bulatan.

    Ketua Geely Auto Australia memberitahu GoAuto bahawa kerja-kerja yang dilakukan pasukannya telah menghasilkan “talaan suspensi diperhalusi yang memberikan keseimbangan sempurna terhadap apa yang dimahukan oleh pemandu di Australia, memperbaiki tetapan berkenaan agar ia kekal stabil tanpa mengorbankan keselesaan atau kawalan pemandu.”

    “Kami mahu memastikan kereta itu menawarkan pengalaman hebat untuk warga Australia dan pelarasan ini akan memberikan pemanduan yang lebih lancar di atas permukaan kasar, kestabilan yang lebih baik untuk perjalanan jarak jauh, dan ketahanan untuk mengendalikan beban berubah-ubah — semuanya sambil mengekalkan keselesaan, keyakinan dan kebolehpercayaan yang diharapkan pengguna,” tambahnya.

    Sudah tentu keadaan jalan raya setiap negara adalah berbeza-beza, dan Australia tidak terkecuali. Namun sebelum ini paultan.org sendiri diberitahu oleh wakil dari Geely bahawa EX5 akan menggunakan talaan suspensi yang dihasilkan Proton untuk eMas 7 bagi model-model yang dieksport keluar dari China, termasuk Australia. Dengan pengumuman yang dibuat oleh Geely Australia ini, adakah ini bermakna rancangan asal berkenaan tidak terpakai untuk Australia?

    Pihak GoAuto sendiri sebelum ini sudah berpeluang untuk menguji EX5 di China. Menerusi laporan yang diterbitkan pada 2 Disember lalu, portal berkenaan menyatakan bahawa EX5 pasaran China menampilkan tetapan suspensi yang terlalu lembut berbanding apa yang dimahukan oleh kebanyakkan pemandu di Australia.

    Portal itu menjelaskan bahawa suspensi pada EX5 pasaran China itu memberikan keselesaan dan kawalan yang baik, tetapi talaan spring dan penyerap hentak yang terlalu lembut tidak sesuai dengan permukaan jalan raya Australia yang sentiasa berubah-ubah.

    Sementara itu bagi sistem ADAS yang juga telah ditala semula untuk Australia, ia membabitkan fungsi bantuan kekal lorong, pengecaman maklumat tanda trafik dan pemantauan pemandu. EX5 pasaran Australia turut disahkan menerima fungsi ADAS lain termasuk cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, bantuan gerakan mengelak, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, serta diberikan tujuh beg udara sebagai perincian standard.

    Menurut GoAuto, Geely EX5 dijangka akan dijual pada harga sekitar AUD45,000 (RM127k), serta menampilkan jarak gerak yang sama seperti Proton eMas 7 varian Premium di Malaysia iaitu 430 km.

     
     
  • Bunyi ‘lori ais krim’ pada eMas 7 – Proton bakal kemaskini bagi membolehkan ia ditutup oleh pemilik

    Bunyi ‘lori ais krim’ pada eMas 7 – Proton bakal kemaskini bagi membolehkan ia ditutup oleh pemilik

    EV pertama dari Proton iaitu SUV eMas 7 mendapat sambutan hangat dari pasaran tempatan – sejak ia dilancarkan pada Disember tahun lalu sehingga bulan ini, model tersebut telah ditempah melebihi 4,000 unit. Sudah tentu ia dipacu oleh pelbagai faktor, dan yang paling utama, unit rangkaian kuasa, perincian dan juga harga yang ditawarkan sangat kompetitif berbanding pesaing terdekatnya, BYD Atto 3.

    Walau bagaimanapun ada satu perincian yang agak ‘mengganggu’ pemilik Proton eMas 7 ini buat masa sekarang, iaitu bunyi muzik seakan ‘lori ais krim’ sekiranya ia dipandu pada kelajuan di bawah 30 km/j. Bunyi ini sebenarnya adalah fungsi keselamatan bagi memberitahu kehadiran SUV ini kepada pengguna jalan raya yang lain, khususnya penunggang motosikal dan pejalan kaki.

    Ini kerana EV yang tidak mempunyai enjin adalah sangat senyap ketika ia bergerak secara perlahan dan ia mungkin akan mengakibatkan kemalangan sekiranya kehadirannya tidak dikesan oleh pengguna jalan raya yang lain. Fungsi ini juga sebenarnya ada juga diberikan pada model-model EV jenama lain, tetapi hanya fungsi pada Proton ini tidak dapat dimatikan dengan cara apa sekalipun.

    Bunyi ‘lori ais krim’ pada eMas 7 – Proton bakal kemaskini bagi membolehkan ia ditutup oleh pemilik

    Menurut Proton, fungsi berkenaan tidak boleh dimatikan kerana ia perlu memenuhi syarat kelulusan undang-undang UN ECE. Namun dengan rungutan dari pelanggan, kami difahamkan bahawa Proton bakal mengubah perincian tersebut untuk memberikan pilihan kepada pemandu bagi menutup fungsi tersebut sekiranya ia tidak diperlukan.

    Perkara ini didedahkan oleh Proton dalam satu acara bersama pelanggan. Selain dari bunyi amaran berkenaan, Proton turut akan membuat kemaskini terhadap pratetapan pada frekuensi radio, di mana buat masa sekarang frekuensi tersebut akan diset semula setiap kali kereta dimatikan.

    Proton eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

     
     
  • SOS Balance dalam Touch ‘n Go eWallet telah bantu lancarkan lebih 700,000 situasi baki kurang di plaza tol

    SOS Balance dalam Touch ‘n Go eWallet telah bantu lancarkan lebih 700,000 situasi baki kurang di plaza tol

    Ciri baru SOS Balance dalam Touch ‘n Go eWallet sudah menunjukkan kesan positif kepada pelanggan walaupun baru saja dilancarkan tidak sampai sebulan. Ciri berkenaan berfungsi dengan menangguh pembayaran tol selama 24 jam (dengan kadar maksimum RM80) sekiranya berlaku kekurangan baki dalam akaun pengguna: ini mengelakkan pemandu daripada terkandas di plaza tol disebabkan baki kurang.

    Pengendalinya, TNG Digital telah menjawab beberapa soalan kami berkaitan sistem berkenaan, misalnya tentang kesan dan keberkesanannya, berdasarkan data awal jika yang sudah ada. Dalam satu jawapan emel, syarikat itu memaklumkan walaupun belum ada sebarang data tentang berapa banyak transaksi tol yang gagal yang disebabkan baki kurang sebelum ini, pihaknya mendapati setakat 10 Februari lalu, SOS Balance telah membantu lebih daripada 700,000 transaksi sejak dilancarkan pada 20 Januari lalu.

    “Ciri ini membantu pengguna untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam situasi terkandas di plaza tol dan memastikan perjalanan mereka lebih lancar — terutama ketika musim puncak ketika balik kampung sempena Tahun Baru Cina lalu,” jelasnya. Data juga menunjukkan bahawa ciri SOS Balance telah memberi kesan tambah baik operasi di plaza tol, dan menyumbang kepada aliran trafik yang lebih lancar.

    SOS Balance dalam Touch ‘n Go eWallet telah bantu lancarkan lebih 700,000 situasi baki kurang di plaza tol

    Perlu dimaklumkan, ciri berkenaan ketika ini hanya ditawarkan kepada pengguna yang layak sahaja, yang telah dengan konsisten menunjukkan mereka telah menjelaskan sebarang bayaran tertunggak dengan segera, kerap menambah nilai eWallet mereka dan kerap menggunakannya untuk pelbagai transaksi.

    Adakah semua pengguna layak menikmati ciri SOS Balance nanti? TNG Digital menjelaskan bahawa ciri berkenaan memang direka untuk dimanfaatkan oleh pengguna TNG eWallet yang setia dan aktif, dan kelayakan penggunaan akan tertakluk kepada tahap penggunaan TNG eWallet tersebut. Maksudnya, pengguna yang kerap boleh dilayakkan untuk menikmati SOS Balance jika mereka kerap menggunakan TNG eWallet.

    “Ketika ini, 70% daripada keseluruhan pengguna TNG eWallet layak menikmati ciri berkenaan,” jelasnya. Pihaknya juga memuji pengguna di Malaysia yang menggunakan SOS Balance dengan bertanggungjawab dan membayar tunggakan yang ada, dan tidak menyalahgunakannya untuk tol percuma.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan akan minta kerjasama KPDN untuk haramkan penjualan ‘dummy buckle’

    Kementerian Pengangkutan akan minta kerjasama KPDN untuk haramkan penjualan ‘dummy buckle’

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan kementeriannnya akan meminta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengharamkan penjualan dummy buckle dalam pasaran kerana pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian.

    “Kita tahu kebanyakan kenderaan moden kini dilengkapi dengan sensor. Jika tali pinggang keledar tidak diikat, penggera atau siren akan diaktifkan. Jadi, individu yang ‘kreatif’ ini telah menghasilkan buckle palsu untuk menyenyapkan sensor, tetapi mereka tidak memakai tali pinggang keledar. Oleh itu, kita akan berbincang dengan kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup untuk mengharamkan penjualan mereka di pasaran,” katanya dalam laporan akhbar New Straits Times.

    “Saya sentiasa menekankan bahawa memakai tali pinggang keledar bukan sekadar mematuhi peraturan tetapi keselamatan. Jangan menganggapnya sebagai sekadar mengelak penggera atau siren. Tali pinggang keledar melindungi kedua-dua pemandu dan penumpang, terutama yang berada di tempat duduk hadapan,” tambahnya.

    Ketika menjalankan Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati sekitar 30% dari 195 pesalah yang diberikan notis kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar telah menggunakan ‘dummy buckle’ bagi memadamkan bunyi penggera berkenaan, dan jumlah tersebut agak membimbangkan.

     
     
  • Chery mula eksport SUV Jaecoo LHD & RHD dari Shah Alam ke Vietnam, Thailand, Brunei, Filipina & S’pura

    Chery mula eksport SUV Jaecoo LHD & RHD dari Shah Alam ke Vietnam, Thailand, Brunei, Filipina & S’pura

    Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery) melunaskan janjinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produksinya bagi rantau ini dengan mula mengeksport kenderaan yang diproduksi menerusi kilangnya di Shah Alam ke pasaran negara-negara ASEAN. Menurut syarikat itu, ia juga menjadi jenama China pertama yang mula mengeksport kenderaan keluar dari Malaysia.

    Kumpulan pertama kenderaan yang dieksport berkenaan merupakan SUV dari sub-jenama Jaecoo dengan enjin pembakaran dalaman dan juga plug-in hybrid (PHEV) dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) untuk pasaran Vietnam. Selepas ini lebih banyak model dalam versi LHD dan pemanduan sebelah kanan (RHD) turut akan dieksport ke negara-negara ASEAN yang lain termasuk Thailand, Brunei, Filipina dan Singapura.

    Chery mula eksport SUV Jaecoo LHD & RHD dari Shah Alam ke Vietnam, Thailand, Brunei, Filipina & S’pura

    “Chery sedang berkembang dengan baik ke arah mewujudkan Malaysia sebagai hab pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami di Asia Tenggara. Memperluaskan keupayaan mengeksport kami meningkatkan kapasiti pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini.

    “Tambahan pula, Chery teruja untuk memainkan peranan dalam meningkatkan ekonomi Malaysia, membangunkan bakat tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan kami. Kami yakin dalam mencapai matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab eksport terkemuka bagi kenderaan Chery termasuk sub-jenama premium kami Jaecoo,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

    Menurut Chery lagi, produksi untuk bekalan pasaran Asia Tenggara ini bukan hanya bergantung kepada fasilitinya di Shah Alam, malah ia kini sedang dalam persediaan untuk memperbanyakkan lagi produksi untuk berkembang pada masa hadapan menerusi kerjasama strategik dengan kilang-kilang pemasangan kenderaan yang lain di Malaysia.

     
     
  • Kia EV4 ditunjuk sebelum pengenalan sulung pada 27 Feb — rekaan badan fastback sedan dan hatchback

    Kia EV4 ditunjuk sebelum pengenalan sulung pada 27 Feb — rekaan badan fastback sedan dan hatchback

    Kia sudah mula mendedahkan imej awal bagi model EV4 yang dijangka akan diperkenalkan pertama kali secara rasmi pada 27 Februari ini. Menampilkan falsafah rekaan ‘Opposite United’, model berkenaan awalnya dibayangkan dalam bentuk kereta konsep ketika Kia EV Day tahun lalu.

    Dari sudut penggayaan, model produksinya juga tidak lari jauh daripada konsep bayangan yang ditunjukkan itu. Sentuhan seperti untuk wajah depan EV Tiger Face, permukaan dengan garisan ketara, rekaan lampu Star Map menegak yang unik, pemegang pintu tersorok dan panel badannya masih dikekalkan.

    EV4 akan ditawarkan dalam dua bentuk badan: fastback sedan dan hatchback. Versi sedan tersebut adalah rekaan yang pernah ditunjukkan — dengan garis bonet rendah serta bahagian belakang yang panjang. Sentuhan lain termasuklah roda 19-inci dengan corak khusus serta spoiler belakang dua bahagian.

    Bagaimanapun, ini kali pertama versi hatchback ditunjukkan, yang hadir antaranya dengan tiang C lanjut ke bahagian bumbung. Gambar yang dikeluarkan turut menunjukkan penggayaan model GT-Line, yang ditampilkan dalam rekaan lebih agresif dengan “sayap” dalam warna badan di depan serta rim 19-inci dengan corak segi tiga.

    Perincian teknikal akan didedahkan nanti. Namun, EV4 didakwa bakal menggunakan platform E-GMP dengan senibina elektrikal 800V seperti semua model EV terbaru Kia yang lain. Ikuti perkembangan berikutnya tentang EV4 ini bersama kami, ketika ia dilancarkan dan ditunjukkan bersama dengan model lain seperti Concept EV2 dan PV5.

     
     
  • Maxland Auto akan pasang bas & van EV Higer dengan kilang di Sabah, jadi pengedar Higer di M’sia Timur

    Maxland Auto akan pasang bas & van EV Higer dengan kilang di Sabah, jadi pengedar Higer di M’sia Timur

    Syarikat pembalakan yang bertapak di Sabah, Maxland Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Priceworth International Bhd) menerusi anak syarikatnya iaitu Maxland Auto sedang merancang untuk melabur sebanyak RM100 juta bagi membina kilang kenderaan elektrik pertama di Sabah, lapor The Star.

    Kilang tersebut dirancang akan dibina di Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) di Sandakan, dan bakal menyediakan sehingga 500 pekerjaan pada fasa ketiga projek berkenaan.

    Berdasarkan laporan akhbar berkenaan, Maxland Auto telah menerima lesen perkilangan persekutuan dari Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) tahun lalu. Manakala laporan The Edge pada Mac 2024 pula menyebut syarikat itu telah dilantik untuk mengedar dan memasang kenderaan jenama Higer (pengeluar bas kedua terbesar di China) di Sabah dan Sarawak dengan kontrak selama tiga-tahun.

    Laporan yang sama juga menyatakan bahawa Maxland Auto kini berkerjasama dengan GoAuto Group, yang juga telah menerima hak mengedar kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan komersil EV di bawah jenama Higer. Dalam perjanjian tersebut, Higer dan GoAuto akan menyumbang dalam pemindahan teknologi serta kepakaran teknikal bagi fasiliti pemasangan, manakala Maxland Auto akan fokus terhadap pengedaran dan jualan pasaran-pasaran yang telah dikenalpasti.

    Maxland Auto akan pasang bas & van EV Higer dengan kilang di Sabah, jadi pengedar Higer di M’sia Timur

    “Objektif segera dan awal kami adalah untuk mengurangkan jejak karbon Sabah dan meningkatkan nilai kredit karbon dengan menyediakan bas dan van EV untuk menggantikan flit pengangkutan awam bahan api fosil yang sudah tua beroperasi di bandar-bandar utama Sabah. Selepas itu, rancangan kami adalah untuk mengembangkan pasaran kami ke bahagian lain di Borneo, memberi perkhidmatan kepada kedua-dua entiti kerajaan dan swasta,” kata syarikat berkenaan ketika itu masih dikenali sebagai Priceworth.

    The Star melaporkan bulan lalu bahawa Maxland Bhd berhasrat untuk mempelbagaikan perniagaan automotif, infrastruktur utiliti dan perkhidmatan bagi menyediakan pendapatan tambahan dan mengurangkan pergantungannya pada segmen perniagaan sedia ada.

    Manakala pada November 2024, The Edge melaporkan bahawa Maxland menerbitkan saham baharu yang mewakili 20% daripada asas saham semasanya kepada dua syarikat, termasuk kenderaan persendirian pengerusi bukan eksekutifnya Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (juga pemegang saham besar dan pengerusi bukan eksekutif bagi pembekal penyelesaian kejuruteraan penerbangan dan pertahanan Destini Bhd), untuk mengumpul dana bagi perniagaan baharunya yang mengusahakan pemasangan bas dan pembangunan sistem penyejuk bagi bangunan perindustrian.

    Maxland Auto akan pasang bas & van EV Higer dengan kilang di Sabah, jadi pengedar Higer di M’sia Timur

    Berdasarkan laporan sama, RM8 juta daripada hasil itu akan diperuntukkan untuk membiayai peluang dalam perniagaan pemasangan bas, dan syarikat itu memperolehi System Enhancement Resources & Technologies Sdn Bhd (SERT) – sebuah syarikat di bawah Destini Bhd – pada Jun 2024 dengan harga RM1.

    Selepas itu, SERT, bersama-sama syarikat automobil lain, telah menerima kontrak daripada ‘syarikat milik negara’ untuk membekalkan bas diesel dengan harga RM176.82 juta, dan menyediakan sokongan penyelenggaraan dan alat ganti untuk bas tersebut selama 13 bulan. Projek itu dianggarkan menelan belanja RM150 juta, yang dijangka akan dibiayai melalui hasil daripada penempatan saham dan pinjaman bank, kata laporan itu.

    Walaupun tidak disebut secara khusus mengenai model Higer EV yang akan dipasang, laman web Go Auto Van menyenaraikan empat model bas transit elektrik dengan panjang antara 8.5 hingga 12 meter, dengan kapasiti penumpang sehingga 51 orang dan digerakkan oleh bateri CATL LiFePO4 dalam kapasiti antara 175 hingga 385 kWh. Juga terdapat bas mikro elektrik H7V seperti Sprinter dalam versi 18 dan 20 tempat duduk, yang digerakkan oleh bateri CATL 105.3 kWh.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 N kini EV terpantas di Litar Tsukuba – 57.446 saat, dipandu Taniguchi, padam rekod Tesla

    Hyundai Ioniq 5 N kini EV terpantas di Litar Tsukuba – 57.446 saat, dipandu Taniguchi, padam rekod Tesla

    Hot-hatch EV dari Korea Selatan, Hyundai Ioniq 5 N kini dinobat sebagai EV terpantas di Litar Tsukuba, Jepun selepas berjaya mencatatkan masa 57.446 saat hujung minggu lalu. Rekod tersebut dicatatkan ketika berlangsungnya acara tahunan Attack Tsukuba yang menghimpunkan kereta-kereta ‘Time Attack’ seluruh Jepun, malah turut menarik minat penyertaan antarabangsa.

    Bagi mencatatkan rekod baharu ini, Hyundai N menggunakan Ioniq 5 N TA Spec, iaitu kereta yang sama mencatatkan rekod di Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC), Amerika Syarikat pada Jun tahun lalu. Jentera ini menerima talaan semula pada perisian bagi membolehkan motor belakang menghasilkan 37 PS kuasa tambahan bagi membekalkan kuasa keseluruhan 687 PS, berbanding 650 PS pada model standard.

    Ia juga menerima ubahsuai suspensi dengan menerima penyerap hentak dan spring perlumbaan boleh laras, sistem brek gred perlumbaan, tayar slick Yokohama Advan A005 dengan rim 18-inci, rollcage spesifikasi PPIHC dan seperti lazimnya jentera Time Attack yang lain, ia hadir dengan kit aerodinamik agresif dengan spoiler hadapan dan belakang gergasi.

    Hyundai Ioniq 5 N kini EV terpantas di Litar Tsukuba – 57.446 saat, dipandu Taniguchi, padam rekod Tesla

    Manakala lain-lain kelengkapan termasuk kedua-dua motor yang memacu roda hadapan dan belakang serta bateri utama masih lagi sama dengan model produksi jalan raya, dakwa Hyundai.

    Hyundai Ioniq 5 N TA Spec ini dipandu oleh pemandu lagenda Jepun, Nobuteru Taniguchi yang bukan sahaja digeruni dalam disiplin Time Attack, malah beliau merupakan nama besar di Jepun dalam disiplin drift serta perlumbaan-perlumbaan utama yang lain seperti siri Super GT dan Super Taikyu Endurance.

    Malah dengan rekod baharu ini, Taniguchi turut memadamkan rekod EV terpantas di Litar Tsukuba sebelum ini yang turut dicatat oleh beliau sendiri dengan memandu Tesla Model S Plaid, mencatat masa 59.5 saat pada Februari tahun lalu. Buat masa sekarang juga Taniguchi masih memegang rekod lap terpantas di Tsukuba dengan catatan 49.445 saat menggunakan jentera Toyota 86 HKS TRB-03.

    “Rekod ini membuktikan teknologi EV termaju dan juga komitmen Hyundai. Rekod terbaharu Ioniq 5 N TA Spec, yang mana masih lagi menggunakan komponen-komponen utama dari kenderaan produksi massa, merupakan kejayaan penting bagi membuktikan kebolehan teknikal Hyundai, dan menerusi acara seperti Attack Tsukuba 2025, EV berprestasi tinggi akan dikenali di dunia. Ia menyerlahkan keiinginan Hyundai N untuk masuk jauh ke dalam budaya kereta,” kata pengarah urusan jenama N Joon Park.

    “Kami bangga dengan pencapaian mencatatkan rekod ini di Attack Tsukuba 2025. Ini menunjukkan keazaman yang tinggi Hyundai kearah usaha evolusi teknologi EV dan memberikan prestasi yang luar biasa,” kata presiden dan CEO Hyundai Mobility Japan Co., Ltd. Toshiyuki Shimegi.

    “Pencapaian ini membuktikan keupayaan teknikal kami dan memperkuatkan lagi penampilan kami pada pasaran Jepun,” tambahnya lagi.

    Dalam acara yang sama, Hyundai turut mendedahkan model edisi khas Hyundai Ioniq 5 N DK Edition, iaitu model keluaran terhad yang dihasilkan bersama seorang lagi pelumba lagenda Jepun, “The Drift King” Keiichi Tsuchiya. Model tersebut menerima talaan dari Tsuchiya sendiri pada bahagian suspensi, brek serta kit aerodinamik, dan hanya akan dijual pada pasaran Jepun dan Korea Selatan.

    GALERI: Hyundai Ioniq 5 N DK Edition

     
     
  • Bilik pameran berkembar Proton eMas, smart di Kuantan dan Kuching perluaskan lagi capaian EV

    Bilik pameran berkembar Proton eMas, smart di Kuantan dan Kuching perluaskan lagi capaian EV

    Pengedar Proton eMas dan smart, Pro-Net telah umumkan pembukaan dua bilik pameran berkembar di Kuantan dan Kuching. Cawangan tersebut memperluaskan lagi rangkaian pengedar bagi jenama masing-masing ke kawasan Pantai Timur dan Borneo.

    Dengan penyertaan premis oleh HK Electra di Kuantan dan Ghee Hua di Kuching, rangkaian pengedar smart di Malaysia kini terdiri daripada 11 cawangan di seluruh negara. “Perluasan rangkaian kami di Kuantan dan Kuching mencerminkan pertumbuhan permintaan untuk EV premium di Malaysia. smart Malaysia sangat komited untuk menjadikan pemilikan EV lebih meluas capaiannya melalui rangkaian pengedar yang diperluas serta dengan cara meningkatkan aspek pengelaman pelanggan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang.

    Ditubuhkan pada 2007, HK Electra merupakan cabang EV kepada pengedar Proton 4S Hoi Keen. Bilik pameran syarikat dengan keluasan 695 meter persegi di Jalan Indera Mahkota boleh mempamerkan empat unit kenderaan dengan mempunyai enam pengecas, termasuk dua pengecas pantas DC 120 kW, sekaligus menjadikannya hab EV di Pantai Timur.

    Bilik pameran berkembar Proton eMas, smart di Kuantan dan Kuching perluaskan lagi capaian EV

    Sementara itu, pengedar motosikal dan penyedia perkhidmatan automotif utama Ghee Hua pula sedang memperluas perniagaannya dengan menjual EV melalui pembukaan cawangan untuk Proton eMas dan smart di Jalan Abell. “Pembukaan smart Kuching ini menandakan era baru bagi mobiliti elektrik di Sarawak. Sebagai pengedar automotif yang dipercayai, kami sangat teruja untuk memperkenal penyelesaian EV inovatif oleh smart ke pasaran Borneo, sekaligus memperkasa pelanggan dengan teknologi canggih serta pilihan yang mampan,” ujar pemiliknya, Kevin Law.

    smart juga sedang menawarkan beberapa tawaran menarik sepanjang bulan ini, termasuk diskaun 10% bernilai RM31,000 bagi model #1 dan #3, pengecas wallbox smartCharge percuma termasuk pemasangan, serta kredit pengecasan RM1,000 dan manfaat korporat eksklusif.

     
     
  • Pertukaran lesen ‘P’ kepada lesen memandu kompeten (CDL) kini boleh dibuat menerusi aplikasi myJPJ

    Pertukaran lesen ‘P’ kepada lesen memandu kompeten (CDL) kini boleh dibuat menerusi aplikasi myJPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa proses permohonan pertukaran dari Lesen Memandu Percubaan (PDL) atau ‘Lesen P’ kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) kini boleh dilakukan secara atas talian menerusi aplikasi MyJPJ bermula hari ini.

    Untuk membuat permohonan tersebut adalah seperti berikut:

    1. Muat turun atau kemas kini aplikasi MyJPJ ke versi terkini.
    2. Log masuk ke akaun MyJPJ anda.
    3. Pilih menu “Permohonan CDL”.
    4. Pilih “Tempoh Pembaharuan”
    5. Pilih “Mod Bayaran” dan bayar fi permohonan secara dalam talian.
    6. Permohonan anda akan diproses dan anda akan menerima notifikasi status permohonan

    Menurut JPJ, fungsi baharu aplikasi MyJPJ ini akan memudahkan seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL untuk memohan bertukar kepada CDL – anda tidak perlu ke kaunter JPJ, dan ia boleh di buat bila-bila masa dan di mana sahaja, menerusi telefon pintar masing-masing.

    “JPJ Malaysia berharap inisiatif ini akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama seterusnya salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter. Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” kata KP JPJ Datuk Aady Fadly Ramli dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Sabah akan buka kilang EV pertamanya di Sandakan

    Sabah akan buka kilang EV pertamanya di Sandakan

    Sabah kini sedang bersedia untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam industri EV dan merancang untuk membuka kilang pemasangan EV pertama di negeri itu di Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Sandakan, lapor The Star.

    Projek berkenaan akan dikendalikan oleh Maxland Auto Sdn Bhd, sebuah syarikat yang telah memperoleh lesen pengilangan persekutuan daripada MIDA tahun lalu, dan akan melabur sejumlah RM100 juta menjelang 2028 untuk tujuan tersebut. Kilang berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya tahun ini. Melalui usaha ini, Maxland Auto akan terlibat dalam pemasangan bas EV serta pembangunan sistem penyejukan untuk bangunan perindustrian.

    Mac tahun lalu The Edge melaporkan bahawa syarikat induk kepada Maxland Auto Sdn Bhd, Priceworth International Bhd telah umumkan yang anak syarikatnya itu telah dilantik sebagai pengedar produk bas oleh pengeluar bus kedua terbesar di sana, Higer Bus Company Ltd. Maxland akan mengedar dan memasang produk bas Higer di Sabah dan Sarawak.

    “Perkembangan ini selari dengan visi kerajaan negeri untuk mempelbagaikan perindustrian dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” jelas Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe ketika lawatan tapak yang dilakukan baru-baru ini. Kementerian tersebut serta semua agensi yang berada di bawahnya akan memberi sokongan kepada pelaburan ini.

    “Kerajaan komited untuk memupuk pertumbuhan industri dan memastikan Sabah menjadi pemain utama bagi sektor teknologi hijau,” jelas Phoong, dalam menekankan kepentingan pengangkutan tenaga bersih dalam memacu ekonomi.

    Projek berkenaan juga dijangka akan membuka sehingga 500 peluang pekerjaan pada fasa ketiganya, yang turut terdiri daripada sebuah kilang pengeluaran.

    Turut mengiringi menteri dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Thomas Logijin; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Joseph Kinson; Pengarah Jabatan Pembangunan Industri dan Kajian, Rodolfo Blantocas; Pengarah MIDA Sabah, Joseph Benjamin dan Timbalan Pengerusi Invest Sabah Berhad, George Wong.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025