Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Kawasaki ZX-6R 2025 – 100 pemilik pertama terima motosikal di Litar Antarabangsa Sepang, CKD, RM60k

    Kawasaki ZX-6R 2025 – 100 pemilik pertama terima motosikal di Litar Antarabangsa Sepang, CKD, RM60k

    Selepas harga untuk ZX-6R 2025 diumumkan November lalu, Modenas selaku pengedar rasmi motosikal jenama Kawasaki di Malaysia mengadakan majlis penyerahan 100 unit pertama model supersport tersebut di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

    Menurut Modenas, awalnya mereka cuma menjangkakan jualan 50 unit untuk tempoh permulaan, tetapi permintaannya melonjak sehingga 100 unit, menjadikan kumpulan pertama (first batch) dan kumpulan kedua terjual habis dalam tempoh yang singkat.

    Antara yang menjadikan model ini cukup popular adalah harganya, yang dijual pada RM59,900 tidak termasuk insurans, menjadikannya lebih murah sekitar RM20,000 berbanding kali terakhir ZX-6R 636 dijual di Malaysia melalui pengedar rasmi (RM79,900).

    Kawasaki ZX-6R 2025 – 100 pemilik pertama terima motosikal di Litar Antarabangsa Sepang, CKD, RM60k

    Harga tersebut dapat ditawarkan kepada pelanggan melalui program pemasangan tempatan (CKD), berbanding sebelum ini import terus dari Jepun. Selain untuk pasaran tempatan, Modenas juga mengeksport model ini ke China.

    Memacu model sports ini adalah enjin empat silinder sebaris berpenyejukan cecair 636 cc, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 124 PS pada 13,000 rpm (129 PS apabila Ram Air beroperasi) dan tork berada pada tahap 69 Nm pada 11,000 rpm.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan bagi memudahkan penggunaan serta menjamin prestasinya, ia dilengkapi dengan klac jenis assist & slipper serta quickhshifter secara standard.

    Pada bahagian suspensi, ZX-6R menggunakan unit yang boleh dilaras sepenuhnya depan dan belakang, dengan unit fork Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) 41 mm di hadapan dan monoshock yang disambung dengan Uni-Trak di belakang. Brek menggunakan set berkembar cakera 310 mm serta angkup Nissin empat piston di hadapan.

    Kelengkapan lain yang ada pada ZX-6R adalah termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), empat mod tunggangan, panel instrumen TFT-LCD 4.3 inci, kerangka aluminium twin-spar, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 795 mm dan berat keseluruhan 163 kg.

    GALERI: Kawasaki ZX-6R CKD

     
     
  • MINI Countryman S All4 CKD 2025 – harga rasmi diumum; RM258,888, RM90k lebih murah dari CBU

    MINI Countryman S All4 CKD 2025 – harga rasmi diumum; RM258,888, RM90k lebih murah dari CBU

    Selepas dilancarkan dan didedahkan secara rasmi bulan lalu, hari ini BMW Group Malaysia mengumumkan harga sebenar untuk MINI Countryman S All4 generasi U25 dalam versi pemasangan tempatan (CKD) – ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM258,888. Harga ini adalah termasuk jaminan serta bantuan tepi jalan dan BMW Service Online selama dua tahun, dan jika pemilik mahukan jaminan serta pakej servis lima tahun, ia menjadi RM269,288.

    Jadi berbanding versi yang diimport sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan di sini pada September tahun lalu dijual dengan harga RM348,888 (RM359,288 bersama pakej tambahan jaminan dan servis), versi CKD ini adalah RM90k lebih murah. Harga berkenaan juga menjadikan model ini dijual pada harga yang sama seperti versi model elektrik penuh (EV) MINI Countryman SE.

    Countryman S All4 2025 CKD ini masih digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo B48, yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 300 Nm. Namun ia tidak disertakan dengan sistem hibrid ringkas seperti pada versi CBU, justeru tidak menerima kuasa tambahan 20 PS/55 Nm yang dibekalkan oleh motor elektrik sistem tersebut.

    MINI Countryman S All4 CKD 2025 – harga rasmi diumum; RM258,888, RM90k lebih murah dari CBU

    Walau bagaimanapun kotak gear lapan kelajuan automatik dan juga sistem pacuan semua roda All4 yang dibekalkan masih lagi sama, membolehkan Countryman S All4 CKD ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, 0.3 saat lebih perlahan berbanding versi CBU. Ketiadaan sistem hibrid ringkas tersebut tidak mempengaruhi kelajuan maksima kerana model ini masih mampu mencapai 228 km/j.

    Bahagian luaran model CKD ini masih lagi sama seperti versi CBU, termasuk pemadanan rim aloi 20-inci ‘Windmill Spoke’ kemasan dua-tona, lampu hadapan dan belakang LED dan juga pakej kemasan Favoured secara standard. Begitu juga pada bahagian dalam kabin model ini menerima Comfort Package Plus, yang memberikan cermin pandang belakang anti silau, kemasan bumbung anthracite serta sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

    Model generasi U25 ini menampilkan rekaan kabin yang minimalis tetapi masih mengekalkan identiti asli sebuah MINI. Konsol tengah menempatkan suis-suis fizikal untuk on/off serta tahap bunyi sistem audio, butang pengidup enjin dan juga tombol untuk tukaran gear.

    MINI Countryman S All4 CKD 2025 – harga rasmi diumum; RM258,888, RM90k lebih murah dari CBU

    Sementara kawalan sistem infotainmen dan kawalan pendingin hawa boleh diakses melalui skrin sesentuh OLED bulat 9.4 inci di tengah. Tiada paparan instrumen digital atau analog untuk pemandu di mana informasi pemanduan lain dipaparkan pada paparan head-up yang dipancar pada cermin di hadapan pemandu.

    Turut disediakan adalah MINI Intelligent Personal Assistant, yang memberikan kawalan suara untuk navigasi, telefon, hiburan dan pelbagai fungsi lagi. Model CKD ini juga masih mengekalkan tempat duduk sport hadapan John Cooper Works dengan balutan kulit tiruan, lengkap dengan fungsi memori dan mengurut untuk pemandu.

    Untuk keselamatan pula, Countryman S CKD ini datang dengan sistem bantuan pemanduan menerusi pakej Driving Assistant, yang memberikan fungsi seperti Lane Change Warning, Lane Departure Warning, Speed Limit Information, Manual Speed Limit Assist, Cruise Control dengan brek, Front Collision Warning dengan AEB, Evasion Assistant, Rear Cross-Rraffic Warning dengan AEB, Rear-End Collision Prevention dan Exit Warning.

    Pakej Driving Assistant Plus juga diberikan, yang menampilkan fungsi Active Cruise Control dengan stop and go, Steering and Lane Control Assistant dan Speed Limit Assistant.

    Ia juga dibekalkan standard dengan Parking Assistant Plus, yang memberikan Park Assist, Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Drive-off Monitoring, Rear Panorama View, Parking View, Panorama View, Remote 3D View, BMW Drive Recorder dan perakam anti kecurian luar.

    Enam warna badan ditawarkan untuk MINI Countryman S ALL4 U25 CKD ini termasuk Smokey Green, Slate Blue, Chili Red, Melting Silver, Nanuq White dan Blazing Blue. Manakala untuk kabin, hanya tema warna disediakan iaitu Dark Petrol.

    GALERI: Gambar rasmi MINI Countryman S All4 CKD 2025

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV CKD dimulakan, lancar bulan ini

    Jaecoo J7 PHEV CKD dimulakan, lancar bulan ini

    Unit CKD pertama Jaecoo J7 PHEV telah dikeluarkan dari kilang pemasangan jenama itu di Shah Alam (yang turut memasang Jaecoo J7 biasa dan juga Omoda C9) sebelum pelancaran rasminya bulan ini.

    “Kami percaya bahawa Jaecoo J7 PHEV adalah sebuah penawaran yang tepat untuk mengisi permintaan pasaran terhadap kenderaan peralihan antara enjin biasa dan EV memandangkan ia menawarkan kelebihan daripada dua teknologi itu melalui Super Hybrid System (SHS),” jelas Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    J7 PHEV akan dilancarkan dalam versi pacuan roda depan dahulu, yang akan dipasang di sini dengan harga anggaran RM170,000 — berdasarkan pengalaman sebelum ini, harga model Jaecoo ini mungkin akan dijual dengan harga lebih rendah ketika pelancarannya nanti. Ini merupakan model plug-in hybrid bagi model J7, dengan melibatkan sedikit perbezaan penampilan untuk membezakan antara keduanya, seperti roda aero baru bagi model PHEV ini.

    Jaecoo J7 PHEV CKD dimulakan, lancar bulan ini

    Jaecoo J7 PHEV digerakkan oleh enjin petrol 1.5 TGDi (dan bukannya unit 1.6 liter turbocas empat-silinder/transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan bagi model petrolnya) yang dipadankan bersama transmisi hibrid DHT dan motor elektrik pada gandar roda hadapan.

    Tetapan ini menghasilkan output kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS dan tork maksimum 525 Nm. Ini enjin yang sama digunakan oleh model bersaudaranya Chery Omoda 5 — untuk versi hibrid ini, unit enjinnya menghasilkan 143 PS dan 215 Nm tork (54 PS dan 75 Nm kurang kuasa berbanding J7 petrol). Janaan kuasanya juga dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menghasilkan 204 PS dan 310 Nm.

    Bagi model 2WD, ia menggunakan bateri berkapasiti 18.3 kWh (dari BYD). Untuk pengecasan pula, yang dikongsikan ketika ini ialah untuk pengecasan pantas DC, ia mampu menampung sehingga 40 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan 6.6 kW. Fungsi V2L pula menyediakan kapasiti 3.3 kW.

     
     
  • JPJ eBid: Siri DFH dan MEB bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukan untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan dan Melaka ini dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DFH bakal dibuka bidaan bermula 16 Februari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 20 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Februari 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Melaka, MEB, bakal dibuka bidaan mulai 17 Februari. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 21 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 22 Februari 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton eMas 7 kini terima lebih 4,000 tempahan — 80% pilih varian Premium, kini ada 30 pengedar

    Proton eMas 7 kini terima lebih 4,000 tempahan — 80% pilih varian Premium, kini ada 30 pengedar

    Proton eMas 7 kini sudah mencatatkan lebih daripada 4,000 tempahan. Daripada jumlah itu, 80% pelanggan memilih varian Premium yang paling tinggi. Dilancarkan pada Disember tahun lalu, serahan SUV elektrik Proton ini mula dilakukan pada Januari tahun ini — jualan bulan tersebut juga menyaksikan Proton menjual 421 unit eMas 7. Angka itu diterjemahkan kepada 25% perkongsian pasaran bagi pasaran EV.

    “Hanya dalam tempoh sebulan diperlukan untuk Proton eMas 7 mendahulu pasaran EV di sini. Ini juga membuktikan pelanggan di Malaysia ingin beralih kepada EV, sekiranya produk dan tanda harganya betul. Dengan teknologi canggih yang dipadankan dengan platform baru serta pakej keseluruhan yang praktikal, Proton mampu menawarkan produk yang berdaya saing kepada pelanggan, memberikan nilai dan pelindungan lepas jualan yang sukar ditandingi dalam kelasnya,” jelas Timbalan CEO Proton Edar, Zhang Qiang.

    Proton eMas 7 kini terima lebih 4,000 tempahan — 80% pilih varian Premium, kini ada 30 pengedar

    Ketika pelancarannya, Proton menawarkan diskaun bagi 4,000 pelanggan terawal, serta kelebihan bagi pakej sempena pelancaran kepada 3,000 pelanggan terawal. Selepas semua itu dimanfaatkan, Proton menambah lagi 3,000 unit untuk promosi yang sama, menjadikan keseluruhannya 6,000 unit. Dengan diskaun, varian Premium dijual dengan harga RM119,800 dan Prime pula RM105,800.

    Disebabkan permintaan terhadap varian Premium lebih tinggi, pelanggan yang memilih varian Prime dijangka menerima serahan mereka lebih cepat.

    “Bagi jangka masa pendek, pelanggan yang memilih varian Prime akan menerima kenderaan mereka lebih cepat. Sasaran kami adalah untuk menyerahkan 1,000 unit menjelang hujung Februari, dan dirancakkan lagi pada Mac untuk memenuhi permintaan yang tinggi,” ujar Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff kepada kami bulan lalu.

     
     
  • Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

    Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

    Selepas mengumumkan tempahannya dibuka sejak 22 Januari lalu, Denza Malaysia telah mempertontonkan MPV elektrik mewah Denza D9 untuk tatapan umum dan ia akan dilancarkan pada minggu hadapan, 20 Februari 2025. Untuk pengetahuan anda, Denza merupakan jenama premium bagi BYD yang kini makin mendunia dalam pengenalan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) hingga mampu memintas kedudukan Tesla.

    Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2022, versi pemanduan sebelah-kanan bagi Denza D9 ini adalah sepenuhnya elektrifikasi, dan telah dilancarkan di Hong Kong pada Jun lalu. Berukuran 5,250 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,920 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 3,110 mm, Denza D9 ini dikatakan mampu memberikan persaingan buat Toyota Alphard/Vellfire dan Zeekr 009.

    Di negara kelahirannya, selain ditawarkan dengan model elektrik penuh, D9 juga hadir dalam verdsi plug-in hybrid. Walay bagaimana pun, untuk pasaran Malaysia, ia hanya ditawarkan dengan versi elektrik sahaja. Seperti di pasaran Thailand dan Singapura, kita juga akan mendapat penawaran versi pacuan roda-hadapan (FWD) dan pacuan semua-roda (AWD).

    Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

    Bagi FWD, ia dinamakan sebagai varian Premium di Thailand dan Elite di Singapura, manakala untuk Malaysia, ia ditetapkan sebagai Advanced. Varian ini dilengkapi dengan motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan hamburan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 360 Nm. Bagi MPV seberat 2,764 kg ini, ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.5 saat dan jarak gerak maksimum cecah 600 km (NEDC) atau 620 km mengikut standard CLTC.

    Untuk versi AWD pula, di Malaysia, ia dinamakan sebagai varian Premium, manakala Performance di Thailand dan Grandeur di Singapura. Ia ditampilkan dengan motor elektrik tambahan yang dipasang di belakang dengan 61 PS (60 hp atau 45 kW) dan tork 110 Nm, memberikan keseluruhan kuasa bagi sistem pacuan semua-roda mencecah 374 PS (369 hp atau 275 kW) dan tork 470 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai pada 6.9 saat, dan jarak geraknya pula sekitar 580 km (NEDC) atau 600 km mengikut standard CLTC.

    Kedua-dua versi penjana kuasa ini didatangkan dengan kapasiti bateri yang sama iaitu unit Blade lithium iron phosphate (LFP) 103 kWh dan D9 boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 166 kW dan AC 11 kW. Jika menggunakan pengecas DC, ia mampu mencapai status pengecasan antara 30-80% dalam masa sekitar 30 minit dan dalam 10 minit pengecasan, ia boleh memberikan jarak gerak sekitar 150 km.

    D9 juga dilengkapi dengan peredam adaptif, dengan FWD menerusi suspensi peredam boleh laras Frequency Selective dan AWD pula menerusi DiSus-C Intelligent Damping Body Control System.

    Denza D9 dipertonton di M’sia – MPV EV dengan 374 PS/470 Nm, 520 km WLTP; anggaran bawah RM300k

    Ruang dalaman antara ciri yang paling ingin ditonjolkan oleh pengeluar kereta ini, dengan D9 mampu memuatkan tujuh penumpang dewasa dengan selesa biarpun berketinggian sekitar 180 cm. Sementara ini, ruang kargonya pula boleh menempatkan sekitar tujuh beg 20-inci dan tujuh beg sandang. Ruang kabinnya juga dikatakan agak senyap, dengan tahap kebisingan sekitar 64.6 dBA apabila dipacu dalam kelajuan sekitar 120 km/j.

    Ciri kelengkapan standard termasuk lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, roda aloi pelbagai-jejari 18-inci, pintu gelangsar dan pintu hadapan kuasa, elemen kemasan wood veneer asli, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup-enjin, penghidup kawalan kenderaan/pendingin hawa, bumbung suria kaca panoramik, dan sistem kawalan suhu tiga-zon.

    Spesifikasi umumnya juga termasuk paparan skrin sesentuh sentral 15.6-inci (tidak boleh dipusingkan) dan skrin instrumen digital 10.25-inci, sistem audio Dynaudio dengan 14-pembesar suara, tiga alas pengecasan tanpa wayar 50 watt (satu di barisan hadapan, dua di barisan kedua), enam unit port USB (satu Type A, lima Type C). Selain itu, ia juga diberikan ruang peti sejuk dengan dwi kawalan suhu (yang boleh dilaras antara 06 dan 50-darjah celsius), yang diletakkan di bawah perehat tangan di antara tempat duduk hadapan.

    D9 juga didatangkan dengan upholstery kulit premium dan headlining fabrik, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-hala dan pengaliran udara serta tempat duduk kapten larasan kuasa pada barisan kedua, setiap satunya diberikan skrin digital dan dilengkapi dengan corong pemanas/pengaliran udara serta fungsi 10-titik mengurut.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan tempat duduk larasan manual enam-cara untuk barisan ketiga, pencahayaan ambien, sistem pembersihan udara PM2.5 dengan negative ion purifier dan tailgate kuasa. Namun untuk varian tertinggi, ia diberikan ciri tambahan termasuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadpaan dengan fungsi mengurut dan memori, upholstery kulit Nappa, textured suede headlining dan paparan utama.

    Bagi kelengkapan bantuan pemandu dan keselamatan, ia diberikan lapan beg udara dan set ADAS termasuk kawalan kelajuan adaptif, brek kecemasan autonomous, kepekaan trafik lintasan belakang dan hadapan dengan brek auto, amaran pelanggaran belakang, amaran ketibaan lorong dan bantuan kekal lorong.

    Untuk pilihan warna luarannya, untuk pasaran Malaysia, Denza D9 ditawarkan dengan rona Arctic White, Whale Sea Blue dan Cosmos Black.

    Berkenaan dengan harganya, ia hanya akan diumumkan sewaktu majlis pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada 20 Februari ini (Khamis hadapan). Namun, untuk pengetahuan anda, D9 ditawarkan pada harga bermula RMB379,800 hingga RMB 469,800 (RM233,620 hingga RM289,000) di China. Di Singapura pula, MPV EV ini baru dilancarkan pada bulan lalu, dengan D9 Elite pacuan roda-hadapan ditawarkan pada harga SGD296,888 (RM983,770), sementara D9 Grandeur AWD pula berharga SGD341,888 (RM1.132 juta), kedua-duanya termasuk COE. Manakala di Indonesia pula, harganya bermula dari Rp.950 juta (RM259,000), jadi kita mungkin boleh menjangkakan harganya di bawah RM300k untuk pasaran Malaysia.

    Denza D9 Advanced FWD

    Denza D9 Premium AWD

     
     
  • Volvo EX30 Cross Country – EV versi lebih lasak; suspensi lebih tinggi, tayar AT dan pelindung badan

    Volvo EX30 Cross Country – EV versi lebih lasak; suspensi lebih tinggi, tayar AT dan pelindung badan

    Lencana “Cross Country” lazimnya dilekat pada model wagon atau sedan Volvo – ia bukan sekadar lencana, kerana selepas itu ia seakan disuntik steroid menyaksikan pemadanan tayar lebih besar, suspensi lebih tinggi dan juga pelindung badan disekeliling badan menjadikan ia sebuah SUV off-road sebenar, bermula dengan model V70 XC yang diperkenalkan pada 1997.

    Nampaknya sekarang portfolio Cross Country diluaskan lagi – ini dia SUV EV Volvo EX30 Cross Country. Ya, EX30 sememangnya sebuah SUV, namun menerusi model Cross Country ini ia diberikan perincian yang lebih lasak bagi memberikan kemampuan meredah laluan off-road yang lebih baik.

    Seperti biasa, EX30 Cross Country ini menerima skid plate pada bawah bampar hadapan dan belakang, serta panel overfender pada setiap ruang roda dalam kemasan hitam. Jika bahagian muka dan bahagian tengah pintu tailgate pada model biasa diberikan warna badan, versi Cross Country ini pula nampak lebih garang dengan bahagian yang sama diberikan kemasan hitam.

    Volvo EX30 Cross Country – EV versi lebih lasak; suspensi lebih tinggi, tayar AT dan pelindung badan

    Dan sekiranya anda melihat bahagian muka berkenaan dengan lebih dekat, ia diberikan elemen hiasan yang mengambil bentuk topografi kawasan pergunungan Kebnekaise di Artik Sweden, lengkap dengan koordinat kawasan tersebut.

    Suspensi EX30 Cross Country sememangnya lebih tinggi dari model biasa bagi memberikan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi. Ia datang dengan set rim aloi 18-inci, dan pembeli boleh memilih untuk memadankan tayar jenis All-Terain. Bagi menambah perisa ‘off-road’, set rak bumbung, mud flap dan lain-lain aksesori turut akan ditawarkan sebagai perincian opsyen.

    Bahagian dalaman EX30 Cross Country ini masih lagi sama seperti versi biasa – tiada pembesar suara diletakkan pada bahagian pintu bagi memberikan ruang storan lebih besar, sementara bunyi dari sistem audio dapat didengari menerusi sound bar yang merentangi papan pemuka.

    Volvo masih belum memperincikan unit rangkaian kuasa ditawarkan pada EX30 Cross Country ini. Maklumat awalan yang didedahkan adalah jarak gerak di mana ia boleh berjalan sejauh 427 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh. Pengecasan pantas pula membolehkan bateri berkenaan dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 26-minit.

    Spesifikasi model biasa EX30 mungkin boleh dijadikan panduan – pasaran Malaysia misalnya menerima dua jenis rangkaian kuasa bermula dengan varian Ultra dengan motor tunggal 272 PS/343 Nm yang hanya memacu roda belakang, bersama bateri 69 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 476 km WLTP. Sementara varian Ultra Twin Performance diberikan satu lagi motor tambahan di hadapan menjadikan kuasa keseluruhan 428 PS/543 Nm, dibekalkan dengan bateri sama untuk jarak gerak 450 km.

    Maklumat lebih terperinci berkenaan spesifikasi SUV ini akan didedahkan kemudian. Namun Volvo sudahpun membuka tempahan bagi EX30 Cross Country ini pada pasaran tertentu, dan penghantaran pertamanya akan bermula musim bunga hemisfera utara.

     
     
  • 20 model terlaris Jan 2025 – Axia, Bezza, Myvi, Saga, Alza Top 5; Alphard lebih laris dari Persona, City, S70

    20 model terlaris Jan 2025 – Axia, Bezza, Myvi, Saga, Alza Top 5; Alphard lebih laris dari Persona, City, S70

    Bulan Januari 2025 sudah pun berakhir, nak tahu 20 model kereta apa yang paling laris di Malaysia sepanjang bulan pertama tahun ini? Ini dia data yang kami ambil berdasarkan pendaftaran dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kami rumuskan untuk anda.

    Untuk Januari 2025, nampaknya Perodua Axia berjaya naik ke tempat pertama di mana hatchback segmen-A tersebut terjual sebanyak 7,096 unit. Manakala sedan segmen-A juga dari Perodua iaitu Bezza yang berada pada takhta tersebut sejak sekian lama jatuh ke tempat kedua dengan jualan sebanyak 5,106 unit.

    Satu lagi model popular Perodua iaitu Myvi berada di tempat ketiga dengan pendaftaran sebanyak 4,464 unit, hanya tiga unit di hadapan model paling laris Proton iaitu sedan segmen-A Saga dengan pendaftaran sebanyak 4,461 unit untuk berada di tempat keempat.

    Carta Top 5 ini dilengkapkan dengan MPV Perodua Alza yang mencatatkan pendaftaran sebanyak 3,214 unit sepanjang bulan lalu, manakala tempat keenam milik satu lagi jenama Perodua iaitu SUV segmen-A Ativa dengan jualan sebanyak 2,526 unit.

    Tempat ketujuh pula dihuni oleh Toyota Vios, membolehkan ia menjadi model bukan nasional paling laris untuk Januari 2025 dengan jualan sebanyak 1,605 unit. Ia diikuti oleh model kedua terlaris Proton dalam carta ini iaitu X50 dengan merekodkan pendaftaran sebanyak 1,402 unit.

    20 model terlaris Jan 2025 – Axia, Bezza, Myvi, Saga, Alza Top 5; Alphard lebih laris dari Persona, City, S70

    Dan tidak disangka-sangka, model bukan nasional kedua terlaris bagi bulan ini adalah Toyota Alphard dengan jumlah jualan sebanyak 1,397 unit. Jumlah tersebut agak memberangsangkan memandangkan Alphard merupakan model yang agak premium dan mahal berbanding model-model lain yang berada dalam carta Top 10. Jumlah pendaftaran Alphard berkenaan adalah sepenuhnya unit CBU baharu yang dijual secara rasmi oleh UMW Toyota Motor, bukan unit ‘recond’ yang dibawa oleh pengimport persendirian.

    Alphard juga turut mengalahkan model-model Toyota yang lain termasuk Corolla Cross (1,335 unit) dan Hilux (1,294 unit), malah ia lebih laris dari model-model mampu milik seperti Proton Persona (1,218 unit), Honda City (sedan dan hatchback, 1,195 unit) dan Proton S70 (1,133 unit).

    Terdapat juga model-model MPV lain dalam carta Top 20 ini, termasuk Mitsubishi Xpander (963 unit) berada di tempat ke-15 dan Perodua Aruz (839 unit) di tempat ke-17. Untuk SUV yang agak ‘sensasi’ kebelakangan ini iaitu Jaecoo J7, momentumnya nampak mula menurun dengan pendaftaran 765 unit untuk berada di tempat ke-18.

    Namun ia tetap lebih laris dari Honda Civic (642 unit) yang berada di tempat ke-19 walaupun baru sahaja diperkenalkan dalam versi facelift yang lebih segar, dan juga Proton X70 (568 unit) yang berada di tempat ke-20.

     
     
  • Omoda C9 PHEV ditemui di Malaysia – SUV segmen D versi petrol-elektrik akan dilancar tidak lama lagi?

    Omoda C9 PHEV ditemui di Malaysia – SUV segmen D versi petrol-elektrik akan dilancar tidak lama lagi?

    Omoda C9 dilancarkan di Malaysia Disember tahun lepas, dengan enjin petrol 2.0 liter turbo, tetapi sekarang ada yang menemui versi plug-in hybrid bagi SUV tersebut. Gambarnya dimuat naik dalam laman paultan.org Automotive/Car Discussion di Facebook.

    Dilihat sedang dicas menggunakan mesin TNB Electron, Omoda C9 PHEV ini, melalui komen di dalam gambar tersebut, dikatakan ditemui di Aeon Kinta City, Ipoh, Perak. Menurut Tenaga Nasional Berhad, pengecas tersebut mampu mengeluarkan kuasa DC 47 kW, sekaligus menunjukkan Omoda C9 PHEV itu boleh menerima sumber DC melalui sambungan CCS2.

    Di China, Omoda C9 dijual sebagai Exeed RX dan versi PHEV di sana menggunakan penggerak petrol-elektrik yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, transmisi hibrid khas tiga kelajuan (DHT) dan sehingga dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar – untuk menghasilkan kuasa sehingga 619 PS (610 hp atau 455 kW) dan tork 920 Nm. Menurut pengeluarnya, jarak gerak boleh mencapai 1,300 km mengikut kitaran WLTC.

    Dipasarkan di Malaysia di bawah Jaecoo, Omoda C9 ini berkemungkinan menyertai barisan model baru jenama itu yang akan tiba tahun ini, bersama J6 elektrik bateri dan SUV J8 – juga dijual di China sebagai PHEV berkuasa 605 hp/915 Nm.

    Di negara kita, Omoda C9 secara rasminya dijual dalam dua varian iaitu 2WD dan 4WD, dengan harga masing-masing RM168,800 dan RM188,800. Enjin petrol 2.0 liter turbo yang digunakan mampu menghasilkan kuasa 261 PS dan tork 400 Nm, disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik torque converter lapan kelajuan.

    Sebagai tambahan kepada tiga mod pemanduan yang disediakan pada varian 2WD, varian 4WD pula mendapat suspensi adaptif Continuous Damping Control (CDC) dengan tambahan empat lagi mod. Sistem bantuan aktif diberikan kepada kedua-dua varian, bersama pakej ADAS Level 2.5.

    GALERI: Omoda C9 2WD di Malaysia

    GALERI: Omoda C9 AWD di Malaysia

     
     
  • Harga minyak 13-19 Februari – Tiada perubahan

    Harga minyak 13-19 Februari – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel untuk tempoh 13 hingga 19 Februari 2025, iaitu sama seperti minggu sebelum ini.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.43 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM3.18 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Senarai 20 jenama terlaris bagi Januari 2025 — Perodua 140% atasi Proton, Toyota 108% vs Honda

    Senarai 20 jenama terlaris bagi Januari 2025 — Perodua 140% atasi Proton, Toyota 108% vs Honda

    Data pendaftaran kenderaan oleh JPJ bagi Januari 2025 kini sudah tersedia. Dan, untuk senarai 20 jenama EV paling laris sudah pun kami maklumkan. Kini, kita lihat pula senarai 20 jenama yang paling laris di Malaysia bagi tempoh berkenaan secara keseluruhan.

    Di tempat pertama ialah Perodua, dengan 23,245 pendaftaran direkodkan. Angka tersebut 140% lebih tinggi berbanding Proton yang berada di tempat kedua dengan 9,688 unit. Toyota pula mengisi tempat ketiga dengan 7,570 unit mengatasi Honda yang berada ditempat ke empat dengan 3,638 unit — lebih 108%. Mitsubishi pula di kedudukan kelima dengan 1,227 unit.

    Senarai 20 jenama terlaris bagi Januari 2025 — Perodua 140% atasi Proton, Toyota 108% vs Honda

    Di tempat keenam dan ke bawah, semuanya mencatatkan angka kurang daripada 1,000 unit. Bagi jenama China, Chery mendahului dengan 886 unit, diikuti oleh Jaecoo dengan 792 unit. Mercedes-Benz di tangga kelapan dengan 752 unit, mengatasi BMW yang berada di tangga kesepuluh (601 unit, walaupn menjual 195 unit EV berbading Mercecedes dengan hanya 35 unit). Lexus pula di tangga ke-16 (345 unit) dan Porsche di kedudukan ke-17 dengan 285 unit, dengan jualan tiga EV melebihi Mercedes-Benz.

    Bagi kelompok EV, BYD mendahului senarai, tetapi secara keseluruhan, 505 unit yang didaftarkan syarikat itu hanya meletakkannya di tangga ke-12, lebih rendah daripada Nissan yang merekodkan 578 unit. Untuk jenama dengan trak pikap, Isuzu dan Ford masing-masing merekodkan 501 unit dan 473 unit untuk menduduki tangga ke-13 dan 14.

     
     
  • Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Selepas pelbagai pihak dalam industri menyatakan kegusaran kemungkinan harga kereta dan motosikal pemasangan tempatan (CKD) yang akan naik pada 2026 sekiranya pelarasan semula duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV) yang tertanggguh sejak 2020 mula dilaksanakan, baru-baru ini kerajaan telah pun memberikan maklum balas berkenaan perkara tersebut.

    Satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Kementerian Kewangan (MoF) dan juga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) semalam menyatakan bahawa laporan-laporan yang mengatakan harga kereta dan motosikal CKD akan naik sehingga 30% pada 2026 adalah tidak benar.

    Kenyataan itu menyebut bahawa berkenaan penangguhan tahunan pelaksanaan peraturan cukai eksais di bawah PU(A) 402/2019-Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan yang Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Cukai Eksais), MOF kini sedang mengkaji kaedah penilaian kenderaan supaya ia adil, neutral dan konsisten.

    “MOF masih belum membuat sebarang keputusan muktamad, dan bersama MITI dan pihak industri automotif sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pengenaan cukai dilaksanakan secara adil, seragam dan neutral serta konsisten,” tulis kenyataan tersebut.

    Laporan-laporan yang menyatakan bahawa harga kereta dan motosikal CKD bakal naik pada 2026 adalah dari kenyataan-kenyataan dari pemain-pemain utama dalam industri. Ketika mendedahkan bahawa industri automotif diberikan penangguhan selama setahun lagi bulan lalu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain menyatakan bahawa kesan dari perlaksanaan OMV/402 tersebut akan menyebabkan harga purata kereta CKD naik antara 10% hingga 30%, seterusnya akan menyebabkan jumlah dan penghasilan kenderaan jatuh, dan ia akan menjejaskan pembuat kenderaan dan pembekal.

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    “Kami sangat prihatin dengan perkara ini. Berdasarkan pemahaman kami setakat ini, 402 akan mula dilaksanakan pada Januari 2026. Sekiranya itu berlaku, akan berlaku juga kenaikan harga purata bagi kenderaan CKD antara 10%-30%,” jelasnya.

    “Sekiranya itu berlaku (penilaian semula OMV), akan ada banyak kesan buruk bagi tahun-tahun ke depan, dari segi jumlah jualan dan pengeluaran lebih rendah bagi kenderaan CKD. Ia juga akan memberik kesan kepada industri tempatan, terutamanya bagi pembekal. Akan ada banyak kesan sampingan yang kami risaukan. Kami akan terus berbincang dengan kerajaan dan berharap akan lebih difahami serta ada alternatif lain untuk perkara ini,” tambah Shamsor lagi.

    Manakala dalam kenyataan kepada paultan.org yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) bulan lalu, presidennya Chin Jit Sin memberitahu bahawa industri automotif Malaysia menyumbang lebih 4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 200,000 orang – sekiranya jumlah pengeluaran yang lebih rendah dicatatkan ia akan menyebabkan penutupan kilang dan kehilangan pekerjaan.

    “Walaupun pelaksanaan OMV telah ditangguhkan kepada Januari 2026, pengeluar kenderaan bermotor akan berhenti membuat pelaburan baharu serta-merta untuk mengeluarkan model kenderaan bermotor baharu di Malaysia, dan hanya membawa masuk unit CBU (diimport sepenuhnya) dari negara ASEAN atau RCEP lain, memandangkan terdapat perbezaan kos yang kurang pada unit CBU berbanding kenderaan CKD,” jelas Chin.

    Bagi motosikal pula, Presiden Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM), Hoo Wan Tim memberitahu paultan.org bahawa perlaksanaan OMV/402 ini akan menyebabkan harga motosikal CKD naik sehingga 20%, seterusnya memberi kesan kepada mereka yang termasuk dalam golongan B40 dan M40.

    “Sejajar dengan MAA dan MACPMA, MASAAM juga mahukan kerajaan supaya melihat semula kepada situasi OMV/402 untuk mengelakkan kesan kos yang ketara kepada kehidupan pengguna. Terutamanya apabila berkenaan motosikal, pengguna kita yang kebanyakannya terdiri daripada B40 dan M40 akan menerima kesan yang lebih jelas.

    “Untuk motosikal, kenaikan harga untuk model pemasangan tempatan adalah antara 10% ke 20%. Sebagai contoh, jika sesebuah motosikal itu sekarang harganya RM10,000, dengan pelarasan semula duti eksais ini, model sama perlu dijual pada harga RM11,000 atau RM12,000 pada tahun hadapan. Bagi mereka yang memerlukan pengangkutan asas, termasuk yang bertugas dalam gig ekonomi (penghantar bermotosikal), ini adalah kenaikan yang tinggi,” kata Hoo.

    OMV “Perkara 402” ini diwartakan/digazetkan pada hari terakhir 2019, dan bertujuan untuk mencari kaedah baru bagi mengira nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan sekaligus menaikkan harga jualannya. OMV didefinisikan sebagai nilai akhir pasaran kenderaan CKD yang keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais terhadapnya.

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Ia terdiri daripada kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan serta pentadbiran. Kenderaan CBU pula menggunakan sistem berbeza — harganya berdasarkan kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang dikenakan duti eksais dan duti import.

    Peraturan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan itu menyatakan yang dalam mengira OMV, perlu juga dipertimbangkan tidak hanya keuntungan dan perbelanjanaan umum yang terlibat dalam pengeluaran sesebuah kenderaan, tetapi juga dalam jualannya.

    Klausa berkaitan “jualan” inilah yang menjadi masalah, kerana ia melibatkan juga bahagian lain seperti kejuruteraan, kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, merancang dan melakar, bayaran royalti serta yuran lesen (paten), tanda dagang, hak cipta. Ia umpama “kos kilang” yang digabung dengan “kos pejabat”. Dan akhirnya, harga kenderaan CKD boleh naik dari 10% hingga 30% sekiranya kaedah ini diguna pakai.

    Peraturan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun selepas 22 hari memasuki tempoh pandemik, MAA umumkan yang Kementerian Kewangan telah menangguhkan rancangan itu hingga 2021. Menjelang hujung 2020, ia sekali lagi ditangguhkan dan MAA merayu kepada kerajaan pada 2022 untuk meneruskan penangguhan itu — tempoh penangguhan dua tahun berjaya diperoleh, hingga 31 Disember 2024. Penangguhan terbaru, seperti yang disahkan bulan lalu akan berlangsung hingga 31 Disember 2025.

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Kita sebagai pengguna mungkin boleh menarik nafas lega buat sementara waktu. Namun keadaan ketidaktentuan ini tidak baik untuk syarikat-syarikat pengeluar kenderaan yang melabur dalam negara. Ini kerana dengan keputusan kerajaan yang masih samar-samar seperti ini, syarikat-syarikat tersebut sukar untuk membuat perancangan, ramalan dan juga operasinya di sini.

    Ia seterusnya turut akan merugikan kerajaan sendiri kerana pasti ada pelaburan yang mahu dibuat oleh syarikat-syarikat tersebut akan terbantut dengan polisi yang tidak jelas. Syarikat mana yang yang mahu melabur dalam produksi tempatan dan setiap Disember mengharapkan polisi baharu berkenaan tidak dilaksanakan?

    Sekiranya harga kereta CKD naik sehingga 30%, tidak ada makna lagi untuk pengeluar-pengeluar melabur untuk kilang pemasangan tempatan, dan hanya membawa model yang diimport sepenuhnya kerana harga jualan akhir akan menjadi lebih kurang sama.

    Dengan cara ini, ya, kerajaan bakal menerima lebih banyak pendapatan dalam jangka masa pendek, tetapi kita akan kehilangan pelabur yang dapat menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat tempatan. Malah jumlah jualan kenderaan tempatan juga mungkin akan merudum kerana harga kereta yang lebih mahal.

    Tahun 2024 bukan sahaja merekodkan jumlah jualan kenderaan tertinggi pernah dicatatkan, malah ia juga menjadi tahun yang menyaksikan produksi kenderaan tertinggi dalam sejarah industri automotif tempatan. Sekiranya langkah ini dilaksanakan, ia mungkin akan meranapkan semua yang telah dibina sebelum ini.

     
     
  • Senarai 20 model EV terlaris Januari 2025 — Proton eMas 7 teratas, BYD Sealion 7 kedua; tiada Tesla

    Senarai 20 model EV terlaris Januari 2025 — Proton eMas 7 teratas, BYD Sealion 7 kedua; tiada Tesla

    Bagi bulan pertama 2025, Proton eMas 7 muncul sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia. Model EV pertama Proton itu dilancarkan pada Disember tahun lalu dan ditawarkan dalam dua varian dengan harga bermula RM105,800 atas jalan belum termasuk insurans.

    Dengan sejumlah 421 unit terjual, EV Proton ini mendahulu model EV lain dalam senarai 20 teratas, yang diikuti oleh BYD Sealion 7 di tempat kedua dengan 151 unit. MPV BYD M6 pula menduduki tangga ketiga dengan 136 unit. Tidak terlalu jauh dibelakangnya adalah Atto 3 dengan jualan sebanyak 104 unit.

    Sebuah lagi EV yang berjaya mencapai angka jualan 100 unit ialah BMW i5 yang berada di kedudukan kelima, mengatasi BYD Seal di tempat keenam dengan 95 unit. Xpeng G6 dan Zeekr 009 pula masing-masing menjual 81 unit bagi tempoh berkenaan — Zeekr 009 juga merupakan sebuah lagi EV yang baru saja diperkenalkan pada Disember tahun lalu.

    Selepas itu, Ora oleh Great Wall Motor berada ditangga sembilan dengan 43 unit yang terjual — melibatkan model Good Cat dan 07, sementara MG4 EV di kedudukan ke-10 dengan 41 unit. Ada dua lagi model BMW yang tersenarai, iaitu i7 di tangga ke-11 (dengan 38 unit) dan iX2 ke-12 dengan 36 unit.

    Senarai 20 model EV terlaris Januari 2025 — Proton eMas 7 teratas, BYD Sealion 7 kedua; tiada Tesla

    Leapmotor C10 pula berhasil mencapai angka 30 unit untuk menduduki tempat ke-13, yang diikuti oleh Porsche Taycan dengan 29 unit (data JPJ mengambil kira kereta recon sekali). Selain itu, BMW iX1 berjaya didaftarkan sebanyak 29 unit, dan diikuti oleh smart (model #1 dan #3).

    Sebuah lagi EV dari Zeekr, model X mencatatkan pendaftaran sebanyak 21 unit dan menduduki tangga ke-17. BYD Dolphin yang merupakan EV kelima terlaris di Malaysia tahun lalu pula hanya mencatatkan 19 pendaftaran bulan lalu.

    Dua kedudukan terakhir pula dihuni oleh Volvo EX30 dengan 18 unit di tangga ke-19, dan diikuti MINI Countryman SE di tangga ke-20 dengan 17 unit didaftarkan. Tesla Model 3 dan Model Y, yang merupakan EV ketiga dan keempat terlaris di Malaysia tahun lalu, tidak tersenarai dalam kedudukan 20 kedudukan teratas bagi Januari — data JPJ menunjukkan Tesla hanya menjual 13 unit sahaja (10 unit Model Y dan tiga unit Model 3).

     
     
  • 20 jenama EV paling laris Januari 2025 di Malaysia – BYD masih mendahului, Proton di tempat kedua

    20 jenama EV paling laris Januari 2025 di Malaysia – BYD masih mendahului, Proton di tempat kedua

    Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia mempunyai peserta baru daripada Proton, iaitu eMas 7, yang dilancarkan 16 Disember lalu dan bulan lepas penghantarannya sudah bermula kepada pelanggan.

    Sebagai model baru, permintaan awalnya sudah dijangka mencanak sekaligus menjadi EV paling laris bagi bulan Januari 2025 dengan 421 unit didaftar. Walaupun begitu, ia tidak dapat membawa Proton menjadi jenama paling atas dalam jualan EV, dan diatasi oleh BYD yang mencatat jualan 505 unit.

    Menarik untuk kita lihat persaingan dua jenama ini kerana BYD mempunyai lima model EV, sementara Proton hanya satu. Kerancakan sebuah model baru masih ada bagi eMas 7 dan bulan lepas sahaja, hampir 4,000 unit ditempah. “Sasaran kami adalah untuk menyerahkan 1,000 unit menjelang hujung Februari, dan lebih lagi pada bulan Mac untuk memenuhi permintaan,” kata ketua pegawai penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff.

    20 jenama EV paling laris Januari 2025 di Malaysia – BYD masih mendahului, Proton di tempat kedua

    Berada di tempat ketiga adalah BMW dengan catatan 230 unit, meninggalkan jauh seterunya, Mercedes-Benz yang cuma menjual 35 unit EV bulan lepas – hampir sama dengan MINI yang mencatat 34 unit. Satu lagi jenama yang mendapat lonjakan daripada model baru (MPV 009 dan crossover X) adalah Zeekr dengan catatan 101 unit.

    Xpeng yang berada di bawah kelolaan Bermaz memulakan tahun ini dengan baik, mencatat pendaftaran 81 unit pada bulan Januari. Setakat ini, hanya SUV G6 sahaja yang dijual, tetapi ia mungkin ditambah lagi dengan MPV X9 tidak lama lagi.

    Mengisi kedudukan lain dalam senarai 10 teratas ini adalah MG di tempat keenam (53), GWM ketujuh (43), Porsche kelapan (38) dan Mercedes-Benz kesembilan (35) dan MINI kesepuluh (34). Tesla berada jauh di tempat ke-14 dengan hanya 13 unit didaftar.

     
     
  • MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Pelantikan tiga syarikat baru oleh Kementerian Pengangkutan (MoT) sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor (PPKM) Jumaat lalu membawa kepada banyak spekulasi. Antaranya, kenapa syarikat yang nampaknya masih baru dan tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan ini dipilih. Bagi menjelaskan perkara itu, MoT mengeluarkan kenyataan yang menegaskan pemilihan dibuat berasaskan kestabilan kewangan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, 12 syarikat telah menghantar permohonan menjadi PPKM sebelum tempoh tutupnya pada 31 Oktober lalu. Menurut MoT, semua permohonan dinilai berdasarkan prosedur yang tertulis dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Prosedur Perolehan melalui Request for Proposal (RFP) yang telah dilaksana sejak 29 November 2022.

    Kementerian itu turut menambah bahawa pemilihan syarikat ini dibuat berdasarkan garis panduan yang terdapat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), termasuk syarat kelayakan, peraturan dan standard seperti yang boleh ditemui di dalam laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 23 April 2024.

    Antara keperluan utama untuk syarikat yang memasuki proses RFP ini adalah termasuk syarikat Sdn Bhd pemilikan tempatan yang stabil kewangannya dengan modal pemula sebanyak RM10 juta, dan mempunyai modal pusingan minimum RM5 juta setahun.

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Selain daripada itu, syarikat yang memohon juga perlu memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran, menyediakan wang deposit atau bon minimum 5% daripada nilai modal pusingan, memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan dan berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan.

    Berkenaan pemegang saham, pemilik syarikat dan ahli lembaga pengarah syarikat pula, mereka tidak boleh mempunyai sebarang prosiding/tindakan mahkamah atau disenarai hitam oleh mana-mana pihak berkuasa. Penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati, Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.

    MoT menjelaskan lagi, ia bersama dengan JPJ tidak menetapkan tempoh pendaftaran dengan SSM sebagai syarat
    kelayakan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi.

    Turut dinyatakan, Sejak 1994, Puspakom merupakan satu-satunya syarikat yang diberi mandat untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disebabkan itu, tiada syarikat lain yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan fungsi-fungsi Puspakom sebelum ini.

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Berkenaan pemilihan lokasi pula, MoT memberitahu, penetapan dibuat berdasarkan konsep “cross subsidy” bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah. Konsep ini menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi yang mempunyai kapasiti tinggi semata-mata dan memastikan akses perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada semua pengguna di seluruh negara. Penetapan lokasi ini dibuat oleh JPJ dan MoT.

    Kementerian ini juga menjelaskan sekali lagi bahawa surat tawaran kepada syarikat yang terpilih pada 7 Februari 2025 adalah kelulusan bersyarat, yang memerlukan syarikat memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan,
    tenaga kerja, dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan.

    Disebabkan itu, ia tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan terhadap pihak kerajaan. Sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan. Turut ditegaskan, proses perolehan ini dilaksana berdasarkan tatacara perolehan dan kewangan yang berkuat kuasa bagi memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang berkualiti, telus, dan kompetitif untuk manfaat rakyat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025