Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Pelantikan tiga syarikat baru oleh Kementerian Pengangkutan (MoT) sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor (PPKM) Jumaat lalu membawa kepada banyak spekulasi. Antaranya, kenapa syarikat yang nampaknya masih baru dan tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan ini dipilih. Bagi menjelaskan perkara itu, MoT mengeluarkan kenyataan yang menegaskan pemilihan dibuat berasaskan kestabilan kewangan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, 12 syarikat telah menghantar permohonan menjadi PPKM sebelum tempoh tutupnya pada 31 Oktober lalu. Menurut MoT, semua permohonan dinilai berdasarkan prosedur yang tertulis dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Prosedur Perolehan melalui Request for Proposal (RFP) yang telah dilaksana sejak 29 November 2022.

    Kementerian itu turut menambah bahawa pemilihan syarikat ini dibuat berdasarkan garis panduan yang terdapat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), termasuk syarat kelayakan, peraturan dan standard seperti yang boleh ditemui di dalam laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 23 April 2024.

    Antara keperluan utama untuk syarikat yang memasuki proses RFP ini adalah termasuk syarikat Sdn Bhd pemilikan tempatan yang stabil kewangannya dengan modal pemula sebanyak RM10 juta, dan mempunyai modal pusingan minimum RM5 juta setahun.

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Selain daripada itu, syarikat yang memohon juga perlu memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran, menyediakan wang deposit atau bon minimum 5% daripada nilai modal pusingan, memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan dan berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan.

    Berkenaan pemegang saham, pemilik syarikat dan ahli lembaga pengarah syarikat pula, mereka tidak boleh mempunyai sebarang prosiding/tindakan mahkamah atau disenarai hitam oleh mana-mana pihak berkuasa. Penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati, Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.

    MoT menjelaskan lagi, ia bersama dengan JPJ tidak menetapkan tempoh pendaftaran dengan SSM sebagai syarat
    kelayakan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi.

    Turut dinyatakan, Sejak 1994, Puspakom merupakan satu-satunya syarikat yang diberi mandat untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disebabkan itu, tiada syarikat lain yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan fungsi-fungsi Puspakom sebelum ini.

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Berkenaan pemilihan lokasi pula, MoT memberitahu, penetapan dibuat berdasarkan konsep “cross subsidy” bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah. Konsep ini menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi yang mempunyai kapasiti tinggi semata-mata dan memastikan akses perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada semua pengguna di seluruh negara. Penetapan lokasi ini dibuat oleh JPJ dan MoT.

    Kementerian ini juga menjelaskan sekali lagi bahawa surat tawaran kepada syarikat yang terpilih pada 7 Februari 2025 adalah kelulusan bersyarat, yang memerlukan syarikat memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan,
    tenaga kerja, dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan.

    Disebabkan itu, ia tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan terhadap pihak kerajaan. Sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan. Turut ditegaskan, proses perolehan ini dilaksana berdasarkan tatacara perolehan dan kewangan yang berkuat kuasa bagi memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang berkualiti, telus, dan kompetitif untuk manfaat rakyat.

     
     
  • Projek jajaran jalan antara ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao dijangka siap sepenuhnya akhir 2025

    Projek jajaran jalan antara ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao dijangka siap sepenuhnya akhir 2025

    Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi mengesahkan projek jajaran jalan yang menghubungkan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, laporan Bernama.

    Bagaimanapun, katanya, jajaran jalan yang menghubungkan kompleks baharu itu tidak dapat dimuktamadkan lebih awal berikutan beberapa halangan teknikal yang menyebabkan kelewatan.

    “Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil alih tampuk kepimpinan, beliau mengeluarkan arahan dan secara aktif mendesak projek itu disambung semula. Selepas mengatasi isu teknikal, projek itu disambung semula pada 2023 dan kini dijangka siap sekitar Julai atau Ogos tahun ini,” katanya.

    Beliau berharap, projek itu dapat beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2025, sekali gus memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

    Jajaran jalan penghubung antara ICQS Bukit Kayu Hitam-CIQ Sadao itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.

     
     
  • PLUS akan uji tol tanpa palang bermula April ini – yang elak bayar mungkin tak boleh perbaharui cukai jalan

    PLUS akan uji tol tanpa palang bermula April ini – yang elak bayar mungkin tak boleh perbaharui cukai jalan

    PLUS Expressways Bhd (PLUS) bakal melakukan ujian perintis mereka sendiri terhadap sistem tol tanpa palang menggunakan sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang dibangunkan sendiri oleh syarikat konsesi lebuhraya tersebut bermula April nanti, lapor The Edge yang memetik beberapa sumber dalam industri.

    Laporan itu menyebut bahawa langkah ini diambil dalam usaha bagi mengelak berlaku salah guna dan eksplotasi keuntungan ketika pelaksanaannya berjalan kelak. Malah ia juga menyatakan bahawa PLUS yang merupakan konsesi lebuhraya terbesar di Malaysia kerana mempunyai kelebihan di mana anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn Bhd merupakan penyedia sistem kutipan tol elektronik bagi kebanyakkan lebuhraya di Malaysia.

    Bagi mengelakkan pengguna mengambil kesempatan untuk melalui tol tanpa palang berkenaan tanpa membuat bayaran sepatutnya, PLUS turut sedang berusaha untuk berkerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan menghalang pesalah-pesalah tersebut memperbaharui cukai jalan masing-masing.

    “Masih tiada undang-undang yang membolehkan syarikat konsesi menangkap mereka yang tidak membayar tol sebaik sahaja mereka meninggalkan lebuhraya. Objektif untuk bekerjasama dengan JPJ adalah untuk memastikan pengguna jalan raya yang berhutang dengan syarikat konsesi untuk membayarnya terlebih dahulu sebelum memperbaharui cukai jalan mereka,” kata seorang sumber yang merupakan eksekutif dalam industri.

    Bukan hanya PLUS, dikhabarkan ada beberapa syarikat konsesi lebuhraya besar lain seperti Prolintas turut telah memulakan ujian perintis sistem MLFF ini di lebuhraya tertutup. Antaranya adalah Prolintas (konsesi untuk Lebuhraya Koridor Guthrie, LKSA dan Silk) serta Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR).

    “Kos ujian percubaan yang dijalankan semuanya ditanggung secara dalaman. Pada penghujung ujian percubaan, yang belum ditentukan lagi, syarikat konsesi yang lebih kecil akan mempunyai pilihan untuk menggunakan mana-mana sistem yang paling sesuai untuk mereka,” kata satu lagi sumber.

    Manakala sumber berlainan menyebut syarikat-syarikat konsesi lebuhraya turut akan meneroka industri lebuhraya secara keseluruhan menerusi Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSLKM), bagi menggunakan satu sistem tunggal di mana kesemua syarikat konsesi akan mempunyai kepentingan dalam syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.

    “Inisiatif melalui MAHCC adalah untuk semua pemegang konsesi mengambil bahagian dalam syarikat yang menyediakan sistem dan menjadikannya sebagai entiti bukan berasaskan keuntungan,” kata sumber itu. The Edge menyatakan logik mewujudkan entiti tersebut untuk menyediakan sistem MLFF adalah berdasarkan kegusaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan pencatutan berlebihan yang akan terjadi ketika proses implementasi.

    Sistem MLFF ini sudah disebut untuk digunakan di Malaysia sejak awal 2008. Pada 2015 PLUS menyatakan bahawa pihaknya bakal memperkenalkan sistem berkenaan pada 2018, dan seperti yang boleh kita lihat sekarang ia masih lagi belum digunakan. Dalam laporan Astro Awani pula menyebut bahawa kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan laluan tol tanpa palang bermula 2025. Namun masih banyak yang belum dimuktamadkan, adakah perancangan tersebut akan mengikut sasaran terbaharu berkenaan?

     
     
  • JPJ laksana ujian kalibrasi sistem kamera AWAS di Jalan Gurun-Sik dan Jalan Alor Setar-Butterworth

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan ujian kalibrasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di KM 1 Jalan Gurun-Sik (Arah Gurun) dan KM 36 Jalan Alor Setar-Butterworth. Kamera Jenoptik Robot tersebut dipasang bersebelahan lampu isyarat di persimpangan laluan terbabit.

    Menurut JPJ, pengoperasian sistem kamera AWAS ini adalah bertujuan bagi memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah APJ1987 (Akta 333), selaras usaha untuk mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

    “Kalibrasi ini adalah bertujuan untuk memastikan semua kamera, peralatan dan lain-lain yang berkaitan berada dalam keadan baik dan memuaskan seperti yang telah ditetapkan. Turut hadir dalam aktiviti kalibrasi ini adalah pegawai daripada JPJ Negeri Kedah, JPJ Putrajaya, MIROS, SIRIM dan TCSENS,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi JPJ Kedah.

    Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kamera AWAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

    Menurut beliau, pelaksanaan tersebut bagi membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan. Buat masa ini, pelaksanaan kamera AwAS diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

     
     
  • SUV EV Togg T10X diserahkan secara rasmi oleh Presiden Turkiye kepada PMX Anwar Ibrahim

    SUV EV Togg T10X diserahkan secara rasmi oleh Presiden Turkiye kepada PMX Anwar Ibrahim

    SUV elektrik T10X telah pun diserahkan secara rasmi oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara, laporan Bernama.

    Kelmarin, Anwar telah memandu SUV pemanduan sebelah-kiri berwarna putih ini di sekitar Kompleks Seri Perdana, dengan Erdogan yang turut bersamanya di bahagian penumpang hadapan, sewaktu menghadiri majlis pertukaran perjanjian, sidang akhbar bersama dan jamuan tengah hari sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia.

    SUV EV Togg T10X diserahkan secara rasmi oleh Presiden Turkiye kepada PMX Anwar Ibrahim

    Pada Isnin lalu, Anwar berkata beliau melihat hadiah itu sebagai milik negara dan bukannya miliknya, dan akan memulangkan kenderaan itu ke negara itu apabila tugasnya sebagai Perdana Menteri berakhir.

    Ditubuhkan pada 2018, Togg ialah pengeluar EV nasional utama Turkiye (atau Turki). T10X ialah model pertamanya yang memulakan pengeluaran pada 2022 dan penghantarannya bermula pada 2023. Ia diberikan penawarean sama ada dalam motor tunggal pacuan roda-belakang 218 PS/350 Nm atau dua-motor dengan konfigurasi pacuan semua-roda 435 PS/700 Nm, dan boleh bergerak sehingga 523 km dengan satu pengecasan penuh.

     
     
  • Jaecoo J7 terbakar di Sarawak kerana pemasangan kamera pemuka aftermarket – kenyataan pengedar

    Jaecoo J7 terbakar di Sarawak kerana pemasangan kamera pemuka <em>aftermarket</em> – kenyataan pengedar

    Baru-baru ini tular gambar sebuah Jaecoo J7 yang terbakar pada bahagian papan pemuka yang berlaku di Sarawak. Sehubungan itu satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Jaecoo Malaysia, namun ia sebenarnya adalah kenyataan dalaman yang diedar kepada jaringan pengedar jenama tersebut di Malaysia.

    Dalam kenyataan yang telah di lihat berkenaan, Jaecoo Malaysia menyatakan insiden tersebut adalah disebabkan oleh pemasangan kamera pemuka (dashcam) aftermarket yang dipasang secara tidak betul.

    Jaecoo J7 terbakar di Sarawak kerana pemasangan kamera pemuka <em>aftermarket</em> – kenyataan pengedar

    Berikut adalah terjemahan kenyataan dalaman dari Jaecoo Malaysia berkenaan insiden itu:

    Kejadian Kebakaran Terpencil SUV J7 di Malaysia

    Keselamatan adalah perkara yang amat penting kepada Jaecoo Malaysia. Kami menyedari kejadian kebakaran terpencil melibatkan SUV J7 yang sedang diparkir di Sarawak. Pasukan Jaecoo sedang berhubung dengan pemilik dan selepas penyiasatan menyeluruh boleh mengesahkan bahawa kejadian itu disebabkan oleh pemasangan kamera pemuka yang tidak betul di bengkel pihak ketiga di luar rangkaian Jaecoo. Kami juga boleh mengesahkan bahawa kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan, kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda lain.

    Jaecoo mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak atas tindakan awalan mereka yang cepat, dan kami amat menasihatkan pelanggan bahawa demi keselamatan, untuk mengelak daripada melakukan pengubahsuaian di pusat servis tidak bertauliah yang boleh membatalkan jaminan kenderaan Jaecoo anda. Sila pastikan semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan dilakukan oleh pusat servis Jaecoo yang dibenarkan sahaja.

    Terima kasih.

    Yang ikhlas,
    Pihak Pengurusan
    JAECOO Malaysia

     
     
  • PLUS sokong larangan lori di lebuh raya pada waktu puncak — papan tanda berkaitan sudah dinaikkan

    PLUS sokong larangan lori di lebuh raya pada waktu puncak — papan tanda berkaitan sudah dinaikkan

    PLUS menyokong langkah kerajaan untuk melarang lori besar daripada memasuki lebuhraya dari dan ke Kuala Lumpur pada waktu puncak, yang akan dilaksanakan bermula 19 Februari ini.

    “PLUS menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan larangan ini. Langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan, membantu mengurangkan kesesakan serta melancarkan aliran trafik di Lembah Klang dan bandaraya Kuala Lumpur, terutama ketika waktu puncak pada hari bekerja,” jelas PLUS dalam satu kenyataan.

    “PLUS sentiasa komited untuk menyokong dan bekerjasama dengan LLM serta agensi kerajaan yang lain untuk memastikan aliran lancar di lebuhraya. Langkah ini juga selari dengan misi PLUS untuk mempertingkat keselamatan dan menyediakan pengalaman yang kesalamat dan selesa untuk semua pengguna lebuhraya,” tambahnya.

    Daripada semua lebuhraya yang tertakluk kepada peraturan tersebut, Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE dan Elite adalah di bawah kenderalian PLUS, dan pihaknya juga telah menaikkan papan tanda di lokasi strategik untuk memberikan panduan jelas kepada pemandu-pemandu kenderaan berat.

    Sebenarnya, peraturan ini telah dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan PLUS dan sambungannya di NKVE, iaitu di antara Sungai Buloh-Bukit Lanjan (KM456.0 ke KM459.3, di kedua-dua arah) dan dari Shah Alam ke Jalan Duta (KM9 ke KM31, di kedua-dua arah), pada waktu puncak sebelah pagi (6.30am hingga 9.30am).

    Peraturan sama akan dilaksanakan pada waktu puncak sebelah petang, dari 4.30pm hingga 7.30pm. Sebagai tambahan, Lebuhraya Elite (Shah Alam ke Bandar Saujana Putra, KM1.03 ke KM16.2, di kedua-dua arah) dan Lebuhraya DUKE juga terlibat sama dengan larangan itu, bagi kedua-dua waktu puncak pagi dan petang. Kenderaan berat yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa domestik, perkhidmatan kecemasan, penguatkuasaan serta penyelenggaraan lebuhraya bagaimanapun dikecualikan.

    Bagaimanapun, persatuan lori tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Ini pandangan mereka.

     
     
  • JPJ keluarkan 107,014 saman sepanjang Op TBC 2025 – kesalahan tertinggi berkaitan cukai jalan, lesen

    JPJ keluarkan 107,014 saman sepanjang Op TBC 2025 – kesalahan tertinggi berkaitan cukai jalan, lesen

    Sejak 20 Januari hingga semalam (9 Februari 2025), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) 2025 di seluruh negara bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sebagai usaha JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan terutamanya semasa musim perayaan.

    Berdasarkan kepada operasi tersebut, pihak JPJ telah mengeluarkan notis sebanyak 107,014 notis atas pelbagai kesalahan ke atas kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya. Statistik tersebut adalah hasil daripada 429,423 kenderaan yang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 724 kenderaan telah disita.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kesalahan tertinggi yang direkodkan sepanjang operasi berkenaan ialah cukai jalan tamat tempoh/tiada perlindungan insurans iaitu sebanyak 29,994 saman, tiada lesen memandu/lesen memandu tamat tempoh (20,414) dan berkaitan teknikal termasuk brek/tayar botak (15,610).

    “Selain itu, lain-lain kesalahan sebanyak notis 9,052 dikeluarkan, kesalahan berkaitan kesalahan utama (3,994), kesalahan kenderaan barangan (3,161). Bagi kesalahan kenderaan perkhidmatan awam (bas) sebanyak 241 notis dikeluarkan dan gagal patuhi larangan pemanduan kenderaan barangan pula 140 notis. Kesemua kesalahan dikeluarkan Notis JPJ(P) 22,” katanya.

    Operasi ini telah dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasa seperti Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta semua konsesi lebuh raya seperti PLUS Malaysia.

    Tambahnya, sepanjang operasi itu juga penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan juga dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 27 dan lalu (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari lalu (selepas perayaan).

    “JPJ mengesan kenderaan barangan gagal mematuhi larangan berkenaan dan 140 notis dikeluarkan serta 21 kenderaan ditahan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Aedy berkata, Operasi Khas Tahun Baru Cina tahun ini juga menunjukkan penurunan pengeluaran notis saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 107,014 notis berbanding tahun sebelumnya 207,127 notis.

    “Statistik itu menunjukkan terdapat peningkatan tahap Perception of Being Caught (POBC) dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan,” katanya.

     
     
  • Yamaha R25 2025 masuk pasaran Indonesia – seluruh penampilan berubah, klac slip & assist, Y-Connect

    Yamaha R25 2025 masuk pasaran Indonesia – seluruh penampilan berubah, klac slip & assist, Y-Connect

    Seperti yang dijangka, Yamaha R3 2025 yang diperkenalkan sewaktu EICMA tahun lepas kini muncul sebagai R25, dengan membawa peningkatan sama, tetapi enjin bersesaran lebih rendah. Antara pasaran terawal yang menerimanya adalah Indonesia, dengan ia dilancarkan pada harga 75 juta Rupiah (RM20,500).

    Perubahan paling utama sudah tentu adalah penampilan, dengan semua panel badannya adalah baru, dan mempunyai bukaan udara berbentuk M pada fairing hadapan, seperti R9 dan R1 GYTR. Lampu hadapan adalah lebih nipis, dan kini menggunakan unit LED projector, bersama jalur LED. Lampu belakang juga diubah menggunakan bentuk yang menegak.

    Enjin secara asasnya masih lagi unit satu silinder empat strok 249.55 cc DOHC empat injap, tetapi kini mendapat penarafan emisi Euro 5+ hasil daripada perubahan yang dibuat pada kebuk pembakaran, salur kemasukan udara serta ekzos. Kuasanya masih lagi 35.4 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.5 Nm pada 10,000 rpm.

    Membantu aspek prestasi pada model baru ini adalah klac jenis slip & assist, yang bukan sahaja menjadikan tarikan tuil lebih ringan, tetapi juga mengelakkan gelinciran pada roda belakang apabila menurunkan gear secara ekstrem. Transmisi adalah unit enam kelajuan.

    Bentuk meter digital LCD pada R25 ini masih kelihatan sama, tetapi ia sekarang sudah dilengkapi dengan sistem sambungan kepada telefon pintar, Y-Connect yang mampu memaparkan notifikasi panggilan serta akses informasi tambahan pada telefon.

    Kelengkapan lain yang tersedia pada R25 2025 adalah termasuk pengecas USB-A, tangki bahan api 14 liter, fork USD, ABS dual-channel, brek cakera hadapan dan belakang serta rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Berat keseluruhan adalah 166 kg.

     
     
  • PMX dapat hadiah EV TOGG dari Presiden Turkiye

    PMX dapat hadiah EV TOGG dari Presiden Turkiye

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau mendapat hadiah sebuah kenderaan elektrik (EV) jenama TOGG dari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. EV TOGG keluaran Turkiye itu diterimanya baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara, laporan Harian Metro.

    “Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” kata Anwar yang sempat menggunakan kenderaan berkenaan sewaktu meninjau persiapan menyambut kehadiran Presiden Turkiye itu sempena lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari.

    “Semalam, saya kebetulan cuba EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye…beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi tadi.

    Walau bagaimana pun, Anwar tidak perincikan model TOGG yang dihadiahi oleh Erogan itu. Tahun lalu, jenama ini pernah mengkhabarkan bakal melancarkan model kedua mereka iaitu sebuah sedan fastback, T10F, yang akan dijual bermula 2025. Sedan segmen-C ini berukuran panjang 4,830, lebar 1,881, tinggi 1,560 mm dan jarak roda 2,890 mm.

    Varian asas T10F dipacu oleh motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 350 Nm, yang terletak di belakang, sementara varian lebih berkuasa datang dengan pacuan semua roda serta motor elektrik tambahan di hadapan, menghasilkan kuasa keseluruhan 435 PS (429 hp atau 320 kW) dan tork 700 Nm.

     
     
  • Larangan lori di lebuh raya waktu puncak akan ganggu rangkaian bekalan, tingkat kos industri – persatuan lori

    Larangan lori di lebuh raya waktu puncak akan ganggu rangkaian bekalan, tingkat kos industri – persatuan lori

    Awal bulan ini kerajaan mengumumkan, bermula 19 Februari, lori dilarang menggunakan laluan lebuh raya tertentu dari dan menuju ke Kuala Lumpur semasa waktu puncak demi mengurangkan kesesakan trafik. Langkah ini membawa kepada maklum balas daripada Persatuan Hauliers Malaysia (AMH), yang mengatakan ia akan mengurangkan produktiviti dan membawa kepada tempoh penghantaran yang lebih lama.

    Sekarang, persatuan pengangkutan industri lain turut bersuara, dengan mengatakan perkara yang hampir sama – larangan waktu puncak ini akan menyebabkan gangguan kepada rangkaian bekalan dan memberi kesan kepada kehidupan ahlinya. Perkara ini dilaporkan oleh New Straits Times.

    “Berikutan larangan ini, masa untuk pemandu lori mengangkut barang akan berkurangan. Sekarang, lori perlu parkir beberapa jam sebelum boleh menyambung perjalanan, dan ini akan mengganggu rangkaian bekalan serta meningkatkan kos industri,” kata setiausaha kanan Persatuan Pengusaha Lori Kuala Lumpur Selangor, Alvin Choong.

    “Lebuh raya dibina untuk memudahkan pengangkutan barang. Kami perlu bayar tol, tapi masih dikekang untuk bergerak semasa waktu puncak,” kata beliau sambil menggesa pihak berkuasa untuk melihat kembali peraturan ini dan berbincang dengan pihak berkepentingan lain berkenaan perkara ini.

    Larangan lori di lebuh raya waktu puncak akan ganggu rangkaian bekalan, tingkat kos industri – persatuan lori

    Sentimen ini turut dikongsi oleh Persatuan Pengendali Lori Tipper Malaysia, dengan setiausaha kanannya, Tan Boon Hing berkata, kekangan tersebut juga akan mengurangkan waktu bekerja pemandu, memberikan mereka masa operasi cuma lima jam.

    “Bukan setakat itu, jika pemandu selesai membuat penghantaran pada jam 5 pm, mereka mungkin tidak boleh terus balik ke rumah kerana perlu menunggu sehingga waktu larangan tamat pada 7.30 pm,” kata beliau.

    Ahli majlis tertinggi Persatuan Gabungan Pengangkutan Darat Malaysia, Mohamad Khairillah Md Ali turut bersetuju bahawa kekangan masa dan ketidakcekapan yang disebabkan oleh larangan ini akan memberi kesan kepada kesihatan pemandu secara negatif.

    “Disebabkan oleh kekangan ini, pemandu tidak mempunyai masa yang cukup untuk menaik dan menurunkan barangan. Dalam keadaan paling teruk, pemandu mungkin tidak dapat keluar sebelum waktu larangan petang dan cuma boleh balik apabila sudah malam. Pemandu juga mempunyai keluarga dan hidup sendiri. Apabila kita tidak dapat menyiapkan kerja, dan tidak dapat balik rumah beberapa hari, ia akan membawa kepada tekanan dan amarah,” kata beliau.

    Khairillah juga menggesa kerajaan untuk mengambil kira penyelesaian lain dan bukannya terus mengenakan larangan tertutup seperti ini, sambil mencadangkan pembinaan hab logistik seperti yang dilaksana di luar negara, di mana barangan daripada lori yang lebih besar dapat dipindah ke lori lebih kecil untuk menyambung penghantaran.

     
     
  • Tak jadi dengan Honda, Nissan mungkin bergabung dengan syarikat teknologi dari Taiwan iaitu Foxconn

    Tak jadi dengan Honda, Nissan mungkin bergabung dengan syarikat teknologi dari Taiwan iaitu Foxconn

    Walaupun masih belum diumumkan secara rasmi oleh Nissan sendiri, laporan-laporan media minggu lalu seperti sudah mengesahkan bahawa rundingan penggabungannya dengan Honda sudah berakhir. Dan ini membuka lembaran baharu buat Nissan untuk mencari rakan kongsi lain bagi menyelamatkannya dari krisis kewangan yang berpotensi menyebabkan ia jatuh muflis.

    Dikhabarkan Nissan kini mengalihkan minatnya kepada syarikat teknologi dari Taiwan iaitu Foxxcon, lapor Reuters dengan memetik sumber yang rapat dengan perkara tersebut.

    Sebelum ini Foxconn sudahpun dilaporkan berminat untuk berbincang dengan Nissan berkenaan penggabungan tersebut kerana ia mahu mengembangkan perniagaannya ke dalam industri penghasilan kenderaan elektrik (EV), namun ketika itu Nissan lebih berminat untuk bergabung dengan Honda.

    Foxconn selepas itu telah berhubung dengan Renault yang kini masih mempunyai 36% saham Nissan bagi membeli sebahagian kepentingan tersebut. Manakala laporan berasingan dari Financial Times menyatakan bahawa Renault telah mula berbincang semula dengan Foxconn berkenaan minat syarikat tersebut untuk membeli saham Nissan.

     
     
  • JPJ bimbang ramai yang masih pakai ‘dummy buckle’

    JPJ bimbang ramai yang masih pakai ‘dummy buckle’

    Walau bagaimana canggih sekalipun sistem keselamatan sesebuah kereta, fungsi-fungsi tambahan tersebut tidak akan sempurna sekiranya anda tidak menggunakan kelengkapan keselamatan yang paling asas iaitu tali pinggang keledar. Dan walaupun pengeluar-pengeluar automotif sudah memadankan penggera (yang pastinya melibatkan kos tambahan untuk harga sesebuah kereta) untuk ‘memaksa’ pemandu dan penumpang memakai tali pinggang keledar, masih ramai yang membeli aksesori ‘dummy buckle’ bagi mematikan penggera tersebut ketika tali pinggang keledar berkenaan tidak dipakai.

    Ketika menjalankan Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan Ahad lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati sekitar 30% dari 195 pesalah yang diberikan notis kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar telah menggunakan ‘dummy buckle’ bagi memadamkan bunyi penggera berkenaan, dan jumlah tersebut agak membimbangkan.

    “Saya boleh katakan 30 peratus daripada yang kita tahan didapati menggunakan aksesori itu. Maknanya ia dipakai secara terbuka dan meluas. Ini kerana, alatan tersebut mudah didapati sama ada dibeli dalam talian, kedai aksesori kenderaan atau kedai serbaneka yang dijual pada harga bawah RM20,” katanya Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf dalam laporan Sinar Harian.

    “Itu yang saya risau benda ini akan menjadi trend dan ada juga yang bila kita tanya kenapa tak pakai tali pinggang keledar, mereka menjawab tak selesa dan ada juga beri alasan lupa.

    “Bagi saya ia satu perkara yang tidak bertanggungjawab pada diri sendiri dan juga kepada penumpang. Mereka yang melakukan kesalahan ini telah dikenakan kompaun RM300,” katanya lagi.

    JPJ bimbang ramai yang masih pakai ‘dummy buckle’

    Beliau menjelaskan bahawa pemakaian tali pinggang keledar bukan saja satu keperluan penting kerana dapat mengurangkan risiko sekiranya berlaku kemalangan, malah ia adalah peraturan yang telah ditetapkan undang-undang.

    Sebanyak 12,138 kenderaan telah diperiksa oleh JPJ Negeri Sembilan sepanjang Ops Khas TBC ini dimana 2,508 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, dan 424 notis daripadanya adalah kesalahan utama.

    Manakala dari jumlah kesalahan utama tersebut, kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dengan 195 notis dikeluarkan berkenaan merupakan kesalahan paling tinggi yang dicatatkan. Kesalahan utama lain yang turut dikeluarkan notis termasuk diikuti tidak patuhi lampu isyarat (113 notis) dan menggunakan telefon bimbit (57 notis), jelas Hanif.

    Sudah banyak contoh kemalangan sebelum ini di mana pemandu dan penumpang tercampak keluar dari kereta dan maut kerana tidak memakai tali pinggang keledar, dan ada dari kemalangan-kemalangan tersebut dikesan memang menggunakan akseori ‘dummy buckle’ berkenaan. Dengan tidak memakai tali pinggang keledar juga akan menyebabkan beg udara tidak berfungsi sepatutnya ketika berlakunya kemalangan.

    Jadi apalah gunanya anda beli kereta mahal yang mendapat pengiktirafan lima bintang dalam ujian pelanggaran, tetapi akhirnya sistem itu tidak berguna setelah anda mematikannya dengan aksesori murah seperti dummy buckle ini?

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 16 Februari 2025 di tapak pasar malam Merlimau, Melaka

    Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 16 Februari 2025 di tapak pasar malam Merlimau, Melaka

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 16 Februari 2025 bertempat di tapak pasar malam Merlimau, Melaka. Ia dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti untuk Karnival Pencegahan Jenayah sempena Temasya Sukan Piala Ketua Polis Negara (KPN).

    Kaunter pembayaran saman berserta diskaun ini akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang. Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Merlimau atau daerah berhampirannya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Beberapa jalan di KL dan Selangor ditutup berperingkat hingga 12 Feb sempena Thaipusam

    Beberapa jalan di KL dan Selangor ditutup berperingkat hingga 12 Feb sempena Thaipusam

    Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa, telah mengumumkan bahawa beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur terlibat dengan penutupan dan lencongan secara berperingkat sempena Perarakan Chariot Thaipusam. Di mana perarakan tersebut bermula di Kuil Sri Mariamman di Jalan Tun H.S Lee jam 9 malam tadi dan dijangka sampai ke Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada 4 petang ini, 10 Februari. Kemudian perarakan pulang akan bermula jam 3 petang pada 12 Februari 2025.

    Jalan yang terlibat ialah Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Leboh Ampang, Jalan Mushi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Bella, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama (Batu Lima), Jalan Kampung Batu, Jalan Kepong Baru, Bulatan Ipoh, Jalan Ipoh menuju ke Bulatan Batu Caves (Jalan Salah dari MRR2), susur dari MRR2 dan Batu Caves.

    “Polis KL ingin menasihati semua pengguna jalan raya khususnya warga kota agar rancang perjalanan dan elakkan dari melalui laluan-laluan yang terlibat dengan penutupan dan lencongan serta mematuhi arahan anggota polis yang bertgas bagi memastikan kelancaran lalu lintas,” kata Ketua Polis KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beberapa jalan di KL dan Selangor ditutup berperingkat hingga 12 Feb sempena Thaipusam

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pula berkata, sebanyak tujuh jalan telah ditutup bermula tengah malam tadi mengikut keadaan semasa bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

    Penutupan jalan dan persimpangan membabitkan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves, Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves dan susur MRR2 dari Sri Gombak ke Susur Perusahaan.

    Selain itu, simpang tiga Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8/Jalan Batu Caves Lama, simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves (hadapan stesen minyak Shell) dan jalan susur Batu Caves Bypass menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves.

    Katanya, Katanya, pengunjung yang membawa kenderaan ke kuil Batu Caves turut dinasihat supaya meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan dan sentiasa memastikan kenderaan berkunci. Orang ramai juga boleh menggunakan cadangan laluan alternatif yang akan dikemaskini melalui Facebook Polis Daerah Gombak, laporan Harian Metro.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025