Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Omoda C9 PHEV ditemui di Malaysia – SUV segmen D versi petrol-elektrik akan dilancar tidak lama lagi?

    Omoda C9 PHEV ditemui di Malaysia – SUV segmen D versi petrol-elektrik akan dilancar tidak lama lagi?

    Omoda C9 dilancarkan di Malaysia Disember tahun lepas, dengan enjin petrol 2.0 liter turbo, tetapi sekarang ada yang menemui versi plug-in hybrid bagi SUV tersebut. Gambarnya dimuat naik dalam laman paultan.org Automotive/Car Discussion di Facebook.

    Dilihat sedang dicas menggunakan mesin TNB Electron, Omoda C9 PHEV ini, melalui komen di dalam gambar tersebut, dikatakan ditemui di Aeon Kinta City, Ipoh, Perak. Menurut Tenaga Nasional Berhad, pengecas tersebut mampu mengeluarkan kuasa DC 47 kW, sekaligus menunjukkan Omoda C9 PHEV itu boleh menerima sumber DC melalui sambungan CCS2.

    Di China, Omoda C9 dijual sebagai Exeed RX dan versi PHEV di sana menggunakan penggerak petrol-elektrik yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, transmisi hibrid khas tiga kelajuan (DHT) dan sehingga dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar – untuk menghasilkan kuasa sehingga 619 PS (610 hp atau 455 kW) dan tork 920 Nm. Menurut pengeluarnya, jarak gerak boleh mencapai 1,300 km mengikut kitaran WLTC.

    Dipasarkan di Malaysia di bawah Jaecoo, Omoda C9 ini berkemungkinan menyertai barisan model baru jenama itu yang akan tiba tahun ini, bersama J6 elektrik bateri dan SUV J8 – juga dijual di China sebagai PHEV berkuasa 605 hp/915 Nm.

    Di negara kita, Omoda C9 secara rasminya dijual dalam dua varian iaitu 2WD dan 4WD, dengan harga masing-masing RM168,800 dan RM188,800. Enjin petrol 2.0 liter turbo yang digunakan mampu menghasilkan kuasa 261 PS dan tork 400 Nm, disampaikan kepada roda melalui transmisi automatik torque converter lapan kelajuan.

    Sebagai tambahan kepada tiga mod pemanduan yang disediakan pada varian 2WD, varian 4WD pula mendapat suspensi adaptif Continuous Damping Control (CDC) dengan tambahan empat lagi mod. Sistem bantuan aktif diberikan kepada kedua-dua varian, bersama pakej ADAS Level 2.5.

    GALERI: Omoda C9 2WD di Malaysia

    GALERI: Omoda C9 AWD di Malaysia

     
     
  • Harga minyak 13-19 Februari – Tiada perubahan

    Harga minyak 13-19 Februari – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel untuk tempoh 13 hingga 19 Februari 2025, iaitu sama seperti minggu sebelum ini.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.43 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM3.18 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Senarai 20 jenama terlaris bagi Januari 2025 — Perodua 140% atasi Proton, Toyota 108% vs Honda

    Senarai 20 jenama terlaris bagi Januari 2025 — Perodua 140% atasi Proton, Toyota 108% vs Honda

    Data pendaftaran kenderaan oleh JPJ bagi Januari 2025 kini sudah tersedia. Dan, untuk senarai 20 jenama EV paling laris sudah pun kami maklumkan. Kini, kita lihat pula senarai 20 jenama yang paling laris di Malaysia bagi tempoh berkenaan secara keseluruhan.

    Di tempat pertama ialah Perodua, dengan 23,245 pendaftaran direkodkan. Angka tersebut 140% lebih tinggi berbanding Proton yang berada di tempat kedua dengan 9,688 unit. Toyota pula mengisi tempat ketiga dengan 7,570 unit mengatasi Honda yang berada ditempat ke empat dengan 3,638 unit — lebih 108%. Mitsubishi pula di kedudukan kelima dengan 1,227 unit.

    Senarai 20 jenama terlaris bagi Januari 2025 — Perodua 140% atasi Proton, Toyota 108% vs Honda

    Di tempat keenam dan ke bawah, semuanya mencatatkan angka kurang daripada 1,000 unit. Bagi jenama China, Chery mendahului dengan 886 unit, diikuti oleh Jaecoo dengan 792 unit. Mercedes-Benz di tangga kelapan dengan 752 unit, mengatasi BMW yang berada di tangga kesepuluh (601 unit, walaupn menjual 195 unit EV berbading Mercecedes dengan hanya 35 unit). Lexus pula di tangga ke-16 (345 unit) dan Porsche di kedudukan ke-17 dengan 285 unit, dengan jualan tiga EV melebihi Mercedes-Benz.

    Bagi kelompok EV, BYD mendahului senarai, tetapi secara keseluruhan, 505 unit yang didaftarkan syarikat itu hanya meletakkannya di tangga ke-12, lebih rendah daripada Nissan yang merekodkan 578 unit. Untuk jenama dengan trak pikap, Isuzu dan Ford masing-masing merekodkan 501 unit dan 473 unit untuk menduduki tangga ke-13 dan 14.

     
     
  • Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Selepas pelbagai pihak dalam industri menyatakan kegusaran kemungkinan harga kereta dan motosikal pemasangan tempatan (CKD) yang akan naik pada 2026 sekiranya pelarasan semula duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV) yang tertanggguh sejak 2020 mula dilaksanakan, baru-baru ini kerajaan telah pun memberikan maklum balas berkenaan perkara tersebut.

    Satu kenyataan yang dikeluarkan bersama Kementerian Kewangan (MoF) dan juga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) semalam menyatakan bahawa laporan-laporan yang mengatakan harga kereta dan motosikal CKD akan naik sehingga 30% pada 2026 adalah tidak benar.

    Kenyataan itu menyebut bahawa berkenaan penangguhan tahunan pelaksanaan peraturan cukai eksais di bawah PU(A) 402/2019-Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan yang Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Cukai Eksais), MOF kini sedang mengkaji kaedah penilaian kenderaan supaya ia adil, neutral dan konsisten.

    “MOF masih belum membuat sebarang keputusan muktamad, dan bersama MITI dan pihak industri automotif sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pengenaan cukai dilaksanakan secara adil, seragam dan neutral serta konsisten,” tulis kenyataan tersebut.

    Laporan-laporan yang menyatakan bahawa harga kereta dan motosikal CKD bakal naik pada 2026 adalah dari kenyataan-kenyataan dari pemain-pemain utama dalam industri. Ketika mendedahkan bahawa industri automotif diberikan penangguhan selama setahun lagi bulan lalu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain menyatakan bahawa kesan dari perlaksanaan OMV/402 tersebut akan menyebabkan harga purata kereta CKD naik antara 10% hingga 30%, seterusnya akan menyebabkan jumlah dan penghasilan kenderaan jatuh, dan ia akan menjejaskan pembuat kenderaan dan pembekal.

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    “Kami sangat prihatin dengan perkara ini. Berdasarkan pemahaman kami setakat ini, 402 akan mula dilaksanakan pada Januari 2026. Sekiranya itu berlaku, akan berlaku juga kenaikan harga purata bagi kenderaan CKD antara 10%-30%,” jelasnya.

    “Sekiranya itu berlaku (penilaian semula OMV), akan ada banyak kesan buruk bagi tahun-tahun ke depan, dari segi jumlah jualan dan pengeluaran lebih rendah bagi kenderaan CKD. Ia juga akan memberik kesan kepada industri tempatan, terutamanya bagi pembekal. Akan ada banyak kesan sampingan yang kami risaukan. Kami akan terus berbincang dengan kerajaan dan berharap akan lebih difahami serta ada alternatif lain untuk perkara ini,” tambah Shamsor lagi.

    Manakala dalam kenyataan kepada paultan.org yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) bulan lalu, presidennya Chin Jit Sin memberitahu bahawa industri automotif Malaysia menyumbang lebih 4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 200,000 orang – sekiranya jumlah pengeluaran yang lebih rendah dicatatkan ia akan menyebabkan penutupan kilang dan kehilangan pekerjaan.

    “Walaupun pelaksanaan OMV telah ditangguhkan kepada Januari 2026, pengeluar kenderaan bermotor akan berhenti membuat pelaburan baharu serta-merta untuk mengeluarkan model kenderaan bermotor baharu di Malaysia, dan hanya membawa masuk unit CBU (diimport sepenuhnya) dari negara ASEAN atau RCEP lain, memandangkan terdapat perbezaan kos yang kurang pada unit CBU berbanding kenderaan CKD,” jelas Chin.

    Bagi motosikal pula, Presiden Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM), Hoo Wan Tim memberitahu paultan.org bahawa perlaksanaan OMV/402 ini akan menyebabkan harga motosikal CKD naik sehingga 20%, seterusnya memberi kesan kepada mereka yang termasuk dalam golongan B40 dan M40.

    “Sejajar dengan MAA dan MACPMA, MASAAM juga mahukan kerajaan supaya melihat semula kepada situasi OMV/402 untuk mengelakkan kesan kos yang ketara kepada kehidupan pengguna. Terutamanya apabila berkenaan motosikal, pengguna kita yang kebanyakannya terdiri daripada B40 dan M40 akan menerima kesan yang lebih jelas.

    “Untuk motosikal, kenaikan harga untuk model pemasangan tempatan adalah antara 10% ke 20%. Sebagai contoh, jika sesebuah motosikal itu sekarang harganya RM10,000, dengan pelarasan semula duti eksais ini, model sama perlu dijual pada harga RM11,000 atau RM12,000 pada tahun hadapan. Bagi mereka yang memerlukan pengangkutan asas, termasuk yang bertugas dalam gig ekonomi (penghantar bermotosikal), ini adalah kenaikan yang tinggi,” kata Hoo.

    OMV “Perkara 402” ini diwartakan/digazetkan pada hari terakhir 2019, dan bertujuan untuk mencari kaedah baru bagi mengira nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan sekaligus menaikkan harga jualannya. OMV didefinisikan sebagai nilai akhir pasaran kenderaan CKD yang keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais terhadapnya.

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Ia terdiri daripada kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan serta pentadbiran. Kenderaan CBU pula menggunakan sistem berbeza — harganya berdasarkan kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang dikenakan duti eksais dan duti import.

    Peraturan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan itu menyatakan yang dalam mengira OMV, perlu juga dipertimbangkan tidak hanya keuntungan dan perbelanjanaan umum yang terlibat dalam pengeluaran sesebuah kenderaan, tetapi juga dalam jualannya.

    Klausa berkaitan “jualan” inilah yang menjadi masalah, kerana ia melibatkan juga bahagian lain seperti kejuruteraan, kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, merancang dan melakar, bayaran royalti serta yuran lesen (paten), tanda dagang, hak cipta. Ia umpama “kos kilang” yang digabung dengan “kos pejabat”. Dan akhirnya, harga kenderaan CKD boleh naik dari 10% hingga 30% sekiranya kaedah ini diguna pakai.

    Peraturan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun selepas 22 hari memasuki tempoh pandemik, MAA umumkan yang Kementerian Kewangan telah menangguhkan rancangan itu hingga 2021. Menjelang hujung 2020, ia sekali lagi ditangguhkan dan MAA merayu kepada kerajaan pada 2022 untuk meneruskan penangguhan itu — tempoh penangguhan dua tahun berjaya diperoleh, hingga 31 Disember 2024. Penangguhan terbaru, seperti yang disahkan bulan lalu akan berlangsung hingga 31 Disember 2025.

    Kerajaan nafi harga kereta, motosikal CKD naik pada 2026 – cukai eksais OMV/402 masih sedang dinilai

    Kita sebagai pengguna mungkin boleh menarik nafas lega buat sementara waktu. Namun keadaan ketidaktentuan ini tidak baik untuk syarikat-syarikat pengeluar kenderaan yang melabur dalam negara. Ini kerana dengan keputusan kerajaan yang masih samar-samar seperti ini, syarikat-syarikat tersebut sukar untuk membuat perancangan, ramalan dan juga operasinya di sini.

    Ia seterusnya turut akan merugikan kerajaan sendiri kerana pasti ada pelaburan yang mahu dibuat oleh syarikat-syarikat tersebut akan terbantut dengan polisi yang tidak jelas. Syarikat mana yang yang mahu melabur dalam produksi tempatan dan setiap Disember mengharapkan polisi baharu berkenaan tidak dilaksanakan?

    Sekiranya harga kereta CKD naik sehingga 30%, tidak ada makna lagi untuk pengeluar-pengeluar melabur untuk kilang pemasangan tempatan, dan hanya membawa model yang diimport sepenuhnya kerana harga jualan akhir akan menjadi lebih kurang sama.

    Dengan cara ini, ya, kerajaan bakal menerima lebih banyak pendapatan dalam jangka masa pendek, tetapi kita akan kehilangan pelabur yang dapat menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat tempatan. Malah jumlah jualan kenderaan tempatan juga mungkin akan merudum kerana harga kereta yang lebih mahal.

    Tahun 2024 bukan sahaja merekodkan jumlah jualan kenderaan tertinggi pernah dicatatkan, malah ia juga menjadi tahun yang menyaksikan produksi kenderaan tertinggi dalam sejarah industri automotif tempatan. Sekiranya langkah ini dilaksanakan, ia mungkin akan meranapkan semua yang telah dibina sebelum ini.

     
     
  • Senarai 20 model EV terlaris Januari 2025 — Proton eMas 7 teratas, BYD Sealion 7 kedua; tiada Tesla

    Senarai 20 model EV terlaris Januari 2025 — Proton eMas 7 teratas, BYD Sealion 7 kedua; tiada Tesla

    Bagi bulan pertama 2025, Proton eMas 7 muncul sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia. Model EV pertama Proton itu dilancarkan pada Disember tahun lalu dan ditawarkan dalam dua varian dengan harga bermula RM105,800 atas jalan belum termasuk insurans.

    Dengan sejumlah 421 unit terjual, EV Proton ini mendahulu model EV lain dalam senarai 20 teratas, yang diikuti oleh BYD Sealion 7 di tempat kedua dengan 151 unit. MPV BYD M6 pula menduduki tangga ketiga dengan 136 unit. Tidak terlalu jauh dibelakangnya adalah Atto 3 dengan jualan sebanyak 104 unit.

    Sebuah lagi EV yang berjaya mencapai angka jualan 100 unit ialah BMW i5 yang berada di kedudukan kelima, mengatasi BYD Seal di tempat keenam dengan 95 unit. Xpeng G6 dan Zeekr 009 pula masing-masing menjual 81 unit bagi tempoh berkenaan — Zeekr 009 juga merupakan sebuah lagi EV yang baru saja diperkenalkan pada Disember tahun lalu.

    Selepas itu, Ora oleh Great Wall Motor berada ditangga sembilan dengan 43 unit yang terjual — melibatkan model Good Cat dan 07, sementara MG4 EV di kedudukan ke-10 dengan 41 unit. Ada dua lagi model BMW yang tersenarai, iaitu i7 di tangga ke-11 (dengan 38 unit) dan iX2 ke-12 dengan 36 unit.

    Senarai 20 model EV terlaris Januari 2025 — Proton eMas 7 teratas, BYD Sealion 7 kedua; tiada Tesla

    Leapmotor C10 pula berhasil mencapai angka 30 unit untuk menduduki tempat ke-13, yang diikuti oleh Porsche Taycan dengan 29 unit (data JPJ mengambil kira kereta recon sekali). Selain itu, BMW iX1 berjaya didaftarkan sebanyak 29 unit, dan diikuti oleh smart (model #1 dan #3).

    Sebuah lagi EV dari Zeekr, model X mencatatkan pendaftaran sebanyak 21 unit dan menduduki tangga ke-17. BYD Dolphin yang merupakan EV kelima terlaris di Malaysia tahun lalu pula hanya mencatatkan 19 pendaftaran bulan lalu.

    Dua kedudukan terakhir pula dihuni oleh Volvo EX30 dengan 18 unit di tangga ke-19, dan diikuti MINI Countryman SE di tangga ke-20 dengan 17 unit didaftarkan. Tesla Model 3 dan Model Y, yang merupakan EV ketiga dan keempat terlaris di Malaysia tahun lalu, tidak tersenarai dalam kedudukan 20 kedudukan teratas bagi Januari — data JPJ menunjukkan Tesla hanya menjual 13 unit sahaja (10 unit Model Y dan tiga unit Model 3).

     
     
  • 20 jenama EV paling laris Januari 2025 di Malaysia – BYD masih mendahului, Proton di tempat kedua

    20 jenama EV paling laris Januari 2025 di Malaysia – BYD masih mendahului, Proton di tempat kedua

    Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia mempunyai peserta baru daripada Proton, iaitu eMas 7, yang dilancarkan 16 Disember lalu dan bulan lepas penghantarannya sudah bermula kepada pelanggan.

    Sebagai model baru, permintaan awalnya sudah dijangka mencanak sekaligus menjadi EV paling laris bagi bulan Januari 2025 dengan 421 unit didaftar. Walaupun begitu, ia tidak dapat membawa Proton menjadi jenama paling atas dalam jualan EV, dan diatasi oleh BYD yang mencatat jualan 505 unit.

    Menarik untuk kita lihat persaingan dua jenama ini kerana BYD mempunyai lima model EV, sementara Proton hanya satu. Kerancakan sebuah model baru masih ada bagi eMas 7 dan bulan lepas sahaja, hampir 4,000 unit ditempah. “Sasaran kami adalah untuk menyerahkan 1,000 unit menjelang hujung Februari, dan lebih lagi pada bulan Mac untuk memenuhi permintaan,” kata ketua pegawai penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd Yusoff.

    20 jenama EV paling laris Januari 2025 di Malaysia – BYD masih mendahului, Proton di tempat kedua

    Berada di tempat ketiga adalah BMW dengan catatan 230 unit, meninggalkan jauh seterunya, Mercedes-Benz yang cuma menjual 35 unit EV bulan lepas – hampir sama dengan MINI yang mencatat 34 unit. Satu lagi jenama yang mendapat lonjakan daripada model baru (MPV 009 dan crossover X) adalah Zeekr dengan catatan 101 unit.

    Xpeng yang berada di bawah kelolaan Bermaz memulakan tahun ini dengan baik, mencatat pendaftaran 81 unit pada bulan Januari. Setakat ini, hanya SUV G6 sahaja yang dijual, tetapi ia mungkin ditambah lagi dengan MPV X9 tidak lama lagi.

    Mengisi kedudukan lain dalam senarai 10 teratas ini adalah MG di tempat keenam (53), GWM ketujuh (43), Porsche kelapan (38) dan Mercedes-Benz kesembilan (35) dan MINI kesepuluh (34). Tesla berada jauh di tempat ke-14 dengan hanya 13 unit didaftar.

     
     
  • MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Pelantikan tiga syarikat baru oleh Kementerian Pengangkutan (MoT) sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor (PPKM) Jumaat lalu membawa kepada banyak spekulasi. Antaranya, kenapa syarikat yang nampaknya masih baru dan tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan ini dipilih. Bagi menjelaskan perkara itu, MoT mengeluarkan kenyataan yang menegaskan pemilihan dibuat berasaskan kestabilan kewangan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, 12 syarikat telah menghantar permohonan menjadi PPKM sebelum tempoh tutupnya pada 31 Oktober lalu. Menurut MoT, semua permohonan dinilai berdasarkan prosedur yang tertulis dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Prosedur Perolehan melalui Request for Proposal (RFP) yang telah dilaksana sejak 29 November 2022.

    Kementerian itu turut menambah bahawa pemilihan syarikat ini dibuat berdasarkan garis panduan yang terdapat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), termasuk syarat kelayakan, peraturan dan standard seperti yang boleh ditemui di dalam laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 23 April 2024.

    Antara keperluan utama untuk syarikat yang memasuki proses RFP ini adalah termasuk syarikat Sdn Bhd pemilikan tempatan yang stabil kewangannya dengan modal pemula sebanyak RM10 juta, dan mempunyai modal pusingan minimum RM5 juta setahun.

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Selain daripada itu, syarikat yang memohon juga perlu memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran, menyediakan wang deposit atau bon minimum 5% daripada nilai modal pusingan, memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan dan berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan.

    Berkenaan pemegang saham, pemilik syarikat dan ahli lembaga pengarah syarikat pula, mereka tidak boleh mempunyai sebarang prosiding/tindakan mahkamah atau disenarai hitam oleh mana-mana pihak berkuasa. Penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM mendapati, Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.

    MoT menjelaskan lagi, ia bersama dengan JPJ tidak menetapkan tempoh pendaftaran dengan SSM sebagai syarat
    kelayakan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal pusingan yang mencukupi.

    Turut dinyatakan, Sejak 1994, Puspakom merupakan satu-satunya syarikat yang diberi mandat untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disebabkan itu, tiada syarikat lain yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan fungsi-fungsi Puspakom sebelum ini.

    MoT perjelas pelantikan syarikat pemeriksa kenderaan baru – dipilih berdasarkan kestabilan kewangan

    Berkenaan pemilihan lokasi pula, MoT memberitahu, penetapan dibuat berdasarkan konsep “cross subsidy” bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah. Konsep ini menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi yang mempunyai kapasiti tinggi semata-mata dan memastikan akses perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada semua pengguna di seluruh negara. Penetapan lokasi ini dibuat oleh JPJ dan MoT.

    Kementerian ini juga menjelaskan sekali lagi bahawa surat tawaran kepada syarikat yang terpilih pada 7 Februari 2025 adalah kelulusan bersyarat, yang memerlukan syarikat memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan,
    tenaga kerja, dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan.

    Disebabkan itu, ia tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan terhadap pihak kerajaan. Sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan. Turut ditegaskan, proses perolehan ini dilaksana berdasarkan tatacara perolehan dan kewangan yang berkuat kuasa bagi memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang berkualiti, telus, dan kompetitif untuk manfaat rakyat.

     
     
  • Projek jajaran jalan antara ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao dijangka siap sepenuhnya akhir 2025

    Projek jajaran jalan antara ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao dijangka siap sepenuhnya akhir 2025

    Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi mengesahkan projek jajaran jalan yang menghubungkan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, laporan Bernama.

    Bagaimanapun, katanya, jajaran jalan yang menghubungkan kompleks baharu itu tidak dapat dimuktamadkan lebih awal berikutan beberapa halangan teknikal yang menyebabkan kelewatan.

    “Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil alih tampuk kepimpinan, beliau mengeluarkan arahan dan secara aktif mendesak projek itu disambung semula. Selepas mengatasi isu teknikal, projek itu disambung semula pada 2023 dan kini dijangka siap sekitar Julai atau Ogos tahun ini,” katanya.

    Beliau berharap, projek itu dapat beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2025, sekali gus memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

    Jajaran jalan penghubung antara ICQS Bukit Kayu Hitam-CIQ Sadao itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.

     
     
  • PLUS akan uji tol tanpa palang bermula April ini – yang elak bayar mungkin tak boleh perbaharui cukai jalan

    PLUS akan uji tol tanpa palang bermula April ini – yang elak bayar mungkin tak boleh perbaharui cukai jalan

    PLUS Expressways Bhd (PLUS) bakal melakukan ujian perintis mereka sendiri terhadap sistem tol tanpa palang menggunakan sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang dibangunkan sendiri oleh syarikat konsesi lebuhraya tersebut bermula April nanti, lapor The Edge yang memetik beberapa sumber dalam industri.

    Laporan itu menyebut bahawa langkah ini diambil dalam usaha bagi mengelak berlaku salah guna dan eksplotasi keuntungan ketika pelaksanaannya berjalan kelak. Malah ia juga menyatakan bahawa PLUS yang merupakan konsesi lebuhraya terbesar di Malaysia kerana mempunyai kelebihan di mana anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn Bhd merupakan penyedia sistem kutipan tol elektronik bagi kebanyakkan lebuhraya di Malaysia.

    Bagi mengelakkan pengguna mengambil kesempatan untuk melalui tol tanpa palang berkenaan tanpa membuat bayaran sepatutnya, PLUS turut sedang berusaha untuk berkerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan menghalang pesalah-pesalah tersebut memperbaharui cukai jalan masing-masing.

    “Masih tiada undang-undang yang membolehkan syarikat konsesi menangkap mereka yang tidak membayar tol sebaik sahaja mereka meninggalkan lebuhraya. Objektif untuk bekerjasama dengan JPJ adalah untuk memastikan pengguna jalan raya yang berhutang dengan syarikat konsesi untuk membayarnya terlebih dahulu sebelum memperbaharui cukai jalan mereka,” kata seorang sumber yang merupakan eksekutif dalam industri.

    Bukan hanya PLUS, dikhabarkan ada beberapa syarikat konsesi lebuhraya besar lain seperti Prolintas turut telah memulakan ujian perintis sistem MLFF ini di lebuhraya tertutup. Antaranya adalah Prolintas (konsesi untuk Lebuhraya Koridor Guthrie, LKSA dan Silk) serta Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR).

    “Kos ujian percubaan yang dijalankan semuanya ditanggung secara dalaman. Pada penghujung ujian percubaan, yang belum ditentukan lagi, syarikat konsesi yang lebih kecil akan mempunyai pilihan untuk menggunakan mana-mana sistem yang paling sesuai untuk mereka,” kata satu lagi sumber.

    Manakala sumber berlainan menyebut syarikat-syarikat konsesi lebuhraya turut akan meneroka industri lebuhraya secara keseluruhan menerusi Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSLKM), bagi menggunakan satu sistem tunggal di mana kesemua syarikat konsesi akan mempunyai kepentingan dalam syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.

    “Inisiatif melalui MAHCC adalah untuk semua pemegang konsesi mengambil bahagian dalam syarikat yang menyediakan sistem dan menjadikannya sebagai entiti bukan berasaskan keuntungan,” kata sumber itu. The Edge menyatakan logik mewujudkan entiti tersebut untuk menyediakan sistem MLFF adalah berdasarkan kegusaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan pencatutan berlebihan yang akan terjadi ketika proses implementasi.

    Sistem MLFF ini sudah disebut untuk digunakan di Malaysia sejak awal 2008. Pada 2015 PLUS menyatakan bahawa pihaknya bakal memperkenalkan sistem berkenaan pada 2018, dan seperti yang boleh kita lihat sekarang ia masih lagi belum digunakan. Dalam laporan Astro Awani pula menyebut bahawa kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan laluan tol tanpa palang bermula 2025. Namun masih banyak yang belum dimuktamadkan, adakah perancangan tersebut akan mengikut sasaran terbaharu berkenaan?

     
     
  • JPJ laksana ujian kalibrasi sistem kamera AWAS di Jalan Gurun-Sik dan Jalan Alor Setar-Butterworth

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan ujian kalibrasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di KM 1 Jalan Gurun-Sik (Arah Gurun) dan KM 36 Jalan Alor Setar-Butterworth. Kamera Jenoptik Robot tersebut dipasang bersebelahan lampu isyarat di persimpangan laluan terbabit.

    Menurut JPJ, pengoperasian sistem kamera AWAS ini adalah bertujuan bagi memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah APJ1987 (Akta 333), selaras usaha untuk mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

    “Kalibrasi ini adalah bertujuan untuk memastikan semua kamera, peralatan dan lain-lain yang berkaitan berada dalam keadan baik dan memuaskan seperti yang telah ditetapkan. Turut hadir dalam aktiviti kalibrasi ini adalah pegawai daripada JPJ Negeri Kedah, JPJ Putrajaya, MIROS, SIRIM dan TCSENS,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi JPJ Kedah.

    Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kamera AWAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

    Menurut beliau, pelaksanaan tersebut bagi membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan. Buat masa ini, pelaksanaan kamera AwAS diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

     
     
  • SUV EV Togg T10X diserahkan secara rasmi oleh Presiden Turkiye kepada PMX Anwar Ibrahim

    SUV EV Togg T10X diserahkan secara rasmi oleh Presiden Turkiye kepada PMX Anwar Ibrahim

    SUV elektrik T10X telah pun diserahkan secara rasmi oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara, laporan Bernama.

    Kelmarin, Anwar telah memandu SUV pemanduan sebelah-kiri berwarna putih ini di sekitar Kompleks Seri Perdana, dengan Erdogan yang turut bersamanya di bahagian penumpang hadapan, sewaktu menghadiri majlis pertukaran perjanjian, sidang akhbar bersama dan jamuan tengah hari sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia.

    SUV EV Togg T10X diserahkan secara rasmi oleh Presiden Turkiye kepada PMX Anwar Ibrahim

    Pada Isnin lalu, Anwar berkata beliau melihat hadiah itu sebagai milik negara dan bukannya miliknya, dan akan memulangkan kenderaan itu ke negara itu apabila tugasnya sebagai Perdana Menteri berakhir.

    Ditubuhkan pada 2018, Togg ialah pengeluar EV nasional utama Turkiye (atau Turki). T10X ialah model pertamanya yang memulakan pengeluaran pada 2022 dan penghantarannya bermula pada 2023. Ia diberikan penawarean sama ada dalam motor tunggal pacuan roda-belakang 218 PS/350 Nm atau dua-motor dengan konfigurasi pacuan semua-roda 435 PS/700 Nm, dan boleh bergerak sehingga 523 km dengan satu pengecasan penuh.

     
     
  • Jaecoo J7 terbakar di Sarawak kerana pemasangan kamera pemuka aftermarket – kenyataan pengedar

    Jaecoo J7 terbakar di Sarawak kerana pemasangan kamera pemuka <em>aftermarket</em> – kenyataan pengedar

    Baru-baru ini tular gambar sebuah Jaecoo J7 yang terbakar pada bahagian papan pemuka yang berlaku di Sarawak. Sehubungan itu satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Jaecoo Malaysia, namun ia sebenarnya adalah kenyataan dalaman yang diedar kepada jaringan pengedar jenama tersebut di Malaysia.

    Dalam kenyataan yang telah di lihat berkenaan, Jaecoo Malaysia menyatakan insiden tersebut adalah disebabkan oleh pemasangan kamera pemuka (dashcam) aftermarket yang dipasang secara tidak betul.

    Jaecoo J7 terbakar di Sarawak kerana pemasangan kamera pemuka <em>aftermarket</em> – kenyataan pengedar

    Berikut adalah terjemahan kenyataan dalaman dari Jaecoo Malaysia berkenaan insiden itu:

    Kejadian Kebakaran Terpencil SUV J7 di Malaysia

    Keselamatan adalah perkara yang amat penting kepada Jaecoo Malaysia. Kami menyedari kejadian kebakaran terpencil melibatkan SUV J7 yang sedang diparkir di Sarawak. Pasukan Jaecoo sedang berhubung dengan pemilik dan selepas penyiasatan menyeluruh boleh mengesahkan bahawa kejadian itu disebabkan oleh pemasangan kamera pemuka yang tidak betul di bengkel pihak ketiga di luar rangkaian Jaecoo. Kami juga boleh mengesahkan bahawa kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan, kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda lain.

    Jaecoo mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak atas tindakan awalan mereka yang cepat, dan kami amat menasihatkan pelanggan bahawa demi keselamatan, untuk mengelak daripada melakukan pengubahsuaian di pusat servis tidak bertauliah yang boleh membatalkan jaminan kenderaan Jaecoo anda. Sila pastikan semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan dilakukan oleh pusat servis Jaecoo yang dibenarkan sahaja.

    Terima kasih.

    Yang ikhlas,
    Pihak Pengurusan
    JAECOO Malaysia

     
     
  • PLUS sokong larangan lori di lebuh raya pada waktu puncak — papan tanda berkaitan sudah dinaikkan

    PLUS sokong larangan lori di lebuh raya pada waktu puncak — papan tanda berkaitan sudah dinaikkan

    PLUS menyokong langkah kerajaan untuk melarang lori besar daripada memasuki lebuhraya dari dan ke Kuala Lumpur pada waktu puncak, yang akan dilaksanakan bermula 19 Februari ini.

    “PLUS menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan larangan ini. Langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan, membantu mengurangkan kesesakan serta melancarkan aliran trafik di Lembah Klang dan bandaraya Kuala Lumpur, terutama ketika waktu puncak pada hari bekerja,” jelas PLUS dalam satu kenyataan.

    “PLUS sentiasa komited untuk menyokong dan bekerjasama dengan LLM serta agensi kerajaan yang lain untuk memastikan aliran lancar di lebuhraya. Langkah ini juga selari dengan misi PLUS untuk mempertingkat keselamatan dan menyediakan pengalaman yang kesalamat dan selesa untuk semua pengguna lebuhraya,” tambahnya.

    Daripada semua lebuhraya yang tertakluk kepada peraturan tersebut, Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE dan Elite adalah di bawah kenderalian PLUS, dan pihaknya juga telah menaikkan papan tanda di lokasi strategik untuk memberikan panduan jelas kepada pemandu-pemandu kenderaan berat.

    Sebenarnya, peraturan ini telah dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan PLUS dan sambungannya di NKVE, iaitu di antara Sungai Buloh-Bukit Lanjan (KM456.0 ke KM459.3, di kedua-dua arah) dan dari Shah Alam ke Jalan Duta (KM9 ke KM31, di kedua-dua arah), pada waktu puncak sebelah pagi (6.30am hingga 9.30am).

    Peraturan sama akan dilaksanakan pada waktu puncak sebelah petang, dari 4.30pm hingga 7.30pm. Sebagai tambahan, Lebuhraya Elite (Shah Alam ke Bandar Saujana Putra, KM1.03 ke KM16.2, di kedua-dua arah) dan Lebuhraya DUKE juga terlibat sama dengan larangan itu, bagi kedua-dua waktu puncak pagi dan petang. Kenderaan berat yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa domestik, perkhidmatan kecemasan, penguatkuasaan serta penyelenggaraan lebuhraya bagaimanapun dikecualikan.

    Bagaimanapun, persatuan lori tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Ini pandangan mereka.

     
     
  • JPJ keluarkan 107,014 saman sepanjang Op TBC 2025 – kesalahan tertinggi berkaitan cukai jalan, lesen

    JPJ keluarkan 107,014 saman sepanjang Op TBC 2025 – kesalahan tertinggi berkaitan cukai jalan, lesen

    Sejak 20 Januari hingga semalam (9 Februari 2025), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan Operasi Khas Tahun Baru Cina (TBC) 2025 di seluruh negara bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sebagai usaha JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan terutamanya semasa musim perayaan.

    Berdasarkan kepada operasi tersebut, pihak JPJ telah mengeluarkan notis sebanyak 107,014 notis atas pelbagai kesalahan ke atas kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya. Statistik tersebut adalah hasil daripada 429,423 kenderaan yang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut sebanyak 724 kenderaan telah disita.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kesalahan tertinggi yang direkodkan sepanjang operasi berkenaan ialah cukai jalan tamat tempoh/tiada perlindungan insurans iaitu sebanyak 29,994 saman, tiada lesen memandu/lesen memandu tamat tempoh (20,414) dan berkaitan teknikal termasuk brek/tayar botak (15,610).

    “Selain itu, lain-lain kesalahan sebanyak notis 9,052 dikeluarkan, kesalahan berkaitan kesalahan utama (3,994), kesalahan kenderaan barangan (3,161). Bagi kesalahan kenderaan perkhidmatan awam (bas) sebanyak 241 notis dikeluarkan dan gagal patuhi larangan pemanduan kenderaan barangan pula 140 notis. Kesemua kesalahan dikeluarkan Notis JPJ(P) 22,” katanya.

    Operasi ini telah dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasa seperti Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta semua konsesi lebuh raya seperti PLUS Malaysia.

    Tambahnya, sepanjang operasi itu juga penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan juga dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 27 dan lalu (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari lalu (selepas perayaan).

    “JPJ mengesan kenderaan barangan gagal mematuhi larangan berkenaan dan 140 notis dikeluarkan serta 21 kenderaan ditahan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Aedy berkata, Operasi Khas Tahun Baru Cina tahun ini juga menunjukkan penurunan pengeluaran notis saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 107,014 notis berbanding tahun sebelumnya 207,127 notis.

    “Statistik itu menunjukkan terdapat peningkatan tahap Perception of Being Caught (POBC) dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan,” katanya.

     
     
  • Yamaha R25 2025 masuk pasaran Indonesia – seluruh penampilan berubah, klac slip & assist, Y-Connect

    Yamaha R25 2025 masuk pasaran Indonesia – seluruh penampilan berubah, klac slip & assist, Y-Connect

    Seperti yang dijangka, Yamaha R3 2025 yang diperkenalkan sewaktu EICMA tahun lepas kini muncul sebagai R25, dengan membawa peningkatan sama, tetapi enjin bersesaran lebih rendah. Antara pasaran terawal yang menerimanya adalah Indonesia, dengan ia dilancarkan pada harga 75 juta Rupiah (RM20,500).

    Perubahan paling utama sudah tentu adalah penampilan, dengan semua panel badannya adalah baru, dan mempunyai bukaan udara berbentuk M pada fairing hadapan, seperti R9 dan R1 GYTR. Lampu hadapan adalah lebih nipis, dan kini menggunakan unit LED projector, bersama jalur LED. Lampu belakang juga diubah menggunakan bentuk yang menegak.

    Enjin secara asasnya masih lagi unit satu silinder empat strok 249.55 cc DOHC empat injap, tetapi kini mendapat penarafan emisi Euro 5+ hasil daripada perubahan yang dibuat pada kebuk pembakaran, salur kemasukan udara serta ekzos. Kuasanya masih lagi 35.4 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.5 Nm pada 10,000 rpm.

    Membantu aspek prestasi pada model baru ini adalah klac jenis slip & assist, yang bukan sahaja menjadikan tarikan tuil lebih ringan, tetapi juga mengelakkan gelinciran pada roda belakang apabila menurunkan gear secara ekstrem. Transmisi adalah unit enam kelajuan.

    Bentuk meter digital LCD pada R25 ini masih kelihatan sama, tetapi ia sekarang sudah dilengkapi dengan sistem sambungan kepada telefon pintar, Y-Connect yang mampu memaparkan notifikasi panggilan serta akses informasi tambahan pada telefon.

    Kelengkapan lain yang tersedia pada R25 2025 adalah termasuk pengecas USB-A, tangki bahan api 14 liter, fork USD, ABS dual-channel, brek cakera hadapan dan belakang serta rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Berat keseluruhan adalah 166 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025