Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Porsche akan kurangkan 1,900 pekerja menjelang 2029 – jualan EV lembab, kos meningkat antara sebabnya

    Porsche akan kurangkan 1,900 pekerja menjelang 2029 – jualan EV lembab, kos meningkat antara sebabnya

    Menurut laporan AFP dan Reuters, Porsche bakal mengurangkan seramai 1,900 pekerja menjelang tahun 2029 disebabkan pelbagai masalah termasuk jumlah jualan yang menurun di China, kos produksi di Jerman yang semakin meningkat, persaingan yang semakin sengit, serta permintaan dan peralihan kepada kenderaan elektrik penuh (EV) lebih perlahan dari jangkaan.

    Pengurangan pekerja itu akan melibatkan operasi di dua fasiliti utamanya di Jerman iaitu ibu pejabat yang terletak di Stuggart, dan juga pusat penyelidikan Weissach.

    Porsche mencatatkan penurunan jualan kenderaan sebanyak 3% pada 2024 berbanding jualan 2023, di mana jualan di China jatuh sebanyak 28%. Buat masa sekarang Porsche mempunyai sekitar 42,000 pekerja di seluruh dunia, dan pengecilan operasi telah bermula tahun lalu dengan tidak memperbaharui kontrak 1,500 pekerjanya di Jerman.

    Porsche akan kurangkan 1,900 pekerja menjelang 2029 – jualan EV lembab, kos meningkat antara sebabnya

    “Kami mempunyai banyak cabaran untuk diatasi,” kata ketua sumber manusia Porsche, Andreas Haffner kepada Stuttgarter Zeitung, dan menjelaskan bahawa antara cabaran tersebut adalah “peralihan kepada mobiliti elektrik yang lambat dan keadaan geopolitik serta ekonomi yang mencabar”. Namun beliau turut menegaskan bahawa pengurangan pekerja ini tidak akan dibuat melalui pemberhentian secara paksa.

    Porsche sebelum ini mensasarkan untuk menjual 80% EV dari jumlah kenderaannya menjelang 2030, namun rancangan tersebut terpaksa dirombak semula memandangkan momentum jualan EV mula menurun, sama seperti pengeluar lain. Minggu lalu jenama kereta sport di bawah kumpulan Volkswagen berkenaan menyatakan bahawa ia akan kembali untuk menumpukan pembangunan model-model dengan enjin pembakaran dalaman dan juga unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).

     
     
  • Toyota Corolla Cross facelift dilancar di Indonesia – hanya 1.8L HEV, varian CBU tunggal, dari RM165k

    Toyota Corolla Cross facelift dilancar di Indonesia – hanya 1.8L HEV, varian CBU tunggal, dari RM165k

    Toyota telah melancarkan Corolla Cross facelift di Indonesia, selepas lima tahun model asalnya diperkenalkan di sana. Crossover tersebut ditawarkan dengan versi tunggal iaitu hibrid (HEV), manakala varian model pra-facelift pembakaran dalaman (ICE) kini digugurkan dari pasaran.

    Versi HEV ditawarkan dengan harga Rp 603.5 juta (RM164,757) dan laman web Toyota Indonesia menyatakan bahawa model import CBU yang ditawarkan itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk tiba selepas tempahan.

    Ciri kelengkapan yang ditawarkan termasuklah gril gaya-EV baharu dan rekaan bampar dengan lampu utama LED baharu, bumbung kaca panoramik yang boleh dibuka, paparan digital pelbagai-informasi 12.3-inci, unit utama infotainmen 10-inci dengan ketersambungan telefon pintar tanpa wayar, lampu belakang baharu dan brek parkir elektronik.

    Toyota Corolla Cross facelift dilancar di Indonesia – hanya 1.8L HEV, varian CBU tunggal, dari RM165k

    Ia juga dilengkapi dengan penjana kuasa unit 2ZR-FXE 1.8 liter dengan 98 PS dan tork 142 Nm. Unit kitaran Atkinson itu dipadankan bersama motor elektrik dengan kuasa 72 PS dan 163 Nm, yang dijanakan oleh bateri nickel-metal hydride (Ni-MH). Keseluruhan kuasa yang terhasil berjumlah 122 PS dan E-CVT yang direka khas untuk kuasa tramisi hibrid menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Di Malaysia, kita juga sudah menerima 1.8 HEV dengan harga RM140,800, bersama 1.8V yang berkuasa 139 PS/172 Nm tanpa bantuan elektrik dan kotak gearnya pula CVT biasa dengan tujuh-kelajuan maya, yang berharga RM133,800. Untuk varian tertinggi bagi pasaran Malaysia, ditawarkan dengan 1,8 HEV GR Sport berharga RM148,800. Ini adalah varian baharu kerana GR Sport pra-facelift tidak ditawarkan sebagai hibrid.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 HEV GR Sport 2025 di Malaysia

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 HEV 2025 di Malaysia

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8V 2025 di Malaysia

     
     
  • Chery Tiggo Cross dilancar di Indonesia — Tiggo 4 Pro dengan enjin 1.5L NA; lawan Ativa dari RM65k

    Chery Tiggo Cross dilancar di Indonesia — Tiggo 4 Pro dengan enjin 1.5L NA; lawan Ativa dari RM65k

    SUV kompak Chery Tiggo Cross kini telahpun dilancarkan di Indonesia. Dengan posisinya dalam pasaran berada di bawah Omoda 5, model yang turut dikenali dengan nama Tiggo 4 Pro di sesetengah pasaran ini juga merupakan pesaing langsung kepada Perodua Ativa (Toyota Raize dan Daihatsu Rocky di Indonesia) dan juga Honda WR-V.

    Di Indonesia, Tiggo 4 Pro facelift/Tiggo Cross ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 116 PS dan 138 Nm tork, dan digandingkan bersama kotak gear CVT. Ada juga pasaran lain yang menerima penawaran enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan 147 PS dan 210 Nm — yang lebih rendah daripada janaan Omoda 5 dengan enjin 1.5T janaan 156 hp/230 Nm.

    Dua varian Tiggo Cross ditawarkan di Indonesia — Comfort, dengan harga 239.5 juta rupiah (RM65,328) dan Premium dengan harga 269.5 juta rupiah (RM73,512). 1,000 pembeli pertama juga akan menerima jaminan enjin 1 juta kilometer dan skim belian semula terjamin 70%, selain daripada jaminan enam-tahun standardnya.

    Chery Tiggo Cross dilancar di Indonesia — Tiggo 4 Pro dengan enjin 1.5L NA; lawan Ativa dari RM65k

    Untuk pasaran Malaysia, Tiggo 4 Pro juga sudah disahkan akan tiba di sini, dengan harga dan posisi lebih rendah dan murah berbanding Omoda 5. Chery Malaysia memaklumkan yang Tiggo kecil ini akan sampai dalam separuh pertama 2025. Tiggo 4 juga sudah pernah ditunjuk dalam acara sulung Chery Malaysia pada Oktober 2022 lalu.

    Facelift terkini pada 2024 telah menyaksikan Tiggo 4 tampil dengan wajah depan lebih menonjol, terdiri daripada rekaan gril yang lebih besar dan bersegi, dan bersambung dengan lampu DRL-nya di bucu bampar. Lampu utama jenis LED dengan rekaan kluster yang lebih tirus. Wajah baru ini menjadikannya nampak lebih lebar.

    Chery Tiggo Cross dilancar di Indonesia — Tiggo 4 Pro dengan enjin 1.5L NA; lawan Ativa dari RM65k

    Jadi, Malaysia akan menerima versi enjin yang mana nanti, dengan turbo atau tanpa turbo? Pesaingnya ketika ini — Perodua Ativa dan Honda WR-V — sudah berada selesa dalam pasaran, dengan perbezaan janaan enjin tersebut yang tidak bertembung antara keduanya: Ativa dengan enjin 1.0 turbo, sementara WR-V dengan 1.5 liter NA.

    Kemudian, berapa pula harga yang sesuai untuk Tiggo 4 Pro ini nanti? Perodua Ativa dijual dengan harga dari RM62,500 hingga RM72,600, sementara Honda WR-V antara RM90k hingga RM108k.

     
     
  • MSF Racing 2025 Rd.1 bermula hujung minggu ini, perlumbaan musim sulung Myvi Cup tumpuan utama!

    MSF Racing 2025 Rd.1 bermula hujung minggu ini, perlumbaan musim sulung Myvi Cup tumpuan utama!

    Siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) untuk musim 2025 bakal bermula hujung minggu ini dengan pusingan pertama diadakan dilokasi tetapnya iaitu Litar Antarabangsa Sepang Petronas pada 16 Februari ini. Perlumbaan tahun ini menyaksikan beberapa perubahan dibuat dalam undang-undang teknikal, pertambahan dan kemaskini kategori, dan juga perubahan penggunaan tayar rasmi dari Hankook kepada jenama yang berasal dari Indonesia dan kini berpengakalan di Singapura iaitu Giti.

    Dua jenis tayar Giti dari siri prestasi GitiCompete yang akan digunakan bergantung kepada kategori, iaitu tayar prestasi ultra-tinggi GitiCompete GTR2 dan juga tayar semi-slick GitiCompete GTR2 Pro. Dengan hampir tiada data selepas berlumba dengan tayar Hankook selama sembilan tahun, kesemua pasukan perlu menghadapi satu lagi cabaran baru bagi musim ini untuk membuat talaan semula bagi menguasai karekter tayar Giti berkenaan.

    Tayar-tayar Giti berkenaan dibangunkan oleh Giti Motorsport dengan kompaun istimewa untuk siri MSF Racing, dan pelumba-pelumba dijangka bakal mencatatkan masa lap yang lebih pantas.

    “Kami di Giti Tyre teruja untuk menyokong MSF Racing sebagai rakan kongsi tayar rasmi, memperkenalkan rangkaian GitiCompete kami kepada komuniti sukan permotoran Malaysia yang penuh dengan keghiarahan,” kata Cik Shiroo Chia, Timbalan Pengurus Besar Pemasaran Giti Tyre untuk seluruh dunia.

    MSF Racing 2025 Rd.1 bermula hujung minggu ini, perlumbaan musim sulung Myvi Cup tumpuan utama!

    “Prestasi, keselamatan dan inovasi adalah teras Giti Motorsports, dan perkongsian ini mencerminkan komitmen kami untuk menghasilkan tayar yang memberikan konsistensi dan kawalan di trek. Kami menantikan musim yang menarik ini apabila pemandu menyahut cabaran untuk menguasai tayar GitiCompete di litar yang mencabar di MSF SuperTurismo,” tambahnya.

    Musim 2025 ini juga menyaksikan buat pertama kali Myvi Cup akan dipertandingkan secara musim-penuh selepas satu perlumbaan pengenalan dilangsungkan pada pusingan ke-enam MSF Superturismo 2024 pada November lalu. Sebanyak 15 penyertaan telah didaftarkan untuk kategori ini, menampilkan Myvi dari ketiga-tiga generasi dengan ubahsuai terhad akan berlumba secara adil di dalam litar.

    “Keluarga Perodua Myvi yang digemari kini akan terkenal sebagai jentera perlumbaan yang jitu. Malaysia perlu beralih daripada hanya membeli peralatan prestasi dan sukan permotoran kepada menjadi pembekal dan pengilang, dan ia dijangka akan mencetus dan menerajui komponen prestasi aftermarket dan pembangunan pengetahuan dalam industri automotif negara,” kata Adian Yein, pengarah dan prinsipal MSF Racing.

    Bagi perlumbaan dua-roda pula, siri perlumbaan MotoMSF Superbikes akan terus menggunkan tayar Pirelli dengan perjanjian dilanjutkan selama tiga-tahun. Semua pelumba akan menggunakan tayar Pirelli Diable SuperCorsa V4, iaitu tayar replika perlumbaan generasi terkini Pirelli.

    Siri ini juga akan menampilkan pelumba-pelumba sensasi termasuk penunggang dari Jepun Naomichi Uramoto yang akan berlumba dengan Suzuki GSXR-1000R, bersama pelumba WSBK tempatan Adam Norrodin yang akan dibekalkan dengan jentera yang sama. Sementara bekas pelumba 125GP Zulfahmi Kamaruddin akan memberikan cabaran dengan Yamaha R1M, dan Juara Asia 2019, Azlan Syah turut akan memberikan cabaran dalam perlumbaan ini.

    MotoMSF Superbikes juga menampilkan kategori baharu bagi musim ini iaitu MSF American V-Twin Cup. Siri ini akan memberikan peluang kepada peminat motosikal jenis ‘Bagger’ dan ‘Hooligan’ berasaskan motosikal Amerika dengan enjin V-Twin seperti Indian, Harley Davidson dan Victory untuk berlumba.

    MSF Racing 2025 Rd.1 bermula hujung minggu ini, perlumbaan musim sulung Myvi Cup tumpuan utama!

    Kategori ini diwujudkan memandang motosikal yang dihasilkan untuk perjalanan jauh berkenaan semakin digemari dalam dunia perlumbaan terutamanya di Amerika dan Thailand. “Diharapkan semangat yang sama dapat dipupuk di Malaysia dengan kewujudan kategori baharu ini,” kata Adian lagi.

    Perlumbaan pada hari Ahad ini akan bermula dengan kategori dua-roda untuk sesi pagi hingga tengah hari, dan akan disambung dengan perlumbaan kereta selepas itu. Tiada sebarang bayaran dikenakan sekiranya anda datang menonton perlumbaan ini di Grandstand utama. Tetapi sekiranya anda mahukan pengalaman lebih ekslusif, tiket untuk menonton di Paddock dijual pada harga RM35, manakala parkir pula adalah RM10.

    Dan jika anda tak sempat ke Sepang, anda boleh menonton siaran langsung perlumbaan ini menerusi laman media sosial Facebook MSF Series dan juga saluran Youtube MSF Racing Series.

     
     
  • Geely EX5 di Indonesia — kembar Proton eMas 7, hingga 495 km NEDC, CKD Q3 2025, dari RM127k

    Geely EX5 di Indonesia — kembar Proton eMas 7, hingga 495 km NEDC, CKD Q3 2025, dari RM127k

    Diperkenalkan bulan lalu, Geely EX5 untuk pasaran Indonesia kini sudah ada harga jualan rasmi yang diumumkan ketika Indonesia International Motor Show (IIMS) yang sedang berlangsung. SUV elektrik berkenaan yang juga merupakan kembar kepada Proton eMas 7, ditawarkan dalam varian yang sama seperti di Thailand — Pro dan Max — dengan harga masing-masing 475 juta rupiah (RM129,400) dan 515 juta rupiah (RM140,300).

    Bagi pembeli terawal, mereka akan menerima diskaun sebanyak 10 juta rupiah (RM2,700), menjadikan harganya 465 juta rupiah (RM126,700) bagi varian Pro dan 505 juta rupiah (RM137,600) bagi Max. Kedua-duanya merupakan model CBU dari China, tetapi akan mula di CKD bermula suku ketiga tahun ini, selepas siapnya kilang di Bekasi Fasa II pada suku kedua nanti.

    Geely EX5 di Indonesia — kembar Proton eMas 7, hingga 495 km NEDC, CKD Q3 2025, dari RM127k

    Sama seperti pasaran lain di rantau ini, Indonesia juga menerima satu spesifikasi tunggal — melibatkan sebuah motor elektrik di depan yang menjana sebanyak 218 PS (160 kW) dan 320 Nm tork, serta kapasiti bateri paling besar yang ditawarkan ialah lithium iron phosphate (LFP) Aegis bilah pendek 60.22 kWh. Varian Pro yang lebih ringan memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mempunyai jarak perjalanan 495 km dengan kitaran NEDC. Sementara model MAX yang lebih berat pula memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat dengan jarak 490 km bagi satu cas penuh.

    Sebagai perbandingan, varian setara di pasaran Australia — Complete dan Inspire — masing-masing mempunyai jarak 430 km dan 410 km melalui kitaran WLTP yang lebih realistik, walaupun Inspire datang dengan rim 19-inci yang lebih besar berbanding di Indonesia dengan 18-inci. eMas 7 paling lengkap pula datang dengan rim 19-inci dan bateri 60.22 kWh dengan jarak WLTP 410 km.

    Pengecasan dari 30% ke 80% mengambil masa dalam 20 minit melalui pengecas pantas DC 100 kW, sementara pengecasan AC 11 kW pula memerlukan 6.1 jam. Turut tersedia fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW.

    Geely EX5 di Indonesia — kembar Proton eMas 7, hingga 495 km NEDC, CKD Q3 2025, dari RM127k

    Kelengkapan utama yang lain termasuklah paparan instrumen digital 10.2-inci dan skrin sentuh infotainmen 15.4-inci, kedua-duanya dengan sistem perisian operasi Flyme Auto yang dibangunkan bersama pengeluar telefon pintar Meizu. Varian Max pula menerima tambahan ciri head-up display, lampu ambient 256-warna, memori untuk kerusi depan dengan fungsi urut serta sistem bunyi Flyme dengan 16-pembesar suara.

    Max juga merupakan varian tunggal yang dilengkapi dengan fungsi bantuan pemanduan, seperti AEB, kawalan melayar adaptif, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta, amaran perlanggaran belakang dengan penghindar kemalangan, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, pengesanan papan tanda trafik dan amaran bukaan pintu. Enam beg udara dan kawalan kestabilan adalah standard.

    Lima pilihan warna ditawarkan di Indonesia: Turquoise Green, Carbon Black, Frost Grey, Moonlight Silver dan Snowy White — dengan warna putih hanya ditawarkan untuk varian Pro. Ruang dalaman dengan warna biru gelap adalah standard, sebaliknya Max boleh dipilih dalam warna putih, yang bahkan tidak ditawarkan untuk Proton eMas 7.

     
     
  • PLUS laksana MLFF mulai April 2025 – Ahmad Maslan

    PLUS laksana MLFF mulai April 2025 – Ahmad Maslan

    Sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) buat pertama kalinya akan dilaksanakan oleh PLUS Malaysia, laporan New Straits Times. Walau bagaimana pun, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengesahkan perkara ini turut berkata pelaksanaan sistem MLFF tunggal di semua konsesi lebuhraya akan menjadi terlalu sukar untuk dilaksanakan.

    “Bagi sistem tunggal, ia agak sukar untuk dilaksanakan kerana terdapat 33 konsesi lebuhraya menguruskan lebih 2,000 km jalan, dengan sebahagian besar di bawahnya (PLUS Malaysia),” kata Ahmad Maslan yang menjawab soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat.

    Kelmarin, ada sumber menyatakan bahawa langkah ini diambil dalam usaha bagi mengelak berlaku salah guna dan eksplotasi keuntungan ketika pelaksanaannya berjalan kelak. Malah ia juga menyatakan bahawa PLUS yang merupakan konsesi lebuhraya terbesar di Malaysia kerana mempunyai kelebihan di mana anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn Bhd merupakan penyedia sistem kutipan tol elektronik bagi kebanyakkan lebuhraya di Malaysia.

    PLUS laksana MLFF mulai April 2025 – Ahmad Maslan

    Bagi mengelakkan pengguna mengambil kesempatan untuk melalui tol tanpa palang berkenaan tanpa membuat bayaran sepatutnya, PLUS turut sedang berusaha untuk bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menghalang pesalah-pesalah tersebut memperbaharui cukai jalan masing-masing.

    Pada November lalu, Ahmad Maslan berkata bahawa PLUS menentang konsesi bertindih, dan pengendali lebuhraya turut menyatakan bahawa ia boleh melaksanakan MLFF secara bebas.

    Sistem MLFF ini sudah disebut bakal dilaksanakan di Malaysia sejak awal 2008. Pada 2015, PLUS menyatakan bahawa pihaknya bakal memperkenalkan sistem berkenaan pada 2018, dan seperti yang boleh kita lihat sekarang ia masih lagi belum dilaksanakan. Dalam laporan Astro Awani pula menyebut bahawa kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan laluan tol tanpa palang bermula 2025.

     
     
  • VinFast VF 3 dilancar di Indonesia – EV dengan kuasa 40 hp/110 Nm, jarak gerak NEDC 215 km, RM42k

    VinFast VF 3 dilancar di Indonesia – EV dengan kuasa 40 hp/110 Nm, jarak gerak NEDC 215 km, RM42k

    Selepas ditunjukkan di Bangkok International Motor Show (BIMS), Vinfast kini melancarkan VF 3 untuk pasaran Indonesia. SUV elektrik kompak ini hanya ditawarkan dalam satu versi, pada harga 227.65 juta rupiah (RM62,171).

    Untuk dimensi, VF 3 mencatat panjang 3,190 mm, lebar 1,679 mm, tinggi 1,652 mm jarak roda 2,075 mm, sementara jarak kelegaan dari tanah pula adalah 175 mm. Untuk memberi idea, ia adalah lebih pendek dan rendah berbanding Suzuki Jimny tiga pintu, yang mencatat ukuran panjang 3,480 mm, lebar 1,645 mm tinggi 1,720 mm tall dan jarak roda 2,250 mm.

    Menggerakkan EV ini adalah motor permanent magnet synchronous yang boleh menghantar sehingga 40 hp dan 110 Nm kepada roda belakang. Dengannya, VF 3 boleh memecut 0-50 km/j dalam masa 5.3 saat dan melakukan pecutan 0-100 km/j (laju maksimum) 19 saat.

    VinFast VF 3 dilancar di Indonesia – EV dengan kuasa 40 hp/110 Nm, jarak gerak NEDC 215 km, RM42k

    Tenaga yang dihasilkan disimpan dalam bateri 18.6 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 215 km mengikut standard NEDC dan menurut Vinfast, ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC melalui sambungan CCS2 (10-70%) dalam masa 36 minit. Di dalam kereta juga tersedia pengecas 3 kW.

    Berkenaan casis, VF 3 menggunakan tetapan suspensi MacPherson di hadapan dan gandar tegar dengan batang Panhard di belakang. Melaksanakan tugas henti adalah brek cakera di hadapan dan dram di belakang (brek parkir elektronik). Rim bersaiz 16 inci.

    Di dalam, VF 3 menyediakan ruang untuk empat orang, dengan tempat duduk baris kedua boleh dilipat untuk menjadikan ruang barangan lebih luas, sehingga 285 liter (36 liter apabila tegak). Berat maksimum yang boleh dibawa adalah 300 kg dan bumbungnya boleh menahan berat sehingga 50 kg.

    VinFast VF 3 dilancar di Indonesia – EV dengan kuasa 40 hp/110 Nm, jarak gerak NEDC 215 km, RM42k

    Kedua-dua tempat duduk pemandu dan penumpang hanya boleh dilaras secara manual, sementara sistem infotainmen dipapar melalui skrin sesentuh 10 inci di bahagian tengah papan pemuka, yang menyediakan sambungan melalui USB-C, bluetooth, WiFi dan eSIM. Pembesar suara cuma ada dua.

    Apabila disambungkan kepada aplikasi dalam telefon pintar, pengguna boleh melihat sistem pengurusan pengecasan kenderaan ini, bersama profail khas serta statistik pemanduan. Pendingin hawa dikawal melalui tombol bulat di konsol tengah.

    Untuk aspek keselamatan, ia datang dengan ABS, EBD, kawalan cengkaman, Hill Start Assist dan hanya satu beg udara, iaitu untuk pemandu. Fungsi lain yang disediakan adalah seperti sistem amaran kecemasan, pengunci pintu automatik, amaran tali pinggang, immobiliser, penggera kecurian dan bunyi amaran untuk pejalan kaki.

     
     
  • Honda mungkin tawarkan model prestasi lebih hardcore dari Type R talaan pasukan lumba HRC

    Honda mungkin tawarkan model prestasi lebih <em>hardcore</em> dari Type R talaan pasukan lumba HRC

    Mungkin ramai yang tak tahu, Mugen (yang dikendalikan oleh syarikat M-Tec Co.) bukanlah divisi perlumbaan rasmi sebenar Honda dimana ia sebenarnya syarikat berasingan ditubuhkan oleh Hirotoshi Honda, anak kepada pengasas Honda iaitu Soichiro Honda. Buat masa sekarang segala program sukan permotoran Honda termasuk Formula 1, Super GT, dan banyak lagi dikendalikan oleh Honda Racing (HRC).

    Sepanjang ia ditubuhkan, HRC hanya menumpukan aktiviti sukan permotoran dalam litar tanpa menghasilkan produk-produk prestasi yang boleh digunakan di atas jalan raya. Namun pada acara SEMA 2024 yang berlangsung di Amerika Syarikat November lalu, HRC telahpun mengumumkan penubuhan divisi peralatan prestasi yang bakal menawarkan komponen-komponen prestasi yang boleh digunakan oleh model-model produksi Honda dan akan dijual pada pasaran aftermarket.

    Dan terbaharu, HRC dilaporkan berminat untuk menghasilkan model produksi jalan raya yang ditala lebih agresif dari model-model Honda Type R dan Acura Type S sedia ada!

    “Hari ini saya masih tak boleh beritahu rancangan terperinci, tetapi ya, kami perlu menghasilkan model prestasi seperti itu bersama dengan teknologi perlumbaan HRC,” kata presiden Honda Racing, Koji Watanabe dalam laporan The Drive.

    “Kami tiada rancangan yang kukuh lagi, tetapi yang pertama nanti akan diasaskan dari model-model yang sudah sedia ada seperti Integra Type S atau Honda Type R,” jelasnya lagi.

    Apa yang diperkatakan oleh Watanabe ini bukan sekadar ‘sembang kosong’ kerana HRC sebenarnya sudah menghasilkan Acura Integra Type S HRC Prototype. Prototaip tersebut dihasilkan dengan pengetahuan yang ditimba oleh HRC dalam penghasilan jentera lumba Touring Car Integra dalam kelas TCX pada perlumbaan SRO TC America untuk diterapkan pada sebuah model kegunaan jalan raya.

    Jadi ia menerima kit aero dan juga pelbagai komponen yang diperbuat dari bahan gentian karbon bagi membolehkan prototaip ini sekitar 90 kilogram lebih ringan dari Acura Type S biasa. Ia juga menerima pelbagai peralatan prestasi yang diambil terus dari kereta lumba TCX berkenaan antaranya unit intercooler yang lebih besar, penyejuk minyak enjin berkembar dan juga sistem ekzos.

    GALERI: Acura Integra Type S HRC Prototype

     
     
  • Proton lancar 4 pengedaran eMas di Malaysia Timur

    Proton lancar 4 pengedaran eMas di Malaysia Timur

    Proton New Energy Technology (Pro-Net) secara rasminya menjadi wakil pengedar pertama eMas di Malaysia Timur, termasuk dua di Sabah dan lagi dua di Sarawak. Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang, berkata pembukaan rangkaian pengedar baharu itu membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam memperluaskan ekosistem EV di Malaysia.

    “Dengan sokongan rakan kongsi yang kukuh, kami yakin pencapaian ini akan mempercepatkan revolusi EV di rantau ini, membawakan inovasi, kelestarian, dan pengalaman pemilikan EV yang luar biasa kepada pelanggan,” katanya.

    Di Sabah, dua wakil pengedaran baharu terletak di Kota Kinabalu dan masing-masing dikendalikan oleh Harapan Maju Sabah dan Fook Loi Eurocar. Manakala Melinau EV dan Ghee Hua Co. pula mengendalikan cawangan di Kuching, Sarawak. Lokasi wakil pengedaran adalah seperti berikut:

    • Harapan Maju – Imago KK Times Square, Phase 2, Off Coastal Highway, 88100, Kota Kinabalu, Sabah
    • Fook Loi Eurocar – Lot 3, Jln Limau Manis, Inanam, 88450, Kota Kinabalu, Sabah
    • Melinau EV – Lot G-070s, G-071As, G-071Bs & G-072As, Ground Floor, VivaCity Megamall, Jalan Wan Alwi, 93350 Kuching, Sarawak
    • Ghee Hua Co. – Lot 131, Jalan Abell, 93100, Kuching, Sarawak

    Wakil pengedaran ini akan menyediakan sokongan jangka panjang untuk pemilik eMas dengan menyepadukan jualan dengan perkhidmatan selepas jualan. Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kini terdapat 37 pengedar Proton eMas di seluruh negara.

     
     
  • Aveta siar teaser skuter baru – lancar minggu depan?

    Aveta siar teaser skuter baru – lancar minggu depan?

    Baru sahaja melancarkan skuter Vanguard 250 pada awal tahun, Aveta nampaknya akan terus mengekalkan momentum dengan pengenalan satu lagi skuter tidak lama lagi. Ini diketahui melalui teaser yang dikeluarkan oleh jenama itu melalui laman media sosialnya.

    Teaser yang bukan sahaja terdiri daripada gambar, tetapi juga video yang dikeluarkan oleh Aveta menampakkan skuter ini dipanggil sebagai Nova 160, dan mempunyai penampilan menyerupai Yamaha NVX 155. Dijangka, ia akan menggunakan enjin yang tidak melebihi 160 cc.

    Turut kelihatan adalah kelengkapan lain skuter ini yang termasuk soket pengecas USB, sistem kunci pintar, ruang simpanan bawah tempat duduk luas, meter digital LCD yang seakan berwarna dan suspensi belakang yang mempunyai tabung.

    Sementara Vanguard 250 diketahui menggunakan asas yang sama daripada model Taro Rong 250 dari China, sesuatu yang menyerupai skuter dalam teaser ini tiada dalam senarai produk Taro Motorcycle. Berkemungkinan Aveta mengambil asas daripada jenama lain dan setakat yang kami perhati, ia menyamai Rusi Rapid 150 di Filipina.

    Tiada tarikh bila skuter ini akan dilancarkan, tetapi maklumat yang kami terima, Aveta akan mempunyai pada minggu hadapan. Besar kemungkinan, model baru ini akan ada di sana.

     
     
  • JPJ sedang teliti prosedur tambahan kelulusan pemeriksaan kenderaan termasuk pelabelan tayar

    JPJ sedang teliti prosedur tambahan kelulusan pemeriksaan kenderaan termasuk pelabelan tayar

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya sedang meneliti prosedur tambahan termasuk pelabelan tayar bagi menambahbaik kelulusan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, laporan Harian Metro.

    Jelasnya, perkara itu akan diperhalusi bersama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan pusat pemeriksaan kenderaan lain yang akan dilantik. Ia juga adalah bagi memastikan kenderaan yang diperiksa terutama penggunaan tayar mematuhi tahap dan syarat ditetapkan mengikut penandaan Standard Malaysia (MS) 224.

    “Kita sedang berbincang dengan Puspakom yang mana proses (atau) prosedur yang ketat akan ditambah baik. JPJ sedang mengenalpasti beberapa prosedur tambahan untuk kita bincang (dan) arahkan pihak Puspakom untuk menambahbaik prosedur kelulusan pemeriksaan kenderaan antaranya membabitkan tayar.

    JPJ sedang teliti prosedur tambahan kelulusan pemeriksaan kenderaan termasuk pelabelan tayar

    “Kita sedang meneliti pelaksanaan sekiranya kenderaan yang datang ke pusat pemeriksaan dan apabila diluluskan (pemeriksaan kenderaan), Puspakom akan melabelkan tayar yang sudah diluluskan,” katanya. pada sidang media operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam.

    Tambah beliau, penggunaan tayar celup dibenarkan kerana mempunyai pengiktirafan oleh Sirim dan dua lagi syarikat yang mengeluarkan sijil pengiktirafan berkenaan.

    “(Namun) masih ada segelintir pengusaha tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, di mana tayar pneumatik atau tayar celup ini (masih) menggunakan pelabelan, pensijilan yang sudah tamat tempoh. Kerjasama ini (operasi berkenaan) untuk kita mengawal dan mengurangkan isu kemalangan jalan raya membabitkan apa-apa kenderaan yang menggunakan tayar tidak disahkan ini,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri RBA dan ANW sedia untuk dibida

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Perlis, RBA, telah mula dibuka bidaan sejak semalam, 13 Februari 2025. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 17 Februari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 18 Februari 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perak pula, ANW, bidaannya pula bakal dibuka mulai 20 Februari dan akan berakhir jam 10 malam pada 24 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 Februari 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Jangan guna Smart Lane untuk pandu laju, potong barisan; guna pada waktu yang ditetapkan – Exco

    Jangan guna Smart Lane untuk pandu laju, potong barisan; guna pada waktu yang ditetapkan – Exco

    Lorong kecemasan yang dibuka untuk digunakan sebagai Smart Lane masih menjadi kontroversi, walau pun kerajaan banyak kali memaklumkan ia mampu mengurangkan kesesakan pada waktu tertentu. Namun memang ramai pengguna jalan raya yang memanfaatkan penggunaan Smart Lane ini yang dibuka pada waktu yang ditetapkan sahaja.

    Walau bagaimana pun, masih terdapat segelintir pengguna jalan raya yang menyalahgunakan fungsi Smart Lane termasuk memandu secara berbahaya, pandu laju atau memotong barisan. Seorang ahli exco Johor memaklumkan kepada The Star bahawa pengguna jalan raya seharusnya lebih bertanggungjawab sewaktu menggunakan Smart Lane.

    “Saya mendapati ramai pemandu menggunakan Smart Lane kerana ia membantu mereka sampai ke destinasi tanpa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Tetapi pada masa yang sama, saya juga menerima aduan bahawa ada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan Smart Lane,” kata pengerusi jawatankuasa kerja, pengangkutan, infrastruktur dan komunikasi Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

    Beliau menegaskan bahawa walaupun Smart Lane beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam setiap hari, ia juga masih terus berfungsi sebagai lorong kecemasan dan oleh itu pengguna harus berhati-hati. “Saya ingin mengingatkan pengguna jalan raya bahawa Smart Lane masih kekal dengan fungsi asalnya iaitu untuk lorong kecemasan. Ini bermakna lorong kecemasan adalah untuk kegunaan dan keutamaan kenderaan kecemasan dan untuk kerosakan kenderaan,” tambahnya.

    Jangan guna Smart Lane untuk pandu laju, potong barisan; guna pada waktu yang ditetapkan – Exco

    Katanya lagi, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan Smart Lane dengan memandu laju atau secara berbahaya, kerana ia boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

    Terdapat dua lokasi Smart Lane di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di Johor, kata Fazli. “Yang pertama adalah arah utara antara Pandan dan Kempas, sehingga susur keluar Bandar Dato Onn dan arah selatan sehingga susur keluar Pasir Gudang. Satu lagi adalah dari susur keluar Senai Utara sehingga susur keluar Kulai di kedua-dua arah utara dan selatan di sepanjang lebuh raya.”

    Tambahnya, kesesakan lalu lintas semakin berkurangan sejak Smart Lane ditambah di kedua-dua lokasi tersebut, menyebabkan syarikat konsesi lebuhraya PLUS Malaysia memanjangkan jarak lorong itu. Bagaimanapun, penambahan jarak itu hanya akan dilakukan di sebelah utara memandangkan halangan sedang dipasang di sebelah selatan untuk pembinaan lorong tambahan.

    “Susulan kajian mengenai kesesakan lalu lintas di Lebuhraya PLUS, Smart Lane dari susur keluar Senai Utara akan dipanjangkan lagi kepada 7 km. Sebelum ini, Smart Lane hanya di antara susur keluar Senai Utara sehingga susur keluar Kulai, tetapi dengan sambungan jarak ini, ia akan sampai hingga kawasan rehat Kulai,” kata Fazli.

     
     
  • Siri perlumbaan ‘one-make’ Suzuki Swift Skilldrvn diteruskan pada 2025-2026, tambah siri Supercup Pro

    Siri perlumbaan ‘one-make’ Suzuki Swift Skilldrvn diteruskan pada 2025-2026, tambah siri Supercup Pro

    Selain dari siri perlumbaan Vios Challenge yang dianjurkan oleh UMW Toyota, sebenarnya ada satu lagi perlumbaan dalam format one-make dianjurkan di Malaysia iaitu Sklldrvn One Make Race Series. Ia sudahpun berlangsung sebanyak dua musim dan bakal diteruskan untuk musim ketiga tahun ini.

    Perlumbaan ini dikelola oleh Kegani Racing Academy di mana semua pelumba menggunakan kereta lumba Suzuki Swift, dan berlangsung sekali bersama siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF). Sebanyak lima pusingan perlumbaan akan berlangsung pada musim ketiga, kesemuanya berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

    Bagi perlumbaan musim kedua yang berlangsung sepanjang 2024, ia dimenangi oleh pelumba wanita, Loke Yin Yi. Ini membolehkan Loke membawa pulang hadiah bernilai RM8,500 dalam bentuk produk dan insentif perlumbaan, kesemuanya disampaikan menerusi satu majlis semalam.

    Musim ini juga menyaksikan seorang pelumba muda, Kirill Syrapushchynski yang berumur 15-tahun menyerlahkan bakatnya dengan beralih dari perlumbaan kart, dan menerima anugerah “Rookie of the Year”.

    Kesemua pelumba ini menggunakan jentera Suzuki Swift dengan enjin standard 1.6 liter yang sama bersama kotak gear lima-kelajuan standard. Ubahsuai yang dibenarkan adalah pemetaan semula terhadap kotak komputer enjin (remap) dan juga penggunaan extractor ekzos 4-1 dengan spesifikasi sama untuk semua jentera.

    Selain itu, semua kereta juga perlu menggunakan set suspensi boleh laras, lengan suspensi bawah, pad brek dan juga paip brek jenis steel braided yang sama. Manakala untuk keselamatan, kereta-kereta lumba ini dilengkapi dengan rollcage 12-poin, tempat duduk perlumbaan dan tali pinggang keledar yang diluluskan FIA, dan lain-lain.

    Semua pelumba diberikan pilihan sama ada mereka membeli sendiri kereta lumba masing-masing, atau boleh juga menyewa menerusi satu program yang membolehkan mereka hanya datang dan terus berlumba.

    “Format perlumbaan one-make memberi penekanan terhadap mengasah kemahiran dan membangunkan bakat baharu di trek sambil memastikan kos yang dikeluarkan adalah mampu milik dan dalam jangkauan kumpulan bakat yang lebih besar. Kami telah berjaya menjalankan siri ini untuk dua tahun dan memasuki tahun ketiga, nampaknya terdapat peningkatan yang besar terhadap tahap minat daripada pendatang baharu,” kata Pengetua Pasukan & Ketua Jurulatih Kegani Racing Academy Kenny Lee.

    Bermula 2026, Lee menyatakan Kegani Racing Academy akan memperkenalkan siri baharu Sklldrvn Swift Supercup Pro-Series yang akan berlangsung bersama siri sedia ada. Siri ini hanya dibuka untuk 10 pasukan lumba dengan hanya seorang pelumba satu pasukan, di mana pasukan-pasukan tersebut boleh memilih bakat-bakat dari perlumbaan Sklldrvn One-Make bagi berlumba pada tahap profesional.

    Dengan format baharu ini, pemandu yang dipilih akan diberikan kontrak penuh dengan semua kos perlumbaan ditanggung oleh pasukan. Dua pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka bagi siri baharu ini iaitu Bendix Ultimate Racing Team dan juga Team Profimax Max Up.

     
     
  • BMW 530i M Sport 2025 di M’sia – harga sah RM400k, CKD, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    BMW 530i M Sport 2025 di M’sia – harga sah RM400k, CKD, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    BMW Group Malaysia hari ini telah mengesahkan harga untuk varian baharu untuk BMW 5 Series generasi ke-lapan (G60) dengan enjin pembakaran dalaman di Malaysia, iaitu 530i M Sport – dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM399,800. Harga ini adalah termasuk jaminan serta bantuan tepi jalan dan BMW Service Online selama dua tahun, dan jika pemilik mahukan jaminan serta pakej servis lima tahun, ia menjadi RM430,100.

    530i M Sport 2025 ini sebenarnya sudahpun didedahkan dan boleh ditempah bulan lalu. Ia terus ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dan merupakan tambahan varian untuk G60 di Malaysia selepas varian 520i dan 520i M Sport dilancarkan tahun lalu, dengan masing-masing dijual pada harga RM332,800 dan RM349,800.

    Varian ini datang dengan enjin B48 2.0 liter empat-silinder turbo yang dibantu dengan sistem hibrid ringkas 48V. Konfigurasi ini adalah sama seperti pada varian 520i, namun versi yang disumbat pada 530i ini menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 258 PS dan tork maksima 400 Nm.

    BMW 530i M Sport 2025 di M’sia – harga sah RM400k, CKD, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik Steptronic Sport bagi memacu sepenuhnya roda belakang. Ini membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat, berbanding 7.5 saat untuk 520i.

    Model ini juga menerima kelengkapan casis lebih baik dari 520i, dengan dilengkapi penyerap hentak elektronik Adaptive Suspension Professional, dan juga sistem stereng pada gandar belakang Integral Active Steering dengan sudut putaran sehingga 2.5 darjah (memberikan radius pusingan hanya 11.7 meter) bagi memudahkan badan sedan yang besar ini dikendalikan dengan lincah.

    Kelengkapan bagi 530i ini adalah hampir sama seperi 520i, namun ia tampil lebih garang dengan kit penggayaan M Sport yang diberikan secara standard. Jadi ia hadir dengan pakej Iconic Glow pada gril hadapan, lampu hadapan LED adaptif, lampu belakang LED, rim aloi ringan 938M 20-inci dan kemasan luaran Satin Aluminium.

    BMW 530i M Sport 2025 di M’sia – harga sah RM400k, CKD, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    Manakala dalam kabin, 530i M Sport ini diberikan paparan instrumen digital BMW Curved Display dengan skrin 12.3-inci, skrin utama 14.9-inci, sistem pendingin hawa empat-zon dan juga tempat duduk hadapan sports kawalan elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu.

    Bagi sistem infotainment, model ini dikuasakan dengan BMW Operating System 8.5 dengan QuickSelect. Ia juga diberikan fungsi Intelliigence Personal Assistant, BMW ID, sistem navigasi menggunakan BMW Maps, interior camera, servis-servis keterhubungan pemandu, sistem telematik dan sokongan Digital Key Plus. Manakala untuk audio, 530i ini diberikan sistem bunyi Bowers and Wilkins 655W dengan 18-pembesar suara, berbanding 520i yang diberikan sistem Harman Kardon 12-pembesar suara.

    Selain itu kabin sedan ini juga dilengkapi dengan BMW Interaction Bar, pelapik bumbung Anthracite, kemasan Rhombicle aluminium bersama serlahan perak gelap M, serta pilihan upholsteri sama ada gandingan kulit Merino dalam kemasan Hitam/Atlas Grey atau Copper Brown/Atlas Grey.

    BMW 530i M Sport ini juga diberikan pakej Driving Assistant Plus yang memberikan fungsi Active Cruise Control dengan stop & go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Pedestrian Warning dan Speed Limit Info. Ia juga menerima Parking Assistant, yang menampilkan fungsi Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Lateral Parking Aid, Surround View System, Remote 3D View dan BMW Drive Recorder.

    Lima warna badan ditawarkan untuk BMW 530i M Sport ini iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Cape York Green Metallic, Brooklyn Grey Metallic, dan Phytonic Blue Metallic.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025