Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Perodua telah jual 5.1 juta kereta sejak ditubuhkan – nak tau model mana paling laris sepanjang zaman?

    Perodua telah jual 5.1 juta kereta sejak ditubuhkan – nak tau model mana paling laris sepanjang zaman?

    Semalam Perodua telah mengumumkan prestasi jualannya untuk 2024 – dan sekali lagi syarikat automotif nasional kedua itu menunjukkan prestasi tak masuk akal dengan rekod jualan baharu yang mencecah 358,102 unit. Angka ini bukan sahaja membolehkan Perodua kekal sebagai jenama automotif paling laris di Malaysia, malah syarikat yang hanya menjual kereta-kereta kompak mampu milik itu sekarang sudah menjadi gergasi digeruni dengan memintas Honda bagi menjadi jenama nombor dua paling laris di rantau Asia Tenggara.

    Dengan rekod-rekod membuka mata yang telah dicatatkan ini, agaknya dah berapa banyak kereta jenama Perodua dan merayap di atas jalan raya Malaysia? Dalam majlis yang sama semalam, Perodua telah mendedahkan maklumat berkenaan Unit dalam Operasi (UIO), atau dalam bahasa mudahnya jumlah jualan keseluruhan kenderaan syarikat itu sejak kewujudannya pada 1993 sehingga akhir 2024.

    Dari slaid yang ditunjukkkan, dapat dilihat bahawa sepanjang 31 tahun dalam pasaran Perodua telah pun menghasilkan dan menjual sebanyak 5.1 juta kenderaan – sebagai perbandingan, Proton yang telah bermula sejak 1983 baru sahaja mencapai angka 5 juta produksi pada pertengahan tahun lalu.

    Secara purata Perodua telah menghasilkan sebanyak 164,516 kenderaan setahun, berbanding 121,951 unit yang dihasilkan oleh Proton. Jadi tidak hairanlah mengapa kita boleh lihat lebih banyak Perodua berbanding Proton di atas jalan raya buat masa sekarang.

    Walaupun jumlah jualannya dilihat semakin menurun berbanding adik-adiknya yang lain seperti Bezza dan Axia baru-baru ini, Myvi masih lagi ‘King’ dengan menjadi model terlaris Perodua sepanjang zaman – sejak ia mula diperkenalkan pada 2005, hatchback segmen-B berkenaan sudahpun terjual hampir 1.5 juta unit.

    Sekali lagi mengambil Proton sebagai perbandingan, model paling laris jenama itu iaitu Saga, ia baru sahaja mencecah produksi sebanyak 2 juta unit pada Mei tahun lalu walaupun telah diperkenalkan 20 tahun lebih awal berbanding Myvi.

    Model Perodua kedua paling laris Perodua pula adalah Axia, di mana hatchback segmen-A yang kini telah masuk ke generasi kedua selepas pengenalannya pada 2014 tersebut sudahpun diproduksi sebanyak 746,000 unit.

    Manakala model susur galur Axia sendiri, yang juga merupakan model pertama yang diperkenalkan oleh Perodua iaitu Kancil, merupakan model ketiga paling laris dengan mencatatkan produksi sebanyak 709k unit sejak ia mula dibuat pada 1994 sehinggalah dihentikan pengeluarannya pada 2009.

    Sementara itu sedan pertama yang dihasilkan oleh Perodua iaitu Bezza pula berada di tempat ke-empat, dengan jumlah produksi sebanyak 543,000 unit hanya 8-tahun dalam pasaran. Ia diikuti dengan MPV tempat duduk yang kini turut sudah masuk ke generasi kedua iaitu Alza dengan produksi sebanyak 503,000 unit, dan juga Viva dengan jumlah produksi 448,000 unit dari 2007 hingga 2014.

    Walau bagaimanapun ada dua model Perodua yang tidak disenaraikan dalam UIO ini, mungkin kerana kedua-duanya tidak dibuat di kilang Perodua di Sungai Choh, Rawang. Model berkenaan adalah Perodua Nautica yang diasaskan dari Toyota Rush dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun (dilancarkan pada 2008 dengan harga RM90k), dan juga Perodua Ativa Hybrid juga dari Jepun (berasaskan Daihatsu Rocky Hybrid) di mana hanya 300 unit dibawa dan hanya ditawarkan dalam program langganan pada 2022.

     
     
  • MoT lantik tiga syarikat baru sediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor selain Puspakom

    MoT lantik tiga syarikat baru sediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor selain Puspakom

    Kementerian Pengangkutan (MoT) hari ini mengumumkan pelantikan tiga syarikat baru bagi tujuan penyediaan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor (PPKM) selain Puspakom. Menurut menterinya, Anthony Loke, lantikan ini adalah susulan daripada keputusan mesyuarat kabinet pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka dan memperluas mandat pemeriksaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-syarikat lain yang layak.

    Untuk fasa pertama ini, tiga syarikat sudah diluluskan permohonannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ): Wawasan Bintang Sdn Bhd (dengan tiga cawangan di Pelabuhan Klang, Gua Musang dan Mersing); Pakatan Petroleum Sdn Bhd (dengan cawangan di Rawang dan Temerloh); dan Beriman Gold Sdn Bhd (dengan cawangan di Kuching dan Serian di Sarawak). Kelulusan ini diberikan selepas melakukan proses penilaian yang ketat, antaranya perlu melibatkan syarikat Sdn Bhd pemilikan tempatan yang stabil kewangannya dengan modal pemula sebanyak RM10 juta.

    Berikutnya, semua syarikat yang telah dilantik ini perlu mempersiapkan segala prasarana dan kelengkapan seperti yang dituntun untuk tujuan ini dalam masa tidak lebih 24 bulan. Untuk ini, pemeriksaan pihak JPJ juga akan dilakukan secara berkala dan berterusan untuk memastikan semua syarat dan keperluan dipatuhi. Kemudian setelah itu, barulah syarikat-syarikat ini akan diberikan lesen operasi bagi tempoh 10 tahun, tetapi perlu diperbaharui setiap tahun. “Ini adalah bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi standard dan beroperasi mengikut piawaian yang dikehendaki,” ujar Anthony.

    MoT lantik tiga syarikat baru sediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor selain Puspakom

    Permohonan bagi pihak yang berminat untuk menyediakan PPKM ini dibuka bermula dari 1 Julai hingga 31 Oktober 2024, dan menyaksikan 12 permohonan diterima. Kelulusan juga diberi berdasarkan Garis Panduan Permohonan PPKM, yang terdiri daripada lokasi yang dipohon adalah selari dengan senarai lokasi perkhidmatan PPKM oleh Kementerian; kertas kerja menunjukkan potensi dan komitmen tinggi, lawatan tapak yang mengesahkan kesesuaian lokasi serta pelantikan syarikat tempatan di lokasi-lokasi terbabit termasuk di Semenanjung (Wilayah Tengah, Timur dan Selatan) dan Sarawak.

    Permohonan bagi Fasa Kedua pula akan dibuka bermula 1 Mac 2025 hingga 31 Jun 2025. Syarikat yang tidak berjaya dalam Fasa Pertama serta syarikat lain yang berminat adalah dialu-alukan untuk mengemukakan permohonan mengikut semua kriteria yang ditetapkan.

    Standard dan jenis perkhidmatan yang akan disediakan oleh syarikat-syarikat baru ini adalah sama dengan apa yang ditawarkan oleh Puspakom, misalnya perlu mengendalikan kedua-dua urusan pemeriksaan bagi kenderaan perdagangan dan juga kenderaan penumpang. “Bezanya sekarang ini, tiada lagi pendekatan konsesi dengan tempoh perkhimatan yang lama seperti 30 tahun diberikan. Ia sebaliknya diganti dengan pendekatan perlesenan yang perlu diperbaharui setiap tahun bagi memastikan penyedia perkhidmatan sentiasa mematui standard dan keperluan seperti yang dikehendaki,” tambah Anthony.

    Di sisi yang lain, Puspakom juga masih akan terus menyediakan perkhidmatan sama. Dengan adanya lebih banyak syarikat yang terlibat dengan PPKM ini, Kementerian berhasrat untuk memperluas dan mempercekapkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna.

     
     
  • Proton serah S70 kepada Polis daerah Muallim untuk digunakan sebagai kereta peronda di Tanjong Malim

    Proton serah S70 kepada Polis daerah Muallim untuk digunakan sebagai kereta peronda di Tanjong Malim

    Selepas majlis pecah tanah pembinaan kilang EV pertamanya di Tanjong Malim pagi tadi, Proton turut mengambil kesempatan untuk menyerahkan sebuah Proton S70 kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Perak yang bakal digunakan untuk tugas-tugas rondaan di daerah itu termasuk di kawasan Tanjong Malim sendiri.

    Kereta berkenaan disampaikan oleh ahli lembaga pengarahnya, Ahmad Jauhari Yahya serta disaksikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, CEO Proton Dr. Li Chunrong, timbalan CEO Proton Roslan Abdullah dan lain-lain. Kami difahamkan hanya sebuah sahaja S70 ini diserahkan kepada IPD Muallim.

    Berdasarkan spesifikasi yang dapat dilihat seperti paparan instrumen digital sepenuhnya tetapi tidak diberikan bumbung suria, S70 yang diserahkan ini adalah dari varian Flagship. Kesemua varian S70 menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 150 PS/226 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Kereta yang diserahkan ini sudah lengkap dengan grafik badan terkini Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga lampu strob dan siren polis di atas bumbung.

     
     
  • Honda CR-V SUV segmen C paling laris di Malaysia pada tahun 2024 – 11,300 unit terjual, hibrid 20%

    Honda CR-V SUV segmen C paling laris di Malaysia pada tahun 2024 – 11,300 unit terjual, hibrid 20%

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa CR-V adalah SUV segmen C paling laris di Malaysia pada tahun 2024. Menurut syarikat itu lagi, CR-V mendapat perkongsian pasaran 36% dalam segmen itu, dengan 11,300 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan pada tahun lepas.

    “Sejak dilancarkan pada Disember 2023, CR-V mendapat penerimaan yang kuat daripada pasaran, sekaligus mengukuhkan posisi dominannya. Permintaan yang meningkat ini menggambarkan pertumbuhan tahun ke tahun model itu sebanyak 40% di dalam segmennya,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

    Yoshimura menambah bahawa CR-V adalah model ketiga paling laris keluaran Honda Malaysia pada tahun 2024. Ini dapat dilihat melalui data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mendedahkan jumlah jualan CR-V terletak di bawah Civic, sementara City di tempat pertama (gabungan sedan dan hatchback).

    Pada masa ini, CR-V ditawarkan dalam tiga varian enjin petrol turbo iaitu S, E dan V, sementara satu lagi pilihan adalah hibrid e:HEV RS, dengan harag antara RM159,900 ke RM195,900 tidak termasuk insurans.

    Daripada empat varian itu, e:HEV RS menyumbang 20% daripada jumlah jualan keseluruhan CR-V dan berjaya mencapai perkongsian pasaran sebanyak 87% dalam segmen khas SUV hibrid saiz sederhana. Sementara itu, varian E yang berada di pertengahan pula adalah pilihan CR-V paling laris dengan catatan 40%.

     
     
  • Volvo EX90 EV akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Volvo EX90 EV akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Dalam kenyataan berkenaan prestasi jualannya untuk 2024 yang dikeluarkan hari ini, Volvo Cars Malaysia turut memberi gambaran bahawa SUV EV paling besarnya iaitu EX90 bakal dilancarkan ke pasaran tempatan tahun ini.

    “Kami kini mempunyai portfolio fokus terhadap kenderaan elektrik sepenuhnya untuk Malaysia dengan model flagship tujuh tempat duduk Volvo EX90 yang akan tiba selepas ini,” kata Chris Tan, pengarah jualan Volvo Car Malaysia.

    “EX90 yang akan datang ialah SUV elektrik sepenuhnya paling besar bagi syarikat dan menggabungkan teknologi keselamatan Volvo Cars yang paling canggih setakat ini seperti lidar, pengkomputeran teras dan pemantauan untuk pemandu dan penumpang,” kata VCM pula dalam kenyataan berkenaan.

    Volvo EX90 merupakan penawaran versi EV untuk model dengan enjin pembakaran dalaman Volvo XC90. Ia dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar.

    Volvo EX90 EV akan dilancarkan di Malaysia tahun ini

    Ia didedahkan pada peringkat global pada November 2022, namun produksinya hanya bermula pada pertengahan 2024 – ini mungkin sebab mengapa pengenalannya di Malaysia sepatutnya pada dibuat pada suku ke-empat tahun lalu ditunda ke tahun ini. Ia juga sebenarnya sudahpun dilancarkan di Thailand tahun lalu, ditawarkan dalam tiga varian.

    Varian asas di Thailand dikenali sebagai Twin Motor Plus yang menawarkan tujuh-tempat duduk, serta konfigurasi dua motor elektrik bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda. Secara keseluruhan kedua-dua motor berkenaan menghasilkan 408 PS (300 kW) dan tork 770 Nm, membolehkan SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.9 saat.

    Varian pertengahan pula dikenali sebagai Twin Motor Performance Ultra dalam versi tujuh-tempat duduk, manakala yang paling mahal pula adalah Twin Motor Performance Ultra dengan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah. Kedua-dua varian ‘Performance Ultra’ ini menerima kuasa keserluruhan 517 PS (380 kW) dan 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Kesemua varian tersebut juga dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan model asas Twin Motor Plus bergerak sejauh 600 km manakala varian lebih berkuasa Twin Motor Performance Ultra pula bergerak sejauh 590 km – angka-angka ini adalah berdasarkan ujian WLTP.

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.

    Model asas EX90 di Thailand ini diberikan kelengkapan standard seperti rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, bumbung panaromik, paparan instrumen digital dengan skrin 9-inci, skrin infotainmen bersaiz 14.5-inci, sistem bunyi Bose dengan 14-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa empat zon.

    Untuk varian Performance Ultra pula ia diberikan tambahan tingkat taraf seperti suspensi udara dengan penyerap hentak adapatif, lampu LED piksel berdefinasi tinggi dan lampu tinggi aktif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan, dan juga sistem bunyi 3D Bowers & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

     
     
  • Volvo Car Malaysia jual 1,953 kenderaan pada 2024 – 30% adalah EV, naik 18% berbanding tahun 2023

    Volvo Car Malaysia jual 1,953 kenderaan pada 2024 – 30% adalah EV, naik 18% berbanding tahun 2023

    Volvo Car Malaysia (VCM) mengumumkan, pada tahun lepas mereka berjaya menjual 1,953 buah kenderaan, yang mana adalah kurang berbanding tahun sebelumnya. Menurut syarikat itu lagi, 83% daripada jumlah jualan itu adalah daripada model elektrik bateri (BEV) dan plug-in hybrid (PHEV), dan ini adalah satu peningkatan berbanding catatan 71% pada tahun 2023.

    Pada masa ini, semua model Volvo yang dijual di Malaysia mempunyai sistem bantuan pacuan elektrik seperti hibrid ringkas (MHEV), BEV atau PHEV. Untuk MHEV, modelnya adalah seperti XC40, XC60 dan XC90, yang menyumbang satu per lima (20%) daripada jumlah jualan keseluruhan tahun lepas, dan menurun berbanding satu per tiga (33%) pada tahun 2023.

    Sementara jualan MHEV menurun, BEV pula meningkat pada tahun 2024. Menurut VCM, BEV menyumbang 30% daripada jumlah jualan keseluruhan tahun 2024, bersamaan peningkatan 18% berbanding tahun 2023. Barisan model BEV Volvo antaranya termasuk XC40 Recharge Pure Electric, C40 Recharge dan EX30, sementara EX90 pula akan tiba tahun ini.

    Volvo Car Malaysia jual 1,953 kenderaan pada 2024 – 30% adalah EV, naik 18% berbanding tahun 2023

    “Sementara tahun lepas menunjukkan keadaan pasaran yang kompetitif dalam industri, kami senang hati untuk memacu visi mobiliti individu, selamat dan mampan kami dengan pengenalan EX30 elektrik penuh yang sebelum ini sudah diterima baik dalam pasaran – kumpulan pertama unit import dijual habis sebelum pemasangan tempatan bermula.

    Sekarang kami mempunyai portfolio yang lebih fokus untuk kenderaan elektrik penuh di Malaysia, dengan model EX90 pula akan tiba selepas ini,” kata pengarah jualan Volvo Car Malaysia, Chris Tan.

     
     
  • Perodua tetapkan produksi, sasaran jualan lebih rendah untuk 2025 – persediaan untuk model baharu

    Perodua tetapkan produksi, sasaran jualan lebih rendah untuk 2025 – persediaan untuk model baharu

    Tahun lalu, Perodua telah mengeluarkan sejumlah 368,100 kenderaan, melebihi kapasiti gabungan dua kilangnya di Sg Choh iaitu 320,000 unit, manakala rekod jualannya pula mencatatkan sejumlah 358,102 unit. Malah dengan jumlah jualan itu telah meletakkan Perodua di tangga kedua dalam rekod penjualan kenderaan kereta penumpang tertinggi di Asia Tenggara pada tahun lalu.

    Walau bagaimana pun, untuk tahun ini, Perodua menetapkan pengurangan pengeluaran dan sasaran jualan bagi memberikan tumpuan terhadap penyediaan model baharu dan meningkatkan sikap berdikari dalam pembangunan produk pada masa hadapan.

    “Untuk 2025, kami menjangkakan bilangan pengeluaran kami merosot 4.9% kepada 350,000 unit berbanding 368,100 unit pada 2024. Pengurangan ini akan menyebabkan pendaftaran kenderaan juga dikurangkan sebanyak 3.7% iaitu 345,000 unit berbanding 358,102 unit tahun lepas,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua tetapkan produksi, sasaran jualan lebih rendah untuk 2025 – persediaan untuk model baharu

    Model konsep Perodua eMO-II yang dipertontonkan di KLIMS 2024 pada Disember lalu

    Walaupun unjuran jualan lebih rendah, perkongsian pasaran Perodua untuk tahun ini mungkin lebih tinggi berbanding tahun lepas. Sekiranya unjuran jumlah industri yang lebih rendah sebanyak 780,000 unit yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjadi kenyataan, Perodua akan melabuhkan tirai tahun ini dengan rekod 44.2% bagi perkongsian pasaran secara menyeluruh, mengatasi catatan pada tahun lalu iaitu 43.8%.

    Dalam masa yang sama, Perodua juga mungkin akan menggandakan perbelanjaan modalnya kepada RM1.6 bilion tahun ini, tetapi sebahagian besar daripadanya adalah bagi persiapan untuk pembangunan model baharu, pengeluaran (termasuk pembekal), serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan bukannya meningkatkan jumlah pengeluaran.

    Untuk tahun ini, Perodua juga akan memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) pertamanya, yang dibangunkan secara berdikari tanpa memggunakan mana-mana model daripada bos besarnya, Daihatsu.

     
     
  • Perodua masih mempunyai 68,000 tempahan tertunggak, 28,000 sudah mendapat kelulusan bank

    Perodua masih mempunyai 68,000 tempahan tertunggak, 28,000 sudah mendapat kelulusan bank

    Seperti yang boleh dilihat melalui rekod jualan tahun lepas yang mencecah sehingga 358,100 unit, permintaan untuk kenderaan Perodua terus meningkat. Meskipun sudah melampaui kapasiti pengeluaran kenderaan di dua kilang mereka, syarikat itu sekarang masih mempunyai sehingga 68,000 tempahan yang belum disempurnakan.

    “Meskipun mempunyai perancangan untuk mengurangkan pengeluaran dan jualan, permintaan untuk kenderaan kami terus memberangsangkan, dengan tempahan tertunggak kini adalah 68,000 unit, dengan 28,000 daripadanya sudah mendapat surat perjanjian, tanpa stok,” kata presiden dan CEO Perodua, Zainal Abidin Ahmad.

    Ini bermakna, 28,000 pembeli sudah mendapat kelulusan pinjaman daripada bank dan cuma menunggu stok untuk tiba. Zainal memberitahu, Perodua akan terus memberi keutamaan kepada penyerahan sambil mengekalkan tahap kualiti dan keselamatan mereka.

    Perodua masih mempunyai 68,000 tempahan tertunggak, 28,000 sudah mendapat kelulusan bank

    Melihat keadaan ini, Perodua seperti akan berhadapan dengan kesukaran untuk memenuhi permintaan ini pada tahun 2025, kerana mereka mempunyai perancangan untuk mengeluarkan dan menjual lebih sedikit demi membuat penambah baikan pada kilang, meningkatkan kapasiti stamping dan membangunkan model baru bersama peralatan yang terlibat.

    Antara model baru tersebut adalah kereta elektrik (EV) pertama Perodua, serta sama ada Bezza atau Myvi baru dan juga Ativa facelift.

     
     
  • Perodua Ativa facelift D25D 2025 dilancar tahun ini?

    Perodua Ativa facelift D25D 2025 dilancar tahun ini?

    Selain memaklumkan bakal melancarkan model serba baharu Bezza atau Myvi pada tahun ini, Perodua juga dijangka akan memperkenalkan Ativa D55L dengan sedikit perubahan, yang diberi kod nama D25D, sebelum 2025 berakhir.

    Perkara ini didedahkan menerusi aktiviti yang bakal difokuskan untuk tahun ini, termasuk meningkatkan kapasiti stamping sebagai persediaan untuk melakukan perubahan kepada model yang akan datang dan juga naiktaraf model-model sedia ada.

    Bezza dan Myvi telah dilancarkan model facelift masing-masing pada tahun 2020 dan 2022, dengan naik taraf dari versi Bezza yang pertama kali diperkenalkan dan Myvi generasi ketiga. Manakala bagi Ativa yang dilancarkan pada tahun 2021, kini tiba masanya ia dinaiktaraf kerana crossover kompak ini telah memasuki kitaran hayat pertengahan.

    Perodua Ativa facelift D25D 2025 dilancar tahun ini?

    Pada Ogos 2023, ‘kembar’ Ativa, Daihatsu Rocky dengan Advanced Safety Assist (ASA) menggunakan radar telah dikesan di Dengkil, Selangor. Bahagian hadapan Rocky tersebut turut menampakkan kedudukan sensor pada bahagian gril, di bawah logo Daihatsu, kemungkinan besar menempatkan radar di situ.

    Adakah ini memberikan bayangan bahawa Ativa facelift yang bakal dilancarkan itu juga akan diberikan ASA yang dinaiktaraf memandangkan model pengenalannya telah dilengkapi keselamatan ASA 3.0 yang terdiri daripada ciri amaran pra-perlanggaran, AEB, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan salah-operasi pedal sebagai ciri standard untuk semua varian.

    Persoalan ini akan terjawab apabila tiba masanya Ativa facelift ini dilancarkan kelak. Namun difahamkan, tiada perubahan yang dilakukan pada penjana kuasanya, di mana ia masih kekal dengan unit 1KR-VET 1.0 liter turbo, DOHC VVT tiga-silinder petrol dengan output 98 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadpaan menerusi D-CVT atau Dual Mode CVT, yang juga merupakan sistem CVT “split gear” pertama di dunia. Ringkasnya, D-CVT menggabungkan pacuan tali sawat dengan pacuan gear untuk memperbaiki kecekapan, pecutan dan kesenyapannya.

    GALERI:Perodua Ativa 2021

     
     
  • Perodua Bezza atau Myvi baru dijangka tiba tahun ini — Perodua sahkan kehadiran sebuah model FMC

    Perodua Bezza atau Myvi baru dijangka tiba tahun ini — Perodua sahkan kehadiran sebuah model FMC

    Antara perkara yang boleh dijangkakan dan disahkan oleh Perodua untuk tahun ini ialah kehadiran dan pengenalan sebuah full model change (FMC). Perkara ini selari dengan sasaran syarikat itu untuk menggandakan pelaburannya bagi memastikan daya tahan dari sudut kemampuan pengeluaran, terutamanya untuk pembangunan model-model baru.

    Pada kebiasaannya, FMC ini merujuk kepada model sedia ada yang diberi rekaan dan penawaran baru, dan bukannya model serba baru. Bagaimanapun, satu daripadanya telah memang disahkan untuk tahun ini dalam bentuk kereta elektrik pertama oleh Perodua. Maka, ini memberi bayangan bahawa akan ada model semasa Perodua ketika ini — antara Axia, Bezza, Myvi, Alza, Ativa dan Aruz — yang akan diberikan pembaharuan.

    Tolak model-model yang masih boleh dikira baru seperti Axia, Alza dan Ativa, serta model “sejuk” Aruz, hanya tinggal Bezza dan Myvi yang menjadi calon paling layak untuk diberikan model baru yang lebih segar. Bezza dilancarkan pada 2016, manakala Myvi generasi ketiga pada 2018 — dan kedua-duanya merupakan model laris bagi Perodua.

    Perodua Bezza atau Myvi baru dijangka tiba tahun ini — Perodua sahkan kehadiran sebuah model FMC

    Bezza terutamanya sudah sangat layak untuk dihadirkan dalam rekaan baru. Ini kerana ia masih menggunakan asas dari Axia generasi terdahulu, rekaan juga sudah agak ketinggalan dan kurangnya ciri beg udara serta sistem bantuan pemandu seperti yang ditawarkan untuk model-model lain Perodua.

    Bezza juga menjadi model Perodua yang paling ringkas untuk diberikan pembaharuan: dengan Axia terkini yang diperkenalkan pada 2023, dan hanya perlu ditambahkan bahagian butnya. Selain itu, Bezza juga kekal sebagai model paling laku Perodua walaupun usianya dalam pasaran sudah lama.

    Myvi pula telah menjadi model baru pertama yang membawa bersamanya era baru Perodua ketika diperkenalkan sebelum ini, terutamanya dari segi keselamatan. Sejak dilancarkan tujuh tahun lalu, Myvi diberikan kemaskini yang penting, tetapi sudah sampai ke hujung usia dan perlu diberikan pembaharuan penawaran — dan, ia juga masih menggunakan platform lama Daihatsu berbanding Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang lebih baru.

    Perodua Bezza atau Myvi baru dijangka tiba tahun ini — Perodua sahkan kehadiran sebuah model FMC

    Semacam kena pada waktunya bagi kedua-dua model utama ini layak diberi pembaharuan ketika Perodua sedang mengorak langkah untuk memperkukuh aspek pembangunan produk syarikat itu. Kedua-dua Bezza dan Myvi juga menampilkan kemampuan kejuruteraan dan rekaan Perodua, dengan bahagian kerangka rekaan badan dilakukan sendiri menggunakan platform sedia ada. Ini sudah jauh meninggalkan aktiviti rebadging dan mengubah rekaan minor ke atas model Daihatsu seperti di awal-awal kewujudannya.

    Tidak berlebihan untuk menjangkakan yang Bezza atau Myvi akan diberi rekaan luaran yang serba baru, serta lebih penting, memanfaatkan platform DNGA. Jika betul, ini akan menjadi kali pertama Perodua melakukan kejuruteraan menyeluruh sendiri terhadap platform terkini itu, memandangkan model DNGA sebelum ini masih menggunakan asas daripada model Daihatsu dan Toyota.

    Untuk janaan kuasa, Bezza atau Myvi boleh dijangkakan akan terus menggunakan unit sedia ada, enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder dan 1NR-VE 1.3 liter empat-silinder untuk Bezza, manakala unit 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder untuk Myvi, yang digandingkan dengan transmisi Dual-Mode CVT (D-CVT) terkini.

    Jadi, model yang mana satu akan diperkenalkan dahulu?

     
     
  • Perodua duduki tangga ke-2 di Asia Tenggara pada 2024, pintas kedudukan Honda; Proton di tangga ke-5

    Perodua duduki tangga ke-2 di Asia Tenggara pada 2024, pintas kedudukan Honda; Proton di tangga ke-5

    Dalam majlis makan malam bersama pihak media semalam, Perodua telah mengumumkan satu lagi sejarah kegemilangannya apabila berjaya menduduki tangga kedua bagi jualan kenderaan penumpang di Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun lalu. Dengan jualan sebanyak 385,000 unit kenderaan pada tahun lalu, Perodua kini berada di belakang Toyota yang masih merajai carta jualan.

    Toyota berjaya menjual sebanyak 714,000 unit kenderaan penumpang pada tahun lalu, agak menyusut sebanyak 38,000 unit berbanding rekod yang dicatatkan pada tahun 2023 iaitu sekitar 752,000 unit. Manakala Perodua pula mengalami kenaikan rekod jualan sebanyak 55,000 unit pada tahun lalu berbanding 330,000 unit yang terjual pada 2023.

    Dengan jumlah jualan kenderaan penumpang yang direkodkan oleh Perodua ini, sekaligus telah memintas kedudukan Honda yang pada tahun sebelum ini berada di tangga kedua. Honda kini berada di tangga ketiga selepas berjaya menjual sekitar 303,000 unit kenderaan pada tahun lalu berbanding 315,000 unit pada tahun 2023.

    Perodua duduki tangga ke-2 di Asia Tenggara pada 2024, pintas kedudukan Honda; Proton di tangga ke-5

    Mitsubishi pula berada di tangga ke-empat dengan jualan sebanyak 200,000 unit, meningkat 11,000 unit berbanding 189,000 unit pada tahun 2023 dan jenama ini masih kekal di kedudukan yang sama buat dua tahun berturut-turut. Di belakang Mitsubishi pula, diduduki oleh Proton yang berada di tangga kelima dengan jualan sebanyak 148,000 unit, menyusut sekitar 3,000 unit berbanding pada tahun 2023 dengan 151,000 unit.

    Lima jenama lain yang turut berada dalam carta Top 10 bagi jualan tertinggi kenderaan penumpang di ASEAN pada tahun lalu ialah Daihatsu (107k), Suzuki (66k), Mazda (64k), BYD Auto (52k) dan Ford (45k). Manakala Hyundai yang berada pada carta yang sama untuk tahun 2023 nampak gayanya kurang bernasib baik untuk 2024 kerana kedudukannya tersingkir. Manakala BYD Auto pula berjaya memasuki carta 2024 dan ternyata model kenderaan elektrik (EV) kian mendapat sambutan mengalakkan di pasaran ASEAN.

     
     
  • Proton mula bina kilang EV di Tanjong Malim – eMas 7 CKD diperkenal akhir 2025, kapasiti 20k unit setahun

    Proton mula bina kilang EV di Tanjong Malim – eMas 7 CKD diperkenal akhir 2025, kapasiti 20k unit setahun

    Bagi yang belum mengetahui, model EV pertama Proton iaitu eMas 7 yang dilancarkan Disember lalu sebenarnya masih lagi diproduksi di kilang Geely di China, dan ia kini dijual dalam versi diimport sepenuhnya (CBU). Dan nampaknya tak lama model tersebut dan juga model-model EV Proton yang lain bakal di buat secara pemasangan tempatan kerana hari ini secara rasmi Proton telah memulakan kerja-kerja pembinaan kilang EVnya yang terletak fasiliti utama mereka iaitu di Tanjong Malim, Perak.

    Upacara pecah tanah bagi kilang EV berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, serta ahli-ahli kerajaan negeri dan exco. Manakala Proton diwakili oleh ahli Lembaga pengarahnya, Ahmad Jauhari Yahya, CEO Dr Li Chunrong, serta timbalan CEO Roslan Abdullah.

    Kilang ini dibina dengan pelaburan RM82 juta dengan fasa pertama barisan pemasangan EV tersebut disasarkan siap pada akhir 2025 – didakwa sebagai kilang khusus untuk EV pertama di Malaysia – dengan keluasan 9,200 meter persegi dan boleh beroperasi dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun. Manakala bagi Fasa Kedua, kilang ini akan dikembangkan lagi kepada 14,400 meter persegi dengan kemampuan menghasilkan 45,000 unit kenderaan setahun.

    Barisan pemasangan kilang ini dihasilkan bagi membolehkan ia memasang model-model berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA), bermula dengan eMas 7. Jadi selepas ini ia bukan hanya memasang model EV kerana platform GMA turut akan menampilkan model dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV). Dan dengan jumlah penghasilan tersebut, kilang ini juga turut akan menghasilkan model-model janaan tenaga baharu (NEV) Proton untuk pasaran tempatan dan eksport.

    Menurut Proton, operasi pemasangan EV menjelang akhir 2025 ini akan bermula sejurus semua sebelum semua operasi pembuatan Proton dipindahkan sepenuhnya di Tanjung Malim dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), menandakan pencapaian penting bagi AHTV itu sendiri.

    Kilang ini juga akan beroperasi dengan pelbagai teknologi pembuatan pintar digunakan untuk memastikan produk berkualiti tinggi dihasilkan dengan kecekapan maksimum serta impak minimum kepada alam sekitar, namum tetap dijangka akan mewujudkan lebih 200 pekerjaan baru dalam industri EV untuk komuniti tempatan, dan ia belum termasuk kesan kepada vendor AHTV apabila mereka meningkatkan operasi untuk membekalkan bahagian-bahagian penting bagi pemasangan.

    “Proton memulakan peralihannya untuk menjadi OEM yang menawarkan model ICE dan EV apabila kami menubuhkan PRO-NET untuk menjual kenderaan pintar sebelum melancarkan Proton e.MAS 7. Dengan pengalaman yang kami kumpul sejak beberapa tahun lalu dalam semua aspek kenderaan ini dan keperluan pelanggan, jadi hari ini kami mengambil langkah seterusnya untuk merealisasikan impian kami menghasilkan dan membangunkan model EV di Malaysia,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    “Kenderaan yang dikeluarkan di kilang baru ini akan memenuhi keperluan pelanggan di pasaran tempatan dan eksport, serta menjadi pendorong kepada pertumbuhan pasaran EV. Setelah siap, pengeluaran di kilang baru ini akan tertumpu pada Proton e.MAS 7 serta tawaran NEV masa hadapan apabila Proton mengembangkan rangkaian modelnya. Akhirnya, kami berharap kejayaan kami akan mewujudkan ekosistem automotif yang moden dan berkemampuan untuk menggalakkan lebih banyak OEM mempertimbangkan Malaysia dan AHTV sebagai pangkalan serantau bagi EV,” tambahnya.

    Sebelum ini Proton telah mengesahkan bahawa satu lagi model berasaskan platform GMA akan dilancarkan tahun ini, sama ada eMas 3 atau eMas 5. Ada juga kemungkinan versi PHEV untuk eMas 7 akan dilancarkan – kembarnya di China sudah diperkenalkan dengan nama Geely Galaxy Starship 7, dan Proton turut telah mendaftarkan cap dagangan nama eMas 7 PHEV berkenaan di Malaysia.

    Untuk pasaran eksport, Proton sebelum ini sudah mengsahkan bahawa eMas 7 turut akan dilancarkan ke Mauritius, Nepal, Singapura dan Trinidad and Tobago, dan mungkin juga Brunei. Kilang baharu ini mungkin tidak akan memproduksi kembarnya iaitu Geely EX5 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) untuk pasaran ASEAN, kerana Geely bakal membuka kilang untuk menghasilkan model berkenaan di Bekasi, Indonesia bermula suku kedua tahun ini.

     
     
  • JPJ keluarkan 298 saman dalam Op Penyamaran CNY di Selangor – langgar lampu merah kesalahan tertinggi

    JPJ keluarkan 298 saman dalam Op Penyamaran CNY di Selangor – langgar lampu merah kesalahan tertinggi

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 298 saman di Selangor atas beberapa kesalahan sepanjang pelaksanaan Op Penyamaran bermula 20 Januari hingga 5 Februari 2025 sempena Tahun Baharu Cina. Menerusi operasi ini, JPJ menggunakan kenderaan tidak berlogo dan tidak mengenakan pakaian seragam semasa melakukan penyamaran.

    Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, 127 kes membabitkan tidak mematuhi lampu isyarat yang menjadi kesalahan tertinggi direkodkan daripada keseluruhan 298 kes sepanjang tempoh berkenaan, laporan Bernama.

    Beliau berkata, kesalahan itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 72(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM300 sehingga RM2,000. Manakala kesalahan berjadual lain yang direkodkan adalah memandu di lorong kecemasan (66), memandu di lorong kanan secara berterusan (39), tidak memakai topi keledar (35), menggunakan telefon bimbit (21), tiada lesen memandu dan insurans (10).

    JPJ keluarkan 298 saman dalam Op Penyamaran CNY di Selangor – langgar lampu merah kesalahan tertinggi

    “Kegagalan mematuhi lampu isyarat boleh didakwa mengikut Seksyen 72 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM300 hingga RM2,000. Apabila kenderaan dikesan melakukan kesalahan, kami akan menghentikannya untuk pemeriksaan dan mengeluarkan notis kompaun,” kata Ahmad Kamarunzaman.

    Dalam operasi khas berkenaan, Ahmad Kamarunzaman berkata, pihaknya memfokuskan objektif strategik penguatkuasaan iaitu memantau kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam selain kesalahan berjadual.

    “Tujuan operasi ini juga bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian. Maka kita tidak akan berkompromi dengan pengguna yang dikesan melakukan tujuh kesalahan berjadual ini,” katanya.

     
     
  • Perkhidmatan Rapid Bus percuma untuk Thaipusam 2025 – 30 bas di KL, 12 bas di Pulau Pinang; 24 jam

    Perkhidmatan Rapid Bus percuma untuk Thaipusam 2025 – 30 bas di KL, 12 bas di Pulau Pinang; 24 jam

    Rapid Bus telah mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa ia akan menyediakan perkhidmatan bas pengantara ke kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves dan kuil Arulmigu Balathandaythapani di Pulau Pinang 11 Februari 2025 sempena Thaipusam.

    Sebanyak 42 bas akan digunakan untuk operasi 24 jam pada hari tersebut, dan ini terdiri daripada 30 bas di Kuala Lumpur dan 12 bas di Pulau Pinang.

    Perkhidmatan bas pengantara percuma di Kuala Lumpur beroperasi di laluan BC02 dari hab Pasar Seni ke Batu Caves, laluan BC03 dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves, dan laluan BC04 dari stesen MRT Kg Batu ke Batu Caves dari 6 pagi pada 10 Februari hingga 12 tengahmalam pada 11 Februari, dan kemudian hingga 12 tengahmalam pada 12 Februari. Kekerapannya pula adalah setiap 10 minit.

    Di Pulau Pinang pula, perkhidmatan bas pengantara percuma akan beroperasi di laluan ST01 dari terminal jeti Weld Quay ke Hospital Adventist Pulau Pinang. Perjalanan pertama di laluan ST01 dari terminal Weld Quay akan bermula pada 7 pagi pada 10 Februari, dan perjalanan terakhir adalah pada 1 pagi pada 12 Februari.

    Perkhidmatan Rapid Bus percuma untuk Thaipusam 2025 – 30 bas di KL, 12 bas di Pulau Pinang; 24 jam

    Dari Hospital Adventist Pulau Pinang, perjalanan pertama di laluan ST01 adalah jam 7:30 pagi pada 10 Februari, dan perjalanan terakhir adalah jam 2 pagi pada 12 Februari. Laluan bas pengantara ST01 untuk Pulau Pinang akan beroperasi pada kekerapan 20, 30 atau 60 minit, bergantung pada masa ketibaan perkhidmatan feri, kata Rapid Bus.

    Rapid Bus menggesa pengguna jalan raya untuk tidak meletakkan kenderaan mereka hingga menghalang laluan bas, dan mematuhi peraturan jalan raya. Bagi tujuan itu, Rapid Bus akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kelancaran perkhidmatan bas pengantara percuma di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang, kata Rapid Bus dalam kenyataannya.

    “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Rapid Bus untuk memudahkan orang ramai mengunjungi lokasi di samping menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar. Kami akan memantau keperluan penumpang dari semasa ke semasa dan bersedia menambah bilangan bas jika perlu bagi memastikan keselesaan penumpang,” kata Rapid Bus seperti dilaporkan Bernama.

     
     
  • Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

    Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

    Jualan kenderaan di Malaysia pada tahun 2024 berkembang mekar: untuk pertama kali jumlah keseluruhan industri (TIV) di sini melepasi angka 816,747 unit tahun lalu juga mengatasi jumlah di Indonesia yang secara relatifnya merupakan sebuah negara yang lebih besar dengan penduduk jauh lebih ramai sekitar 300 juta orang. Itu juga merupakan kali pertama TIV mencecah angka 800k unit kenderaan.

    Secara ringkasnya, 2024 menjadi tahun yang mengujakan untuk pengeluar kenderaan di Malaysia. Untuk lebih jelas, kami sediakan pecahan data jualan kenderaan mengikut jenama dengan sumber data dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Namun, bukan semua mencatatkan peningkatan — ada lebih banyak tanda merah seperti yang boleh dilihat dalam jadual yang disediakan.

    Antara penyumbang besar rekod TIV bagi tahun 2024 tentulah Perodua. Sekiranya syarikat itu tidak mengatasi sasaran yang ditetapkan tahun lalu (pada 2023, angkanya adalah 330,325 unit) sebanyak 27,777 unit (untuk menjadikannya 358,102 unit, +8.4%), rekod berkenaan mungkin tidak dapat dicapai.

    Menarik juga untuk perhatikan, Perodua mencapai angka tersebut sebenarnya tanpa pengenalam model baru (atau tanpa sebarang kempen umum sebelum KLIMS) bagi 2024. Pelancaran model baru terakhir Perodua adalah pada Februari 2023 ketika memperkenalkan Axia.

    Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

    Untuk itu, Perodua juga mencatat peratusan perkongsian pasaran pengeluar tempatan yang lebih tinggi, dengan 61.9% (67.7% bagi kenderaan penumpang). Ini suatu angka yang tinggi. Ini kerana, di sisi lain, Proton sebaliknya menyaksikan penurunan jualan yang pertama sejak 2018. Menurut angka MAA, Proton menjual sebanyak 147,587 unit pada 2024, iaitu 2.2% lebih rendah berbanding 2023. Mengapa angka ini tidak sama dengan angka 152,352 unit yang dikeluarkan oleh Proton? Kerana Proton mengambil kira sekali angka untuk pasaran eksportnya.

    Akhir-akhir ini, Proton banyak bergantung kepada jualan SUV keluarannya, sekaligus beralih daripada kedudukan lebih rendah dalam skala harga kenderaan kepada segmen pasaran dengan harga lebih tinggi, antara RM100k hingga RM150k — dan bersaing dengan pengeluaran bukan nasional.

    Segmen berkenaan tentulah mempunyai pemain yang ingin mempertahankan kedudukan mereka: Toyota dan Honda. Walaupun dengan sedikit penyusutan jualan (-5.2% menjadi 100,701 unit), Toyota kekal mendahului dengan selesa di depan Honda yang menduduki tangga keempat, disumbangkan antaranya oleh barisan kenderaan komersialnya. Jika tidak mengambil kira trak dan van Toyota (yang mana Honda tidak ada wakil dalam pasaran), Honda akan kekal didepan untuk segmen kereta penumpang paling laris di Malaysia — jualan naik 2.1% menjadi 81,699 unit.

    Honda juga menjadi satu-satunya jenama Jepun yang tidak mencatatkan penyusutan jualan (tanda merah dalam jadual). Mitsubishi misalnya mencatatkan penyusutan jualan lebih banyak (-25.6%) berbanding Toyota; sementara Mazda (-24%), Isuzu (-21.5%) dan Nissan (-22.2%).

    Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

    Nissan pula tidak lagi berada dalam kedudukan 10 jenama teratas (kini di tangga ke-11); dua jenama China sebaliknya mula tersenarai. Chery kini berada di kedudukan ketiga bagi pengeluar bukan nasional (ke-13 pada 2023) dengan keseluruhan jualan 19,683 unit — yang meningkat sebanyak 338.1% berbanding tahun sebelumnya.

    Menyumbang kepada angka itu ialah model SUV Jaecoo J7. Angka jualan jenama yang lebih premium itu, yang beroperasi berasingan daripada Chery, telah digabung untuk memberikan angka keseluruhan tersebut. Chery dan Jaecoo juga bersaing hanya dalam segmen SUV sepenuhnya.

    Mitsubishi pula jatuh ke tangga keenam, walaupun dengan dua pelancaran utama tahun lalu (Xpander facelift dan Triton serba baru). Ini juga kerana kedua-dua pengenalan tersebut berlangsung dipenghujung tahun lepas, dengan MMM juga hanya ada dua model ini untuk pasaran Malaysia. Jualan trak pikap pula terkesan dengan pelarasan semula subsidi diesel, dan jangkaan perkara sama untuk RON 95 tahun ini juga tentunya akan memberi kesan sama. Kita lihat nanti.

    Lain pula ceritanya dengan EV. Jualan EV di Malaysia semakin meningkat, dengan BYD mendahului saingan. Jualannya melonjak sebanyak 130% menjadi 8,570 unit — sekaligus merampas kedudukan ke-10 daripada Nissan. BYD Atto 3 menjadi EV paling laris di Malaysia pada 2024 dengan jualan 2,969 unit: sembilan unit lebih banyak berbanding Seal. BYD kini turut menjual model SUV Sealion 7 dan MPV M6, selain Dolphin.

    Tesla pula tidak berada dalam senarai ini kerana syarikat itu bukan ahli MAA. Namun, berdasarkan rekod pendaftaran JPJ, sebanyak 2,824 unit Model 3 dan 2,300 unit Model Y telah didaftarkan tahun lalu. Angka ini tidak membolehkan Tesla untuk berada dalam kedudukan 10 teratas.

    Untuk segmen premium, walaupun dengan jualan yang turun sebanyak 12.1%, BMW masih berhasil untuk berada di kedudukan kesembilan dengan jualan 10,527 unit — mendahului Mercedes-Benz (7,114 unit; -23.6%, tangga ke-12). Perlu juga dinyatakan, terdapat percanggahan angka yang diberikan oleh BMW kepada MMA (lebih tinggi) berbanding pendaftaran JPJ, yang sepatutnya lebih tinggi kerana data JPJ turut mengambil kira unit import persendirian.

    Selebihnya, semua jenama menyaksikan penurunan jualan dalam tanda merah; INI -22.3%, Subaru -28.5%, Volvo -29.1%, Ford -29.6%, Volkswagen -36.3% dan penurunan besar untuk Hyundai dengan -42.9%. MG pula yang baru saja genap setahun dijual di sini mencatatkan jualan 1,153 unit. Lotus pula mencatatkan jualan 49 unit, naik 48.5% berbanding tahun 2023 yang hanya merekodkan 33 unit. Renault pula hanya menjual lapan kereta baru sepanjang 2024.

    Kia, yang dikendalikan oleh Bermaz pula tidak lagi melaporkan angka jualannya kepada MAA. Sama seperti tahun lalu bagi Kia dan Peugeot. Peugeot kini telah beralih tangan dan diuruskan oleh Stellantis, yang tetap tidak mendedahkan angka jualannya. Jenama EV smart dan Xpeng pula bulan ahli MAA.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025