Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jetour bakal lancar SUV tujuh-tempat duduk di M’sia pada Q2 2025 – nama baharu akan diberikan

    Jetour bakal lancar SUV tujuh-tempat duduk di M’sia pada Q2 2025 – nama baharu akan diberikan

    Jetour Malaysia bakal melancarkan model SUV Jetour tujuh-tempat duduk untuk pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun ini, bagi memberikan laluan kepada SUV Dashing yang bakal dilancarkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) ini.

    Perkara ini disahkan oleh Kevin Xu selaku Timbalan Presiden Jetour Auto International dalam majlis makan tengahari sempena CNY bersama pihak media sebentar tadi.

    Walau bagaimana pun, Xu berkata, untuk pasaran Malaysia, SUV Jetour tujuh-tempat duduk ini bakal diberikan nama baharu kelak. Namun nama asalnya masih dikekalkan untuk pasaran global.

    Beliau turut menambah semua produk Jetour untuk pasaran kita akan dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD), termasuk SUV off-road T2 yang dijadualkan akan diperkenalkan di Malaysia pada suku ketiga (Q3) tahun ini. Walau bagaimana pun, beliau tidak mendedahkan rakan kerjasama pemasangan tempatan memandangkan ia adalah listed company dan protokol perlu dipatuhi.

    GALERI: Jetour X70 Plus dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Enam kakitangan Puspakom digantung tugas, disyaki terbabit dalam sindiket pemeriksaan kenderaan berat

    Enam kakitangan Puspakom digantung tugas, disyaki terbabit dalam sindiket pemeriksaan kenderaan berat

    Enam kakitangan Puspakom digantung tugas kerana disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat. Ketua Pegawai Eksekutif Mahmood Razak Bahman berkata syarikat memandang serius kes itu dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku terutama yang melibatkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.

    “Seperti yang saya tegaskan berulang kali, Puspakom tidak akan berkompromi dengan rasuah. Sekiranya terdapat sebarang bukti mengenai kesalahan itu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat. Ia termasuk mereka yang bekerjasama dengan sindiket untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan secara haram,” katanya, laporan Bernama.

    Mahmood juga berkata, Puspakom sedang menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan bahawa sesiapa yang terlibat dalam jenayah itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya. “Kami tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat dalam rasuah,” tegasnya.

    Enam kakitangan Puspakom digantung tugas, disyaki terbabit dalam sindiket pemeriksaan kenderaan berat

    Minggu ini, Ketua SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan agensi pencegah rasuah itu menahan lapan individu termasuk enam pemeriksa Puspakom yang didakwa terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan. Kakitangan Puspakom telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil. Dua lagi, yang merupakan runner yang dilantik oleh kakitangan Puspakom, telah direman lima hari sehingga Sabtu.

    Dalam perkara berasingan, JPJ dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan aktiviti ‘ejen kosmetik’ di pusat pemeriksaan kenderaan Puspakom. Ejen-ejen ini dikatakan menawarkan tayar sewa kepada pemilik kenderaan komersial supaya kenderaan tersebut dapat melepasi pemeriksaan Puspakom.

    Pembongkaran aktiviti ‘ejen kosmetik’ ini susulan satu kemalangan yang melibatkan sebuah bas persiaran, dua lori trailer, sebuah MPV dan sebuah kereta di Lebuhraya PLUS berdekatan Alor Gajah yang mengorbankan tujuh nyawa. Kemalangan berkenaan dikatakan berpunca daripada bas tersebut terlanggar sebuah tayar dari salah satu lori trailer yang terlibat yang tercabut dan berada di tengah lebuhraya. Kemudian, beberapa video tular di laman media sosial yang memaparkan kejadian berasingan tetapi melibatkan tayar kenderaan berat yang tercabut, hingga mencetuskan kegusaran di kalangan pengguna mengenai keselamatan di jalan raya.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV di M’sia — galeri penuh, 347 PS/525 Nm, 88 km EV, 1,200 km jarak penuh; dari RM170k

    Jaecoo J7 PHEV di M’sia — galeri penuh, 347 PS/525 Nm, 88 km EV, 1,200 km jarak penuh; dari RM170k

    Ditunjukkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu, Jaecoo J7 PHEV dijangka dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat. Tetapi sebelum itu, kami bawakan kepada anda galeri penuh model versi plug-in hybrid bagi J7 petrol yang sudah berada di pasaran tempatan sebelum ini.

    Ada dua varian akan ditawarkan, 2WD dan AWD. Harga anggaran adalah diantara RM170,000 hingga RM180,000 — menjadikannya SUV PHEV pertama yang bukan dari pengeluar Jerman yang dijual di sini dengan harga di bawah RM200,000.

    Jaecoo J7 PHEV ini mempunyai ukuran 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,672 mm. Kedalaman air yang mampu diredah pula ialah 450 mm. Rekaan luarannya menggunakan lampu LED depan dan belakang, lengkap dengan DRL LED. Ada juga lampu kabus depan dan belakang, serta landasan bumbung. Pintu ruang kargo dibelakang juga dengan kendalian kuasa elektrik.

    Jaecoo J7 PHEV di M’sia — galeri penuh, 347 PS/525 Nm, 88 km EV, 1,200 km jarak penuh; dari RM170k

    Di dalam, larasan sterengnya manual untuk atas-bawah dan jauh-dekat. Kerusi pula dibalut dengan material kulit buatan dengan kerusi depan lengkap dengan ciri liang dan pemanas. Untuk kerusi pemandu, ia boleh dilaras enam-arah, manakala untuk penumpang hanya larasan empat-arah. Tidak ketinggalan ialah ciri sunroof.

    Di tengah papan pemuka ada terletak skrin sentuh 14.8-inci untuk sistem infotainmen, sementara untuk kluster instrumen ada paparan bersaiz 10.25-inci. Slot USB ada empat disediakan dalam kabin, dan satu pengecas telefon tanpa wayar di depan. Sistem audio pula daripada jenama Sony dengan lapan pembesar suara, serta ada juga perakam video digital (DVR).

    Jaecoo J7 PHEV digerakkan oleh enjin petrol 1.5 TGDi yang dipadankan bersama transmisi hibrid DHT dan motor elektrik pada gandar roda hadapan. Tetapan ini menghasilkan output kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS dan tork maksimum 525 Nm. Ini enjin yang sama digunakan oleh model bersaudaranya Chery Omoda 5 — untuk versi hibrid ini, unit enjinnya menghasilkan 143 PS dan 215 Nm tork (54 PS dan 75 Nm kurang kuasa berbanding J7 petrol). Janaan kuasanya juga dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menghasilkan 204 PS dan 310 Nm.

    Jaecoo J7 PHEV di M’sia — galeri penuh, 347 PS/525 Nm, 88 km EV, 1,200 km jarak penuh; dari RM170k

    Bagi model 2WD, ia menggunakan bateri berkapasiti 18.3 kWh. Untuk pengecasan pula, yang dikongsikan ketika ini ialah untuk pengecasan pantas DC, ia mampu menampung sehingga 40 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan 6.6 kW. Fungsi V2L pula menyediakan kapasiti 3.3 kW.

    Model J7 PHEV ini didakwa dapat memberi jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sehingga 88 km kitaran WLTP, sementara dengan fungsi hibrid penuh, ia boleh memberi catatan penggunaan bahan api serendah 5.99 l/100 km. Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat. Menurut Jaecoo, dengan bateri penuh dan tangki bahan api 60 liter, J7 PHEV boleh bergerak sehingga 1,200 km.

    Untuk pemanduan, ia datang juga datang dengan tiga mod: Economy, Standard dan Sport. Untuk ruang barangan pula, minimum ia boleh memuatkan 500 liter kapasiti barangan, dan jika direbahkan kerusi barisan kedua, ruang yang tersedia ialah 1,265 liter.

    Bagi aspek keselamatan, model 2WD ini akan dilengkapi antara lain dengan lapan beg udara, sistem peninjau tekanan tayar dan juga brek parkir elektronik dengan Auto Hold. Tidak ketinggalan ialah sistem ADAS yang terdiri daripada 20 fungsi berbeza termasuk Adaptive Cruise Control, Integrated Cruise Assist, AEB, Intelligent Evasion System, Emergency Lane Keeping Assist dan Rear Cross Traffic Braking.

    Seperti dikongsikan Oktober lalu, untuk pasaran Malaysia akan tiga warna luaran akan ditawarkan sebagai pilihan — Carbon Crystal Black, Khaki White dan Moonlight Silver dengan bumbung hitam. Semua warna ini pula dipadankan dengan warna ruang dalaman berwarna hitam. Sama seperti model petrolnya, model PHEV ini juga akan dipasang CKD di kilang Chery di Shah Alam.

     
     
  • Laluan tidal Lebuhraya Kajang Silk berakhir mulai esok

    Laluan tidal Lebuhraya Kajang Silk berakhir mulai esok

    Prolintas mengumumkan pelaksanaan laluan tidal di Lebuhraya Kajang Silk, iaitu dari Plaza Lol Sungai Ramal hingga ke persimpangan bertingkat Uniten tidak akan disambung. Ia melibatkan kedua-dua arah dan ditamatkan berkuatkuasa mulai esok, 8 Jan 2025.

    Oleh itu, pengguna jalan raya dinasihatkan kembali menggunakan lorong asal, termasuk laluan Smartlane di lebuhraya berkenaan. Berkenaan dengan Smartlane yang melibatkan lebuhraya tersebut, ia adalah dari KM28.0 Kajang Silk ke KM1.1 di Lebuhraya SKVE menuju ke arah Putrajaya. Waktunya adalah dari 6.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.

    Justeru, bagi pengguna laluan yang terlibat, sila gandakan fokus pemanduan dan lebih berhati-hati di jalan raya. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan amalkan pemanduan selamat.

     
     
  • Geely Galaxy L6 EM-i — 1.5L petrol-elektrik dikongsi bersama Galaxy Starship 7, Proton eMas 7 PHEV

    Geely Galaxy L6 EM-i — 1.5L petrol-elektrik dikongsi bersama Galaxy Starship 7, Proton eMas 7 PHEV

    Geely dengan rasminya telah mendedahkan model sedan plug-in hybrid (PHEV) Galaxy L6 EM-i. Ia menggunakan sistem janaan hibrid modular dari NordThor (Leishen) yang dilengkapi dengan unit BHE15 Plus yang turut digunakan oleh Galaxy L7.

    Bahagian luaran L6 EM-i ini tidak banyak berubah berbanding model L6 2024 yang ketika ini dijual di China. Sedikit membezakannya adalah penggunaan pemegang pintu konvensional yang menggantikan pemegang tersorok. Ukurannya juga kekal sama, dengan dimensi 4,782 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,489 mm tinggi dengan jarak roda 2,752 mm, lapor Car News China.

    Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, L6 EM-i menggunakan sistem janaan NordThor 2.0 yang terdiri daripada enjin BHE15-BFN 1.5 liter NA petrol yang menghasilkan 82 kW atau 11 PS dan 136 Nm tork.

    Ini digandingkan bersama dengan sebuah motor elektrik yang menjana sebanyak 107 kW (145 PS) dan 338 Nm, yang memperoleh tenaganya dari bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti antara 8.5 kWh dan 19.09 kWh. Ia membolehkan pacuan elektrik sepenuhnya masing-masing sejauh 48 km dan 115 km.

    Bahagian dalaman pula memperlihatkan beberapa perbezaan berbanding L6, antaranya dengan skrin yang kini dalam kedudukan melintang. Konsol tengahnya pula dilengkapi pengecas tanpa wayar dan tombol kawalan rotari serta dua ruang cawan — rekaletak dalaman ini lebih menyerupai dalaman SUV Galaxy L7. Stereng dengan butang multi-kawalan juga diberikan rekaan berlainan dengan dua jejari.

    L6 EM-i merupakan satu daripada model tenaga baru yang diperkenalkan Geely untuk tahun ini, yang akan dituruti Galaxy Starship 7, yang juga model sama dengan Galaxy E5/Proton eMas 7 dengan sistem janaan plug-in hybrid. Proton juga telah patenkan nama eMas 7 PHEV, jadi kemungkinan di sini juga akan mengambil jalan yang sama untuk memperkenalkan versi plug-in hybrid pula.

     
     
  • Honda Wave Alpha tiba dengan warna baru – RM5.3k

    Honda Wave Alpha tiba dengan warna baru – RM5.3k

    Honda Wave Alpha, yang kali terakhir diberikan peningkatan pada tahun 2023, dengan menerima sistem suntikan bahan api pada enjinnya serta beberapa perubahan pada badan kini ditawarkan dalam pilihan warna baru bagi model tahun 2025.

    Bagi warna perak, biru dan merah, ia dijual pada harga RM5,309, manakala warna hitam sedikit lebih murah dengan harga cadangan pengeluar RM5,259. Kesemua harga ini adalah tidak termasuk insurans dan ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Bahagian mekanikal tidak berubah dengan Wave Alpha ini masih dipacu oleh enjin satu silinder SOHC 109.2 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, penyejukan udara dan penarafan emisi Euro 4, digabungkan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan, mampu menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan tork 8.7 Nm pada 5,500 rpm.

    Kesemua Wave Alpha 2025 ini juga ditawarkan dalam versi yang menggunakan rim sport aluminium 17 inci tanpa tiub, dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, dan dilengkapi brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang. Enjinnya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik ataupun penendang kaki.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 4.0 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 7.3 liter, fork teleskopik serta dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • Perodua jual 358,102 unit pada 2024, naik 8.4%- catat jualan, produksi tertinggi, 44% perkongsian pasaran

    Perodua jual 358,102 unit pada 2024, naik 8.4%- catat jualan, produksi tertinggi, 44% perkongsian pasaran

    Meneruskan momentum kegemilangannya dalam industri automotif, Perodua berjaya mencatat jualan sebanyak 358,102 unit kenderaan bagi tahun 2024, iaitu rekod pendaftaran tertinggi dengan peningkatan sebanyak 8.4%, sekaligus mengatasi pencapaian pada tahun 2023 iaitu 330,325 unit kenderaan.

    Bagi aspek produksi, Perodua telag mengeluarkan sejumlah 368,100 kenderaan pada tahun lalu yang juga jumlah pengeluaran tertinggi sepanjang 30 tahun operasi jualannya, dengan peningkatan sebanyak 7.2 % berbanding 343,400 yang dicatatkan pada 2023.

    “Kami telah mengatasi kapasiti asal kami sebanyak 320,000 unit dan ia menunjukkan penyelarasan yang telah dilaksanakan secara dinamik dalam memenuhi objektif bersama. Pencapaian ini menunjukkan potensi sebenar kami dan akan menjadi penanda aras bagi industri untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

    “Berhubung prestasi industri, kami menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan melebihi 814,000 unit kenderaan bagi tahun 2024 dan daripada jumlah itu, 44% disumbangkan oleh Perodua. Berdasarkan peratusan itu, kami menjangka Perodua akan menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun lalu.

    “Pencapaian ini juga membuktikan bahawa kualiti dan kuantiti boleh bergerak seiring jika semua pihak berkomunikasi dan berkoordinasi dengan baik. Untuk itu, kami ingin berterima kasih kepada kakitangan kami kerana telah membuktikan kita boleh melakukan lebih daripada apa yang dijangka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua jual 358,102 unit pada 2024, naik 8.4%- catat jualan, produksi tertinggi, 44% perkongsian pasaran

    Perodua juga menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan melebihi 814,000 unit kenderaan bagi tahun 2024 dan daripada jumlah itu, 44% disumbangkan oleh Perodua. “Berdasarkan peratusan itu, kami menjangka Perodua akan menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun lalu,” tambahnya lagi.

    Bagi asas suku ke suku tahun, pendaftaran kenderaan Perodua adalah sebanyak 97,741 unit antara Oktober ke Disember 2024, peningkatan sebanyak 0.7% daripada 97,098 unit yang dicatatkan pada suku yang sama tahun 2023.

    “Kami percaya tahun 2025 akan memberikan peluang dan cabaran baharu buat kami, termasuklah persaingan yang semakin meningkat daripada jenama automotif baharu dalam pasaran,” kata Dato’ Sri Zainal.

    Satu cabaran baharu bagi syarikat ini ialah pengenalan kenderaan elektrik (EV) pertamanya keluarannya, yang dibangunkan sendiri kerana rakan kongsi globalnya, Daihatsu, tidak mempunyai model yang bersesuaian untuk tujuan tersebut. Perodua telah mempertontonkan model konsep EV pertamanya yang diberi nama eMO-II dalam penganjuran KLIMS 2024. Ia dijangka akan diperkenalkan secara rasminya pada suku akhir tahun ini, yang ditawarkan dengan harga antara RM50,000 hingga RM90,000. Butiran mengenai eMO-II boleh dibaca menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • UMW Toyota jual lebih 100k kenderaan untuk tahun ketiga berturut-turut, tapi jualan 2024 masih jatuh 5.4%

    UMW Toyota jual lebih 100k kenderaan untuk tahun ketiga berturut-turut, tapi jualan 2024 masih jatuh 5.4%

    Toyota kekal menjadi jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia, dengan pengedarnya, UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan berjaya melepasi jumlah jualan 100,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut. Walaubagaimanapun, jumlah yang dicatat pada tahun 2024 (102,300 unit) menunjukkan penurunan 5.4% berbanding tahun sebelumnya (108,107 unit).

    Sama seperti Proton, jualan UMWT masih menurun meskipun jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) meningkat, disasarkan mencecah 800,000 buat kali pertama. Jualan yang baik pada bulan Disember, dengan catatan sebanyak 12,800 unit membantu UMWT melepasi tahap 100k, dipacu oleh populariti model seperti Hilux, Vios dan Corolla Cross.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan, UMWT juga melaporkan bahawa sejumlah 1.42 juta pelanggan kembali kepada rangkaian servis selepas jualan mereka, yang mana menunjukkan “komitmen Toyota untuk mengutamakan inovasi, kualiti dan kepuasan pelanggan.”

     
     
  • Menara transmisi monopole TNB bercahaya – jangan berhenti di Jambatan Pulau Pinang untuk bergambar

    Menara transmisi monopole TNB bercahaya – jangan berhenti di Jambatan Pulau Pinang untuk bergambar

    Jika anda menggunakan Jambatan Pulau Pinang (jambatan pertama), mungkin anda akan perasan deretan struktur di laut yang selari dengam jambatan tersebut. Ia adalah menara transmisi monopole yang dimiliki Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan enam daripada menara itu kini diterangi setiap malam dari jam 8 malam hingga 4 pagi.

    “Ia merupakan mercu tanda terbaharu di negeri ini, menawarkan pemandangan jambatan yang menakjubkan dan berfungsi sebagai pintu masuk yang menarik untuk pengunjung yang tiba di Pulau Pinang,” kata pengerusi jawatankuasa infrastruktur dan pengangkutan negeri Zairil Khir Johari, laporan The Star, yang turut memaparkan imej tersebut seperti di atas.

    ADUN Tanjong Bunga itu turut berkata menara tersebut telah beroperasi sejak 23 Disember 2024, dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut menyaksikan pencahayaan pertama lampu LED pada malam tahun baharu lalu. LED berkuasa solar itu dikatakan boleh memancarkan 200 warna berbeza dalam kombinasinya.

    Menurut laporan itu, menara yang enam daripadanya dibina dengan reka bentuk ala pinang itu siap pada November 2024 dengan kos RM500 juta. Ia menyalurkan 2,000 megawatt (MW) elektrik ke pulau tersebut, yang menempatkan sektor perindustrian yang kukuh.

    Kini, sama seperti kebanyakan tarikan baharu, ramai yang akan terpesona dengan pemandangan sebegitu dan ingin mengambil gambar dan video struktur bercahaya. Walau bagaimana pun, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad memberi amaran kepada pemandu supaya tidak berhenti di Jambatan Pulau Pinang untuk bergambar. Hanya dibenarkan berhenti untuk kecemasan sahaja. Tindakan akan diambil terhadap mereka yang berhenti tanpa alasan yang kukuh.

    “Nikmati pemandangan monopole yang indah tetapi jangan berhenti. Ingat bahawa hanya penumpang anda boleh menggunakan telefon bimbit dan kamera untuk merakam pemandangan,” katanya sambil menambah mereka yang didapati melanggar undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang dikenakan denda daripada RM300 hingga RM2 ,000. Sila amalkan pemanduan selamat dan sentiasa bertimbang rasa.

     
     
  • Porsche Cayenne S E-Hybrid 2025 diperkenalkan di M’sia — model CKD, 519 PS, 90 km EV; dari RM728k

    Porsche Cayenne S E-Hybrid 2025 diperkenalkan di M’sia — model CKD, 519 PS, 90 km EV; dari RM728k

    Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupe 2025 menjadi model CKD terbaru jenama itu yang dilancarkan di Malaysia dengan harga RM728,000 termasuk cukai dan duti, tetapi belum termasuk yuran atas jalan dan pilihan serta insurans lainnya.

    Ini adalah model CKD Porsche yang kedua yang dijual di sini, sekali menjadi model Porsche dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV) yang dipasang di kilang Sime Darby Motor di Kulim, Kedah. Ia juga menjadi model pertama Porsche pemasangan di Malaysia yang akan dieksport ke Thailand.

    Dengan garis bumbung rendah ala coupe dan sistem janaan PHEV, model ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat dan mencapai laju maksimum 263 km/j. Kuasa dijana oleh enjin 3.0 liter turbocas V6 petrol dengan kuasa sebanyak 353 PS (349 hp atau 260 kW) dan 500 Nm tork.

    Porsche Cayenne S E-Hybrid 2025 diperkenalkan di M’sia — model CKD, 519 PS, 90 km EV; dari RM728k

    Enjin berkenaan dibantu pula oleh sebuah motor elektrik dengan janaan 176 PS (174 hp atau 130 kW) dan 460 Nm, memberikan output keseluruhan sistemnya sebanyak 519 PS (512 hp atau 382 kW) dan 750 Nm. Unit bateri untuk motor elektrik ini pula berkapasiti 25.9 kWh (21.8 kWh bersih), membolehkan pacuan elektrik sepenuhnya sehingga 90 km mengikut kitaran WLTP.

    Antara kelengkapan yang disertakan sebagai ciri standard ialah suspensi udara adaptif bersama Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan teknologi dua-kebuk dan dua injap.

    Porsche Cayenne S E-Hybrid 2025 diperkenalkan di M’sia — model CKD, 519 PS, 90 km EV; dari RM728k

    Ciri yang ada termasuklah lampu utama LED Matrix berdefinisi tinggi (32,000 pixel sebelah), stereng GT Sport, pakej Sport Chrono (termasuk jam Porsche Design di papan pemuka), sistem bunyi premium Bose, kawalan pendingin empat zon dengan Ioniser, kerusi depan larasan 14-arah dengan fungsi memori, tirai larasan elektrik untuk tingkap sisi di belakang, paparan kluster instrumen melengkung 12-6-inci dan juga skrin sentuh 12.3-inci infotainmen dengan Porsche Communication Management (PCM).

    Pembeli juga boleh memilih untuk kemasan balutan dalaman hitam atau Bordeaux Red, dengan lencana Porsche di perehat kepala. Rim Cayenne S Design 20-inci adalah standard, sementara pilihan warna terdiri daripada Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic dan Dolomite Silver Metallic.

     
     
  • Sistem “High Speed – Weight in Motion” pantau muatan kenderaan berat beroperasi mulai Q3 2025

    Sistem “High Speed – Weight in Motion” pantau muatan kenderaan berat beroperasi mulai Q3 2025

    Sistem “High Speed – Weight in Motion” (HS-WIM) yang dipasang bertujuan memantau muatan kenderaan berat secara automatik dijangka mula beroperasi suku ketiga (Q3) tahun ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kementeriannya telah mengenal pasti 10 lokasi di seluruh negara yang akan dipasang dengan sistem HS-WIM, laporan Bernama.

    “Pelan induk melibatkan penguatkuasaan melalui HS-WIM akan dibangunkan bertujuan memperbanyak pemasangan sistem ini di tempat hot spot, seperti kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik yang tinggi.

    “Saya telah memberikan arahan minggu lepas bahawa kita tidak mahu lagi melengahkan pelaksanaannya sebab tahun lepas kita telah buat bukti konsep dan ia telah pun siap, maka tahun ini mesti mula dengan pemasangan HS-WIM,” katanya.

    Tambah beliau, pemasangan HS-WIM merupakan satu pendekatan baharu untuk memantau pergerakan kenderaan-kenderaan berat yang melebihi had muatan.

    Sistem “High Speed – Weight in Motion” pantau muatan kenderaan berat beroperasi mulai Q3 2025

    “HS-WIM ini menggunakan teknologi kamera … (kenderaan berat) lalu sahaja di sesuatu kawasan, adanya sensor, kita akan tahu sama ada kenderaan itu melebihi had muatan atau tidak dan kenderaan itu akan dirakamkan kamera.

    “Jadi, kita akan tahu waktu kenderaan berat itu lalu di sana pukul berapa, berapa berat muatan, jadi kalau kenderaan lebih muatan, kita boleh keluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit. Berbanding cara sekarang ini sangat manual. Kita kena tahan lori itu dan bawa ke stesen penimbang, baru kita dapat tahu sama ada ia melebihi had muatan atau tidak,” katanya.

    Sebanyak 1,457 kematian dicatatkan dalam 3,500 kemalangan membabitkan lori di seluruh negara sejak Januari 2019 hingga November tahun ini. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, kematian tertinggi direkodkan pada tahun 2019 iaitu 274 kematian, diikuti 2024 dengan 260 kematian, 2023 (235 kematian), 2022 (232 kematian), 2021 (230 kematian) dan 2020 (226 kematian) manakala 473 kecederaan parah dan 1,076 kecederaan ringan dilaporkan dalam tempoh tersebut.

    Bagi kemalangan melibatkan bas pula, 548 kes direkodkan bagi tempoh sama dengan 153 kematian, 120 kecederaan parah dan 218 kecederaan ringan dicatatkan. “Polis akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan khususnya lori dan bas dalam usaha mengurangkan jumlah kematian yang membimbangkan yang direkodkan,” katanya menerusi laporan Berita Harian.

     
     
  • Kamera AwAS akan ditambahbaik – laksana kaedah point-to-point berbanding statik, sasar laluan berbukit

    Kamera AwAS akan ditambahbaik – laksana kaedah <em>point-to-point</em> berbanding statik, sasar laluan berbukit

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

    Menurut beliau, pelaksanaan tersebut bagi membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan, laporan Bernama.

    Buat masa ini, pelaksanaan kamera AwAS diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

    “Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

    Kamera AwAS akan ditambahbaik – laksana kaedah <em>point-to-point</em> berbanding statik, sasar laluan berbukit

    “Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

    Sebagai permulaan, katanya, pelaksanaan ini akan dilakukan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.

    “Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.

    “Kaedah sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya yang turut berharap penambahbaikan sistem AwAS dengan mekanisme point-to-point boleh menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.

     
     
  • Anggota JPJ bakal guna kamera badan untuk tingkatkan ketelusan penguatkuasaan – Loke

    Anggota JPJ bakal guna kamera badan untuk tingkatkan ketelusan penguatkuasaan – Loke

    Dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan penguatkuasaan, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diberikan kamera badan untuk dipakai, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Menurut laporan Bernama, Loke berkata penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan berat. Tambahnya, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini meminta supaya anggota jabatan itu dilengkapkan dengan penggunaan kamera badan supaya imej, keselamatan dan integriti setiap anggota bertugas berada pada tahap tertinggi.

    “… penggunaan kamera badan bukan sahaja melindungi imej dan integriti JPJ tetapi juga menjaga pegawai itu sendiri. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kadangkala pegawai kita menghadapi kritikan, penghinaan dan pelbagai tohmahan. Dengan kamera badan, pegawai JPJ dilindungi, kerana sebarang bukti semasa tindakan penguatkuasaan mereka boleh dirakam,” katanya.

    Anggota JPJ bakal guna kamera badan untuk tingkatkan ketelusan penguatkuasaan – Loke

    Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi sebelum ini dilaporkan berkata penggunaan kamera badan bagi anggota penguatkuasa akan meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai dan meningkatkan kepercayaan orang ramai, serta mengelakkan salah faham biasa yang sering timbul semasa penguatkuasaan.

    Loke berkata, beliau telah meminta pengurusan Kementerian Pengangkutan berunding dan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan perolehan kamera badan itu.

    “(Rundingan dibuat) supaya dapat peruntukan segera untuk kita peroleh kamera badan ini dan saya harap anggota-anggota JPJ akan dilengkapi dengan kamera berkenaan pada tahun ini juga,” katanya.

     
     
  • Lynk & Co 900 diperkenal di China – SUV PHEV besar dengan kuasa sehingga 857 PS, dua skrin 30 inci

    Lynk & Co 900 diperkenal di China – SUV PHEV besar dengan kuasa sehingga 857 PS, dua skrin 30 inci

    Lynk & Co secara rasminya memperkenalkan SUV perdana baru mereka di China. Sebelum ini dikenali dengan nama kod L946, kenderaan paling besar jenama itu sekarang dipanggil sebagai Lynk & Co 900 dan dijangka mula dijual Mac tahun ini.

    Betul-betul besar, SUV ini mencatat ukuran panjang 5,240 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,810 mm dan jarak roda 3,160 mm. Antara tanda rekaan unik yang dibawa adalah termasuk lampu hadapan bertingkat dengan DRL berbentuk H di atas serta susunan LED kecil melintang yang boleh memaparkan pelbagai grafik. Konsep sama digunakan pada bahagian belakang dengan lampu yang nipis serta jalur LED melintang di tengah.

    Model ini tidak mempunyai gril seperti kereta biasa, sementara bahagian bawah bampar menggunakan panel aktif yang boleh dibuka dan ditutup. Di bahagian tepi anda akan melihat pembuka pintu sama rata dengan badan serta satu bahagian seperti tiang untuk memegang cermin sisi dan turut menempatkan beberapa sensor.

    Masuk ke dalam, 900 menawarkan tempat duduk untuk sehingga enam orang (2-2-2), dengan yang di hadapan boleh menikmati paparan daripada skrin sesentuh 30 inci dengan resolusi 6K, yang juga menjadi pengawal infotainmen utama. Di hadapan pemandu terdapat skrin 12.66 inci untuk paparan instrumen. Turut disediakan adalah dua pad pengecas tanpa wayar dan beberapa butang kawalan penting di konsol tengah.

    Lynk & Co 900 diperkenal di China – SUV PHEV besar dengan kuasa sehingga 857 PS, dua skrin 30 inci

    Mereka yang berada di tempat duduk baris kedua pula disediakan dengan skrin sesentuh 30 inci, 6K yang diturunkan dari atas bumbung, bersama panel kawalan kecil dan peti sejuk di bahagian konsol tengah. Sistem di dalam kokpit kenderaan ini dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295.

    Lynk & Co sangat berbangga dengan ciri praktikaliti 900, dengan memberitahu ia mempunyai lebih daripada 42 ruang simpanan. Mereka juga mendakwa SUV ini mempunyai ruang kepala dan kaki terbaik dalam kelasnya, dengan ruang bergerak sehingga 550 mm bagi tempat duduk baris kedua, sementara tempat duduk baris ketiga mempunyai penyandar yang boleh dilaras dan ruang bergerak 125 mm.

    Ruang simpanan di belakang juga tidak kekurangan, dengan 300 liter kapasiti disediakan apabila semua tempat duduk tegak, ditambah dengan 20 liter lagi di bawah lantai. Pintu but menggunakan bukaan yang terbelah dua seperti Range Rover, memberikan akses kepada ruang simpanan sedalam 590 mm, lebar 1,130 mm dan tinggi 786 mm. Rak bumbung boleh menampung sehingga 100 kg.

    Untuk penggerak, 900 dibina atas platform SPA Evo dan datang dengan penyerap kawalan berterusan (CDC) serta susupensi udara. Pembeli diberikan pilihan tiga tetapan, bermula daripada plug-in hybrid (PHEV) yang menggunakan enjin 1.5 liter turbo dengan motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW), atau padanan yang menggunakan motor elektrik 313 PS (308 hp atau 230 kW) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 721 PS (711 hp atau 530 kW).

    Varian yang lebih berkuasa juga adalah PHEV, tetapi menggunakan enjin 2.0 liter turbo. Satu daripadanya menggunakan padanan motor elektrik 167 PS (165 hp atau 123 kW) di hadapan dan motor 313 PS (308 hp atau 230 kW) di belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 734 PS (724 hp atau 540 kW).

    Varian yang lebih laju daripada itu menggunakan motor hadapan yang sama, tetapi setiap roda di belakang mendapat motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW), untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 857 PS (845 hp atau 630 kW).

    Antara catatan prestasi yang didedahkan adalah termasuk laju maksimum 200 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat, berkemungkinan adalah untuk varian paling tinggi. Laporan CarNewsChina mengatakan, casis digital AI dan rear-axle steering 900 ini membolehkan ia bergerak melintang ke tepi dan melakukan pusingan U tajam. Fungsi ADAS kenderaan ini dikuasakan oleh cip Nvidia Orin X atau Thor, tetapi perinciannya masih belum didedah, termasuk harganya.

     
     
  • Proton eMas 3 dalam imej digital — segmen A, kecil dari Geely Xingyuan, tampil imej meyakinkan

    Proton eMas 3 dalam imej digital — segmen A, kecil dari Geely Xingyuan, tampil imej meyakinkan

    Theophilus Chin sekali lagi menzahirkan bayangan melalui sebuah rekaan digital bagi model ‘Proton eMas 3’ — versi SUV elektrik Proton yang lebih kecil berbanding SUV segmen C Proton eMas 7 yang ada ketika ini.

    Ketika pembukaan bilik pameran Proton eMas PJ oleh Regal Motor semalam, CEO Proton, Li Chunrong mengesahkan bahawa syarikat itu akan memperkenalkan model EV kedua pada tahun ini. Tiada perincian disertakan, namun khabar angin yang bertiup menyatakan yang model tersebut ialah ‘eMas 5’, yang menggunakan asas dari Geely Xingyuan.

    Sekiranya ini betul, ia akan menjadi penawaran SUV EV yang lebih kecil dan lebih murah berbanding eMas 7 yang ketika ini dijual bermula dari RM105,800. Model tersebut juga akan menjadi pesaing kepada EV Perodua, yang ditunjuk sebagai model konsep eMO-II ketika KLIMS Disember lalu — model ini jangka diperkenalkan pada suku keempat 2025 dan akan dijual dengan harga antara RM50,000 hingga RM90,000.

    Proton eMas 3 dalam imej digital — segmen A, kecil dari Geely Xingyuan, tampil imej meyakinkan

    Dilancarkan Oktober lalu di China, Geely Xingyuan memberikan jarak CLTC hingga 410 km (sekitar 350 km dengan kitaran WLTP) dengan dua pilihan bateri, 30.12 kWj dan 40.16 kWj.

    Namun rekaan yang ditunjuk oleh Theo ini bukan diasaskan daripada Xingyuan, sebaliknya dalam bentuk yang lebih kecil, mungkin untuk peringkat kemasukan. Jika ia lebih kecil daripada Xingyuan dan BYD Dolphin, ia mungkin juga sebuah hatchback segmen A — sama seperti BYD Seagull misalnya.

    Imej bayangan daripada Theo ini menggunakan Volkswagen Polo Mk6 sebagai asasnya, dengan perincian dan rekaan luaran dari eMas 7. Jika kereta EV kecil ini ditawarkan dengan harga antara RM50-RM60k, agak menarik juga.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025