Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition di Tokyo Auto Salon — pengeluaran terhad, luaran baru; dari RM67k

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition di Tokyo Auto Salon — pengeluaran terhad, luaran baru; dari RM67k

    Dari Tokyo kami bawa anda untuk menjenguk apa yang ada di Tokyo Auto Salon tahun ini. Antara yang menarik perhatian adalah model Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition, yang akan ditawarkan bermula 19 Mac nanti di Jepun, dan hanya untuk tempoh masa terhad antara Mac-November 2025.

    Dari sudut mekanikal, model ZC33S Final Edition tidak berbeza daripada Swift Port Standard generasi ketiga yang sedia ada. Ia menggunakan enjin K14C 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol dengan janaan sebanyak 140 PS (138 hp atau 103 kW) pada 5,500 rpm dan 230 Nm tork dari 2,500 hingga 3,500 rpm. Ada dua pilihan transmisi: manual enam-kelajuan dengan harga 2,329,800 yen (about RM67k) atau automatik enam-kelajuan dengan harga 2,401,300 yen (RM69k).

    Perbezaan aspek penggayaan pula melibatkan gril depan dengan penyudah hitam berkilat serta kemasan lampu kabus, dengan rim 17-inci bersama profile tayar 195/45 yang turut menerima penyudah yang sama. Selain itu, angkup brek warna merah diberikan, serta hiasan ZC33S di tiang C dan juga lencana merah/hitam di bahagian belakang.

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition di Tokyo Auto Salon — pengeluaran terhad, luaran baru; dari RM67k

    Di dalam, kemasan unik di bahagian papan pemuka, panel pintu serta konsol tengah dengan kesan khas boleh dilihat, yang tidak ketinggalan tulisan ‘Sport’ dan ‘ZC33S powered by Suzuki’ di beberapa bahagian lain. Kemasan stereng pula dalam warna perak berkilau.

    Walaupun ini semacam salam selamat tinggal bagi Swift Sport semasa, ada khabar angin yang mengatakan Suzuki sedang membangunkan versi baru model hot hatch ini, untuk versi generasi keempatnya, walaupun masih belum ada sebarang pengesahan diberikan.

     
     
  • Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Jepun – kabin hitam berbanding merah; dari RM172k

    Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Jepun – kabin hitam berbanding merah; dari RM172k

    Menerusi Tokyo Auto Salon tahun ini, Honda telah memperkenalkan varian ‘Racing Black Package’ baharu untuk Civic Type R, di mana ruang kabinnya telah ditukarkan dari rona merah kepada hitam. Harga yang ditetapkan ialah 5,998,300 yen (sekitar RM172k), atau hanya lebih satu juta yen berbanding Civic Type R biasa yang berharga 4,997,300 yen (RM143k).

    Dengan Racing Black Package, upholstery merah suede kini ditukarkan dengan hitam suede, di mana penukaran warna ini juga diaplikasikan untuk karpet dalam dan alas lantai. Jahitan kelabu turut digunakan merentasi ruangan kabin, hanya tali pinggang keselamatan, lencana pada roda stereng dan pencahayaan ambien sahaja yang dikekalkan dengan serlahan merah.

    Di samping perubahan ini, Honda turut menggantikan kemasan berkilat pada kawalan suhu dan corong udara dengan kemasan lebih gelap, sementara papan pemuka bergetah dibaluti material suede untuk mengurangkan pantulan cahaya. Cermin pandang belakang dengan fungsi kelam automatik juga diberikan untuk versi ini.

    Walau pun ruang kabin diberikan serlahan hitam, namun bahagian luarannya masih ditawarkan dengan beberapa pilihan warna, termasuk Championship White, Sonic Gray Pearl (dengan kos tambahan), Crystal Black Pearl, Frame Red and Racing Blue Pearl.

    Manakala penjana kuasanya tidak diberikan sebarang perubahan, ia dikekalkan dengan enjin K20C 2.0 liter empat-silinder sebaris VTEC Turbo yang mampu menghamburkan hingga 330 PS (326 hp atau 243 kW) pada 6,500 rpm dan tork 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm. Kotak gear manual enam-kelajuan hanya satu-satunya transmisi yang ditawarkan bagi memacu roda hadapan.

    GALERI: Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Tokyo Auto Salon 2025

    GALERI: Gambar rasmi Honda Civic Type R Racing Black Package 2025

     
     
  • Mitsubishi Xpander ditawar aksesori pilihan pengedar – 200 unit; kamera 360°, dashcam , balutan kulit

    Mitsubishi Xpander ditawar aksesori pilihan pengedar – 200 unit; kamera 360°, <em> dashcam </em>, balutan kulit

    Mitsubishi Xpander facelift yang dilancarkan pada September 2024, kini ditawarkan naiktaraf dengan aksesori pilihan pengedar. Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), ia hanya terhad dengan 200 unit sahaja dan hanya ditawarkan dengan warna Red Metallic.

    Pilihan aksesori pengedar yang ditawarkan ialah kamera perkir 360-darjah, kamera pemuka (dashcam) hadapan dan belakang serta tempat duduk balutan kulit. Ia ditetapkan dengan harga atas jalan RM104,980 tanpa insurans, di mana RM5,000 lebih mahal berbanding harga standard RM99,980. Walau bagaimana pun, dengan pertambahan elemen tersebut, ia masih murah sebanyak RM5,000 jika dibandingkan dengan varian Xpander Plus yang berharga RM109,980.

    MMM berkata Xpander dengan aksesori pilihan pengedar lebih “mencapai keseimbangan sempurna antara gaya, kefungsian dan kemampuan, dan sesuai untuk pelanggan yang mahukan ciri premium ini sambil mengekalkan pilihan yang lebih berpatutan berbanding Xpander Plus”.

    Apakah ciri yang masih eksklusif untuk Plus? Perincian luaranny seperti kemasan perak pada bampar bawah hadapan dan belakang serta skirt sisi (berbanding hitam penuh), spoiler pintu belakang yang menonjol, visor pintu, pengecas tanpa wayar dan scuff plates.

    Buat masa ini MMM turut menganjurkan kempen yang menawarkan ganjaran bahan api, dua tahun penyelenggaran percuma dan ‘Prosperity Reward’.

    GALERI: Mitsubishi Xpander

    Mitsubishi Xpander Plus 2024

     
     
  • Proton X50 Sport Edition bakal dilancarkan pada 16 Januari ini – hanya 1,000 unit sahaja dikeluarkan

    Proton X50 Sport Edition bakal dilancarkan pada 16 Januari ini – hanya 1,000 unit sahaja dikeluarkan

    Selepas dipertontonkan menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 pada bulan lalu, Proton telah mengumumkan Proton X50 Sport Edition bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada Khamis ini, 16 Januari. Anda boleh menyaksikan pelancaran rasminya secara maya menerusi Facebook, TikTok dan YouTube pada jam 9 malam.

    Difahamkan, SUV keluaran khas ini “hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja”. Ketika ia dipertontonkan di KLIMS, ia diserlahkan dengan kit badan yang terdiri daripada splitter hadapan, side skirt dan tambahan panel pada bampar belakang, dan ia nampak berbeza dengan X50 R3 sebelum ini kerana diberikan jaluran merah termasuk pada bahagian tepi pintu dan gril.

    Menjadikan SUV ini lebih garang adalah penggunaan warna serba gelap pada kebanyakan bahagian termasuk kemasan pada pintu but (biasanya berwarna krom satin) serta rim 18-inci yang diambil daripada Geely Binyue varian bawah. Melengkapkan penampilannya adalah lencana Sport Edition di bahagian belakang dan ia juga diberikan plet tepi pintu, pengacas Qi tanpa wayar, alas kaki baru serta dulang barangan di belakang.

    X50 Sport Edition ini menggunakan asas daripada model Premium yang berharga RM101,800, bermakna ia menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 226 Nm.

    Ini bermakna sistem bantuan termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist yang ada pada varian Flagship tidak akan diberikan pada X50 Sport Edition ini.

    “Nantikan pengumuman khas semasa acara itu!”, kata Proton menerusi kapsyen yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya. Agak-agak apakah pengumuman tersebut? Nantikan bersama kami pada Khamis ini.

     
     
  • JPJ keluarkan 22,201 saman terhadap kenderaan perdagangan dalam operasi khas sejak 25 Dis 2024

    JPJ keluarkan 22,201 saman terhadap kenderaan perdagangan dalam operasi khas sejak 25 Dis 2024

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 22,201 notis terhadap kenderaan perdagangan dalam Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ yang dijalankan di seluruh negara bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan.

    Menurut agensi penguatkuasaan terbabit, sepanjang operasi tersebut yang dijalankan sejak 25 Disember 2024 sehingga ke hari ini, sebanyak 88,034 kenderaan perdagangan telah diperiksa, 22,201 notis telah dikeluarkan, kenderaan diambil tindakan (9,661) dan 77 buah telah disita.

    “Pihak JPJ juga telah mengesan hampir 7,000 kenderaan perdagangan dikesan telah melakukan kesalahan teknikal seperti tidak selenggara kenderaan dengan baik, tayar tidak mengikut spesifikasi, tidak jaga tayar dengan baik/haus berlebihan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Berkenaan dengan Ops Khas Puspakom pula, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang ia dilaksanakan sejak 30 Disember 2024, pihaknya telah mengadakan pemeriksaan terhadap 37 buah Puspakom di seluruh negara dan hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 21 buah kenderaan telah disita.

    “Pihak JPJ telah mengesan kesalahan kenderaan yang disita adalah melibatkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

    “Daripada jumlah sitaan tersebut, JPJ turut mengesan sebuah lori telah diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan tersebut tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan. Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil dibawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan,” kata Aedy Fadly.

    Berikutan daripada kes tersebut, tambahnya, JPJ telah mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes yang melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom. Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.

    “JPJ Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya lagi.

     
     
  • Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

    Walaupun hanya pernah berada di pasaran Malaysia dalam jumlah yang sangat sedikit satu ketika dulu, nama Daihatsu Mira agak sinonim dengan rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang meminati ubahsuai kereta. Ini kerana Mira dalam pelbagai generasi merupakan asas kepada beberapa model Perodua seperti Kancil, Kelisa dan juga Viva, di mana model-model ini kerap ‘disalin’ dengan set halfcut kembar-kembarnya dari Jepun berkenaan, terutamanya dalam varian-varian lebih sporty yang dibekalkan dengan enjin 660 cc Turbo.

    Walaupun Perodua sudah tidak lagi menyadur kei-car berkenaan sebagai model-model terkininya, Mira masih lagi utuh di pasaran Jepun, dan ia kini dijual dalam versi generasi terbaharu iaitu Mira Tocot dan Mira e:S. Menerusi acara Tokyo Auto Salon (TAS) 2025 yang berlangsung di Makuhari Messe hujung minggu lalu, Daihatsu mendedahkan model konsep Mira e:S dalam varian prestasi yang bakal diproduksi tidak lama lagi iaitu Mira e:S GR Sport.

    Ya, GR atau Gazoo Racing merupakan sayap perlumbaan rasmi bagi Toyota, namun Daihatsu itu sendiri sememangnya satu jenama di bawah naungan Toyota. Ini bukan kali pertama sebuah model Daihatsu menerima sentuhan Gazoo Racing di mana sebelum ini Daihatsu Copen GR Sport sudahpun dijual dalam pasaran.

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

    Spesifikasi lengkap bagi model ini masih belum diumumkan, namun segalanya telah ditunjukkan ketika ia dipamerkan di TAS tempoh hari. Pada bahagian luaran ia menampilkan bampar hadapan dan belakang yang seiras dengan jentera rali Mira e:S yang bertanding dalam kejohanan All Japan Rally Championship, beberapa kemasan gentian karbon seperti pada perapi lampu belakang, serta bumbung yang nampaknya mungkin turut menerima material gentian karbon asli seperti Toyota GR Yaris,

    Mira e:S yang lebih garang ini juga datang bersama set rim aloi ringan dari BBS 16-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE050A bersaiz 165/55R16. Manakala pada sebelah dalam dapat dilihat ia menerima kelengkapan yang hampir sama seperti Copen GR Sport seperti tempat duduk hadapan Recaro dan roda stereng Momo. Juga difahamkan Mira e:S ini menerima enjin 660 cc dengan pengecas turbo, dipadan dengan kotak gear manual lima kelajuan seperti yang boleh dilihat pada tombol gear dalam kabin.

    Kuasa dari enjin tersebut dijangkakan tidak akan melebihi jumlah maksima yang dibenarkan untuk kei-Car di Jepun iaitu 64 PS dan tork 100 Nm. Manakala sentuhan GR juga dijangka dibuat menyamai Copen GR Sport seperti pemadanan set suspensi lebih sporty, pendakap-pendapak badan tambahan untuk badan lebih tegar, talaan lebih responsif pada roda stereng dan pelbagai lagi.

    Daihatsu belum lagi mengumumkan bila Mira e:S GR Sport ini akan ditawarkan dalam pasaran. Namun berdasarkan rupanya yang nampak lengkap sebagai model produksi, tidak mustahil pelancarannya akan dibuat tahun ini juga.

     
     
  • Yamaha NMax 2025 dilancarkan di Malaysia – varian pertengahan tanpa “Turbo”, RM11,498 dengan ABS, TC

    Yamaha NMax 2025 dilancarkan di Malaysia – varian pertengahan tanpa “Turbo”, RM11,498 dengan ABS, TC

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini secara rasmi melancarkan NMax 2025 untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan RM11,498 tidak termasuk insurans. Untuk pengetahuan, ini adalah NMax baru seperti yang diperkenalkan di Indonesia Jun tahun lalu, tetapi cuma merupakan varian pertengahan, tanpa “Turbo” yang menjadi peningkatan utama.

    Jika dibandingkan dengan NMax sebelum ini, harga model baru ini meningkat sekitar RM1,700 dan ia ditimbal balik dengan pelbagai peningkatan, bermula dengan panel badan serba baru di semua bahagian termasuk lampu jenis hadapan jenis LED projector.

    Kemudiannya, kelengkapan skuter ini turut dipertingkat, termasuk sekarang ia dilengkapi dengan brek ABS dual-channel, kawalan cengkaman serta sistem kunci pintar. Ruang simpanan di bawah tempat duduk juga bertambah besar, menjadi 25 liter.

    Paparan meter masih lagi menggunakan unit LCD, tetapi dengan grafik baru dan boleh disambung kepada aplikasi Y-Connect dalam telefon pintar untuk memaparkan notifikasi mesej atau telefon. Menurut HLYM, sistem suspensi NMax baru ini dipertingkat, tetapi masih lagi fork teleskopik biasa dan dua penyerap hentak tanpa tabung di belekang.

    Kelengkapan lain skuter ini masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin, yang merupakan unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 14.2 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Yamaha NMax 2025 dilancarkan di Malaysia – varian pertengahan tanpa “Turbo”, RM11,498 dengan ABS, TC

    Ia juga datang standard dengan sistem start & stop, brek cakera hadapan dan belakang, rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, soket pengecas USB serta tangki bahan api 7.1 liter.

    Memandangkan model yang masuk ke pasaran Malaysia ini adalah varian pertengahan, bukannya “Turbo” yang paling tinggi, kita terlepas ciri seperti Yamaha Electric CVT (Y-ECVT) dengan Turbo Riding Mode serta Turbo Y-Shift, panel instrumen TFT dengan fungsi navigasi serta penyerap belakang dengan sub-tank.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 — video ringkas peningkatan spesifikasi, Google Built-in; dari RM134k-RM168k

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 — video ringkas peningkatan spesifikasi, Google Built-in; dari RM134k-RM168k

    Honda Civic facelift 2025 dilancarkan semalam dengan menyaksikan beberapa peningkatan penting ditawarkan bagi versi terbarunya kini.

    Ada empat varian yang ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut: 1.5L E (RM133,900; RM2,000 lebih mahal berbanding sebelumnya), 1.5L V (RM144,900; kekal sama) dan 1.5L RS Petrol (RM149,900; murah RM2,000) serta model dengan sistem elektrifikasi iaitu e:HEV 2.0L RS hibrid (RM167,900; kekal sama).

    Dilihat dari harganya, Civic kini memberi lebih nilai kerana peningkatan dan penambahbaikan yang dilakukan juga menjadikan penawarannya sangat berbaloi. Selain rekaan bampar dan wajah depan yang baru, Civic kini hadir dengan banyak kemaskini peningkatan yang penting.

    Sebagai contoh, ciri Google Built-in yang terdiri daripada fungsi Google Maps, Google Assistant serta Google Store. Ini juga merupakan penawaran sulung seumpamanya oleh pengeluar kereta Jepun di Malaysia.

    Selain itu, ada banyak juga ciri yang kini sudah ditawarkan untuk semua varian. Misalnya, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin utama 9-inci untuk semua dan juga filem penapis haba. Tidak ketinggalan ciri keselamatan Honda Sensing dan juga fungsi telematik Honda Connect — kini semuanya diberikan untuk semua varian.

    Kami menggariskan semua peningkatan penawaran yang ada dalam video ini untuk memudahkan lagi anda meneliti setiap satunya. Selamat menonton.

    Honda Civic 2025 RS e:HEV

     
     
  • Sime Motors AutoArena bermula hari ini – acara auto pertama dalam Stadium Bukit Jalil, sehingga 12 Jan

    Sime Motors AutoArena bermula hari ini – acara auto pertama dalam Stadium Bukit Jalil, sehingga 12 Jan

    Hari ini bermulanya acara Sime Motors AutoArena, yang berlangsung sehingga Ahad, 12 Januari ini. Pameran pelbagai jenama ini menjadi acara automotif pertama yang dianjurkan di dalam Stadium Bukit Jalil dan dibuka kepada orang ramai dari 9am ke 7pm.

    Semua jenama di bawah Sime Motors terlibat dalam acara ini, termasuk BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover dan Volvo. Selain kenderaan baru, anda juga boleh menyaksikan kenderaan terpakai Auto Selection yang dipamerkan di kawasan lapang tengah stadium.

    Antara tawaran menarik yang disediakan semasa acara ini adalah rebat untuk kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad, melalui Auto Bavaria, serta kadar faedah rendah untuk kenderaan BMW. Selain itu, jika membeli kenderaan BMW juga, anda akan menerima cabutan bertuah yang memberikan peluang memenangi tiket ke konsert I Am Gloria oleh G.E.M. Turut disediakan adalah pembesar suara dan peti sejuk Marshall percuma untuk mereka yang membeli kenderaan MINI atau BMW Motorrad.

    Sempena dengan acara ini, BYD menawarkan rebat sehingga RM800 untuk kenderaan elektrik jenamanya, serta potongan sehingga RM25,000 untuk Seal Performance dan pelbagai lagi tawaran tukar-beli lain. Turut disediakan adalah rebat tunai untuk model Ford tertentu, serta pakej servis tambahan percuma.

    Pergi kepada Hyundai, terdapat rebat sehingga RM47,888 bersempena Tahun Baru Cina. Lebih menarik sebenarnya adalah jika anda membeli sebuah EV, kerana Hyundai menawarkan pengecas wallbox percuma, bersama pakej panel solar bernilai RM40,000. Selain daripada itu, terdapat pelbagai pilihan Ioniq terpakai dengan harga bermula RM143,888.

    Daripada jenama Jaguar Land Rover pula, mereka mengadakan pertandingan Celebrate and Elevate, yang menawarkan hadiah aksesori dan barangan rasmi jenama itu dengan nilai sehingga RM8,000 bagi mereka yang membeli sebuah kereta baru atau membelanjakan sekurang-kurangnya RM3,000 dalam satu resit di bahagian servis selepas jualan.

    Sime Motors AutoArena bermula hari ini – acara auto pertama dalam Stadium Bukit Jalil, sehingga 12 Jan

    Terdapat juga pelbagai model Land Rover terpakai di acara ini, seperti Defender 110 dengan harga dari RM798,000, Velar dari RM548,800, Evoque dari RM399,000 dan Discovery dari RM399,800. Turut disediakan adalah Jaguar I-Pace, yang datang dengan pengecas wallbox serta panel solar bernilai RM40,000 secara percuma. Tidak ketinggalan adalah Volvo, yang menyediakan pembiayaan tanpa faedah serta insurans kenderaan percuma untuk satu tahun.

    Auto Selection membawakan kenderaan terpakai pelbagai jenama ke acara ini, seperti 320i M Sport 2024, dengan kadar faedah serendah 1.98%. Anda juga akan menerima jaminan tambahan satu tahun percuma untuk kenderaan plug-in hybrid seperti 330e M Sport 2017/2018 dan 530e Sport 2018, serta pengecas wallbox percuma dengan pembelian BMW iX.

    Melalui kerjasama yang sudah terjalin antara Sime Motors dengan Perbadanan Stadium Malaysia, lebih banyak acara akan diadakan oleh syarikat automotif ini di stadium pada masa hadapan. Sime Motors juga menyediakan dua EV selama 24 bulan untuk berkhidmat sebagai kenderaan rasmi bagi operasi stadium dan akan memasang pengecas EV Gentari di stadium.

     
     
  • Kriteria subsidi RON95 diumum dalam masa terdekat

    Kriteria subsidi RON95 diumum dalam masa terdekat

    Kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, jelas Menteri Ekonomui, Rafizi Ramli seperti dilaporkan The Star. Kementerian tersebut akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum, ujar Rafizi.

    “Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan akan membentangkan cadangan pelaksanaan dan kelayakan subsidi RON95 kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan. Dan seleas itu barulah ia akan disampaikan kepada umum. Memandangkan hanya tinggal beberapa bulan, sebahagian daripada pengumuman berkaitan hal ini akan dilakukan secara berperingkat,” tambahnya.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

    “Kami telah memaklumkan cadangan penukaran dasar tersebut, tetapi keputusan rasmi Kabinet diperlukan untuk kami bergerak ke tahap seterusnya. Dalam tempoh beberapa minggu, kami berharap akan dapat memuktamadkan perkara ini dan mendapatkan kelulusan kerajaan,” tambah beliau.

    Kriteria subsidi RON95 diumum dalam masa terdekat

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Domestik dan Sara Hidup, Fuziah Salleh memaklumkan bahawa status pekerjaan dan jumlah tanggungan akan menjadi antara penentu kos sara hidup yang akan digunakan untuk menentukan kelayakan penerimaan subsidi RON95.

    November tahun lalu Rafizi juga berkata yang sistem levi yang dicadangkan untuk pelaksanaan subsidi RON95 akan menyebabkan sebahagian isi rumah yang paling miskin terciri daripada mendapatkan banduan itu, memandangkan sekitar 40% isi rumah didapati tidak pun mendaftarkan kenderaan di bawah nama mereka sendiri.

    Selain itu, keprihatinan terhadap sekuriti data juga turut dibangkitkan sekiranya subsidi berkenaan diagih menerusi e-Wallet dan MyKad.

    Ketika pembentangan Belanjawan 2025 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan, subsidi bersasar RON95 bakal menyaksikan kelompok 15% berpendapatan paling banyak (T15) akan membayar lebih untuk petrol, dan 85% daripada warga Malaysia akan terus menikmati subsidi itu.

     
     
  • Proton sediakan 61 unit eMas 7 sebagai antara kenderaan rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

    Proton sediakan 61 unit eMas 7 sebagai antara kenderaan rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

    Proton telah mengesahkan sebanyak 61 unit model EV pertamanya, eMas 7, bakal digunakan sebagai antara kenderaan rasmi bagi delegasi utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah selain eMas 7, 194 unit SUV X70 turut digunakan dengan semua penghantaran akan dilengkapkan bulan ini, laporan Bernama.

    “Model ini akan digunakan untuk tujuan pengangkutan mereka yang memegang jawatan tinggi dan penting sepanjang kepengerusian ASEAN 2025,” katanya sambil menambah Proton juga komited untuk mengetengahkan produknya yang bertepatan dengan satu daripada agenda mesyuarat ASEAN kali ini membabitkan teknologi hijau dan bebas karbon.

    Pada akhir Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenderaan elektrik (EV) bakal digunakan sebagai kereta rasmi para pemimpin ASEAN ketika menghadiri acara-acara kenegaraan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

    “… kita berpandangan bahawa jika kita serius tentang kelestarian dan peralihan tenaga, kita perlu tonjolkan bahawa di Malaysia, kenderaan yang diberikan kepada ketua-ketua negara, para menteri dan pegawai berkenaan hanyalah EV,” katanya.

    Proton eMas 7 dilancarkan di pasaran tempatan pada 16 Disember lalu dengan menawarkan dua varian iaitu model asas eMas 7 Prime yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,800, manakala varian tertinggi eMas 7 Premium dijual pada harga RM123,800. Namun untuk 3,000 pembeli terawal, Proton menawarkan diskaun sebanyak RM4,000 menjadikan varian Prime dijual pada harga bermula RM105,800 dan varian Premium pula RM119,800.

    Kedua-dua varian eMas 7ini berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksima yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

    Untuk bateri, eMas 7 diberikan bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

     
     
  • HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    Selepas Indonesia, Malaysia mungkin menjadi negara seterusnya yang menerima Yamaha NMax generasi baru, selepas Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengeluarkan satu teaser di dalam laman media sosialnya.

    Dalam video pendek yang disiarkan, terlihat bahagian hadapan sebuah motosikal yang pencahayaan lampunya kelihata seperti NMax baru itu, dan bersamanya tertulis, “kami ada kejutan istimewa untuk korang. Jangan ke mana-mana, stay tuned pada 13 Januari 2025.”

    Di Indonesia, NMax baru ini ditawarkan dalam beberapa varian, bermula dari Neo berharga 32.7 juta rupiah (RM9,462) hingga “Turbo Tech Max Ultimate” berharga 45.25 juta rupiah (RM13,093).

    HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    Penampilan NMax ini berubah terus, dengan rekaan serba baru dan selain lampu belakang LED, lampu hadapannya juga dinaik taraf dengan unit LED projector bertingkat, bersama lampu siang. Bagi tempat duduk, versi Tech Max mendapat unit Comfort Seat, yang dikatakan menggunakan bahan khas serta balutan bertekstur bersama jahitan emas.

    Enjin masih lagi menggunakan unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT). Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15 hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm. Jumlah ini cuma berbeza 0.3 Nm berbanding NMax 155 sebelumnya.

    Perkataan “Turbo” yang digunakan pada beberapa varian NMax 2024 ini merujuk bahawa ia datang dengan dua fungsi baru. Pertama adalah Turbo Riding Mode iaitu mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Touring Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sport Touring yang lebih bertenaga).

    HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

    Varian “Turbo” Tech Max juga menerima ciri keselamatan yang lebih tinggi, bermula dengan ABS dual-channel, serta sistem kawalan cengkaman yang boleh mengelakkan tayar belakang daripada tergelincir sewaktu memecut.

    Satu lagi kelebihan pada varian Turbo Tech Max adalah ia dilengkapi dengan skrin bertingkat, yang di bahagian atas menggunakan panel LCD untuk memaparkan tahap minyak, kelajuan serta odometer, sementara di bawah terdapat panel TFT yang boleh memaparkan peta navigasi apabila disambungkan kepada telefon pintar serta aplikasi Garmin Street Cross.

    Ciri lain yang disediakan secara standard bagi NMax baru ini adalah termasuk sistem start & stop, brek cakera hadapan dan belakang, rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, penyerap belakang dengan sub-tank, soket pengecas USB, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk serta tangki bahan api 7.1 liter. Sistem kunci pintar disediakan hanya pada Neo S ke atas.

    Varian lain pula masih menggunakan skrin LCD, tetapi dengan rekaan paparan baru. Sama seperti sebelum ini, skrin tersebut boleh disambung kepada telefon pintar dan aplikasi Y-Connect untuk memaparkan notifikasi mesej atau telefon.

    https://www.facebook.com/reel/578312311653283

    https://www.facebook.com/share/r/1FBciLKM2N/

     
     
  • Puspakom lanjut operasi setiap Sabtu bulan ini – 11, 18, 25 Jan; 20 cawangan di seluruh negara terlibat

    Puspakom lanjut operasi setiap Sabtu bulan ini – 11, 18, 25 Jan; 20 cawangan di seluruh negara terlibat

    Jika ada yang tidak berkesempatan membawa kenderaan untuk diperiksa di Puspakom pada hari bekerja, jangan risau kerana Puspakom telah mengumumkan operasinya akan dilanjutkan pada setiap Sabtu untuk bulan ini, bermula esok.

    Operasi lanjutan tersebut dijadualkan berlangsung pada 11, 18, dan 25 Januari ini, untuk cawangan terpilih di seluruh negara, yang akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

    Menurut Puspakom, sebanyak 20 cawangan terpilih yang terlibat dengan lanjutan operasi pada hari Sabtu. Para pelanggam perlu membuat temujanji secara dalam talian menerusi MyPuspakom sebelum berkunjung ke cawangan yang dipilih. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan. Senarai cawangan yang terlibat adalah seperti di bawah:

    Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Cheras
    • Bangi
    • Batu Caves
    • Pandan Mewah
    • Shah Alam
    • Padang Jawa

    Utara

    • Sungai Petani
    • Mak Mandin (Penang)
    • Gopeng (Perak)

    Selatan

    • Alor Gajah (Melaka)
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Kluang
    • Senai
    • Pasir Gudang

    Pantai Timur

    • Kuantan
    • Kota Bharu

    Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kota Samarahan

    Walau bagaimana pun, dimaklumkan bahawa cawangan Kluang dan Muar akan ditutup pada 11 Januari, sementara cawangan di JB hanya beroperasi separuh hari pada tarikh berkenaan.

     
     
  • Kios Sentuhan Madani dilancar di Alamanda Putrajaya – perkhidmatan JPJ, TNB, EPF; di KL Sentral Feb ini

    Kios Sentuhan Madani dilancar di Alamanda Putrajaya – perkhidmatan JPJ, TNB, EPF; di KL Sentral Feb ini

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Kios Sentuhan Madani di Alamanda Putrajaya semalam, yang merupakan kios pertama dari 38 kios yang seumpamanya yang bakal dibuka, yang menawarkan beberapa perkhidmatan seperti JPJ, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TNB, EPF (KWSP) dan MyDigital ID.

    Inisiatif di bawah Belanjawan 2025, Kios Sentuhan Madani menempatkan perkhidmatan kerajaan dan menyediakan akses mudah kepada orang ramai. Ia akan ditempatkan di kawasan trafik tinggi seperti pusat membeli-belah dan hab pengangkutan. Kios Sentuhan Madani seterusnya akan dibuka di KL Sentral pada penghujung Februari.

    JPJ mengatakan bahawa pihaknya mengalu-alukan inisiatif Kios Sentuhan Madani yang diperkenalkan oleh PM. Pemilihan Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai salah satu penyedia perkhidmatan kerajaan membolehkan pelanggan membuat transaksi JPJ di luar waktu pejabat dan ia berguna untuk warga kota yang sibuk.

     
     
  • Honda RS-X Winner 2025 dilancarkan di Malaysia – enjin, klac serta kelengkapan dinaik taraf, dari RM10k

    Honda RS-X Winner 2025 dilancarkan di Malaysia – enjin, klac serta kelengkapan dinaik taraf, dari RM10k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini secara rasminya melancarkan RS-X Winner 2025 untuk pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga RM9,998 untuk tiga warna utama iaitu biru, hijau dan kelabu, sementara model yang menggunakan panel badan warna kuning bersama rim warna emas dijual RM300 lebih mahal, iaitu RM10,298. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga cadangan pengeluar tidak termasuk insurans.

    Untuk pengetahuan, RS-X Winner ini sebenarnya adalah model sama seperti Winner X yang dilancarkan di Vietnam awal tahun lepas, dengan antara peningkatan utamanya adalah klac yang kini menggunakan unit assist & slipper yang dapat membantu menjadikan penukaran gear lebih lancar dan mencegah gelinciran pada roda belakang.

    Enjin secara asasnya masih lagi sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 149.2 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm, tetapi laluan minyak telah diperbaiki, terutamanya untuk pelinciran tensioner di bahagian blok.

    Kemudiannya, kelengkapan model baru ini juga telah dinaik taraf, dengan kini dilengkapi sistem kunci pintar serta pengecas USB. Panel badan meskipun secara kasar nampak seperti sama, sebenarnya diberikan sedikit perubahan iaitu pada bahagian perumah meter, panel depan (dada) serta panel tengah (inner).

    Satu lagi bahagian yang diubah adalah suis kawalan di bahagian pemegang, untuk kedua-dua di bahagian kiri dan kanan, dengan kini menggunakan unit yang sama seperti CBR150 (tanpa passing light). Rim juga menggunakan rekaan baru lima cabang, berbanding enam cabang pada RS-X sebelum ini. Jika diperhatikan, model Malaysia tidak menggunakan lampu penunjuk arah hadapan bersepadu pada panel tepi seperti model Winner di Vietnam.

    Bahagian lain adalah sama seperti RS-X sebelum ini, dengan antara kelengkapan yang disediakan termasuk fork teleskopik di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, tangki bahan api 4.5 liter, pemula enjin elektrik, lampu LED, brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS single-channel serta transmisi manual enam kelajuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025