Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha R15M di Malaysia dapat warna baru – RM15k

    Yamaha R15M di Malaysia dapat warna baru – RM15k

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2022, Yamaha R15M kini ditawarkan dalam warna baru untuk model keluaran tahun 2025. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) masih lagi sama, iaitu RM14,998 tidak termasuk insurans.

    Warna baru ini dipanggil sebagai Signature Black, dan ia menggunakan tangki berwarna perak sementara fairing hadapan dan panel tempat duduk belakang berwarna hitam. Sebagai kontras, rim aluminium dijadikan warna biru dan dipegang fork hadapan warna emas.

    Spesifikasi motosikal sport permulaan ini tidak berubah, bermula dengan enjinnya yang merupakan unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Yamaha R15M di Malaysia dapat warna baru – RM15k

    Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.

    Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.

     
     
  • Voge CU525 masuk pasaran Malaysia – cruiser RM30k

    Voge CU525 masuk pasaran Malaysia – cruiser RM30k

    Selepas kapcai FR150, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan satu lagi model daripada jenama Voge, dan kali ini adalah sebuah cruiser yang membawa nama CU525. Ia dijual pada harga RM29,888 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu hitam, biru dan hijau.

    CU525 dipacu oleh enjin dua silinder selari 494 cc dengan sistem penyejukan cecair dan DOHC, menghasilkan kuasa maksimum 53 hp pada 8,500 rpm dan tork 50.5 Nm pada 7,000 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan tali sawat.

    Datang dengan rim aluminium 16 inci di hadapan dan belakang, CU525 nampak seakan sebuah bobber dengan tayar hadapan setebal 130/90 di hadapan, sementara di belakang pula menggunakan tayar 150/80. Ia masing-masing dipegang oleh fork USD (tanpa pelarasan) dan dua penyerap hentak.

    Menjalankan tugas penghentian adalah brek cakera tunggal dengan angkup J.Juan di hadapan dan belakang, bersama dengan sistem ABS dual-channel dan sistem keselamatan turut dibantu lagi dengan kawalan cengkaman. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 178 kg.

    Turut disediakan pada CU525 adalah lampu LED, panel meter digital, tangki bahan api 15 liter, lencana tepi yang menyala serta dua peredam bunyi yang keluar di bahagian kanan motosikal.

     
     
  • Subsidi bersasar petrol, diesel diharap alih lebih ramai kepada tenaga boleh diperbaharui — Nik Nazmi

    Subsidi bersasar petrol, diesel diharap alih lebih ramai kepada tenaga boleh diperbaharui — Nik Nazmi

    Kerajaan Malaysia berharap agar usaha subsidi bersasar yang dijalankan akan membawa kepada lebih ramai warga Malaysia kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui, jelas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, lapor FMT.

    Sebelum pelaksanaan subsidi bersasar, pengguna awam banyak bergantung kepada bahan api petrol dan diesel kerana ia murah. Namun, kerajaan ingin mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar fosil melalui pilihan terhadap tenaga boleh diperbaharui yang lebih “menarik”, tambah beliau.

    Nik Nazmi juga menyatakan yang beliau berharap penghapusan subsidi bagi petrol RON 97 dan diesel akan menjuruskan lebih ramai warga Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik sebagai cara untuk menguruskan kos harga bahan api yang tinggi. Peralihan ini juga akan membantu di dalam usaha nyah-karbonisasi oleh negara untuk, ujarnya.

    “Dengan tidak lagi memberikan susbisidi untuk bahan api fosil, kita boleh saksikan perubahan itu sedang berlangsung ketika ini,” tambahnya. Ada juga laporan yang dipetik, yang menyatakan sumber dari kajian peringkat global mendapati bahawa kos tenaga boleh diperbaharui adalah lebih murah berbanding bahan api fosil di rantau Asia Pasifik, sementara tenaga solar juga antara sumber tenaga yang paling murah berhadapan dengan bahan api fosil yang semakin mahal.

    Subsidi bersasar petrol, diesel diharap alih lebih ramai kepada tenaga boleh diperbaharui — Nik Nazmi

    Usaha subsidi bersasar ini bukanlah satu keputusan yang mudah dari segi kesan politiknya, jelas Nik Nazmi yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Nyah-karbonisasi Kebangsaan. Kerajaan juga menyedari bahawa usaha subsidi bersasar untuk petrol RON95 yang dijangka akan dilaksanakan tahun ini akan membawa kesan berbeza dan lebih besar serta merupakan isu yang sensitif.

    “Dengannya, kerajaan mungkin hilang kuasa, sementara kerajaan berikutnya mungkin menyatakan yang usaha berkenaan tidak berbaloi dilakukan,” jelas Nik Nazmi. “Bagaimanapun, langkah ini perlu dan bagus untuk perbendaharaan negara ketika ini. Ia juga penting untuk alam sekitar, dan saya fikir ini satu peralihan yang betul dan perlu dilakukan,” jelasnya.

    Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan yang kriteria kelayakan penerima subisidi serta kaedahnya akan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi. Ini akan mengalihkan kriteria yang disebut sebelum ini, dari berasaskan demografik pendapatan dalam klasifikasi B40, M40 dan T2, kepada yang berasaskan pendapatan bersih boleh dibelanjakan.

     
     
  • Lotus Cars Malaysia berjaya menjual lebih 200 unit SUV EV Eletre dan 20 unit Emira pada tahun 2024

    Lotus Cars Malaysia berjaya menjual lebih 200 unit SUV EV Eletre dan 20 unit Emira pada tahun 2024

    Ternyata pasaran jentera mewah dan premium di Malaysia tidak lesu, malah kekal ‘padu’, buktinya Lotus Cars Malaysia (LCM) berjaya menjual lebih 200 unit SUV EV Eletre dan 20 unit kereta sport Emira pada tahun 2024.

    Merujuk kepada data pendaftaran kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sejumlah 214 unit Eletre telah didaftarkan pada 2024, manakala 20 unit untuk Emira. Manakala Emeya, yang dilancarkan pada bulan Ogos lalu bersama Emira Turbo (dinamakan semula daripada Emira i4), mencatatkan lapan pendaftaran.

    Sebagai perbandingan, data JPJ menunjukkan hanya sembilan unit Eletre telah didaftarkan pada 2023, manakala Emira mencatatkan 20 pendaftaran. Oleh itu, pendaftaran Eletre meningkat lebih 20 kali ganda pada tahun pertama jualan kenderaan elektrik (EV) itu selepas pelancarannya pada April 2023.

    Untuk Eletre, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM698,000 bagi model Eletre S, atau RM50,000 lebih mahal berbanding sebelum ini. Manakala untuk varian tertinggi Eletre R, ia kini RM40,000 lebih mahal dengan harga jualan RM838,000.

    Untuk Emira, ia masih lagi ditawarkan dalam versi First Edition. Di Semenanjung Malaysia, Emira V6 First Edition dengan kotak gear manual kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1.289 juta berbanding RM1,205,800 sebelum ini. Manakala versi automatik pula adalah RM1.309 juta berbanding RM1,225,800 sebelum ini. Walau bagaiaman pun, di Langkawi, Emira V6 manual dijual pada harga bermula RM529,000 (naik dari RM478,800) dan versi automatik pula dijual pada harga RM539,000, berbanding RM493,800 sebelum ini.

     
     
  • ChargEV akan buka hab pengecas trak elektrik pertama di Tangkak – juga boleh digunakan EV biasa

    ChargEV akan buka hab pengecas trak elektrik pertama di Tangkak – juga boleh digunakan EV biasa

    ChargEV mengumumkan tidak lama lagi akan melancarkan hab pengecas trak elektrik (e-truck) yang terletak berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan, di Tangkak. Menurut pengendali pusat mengecas (CPO) tersebut, kemudahan baru ini menandakan langkah penting dalam memajukan elektrifikasi kenderaan komersial, dan merupakan aspek penting dalam pengangkutan mampan.

    Sebelum hab tersebut dibuka secara rasmi, menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dibawa melawatnya terlebih dahulu. “Sementara ini cuma pra tonton awal, semangat dan keterujaan yang dikongsi semua orang di tapak ini menunjukkan peningkatan momentum untuk perjalanan mampan. Hab ini disiapkan untuk menjadi bahagian penting dalam rangkaian EV sepanjang lebuh raya PLUS, direka untuk memberi sokongan kepada perjalanan yang lancar dan boleh diharap,” tertulis dalam muatan syarikat tersebut di media sosial.

    Selain trak elektrik, pemilik kenderaan elektrik biasa juga boleh menggunakan stesen pengecas tersebut (nampak di dalam gambar seperti ada lapan unit) untuk menambah tahap bateri mereka. Ini diketahui melalui jawapan yang diberi oleh syarikat tersebut terhadap soalan yang berkaitan dengan perkara itu.

     
     
  • GWM Tank 500 akan dilancar di M’sia tahun ini, jangka versi 2.0T hibrid — Haval H9 juga ada kemungkinan

    GWM Tank 500 akan dilancar di M’sia tahun ini, jangka versi 2.0T hibrid — Haval H9 juga ada kemungkinan

    Wakil dari Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengesahkan kepada paultan.org bahawa model SUV GWM Tank 500 — yang dipertontonkan ketika Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 — akan dilancarkan di sini pada tahun ini. SUV tujuh-tempat duduk binaan body-on-frame ini mungkin akan ditawarkan dalam bentuk HEV (bukan plug-in) sebagai permulaan.

    Versi ini menggunakan tetapan enjin 2.0 liter turbo cas empat-silinder yang menjana 244 PS/380 Nm yang digandingkan bersama sebuah motor elektrik 106 PS/268 Nm serta transmisi automatik hidraulik (HAT) sembilan-kelajuan untuk menghasilkan output keseluruhan 350 PS dan 616 Nm.

    Turut tersedia adalah pacuan empat roda differential-lock di depan dan belakang, gear 4L serta kamera 360-darjah termasuk Body Transparent System yang membolehkan anda melihat bahagian bawah kenderaan ketika ia melalui permukaan mencabar. Ada juga pemijak tersorok, paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci.

    Untuk pasaran global, Tank 500 turut ditawarkan dalam versi petrol bukan hibrid dengan enjin 3.0 liter NA V6 355 PS/500 Nm, enjin diesel 2.4 liter turbodiesel 186 PS/480 Nm serta dua versi sistem janaan plug-in hybrid (PHEV), yang dikenali sebagai Hi4-T dan Hi4-Z.

    Selain Tank 500, Haval H9 generasi kedua juga ada ura-ura akan tiba di Malaysia, memandangkan model asal sebelumnya pernah dipertontonkan di sini (dan mungkin pernah dijual dalam angka yang kecil). Jika ia tiba, mungkin bukan dalam masa terdekat kerana ia sedang melalui pembangunan untuk versi pemanduan sebelah kanan.

    GWM Tank 500 di KLIMS 2024

     
     
  • Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit SUV J7 dalam lima bulan – versi PHEV CKD dilancar pada Feb 2025

    Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit SUV J7 dalam lima bulan – versi PHEV CKD dilancar pada Feb 2025

    Kelibat SUV Jaecoo J7 makin banyak kelihatan di jalan raya. Ternyata, jualan SUV ini ‘boleh tahan masyuk’ juga, membuktikan ia menerima sambutan menggalakkan di pasaran tempatan. Jaecoo Malaysia sediri melaporkan jualan bagi SUV J7 telah mencecah 7,041 unit dalam tempoh lima bulan selepas ia dilancarkan pada Julai 2024. Dianggarkan sekitar 1,400 unit sebulan, angka yang agak tinggi bagi ‘pendatang baharu’ sepertinya dalam segmen SUV-C.

    Jaecoo Malaysia mengaitkan pencapaian itu dengan pelaburan dalam rangkaian pengedaran yang luas, gudang dan aset pengeluaran. Syarikat itu baru-baru ini telah mengiktiraf 12 pengedar berprestasi tinggi menerusi penganjuran majlis anugerah pengedarnya yang pertama.

    “Kami menghargai pelanggan kami atas kepercayaan mereka terhadap jenama Jaecoo dan kami akan tetap berdedikasi untuk memenuhi janji jenama kami dengan kenderaan terbaik dalam kelasnya dan pengalaman pemilikan premium.

    “Anugerah tersebut mengiktiraf rangkaian pengedar kami yang memainkan peranan penting dalam pencapaian keseluruhan jenama. Kami akan terus mengembangkan rangkaian pengedar kami, sejajar dengan cita-cita kami untuk memberikan pengalaman pelanggan terbaik,” kata Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit SUV J7 dalam lima bulan – versi PHEV CKD dilancar pada Feb 2025

    Dalam majlis berkenaan, Auto Galaksi selaku wakil pengedar berpusat di Johor telah diberikan anugerah untuk jualan tertinggi. Wakil pengedar lain yang turut menerima pengiktirafan yang sama ialah Gagner Auto, ES Premium Holdings, Luxury Legend, Siang Hin (KL), Apple Autotech, Kluster Automobile, Carshen, AAW Nexus, BH Premium Auto, Indah Utara Enterprise dan Tropical Impact Auto.

    Jaecoo Malaysia berkata ia akan memperluaskan penilaiannya untuk memasukkan skor Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) dan Indeks Kepuasan Jualan (SSI), antara kriteria lain pada tahun ini.

    Produk kedua syarikat ini, Omoda C9 dilancarkan pada Disember 2024, dan akan datang, model J7 PHEV yang dijadualkan akan diperkenalkan pada bulan hadapan. Sama seperti J7 yang dijana petrol, model plug-in hybrid ini akan hadir dengan versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang Chery di Shah Alam. Harganya dijangna bermula RM170k – perincian penuh di sini.

     
     
  • Mazda Spirit Racing Roadster 12R diperkenal di Jepun – Miata berkuasa 200 PS, 6MT, terhad hanya 200 unit

    Mazda Spirit Racing Roadster 12R diperkenal di Jepun – Miata berkuasa 200 PS, 6MT, terhad hanya 200 unit

    Mazda Spirit Racing iaitu sayap prestasi baharu jenama automotif dari Hiroshima bagi menggantikan Mazdaspeed sebelum ini sudahpun memperkenalkan model produksi prestasi terbaharunya – ini dia Mazda Spirit Racing Roadster 12R yang muncul di Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu.

    Roadster (atau dikenali dengan nama MX-5 atau Miata bergantung pada pasaran) istimewa ini menampilkan pelbagai tingkat taraf kosmetik, pengendalian dan juga kuasa, tetapi hanya ditawarkan sebanyak 200 unit sahaja. Ia diasaskan dari model Roadster dengan bumbung fabrik yang lazimnya hanya diberikan enjin 1.5 liter NA berkuasa 136 PS/152 Nm untuk pasaran JDM. Namun model 12R ini menerima enjin 2.0 liter empat-silinder NA, di mana ia sepatutnya hanya ditawarkan pada model Roadster RF (bumbung keras) di Jepun.

    Enjin berkenaan kemudiannya diberikan lagi pelbagai tingkat taraf termasuk penggunaan kepala selinder, omboh dan aci sesondol yang berbeza, serta sistem ekzos dan penyejukan lebih baik. Ini membolehkan kuasa asal 184 PS/205 Nm pada enjin berkenaan melonjak kepada 200 PS. Model edisi terhad ini juga hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan bagi menghantar kuasa ke roda belakang.

    Untuk pengendalian, Mazda Spirit Racing Roadster 12R ini diberikan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Ia juga datang standard dengan dengan rim aloi forged Rays TE37 yang dibalut tayar Yokohama Advan Neova AD09. Di belakang set roda tersebut boleh dilihat ia menerima set brek Brembo dengan angkup empat-omboh berwarna merah di depan.

    Pada bahagian luaran Roadster dengan prestasi lebih agresif ini menerima pakej aerodinamik yang direka berdasarkan pengetahuan Mazda Spirit Racing dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance. Ia terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan juga spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang. Ia juga menerima pelekat badan istimewa dan hanya hadir dengan warna badan Aero Gray.

    Manakala pada sebelah dalam kabin, Roadster ini diberikan tempat duduk bucket dari Recaro lengkap dengan tali pinggang perlumbaan empat poin. Ia juga menerima balutan Alcantara pada papan pemuka, konsol tengah, panel pintu, tombol gear, tuil brek tangan dan juga roda stereng.

    Jika anda tidak berjaya untuk membeli Mazda Spirit Racing Roadster 12R ini, Mazda turut menawarkan model Mazda Spirit Racing Roadster biasa yang tidak dihasilkan dalam jumlah terhad. Sekali imbas model ini masih kelihatan sama dengan kit aero, rim Rays TE37, brek Brembo dan tempat duduk Recaro yang serupa, tetapi enjin 2.0 liter yang dibekalkan hanya menghasilkan kuasa 184 PS dan tidak diberikan tali pinggang perlumbaan.

    Selain itu Mazda turut melancarkan pelbagai komponen prestasi dan aksesori Spirit Racing yang boleh dibeli oleh pemilik Roadster sedia ada, antaranya termasuk peredam bunyi sports, set bushing yang diperkuat, bump stops suspensi lebih pendek, cakera brek ditebuk dengan pad brek sports, tali pinggang perlumbaan dan juga tayar Yokohama Advan Neova AD09.

     
     
  • PLUS uji laluan Smartlane di KM P3.0- KM P4.0 di Lingkaran Putrajaya hingga 1 Feb, 7 pagi-9 pagi

    PLUS uji laluan Smartlane di KM P3.0- KM P4.0 di Lingkaran Putrajaya hingga 1 Feb, 7 pagi-9 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan ujian rintis pengaktifan laluan Smartlane di lingkaran Putrajaya, Lebuhraya ELITE dari KM P3.0 sehingga KM P4.0 (menghala ke Putrajaya).

    Ujian rintis berkenaan bermula hari ini (14 Januari) sehingga 1 Februari 2025, untuk setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 7 pagi hingga 9 pagi.

    Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuhraya.​ Walau bagaimana pun, laluan Smartlane adalah untuk kenderaan ringan sahaja iaitu kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian seperti kereta, SUV dan MPV) dan motosikal, menurut Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini.

    Ini bermakna, kenderaan yang lebih besar dan berat termasuk trak, lori dan bas tidak dibenar menggunakan laluan Smartlane ini. Harap peringatan yang dikeluarkan oleh KKR ini tidak diambil ringan oleh semua pengguna jalan raya. Sila patuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dan terus amalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • Toyota Yaris M Concept – GR Yaris dengan enjin 2.0L Turbo di tengah; ini prototaip MR2 generasi baru?

    Toyota Yaris M Concept – GR Yaris dengan enjin 2.0L Turbo di tengah; ini prototaip MR2 generasi baru?

    Seperti biasa, Toyota antara pengeluar yang membuat penampilan paling gempak di Tokyo Auto Salon 2025 yang berlangsung hujung minggu lalu. Dan antara jentera yang membuat orang ternganga dipamerkan di reruai Toyota adalah ini – sebuah prototaip dikenali sebagai Toyota Yaris M Concept iaitu sebuah GR Yaris dengan enjin yang telah dialihkan ke bahagian tengah badan!

    Pada sebelah luar, Yaris M Concept ini masih lagi kelihatan sama GR Yaris biasa dan ia diberikan pelekat badan penyamaran Gazoo Racing dengan warna merah-putih-hitam, serta tampil dengan sayap belakang ‘leher angsa’ yang seiras dengan spoiler GRMN Yaris.

    Tetapi apa yang menggerunkan, penutup but belakang mempunyai lubang yang besar yang mendedahkan bukan sahaja enjin, malah pengecas turbo bersaiz besar kelihatan jelas. Tidak cukup dengan itu, sebahagian bampar belakang juga telah dipotong bagi menempatkan sistem ekzos dengan paip dan peredam bunyi bersaiz gergasi.

    Selain itu Yaris ini juga dilengkapi set tayar perlumbaan yang cukup lebar terutamanya pada bahagian belakang. Tetapan sebegini sememangnya lazim untuk sebuah kereta dengan enjin di tengah kerana tujuan utama enjin dialihkan adalah bagi memberikan cengkaman lebih baik pada roda belakang.

    Difahamkan bukan hanya kedudukan enjin yang diubah, malah enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo asal GR Yaris ini juga telah ditukar dengan enjin baharu 2.0 liter empat-silinder turbo digelar sebagai G20E, mungkin enjin generasi baharu yang sama Toyota dedahkan tahun lalu. Manakala kuasa dari enjin tersebut masih dialirkan ke empat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda GR Four.

    Ini bukan jentera prototaip untuk show-off semata-mata kerana Toyota Gazoo Racing telah mengumumkan ia akan dibawa berlumba dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun selepas ini. Jadi tidak hairanlah mengapa bahagian dalaman Yaris M-Concept dilengkapi dengan set rollcage lengkap.

    Menerusi perlumbaan tersebut, pasukan TGR akan mengimplementasikan pembangunan kereta dengan kaedah “driver-first”, di mana kereta tersebut akan dipandu secara berterusan dalam keadaan ekstrem sehingga rosak, dan akan diperbaiki semula untuk mengatasi kelemahannya, serta mengambil respon dan data dari pemandu-pemandu profesional termasuk pengerusi Toyota sendiri, Akio Toyoda atau nama samaran ketika berlumbanya iaitu Morizo.

    Dengan gaya pembangunan yang sedang dibuat ini, tidak mustahil Toyota sebenarnya sedang membangunkan kereta sport enjin tengah iaitu MR2 generasi baharu yang berselindung disebalik badan GR Yaris menerusi Yaris M Concept ini. Pelbagai khabar angin yang bertiup sebelum ini menyatakan bahawa Akio Toyoda memang sangat berminat untuk memperkenalkan semula MR2 ke pasaran selepas produksi GR Supra dihentikan tahun ini.

     
     
  • TOM’S tawar servis restorasi kerangka badan Toyota AE86 serta enjin 4A-GE, 3S-G dan 2JZ; ada waranti!

    TOM’S tawar servis restorasi kerangka badan Toyota AE86 serta enjin 4A-GE, 3S-G dan 2JZ; ada waranti!

    Kegilaan terhadap jentera-jentera klasik JDM bukan hanya menyebabkan harga kereta-kereta sedemikian naik mendadak, ia juga telah menyebabkan perkhidmatan restorasi model-model seperti itu juga semakin mendapat tempat. Untuk model lagenda Toyota Corolla Levin/Sprinter Trueno AE86 di Jepun, selain dari pihak Gazoo Racing yang menghasilkan semula pelbagai komponen alat gantinya menerusi program Heritage Parts, pemilik turut boleh menghantar kerangka badan kereta masing-masing ke TOM’S bagi dijalankan proses menjadikan ia seperti baharu keluar kilang.

    Bagi mereka yang tidak mengenali TOM’S (Tachi Oiwa Motor Sports), syarikat ini merupakan penala persendirian yang ditubuhkan di Jepun oleh Nobuhide Tachi dan Kiyoshi Oiwa pada tahun 1974. Ia kemudiannya dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota bagi menghasilkan pelbagai produk berpretasi tinggi, serta menghasilkan model-model talaan khasnya seperti T020 (diasaskan dari Toyota MR-2) dan T111 (dari Toyota Corolla Sprinter Trueno AE111) serta kereta lumba seperti jentera ikonik Castrol TOM’S Supra yang berlumba di JGTC.

    Perkhidmatan terbaharu yang ditawarkan oleh TOM’S ini diumumkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu dengan sebuah kerangkan AE86 yang telah disegarkan ditunjuk direruai pakar ubahsuai Toyota berkenaan.

    “TOM’S, yang tahu berkenaan kereta-kereta Toyota luar dan dalam akan menghasilkan semula kondisi kereta tersebut sehampir yang boleh seperti keadaan asli ketika ia dilancarkan buat pertama kali. Tambahan pula, TOM’S dengan reputasi yang telah dikenali untuk pengubahsuaian, akan melakukan keseluruhan proses bagi menambah sentuhan moden, membolehkan anda melengkapkan kereta berkenaan menjadi sebuah jentera yang unik,” kata syarikat itu.

    Selain itu, TOM’S turut mengumumkan bahawa ia kini turut menawarkan servis untuk merestorasi tiga enjin prestasi tinggi Toyota yang selalu digunakan dalam sukan permotoran iaitu enjin 1.6 liter 4A-GE, enjin 2.0 liter 3S-G dan juga enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris 2JZ.

    Menurut TOM’S menerusi servis ini, enjin yang dihantar pelanggan akan dirombak-rawat oleh mekanik enjin perlumbaan berpengalaman TOM’S, dan ia akan diubahsuai, diimbang semula serta diadaptasi dengan pelbagai teknologi terkini. Enjin-enjin tersebut akan ditala agar seronok dipandu di litar tetapi dalam masa yang sama mudah untuk digunakan seharian di atas jalan raya. Dan paling menarik, TOM’S menyatakan bahawa enjin-enjin yang dibina semula ini akan diberikan perlindungan waranti dan ia mematuhi undang-undang.

     
     
  • Peugeot 2008 diberi rebat RM21,500, kini RM111,888

    Peugeot 2008 diberi rebat RM21,500, kini RM111,888

    Peugeot Malaysia mengumumkan rebat istimewa sebanyak RM21,500 untuk Peugeot 2008, menjadikan harga SUV segmen B tersebut berkurang menjadi RM111,888, daripada RM133,388. Harga ini termasuk dengan jaminan menyeluruh selama tujuh tahun, dan anda boleh menambah program servis lima tahun (upah dan alat ganti) yang berharga RM10,000.

    Membawa gaya seperti 3008 yang lebih besar, 2008 ini dipacu oleh enjin 1.2 liter PureTech turbo, yang menghasilkan 130 PS dan tork 230 Nm. Enjin tiga silinder ini dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan, membolehkan ia mencapai laju maksimum 199 km/j dan penggunaan bahan api 4.5 l/100 km.

    Lebih menarik adalah gayanya, di mana antara konsep rekaan unik yang digunakan adalah seperti lampu depan dan belakang dengan pencahayaan seakan cakar singa, permukaan berbucu-bucu dan bahagian dalam dengan i-Cockpit, yang terdiri daripada papan pemuka bertingkat serta skrin sesentuh tujuh inci yang disengetkan ke arah pemandu. Turut disediakan adalah pakej bantuan dan keselamatan ADAS.

     
     
  • Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

    Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

    Sudah menjadi satu tradisi sejak model GC8 terakhir, setiap varian muka Subaru Impreza WRX STI atau WRX STI akan ‘ditutup’ dengan varian edisi terhad paling berkuasa siri ‘S’, bermula dengan Impreza WRX STI S201 pada tahun 2000. Model terakhir siri ini iaitu Subaru WRX STI S209 diperkenalkan pada 2019, dan agak mustahil untuk Subaru menawarkan versi siri S baharu kerana model generasi terkini WRX yang muncul pada 2022 tidak dihasilkan dalam versi STI.

    Walau bagaimanapun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu, Subaru membuat kejutan dengan memperkenalkan model penerus siri tersebut iaitu S210. Ia masih lagi dalam bentuk prototaip, tetapi versi produksinya nanti akan tampil dalam rupa yang sama.

    Dengan ketiadaan versi STI sebenar, Subaru Technica International menghasilkan model ini berasaskan model WRX S4 STI Sport R EX. Menurut badan penala rasmi tersebut, Subaru WRX S210 ini dihasilkan menerusi teknologi dan pengetahuan yang mereka perolehi dalam perlumbaan endurance Nurburgring 24-jam, dan ia hanya ditawarkan sebanyak 500 unit sahaja.

    Enjin asal FA24 2.4 liter empat-silinder boxer turbo pada perut WRX S4 tersebut diusik semula oleh STI dengan pemadanan penapis udara, pengalir udara kemasukan dan pengalir udara sebelum pengecas turbo yang baru dibangunkan. Ia turut digandingkan dengan sistem ekzos baharu dengan peredam bunyi back pressure lebih rendah bersama paip yang lebih besar dengan kebuk berbentuk meriam didakwa dapat merendahkan rintangan pada udara kemasukan dan gas ekzos.

    Dengan tetapan baharu ini, STI turut menala semula kotak komputer enjin berkenaan bagi mendapatkan respon tork yang lebih linear ketika memecut bagi memberikan pemandu yakin untuk memijak pedal pendikit dalam apa jua situasi, serta sasaran kuasa kuda lebih besar iaitu 300 hp berbanding kuasa asal 271 hp.

    Namun model paling berkuasa ini tidak ditawarkan dengan kotak gear manual di mana ia hanya menampilkan pilihan kotak gear Subaru Performance Transmission, secara tidak langsung menjadikan S210 ini sebagai model siri S pertama yang menerima kotak gear CVT automatik itu.

    STI turut menala semula kotak gear berkenaan dengan TCU unik bagi menyesuaikan ia dengan kuasa lebih tinggi serta memberikan karekter lebih sporty bagi memberikan kawalan lebih baik kepada pemandu, serta dibekalkan dengan penyejuk minyak transmisi bagi memastikan bendalir berkenaan sentiasa pada suhu optimum walaupun kereta berkenaan sedang dibelasah di dalam litar.

    Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

    Kuasa lebih besar ini turut disokong dengan larasan semula dibuat pada pengendaliannya. STI telah menala semula penyerap hentak kawalan elektronik yang dibina oleh ZF dan spring WRX ini serta memberikan set bush bar penstabil belakang yang baru dibangunkan. Ia juga dilengkapi rim aloi forged 19-inci STI Flexible Performance Wheels yang dihasilkan oleh BBS, dibalut dengan tayar prestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/35R19.

    Selain itu ia turut menerima Tower Bar hadapan, rod Draw Stiffner hadapan dan belakang kesemuanya keluaran STI dengan logo S210. Manakala untuk brek, WRX S210 ini diberikan cakera brek berliang 18-inci di hadapan dengan angkup Brembo enam omboh kemasan merah bersama logo STI, dan juga cakera 17-inci di belakang.

    Pada bahagian luaran, model istimewa ini sekali lagi menerima teknologi dari perlumbaan Nurburgring 24 Jam menerusi kit badan yang dibekalkan. Kit tersebut menampilkan spoiler bawah bampar hadapan, belakang serta skirt sisi, diffuser pada bambar belakang dan juga spoiler GT gentian karbon di belakang dengan rekaan ‘leher angsa’.

    Komponen-komponen kit aero tersebut bersama gril hadapan dan juga pelindung badan sisi pada setiap ruang roda WRX ini diberikan kemasan hitam berkilat, sementara serlahan jalur Chery Red signatur STI diberikan pada kerangka bawah gril hadapan.

    Untuk kabin pula, sedan prestasi tinggi ini diberikan roda stereng balutan kulit, butang penghidup enjin STI kemasan Chery Red, tempat duduk karbon Recaro balutan kulit Nappa dengan larasan elektrik lapan-hala, plat nombor siri istimewa 1 hingga 500, dan pelbagai lagi.

    Subaru menyatakan bagaimana cara untuk mereka tentukan pelanggan yang layak bagi membeli WRX S210 STI ini akan diumumkan pada musim bunga tahun ini.

     
     
  • DBKL laksana ujian penggunaan “articulated bus” di pusat bandar KL hingga 30 April – melibatkan 4 laluan

    DBKL laksana ujian penggunaan “articulated bus” di pusat bandar KL hingga 30 April – melibatkan 4 laluan

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan pelaksanaan ujian penggunaan “articulated bus” bagi menilai kesesuaian kenderaan ini untuk perkhidmatan di pusat bandar Kuala Lumpur. Ujian ini akan dijalankan di empat laluan yang telah dikenalpasti, dengan setiap laluan diuji bagi tempoh satu bulan sahaja.

    Laluan pertama ialah GOKL 01 yang bergerak dari KLCC ke Bukit Bintang dalam jarak 7 km, dengan kekerapan satu jam pada waktu puncak, dan satu jam 30 minit pada waktu luar puncak. Ini akan berlangsung dari 1 hingga 31 Januari.

    Laluan kedua ialah GOKL 03 dari Hab Titiwangsa ke KL Sentral dalam jarak 13 km, dengan kekerapan satu jam pada waktu puncak, dan satu jam 30 minit pada waktu luar puncak, yang berlangsung dari 1 hingga 28 Februari.

    Klik untuk besarkan

    Manakala laluan ketiga ialah GOKL 08 yang akan bergerak dari MRT Kampung Batu ke Chow Kit, dengan jarak laluan terpanjang kuartet ialah 20.3 km. Kekerapan bas adalah setiap dua jam pada waktu puncak dan dua jam 30 minit pada waktu luar puncak, dan GOKL 08 akan bermula dari 1 hingga 31 Mac.

    Bagi laluan keempat pula melibatkan laluan penghubung GOKL 10 yang akan bergerak dari Terminal Maluri ke Chow Kit dalam jarak 17 km, dengan kekerapan dua jam pada waktu puncak dan dua jam 30 minit pada waktu luar puncak. Laluan penghubung GOKL 10 akan bermula dari 1 hingga 30 April.

    Pada masa yang sama, DBKL turut menjalankan kajian tentang keberkesanan “articulated bus” di laluan tersebut. Percubaan itu adalah untuk menentukan keberkesanan perkhidmatan dari perspektif pengguna, termasuk aspek seperti masa menunggu, keselesaan, keperluan destinasi serta keperluan lain yang berkaitan, menurut DBKL.

    Menurut DBKL, maklumat yang diperoleh daripada kaji selidik ini akan digunakan untuk menentukan kesesuaian penggunaan kenderaan ini berdasarkan pandangan awam (kod QR disediakan dalam imej di atas). Tempoh kaji selidik adalah dari 1 Januari hingga 30 April 2025.

     
     
  • Zeekr 007 GT didedah – EV wagon dengan dua motor, AWD, kuasa cecah 510 PS, jarak gerak CLTC 870 km

    Zeekr 007 GT didedah – EV wagon dengan dua motor, AWD, kuasa cecah 510 PS, jarak gerak CLTC 870 km

    Zeekr mendedahkan model terbaru mereka, 007 GT melalui satu siri gambar awal yang menunjukkan bahagian luarnya yang berbentuk shooting brake/station wagon. Ia menyusuli 007 sedan yang didedahkan kali pertama pada November 2023 dan seterusnya dilancarkan untuk pasaran pada Ogos 2024.

    Menurut CarNewsChina, 007 GT ini akan dijual di China dalam empat varian iaitu Smart RWD pada harga 209,900 yuan (RM128,457), Long Range RWD dan Smart AWD, kedua-duanya pada harga 229,900 yuan (RM140,693), dan Performance AWD, pada 299,900 yuan (RM183,532).

    Melihat daripada gambar ini, 007 GT menggunakan konsep rekaan yang kebanyakannya adalah sama seperti 007 GT kecuali bumbung yang lebih panjang dan bersambung dengan bahagian belakang dengan lebih membulat, serta datang bersama rel bumbung.

    Zeekr 007 GT didedah – EV wagon dengan dua motor, AWD, kuasa cecah 510 PS, jarak gerak CLTC 870 km

    Versi motor tunggal, RWD bagi 007 GT ini akan menggunakan motor 310 kW (422 PS), yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, sementara versi pacuan semua roda menggunakan motor 165 kW (224 PS) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 375 kW (510 PS) dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.84 saat – sama seperti 007 sedan varian paling tinggi.

    Platform yang digunakan pada 007 GT ini dikatakan sama seperti 007 sedan, bermakna ia adalah PMA2+ daripada kumpulan SEA oleh Geely dan boleh menerima binaan elektrikal 800 volt.

    Bergantung kepada varian, bateri yang akan digunakan adalah sama ada LFP atau NMC, dengan jarak gerak antara 616 km ke 870 km mengikut standard ujian CLTC China. Menurut Zeekr, 007 GT ini akan dilancarkan untuk pasaran secara rasmi pada separuh kedua tahun ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025