Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

Selain dari Ford Escort, ada satu lagi model ikonik dari Ford British yang begitu digilai dari era 70’an iaitu Ford Capri; ia lebih besar serta lebih ‘seksi’ dengan direka dengan badan coupé dua-pintu dan juga bonet hadapan panjang. Tahun 2024, Ford nampaknya ‘menghidupkan’ semula Capri, tapi untuk mereka yang mahu bernostalgia ini mungkin bukan untuk anda, kerana Ford Capri 2024 direka sebagai sebuah SUV dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV)!

Ford Capri ini generasi baharu ini diasaskan dari platform MEB dari Volkswagen AG, yang dikongsi bersama model seperti Volkswagen ID.5 dan diproduksi di kilang Ford Cologne, Jerman. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,634 mm, lebar 1,946 mm, tinggi 1,626 mm dan jarak roda sejauh 2,767 mm. Ini bukan model pertama Ford yang dihasilkan dari platform MEB, kerana Ford Explorer EV yang diperkenalkan pada tahun lalu turut menggunakan platform yang sama.

Walaupun Capri 2024 ini direka sebagai SUV, Ford memberikan beberapa perincian rekaan bagi mengaitkannya kepada model asal Capri, antaranya bahagian belakang yang direka seakan fastback, cermin tingkap sisi dan juga cermin suku belakang yang direka bulat seperti rekaan ikonik pada Capri asli, dan juga jalur-jalur LED pada lampu hadapan yang direka bagi memberikan imej seakan Capri Mk1 dan Mk3 dalam versi lampu hadapan berkembar.

Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

Model ini ditawarkan dalam dua tahap kemasan iaitu Capri standard dan Capri Premium. Bagi versi standard, ia menerima set rim aloi 19-inci dengan tayar 235/55R19 di hadapan dan 255/50R19 di belakang. Sementara versi Premium pula datang dengan rim 20-inci dengan tayar 235/50R20 di hadapan dan 255/45R20 di belakang bersama lampu hadapan Dynamic LED Matrix.

Tak kira mana-mana varian kemasan, pembeli turut boleh memilih opsyen untuk mengenakan rim aloi 21-inci dengan tayar 235/45R21 di hadapan dan 255/40R21 di belakang.

Namun pada bahagian dalaman, tiada sebarang perincian yang boleh mengingatkan kita kepada Ford Capri asli. Ia menerima rekaan papan pemuka ringkas dengan elemen melintang, menampilkan skrin sesentuh menegak SYNC Move bersaiz 14.6-inci, skrin paparan instrumen digital 5-inci dan juga diberikan ruang storan ‘MegaConsole’ pada konsol tengah dengan kapasiti 17 liter.

Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

Bagi Capri standard, ia menerima perincian asas seperti tempat duduk pemandu dengan fungsi pengurut, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan dan roda stereng, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pendingin hawa dua zon, pad pengecas tanpa wayar dan juga sistem bunyi dengan tujuh-pembesar suara termasuk soundbar yang diletak pada papan pemuka.

Manakala untuk Capri Premium, ia menerima tambahan lampu suasana kabin yang boleh dilaras, fungsi tanpa sentuh untuk pintu tailgate belakang, dan juga sistem bunyi dari B&O yang dilengkapi 10-pembesar suara. Kapasiti ruang kargo belakang adalah sama untuk kedua-dua kemasan iaitu 627 liter dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,510 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tidak kira varian kemasan, Capri ditawarkan dalam dua jenis rangkaian kuasa iaitu Extended Range RWD dan Extended Range AWD. Versi asas Extended Range RWD menerima hanya satu motor elektrik berkuasa 286 PS dan tork maksima 545 Nm, memacu roda belakang bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri NMC berkapasiti 77 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 627 km dalam kitaran ujian WLTP.

Ford Capri 2024 didedahkan – kini SUV EV, bukan lagi coupe 2-pintu, RWD & AWD, sehingga 340 PS/545 Nm

Manakala Extended Range AWD pula menerima tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan yang memberikan kebolehan pacuan semua roda, serta kuasa keseluruhan 340 PS dan tork maksima 545 Nm, bagi membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 5.3 saat. Model ini turut menerima bateri NMC tetapi dengan kapasiti lebih besar berjumlah 79 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 592 km dalam kitaran ujian WLTP.

Kedua-dua versi rangkaian kuasa ini mencapai kelajuan maksima yang sama iaitu 180 km/j dan juga input pengecas AC maksima 11 kW. Namun bagi model AWD ia boleh menerima sistem pengecas pantas DC dengan kapasiti lebih tinggi iaitu 185 kW berbanding 135 kW pada model RWD. Ini membolehkan cas bateri versi AWD dipenuhkan dari 10-80% hanya dalam masa 26 minit berbanding 28 minit pada versi RWD.

Manakala untuk keselamatan pula, Ford Capri 2024 ini menerima fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, amaran lintasan trafik, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan kamera undur. Sekiranya pembeli memilih opsyen Driver Assist Pack, ia akan ditambah dengan paparan head-up, bantuan parkir aktif, bantuan kekal tengah lorong, bantuan tukar lorong dan kamera 360-darjah.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required