Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri ANV dan JXS dibuka untuk bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Perak dan Johor yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, ANV dibuka bidaan mulai hari ini, 16 Januari 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 20 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Januari 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JXS, pula dibuka bidaan bermula 19 Januari 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 23 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 24 Januari 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Grab dan BYD jalin usaha sama untuk perluas capaian EV dalam perkhidmatan — sasar 50k EV di ASEAN

    Grab dan BYD jalin usaha sama untuk perluas capaian EV dalam perkhidmatan — sasar 50k EV di ASEAN

    Grab dan BYD mengumumkan usahasama serantau untuk memperluaskan capaian sehingga 50,000 EV kepada pemandu Grab di Asia Tenggara, serta memperbanyak ketersediaan kenderaan mesra alam untuk pelanggan Grab.

    Melalui usahasama ini, Grab dan BYD berhasrat untuk melonjakkan lagi elektrifikasi dalam sektor pengangkutan di ASEAN dengan menyediakan kepada pemandu dan pengendali Grab terhadap akses kepada EV BYD dengan kadar paling kompetetif, serta lanjutan jaminan ke atas baterinya.

    Pemandu akan mempunyai pilihan untuk menyewa EV berkenaan daripada rakan fleet Grab atau memilih bantuan pembiayaan melalui skim pemilikan kenderaan Grab. Di negara seperti Singapura dan Thailand, pelanggan Grab boleh memilih “Eco-Friendly Ride”, yang akan memberi keutamaan untuk menyediakan kenderaan mesra alam tanpa sebarang caj tambahan. Malaysia bagaimanapun belum disebut dalam kenyataan media yang dikeluarkan, mungkin akan menyusul nanti.

    Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama berkaitan “kesepaduan IoT mendalam” antara EV dan platform Grab. Aspek keselamatan yang dipertingkat akan datang dari aplikasi Grab yang terpapar di skrin besar kenderaan BYD, dan pemandu tidak perlu lagi mengendalikan aplikasi berkenaan melalui telefon. Sensor dan data telemetrik dari EV berkenaan akan memberikan perincian masa nyata kepada Grab terhadap gaya pemanduan pemandu dan tingkahlakunya, yang boleh digunakan sebagai panduan untuk memperbaiki apa yang perlu.

    Grab dan BYD jalin usaha sama untuk perluas capaian EV dalam perkhidmatan — sasar 50k EV di ASEAN

    Antara data yang dimaksudkan adalah seperti penggunaan lampu isyarat dan kelajuan pergerakan akan disertakan ke dalam platformnya secara masa nyata. Ini akan membolehkan syarikat itu mengetahui dengan lebih pantas keadaan luaran seperti cuaca dan keadaan trafik. Semua data ini akan digunakan untuk algoritma Grab.

    Kedua-dua syarikat juga mensasarkan untuk memanfaatkan data peta hyperlokal Grab untuk membantu melancarkan lagi perjalanan bagi pemandu BYD ini. Kerjasama ini turut membolehkan Grab mengumpul data jalan dan trafik yang penting daripada kenderaan terlibat, yang boleh digunakan untuk perkhidmatan pemetaannya.

    Usahasama ini melibatkan Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan membabitkan penggunaan model BYD seperti Denza D9, BYD Atto 3, BYD Seal dan BYD M6. Gran juga berhasrat untuk menggunakan model MPV tujuh-tempat duduk Denza D9 bagi tujuan GrabExec, yang akan diperkenalkan di Malaysia kelak.

     
     
  • KTM 390 SMC R diperkenal – supermoto 398 cc kuasa 44 hp, 39 Nm, ABS dua mod, suspensi boleh laras

    KTM 390 SMC R diperkenal – supermoto 398 cc kuasa 44 hp, 39 Nm, ABS dua mod, suspensi boleh laras

    Selepas membuat kemunculan pertama di pameran EICMA tahun lepas, KTM 390 SMC R kini diperkenalkan secara rasmi bersama segala perinciannya. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, variasi baru bagi barisan model 390 pengeluar Austria ini membawa karekter sebuah supermoto sebagai tambahan kepada 390 Duke dan 390 Adventure.

    Pakej penggerak yang digunakan adalah sama seperti 390 Duke 2025, iaitu unit LC4c satu silinder 398.7 cc bersama transmisi enam kelajuan dengan klac slipper PASC, menghasilkan kuasa maksimum 44 hp dan tork 39 Nm. Demi menyesuaikan penyampaian kuasa dengan keadaan, penunggang boleh memilih sama ada mod Street atau Sport.

    Walaupun dibangunkan menggunakan asas serta kerangka Trellis daripada 390 Duke, KTM memberitahu, beberapa perubahan dibuat termasuk sudut steering head, triple clamp, kedudukan subframe dan ciri ketegaran bagi mendapatkan karekter yang dimahukan.

    Suspensi menggunakan unit fork hadapan WP Apex 43 dengan pelarasan pra beban dan lantunan, menyediakan jarak gerak 230 mm di hadapan, sementara di belakang pula menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban, menyediakan jarak gerak sama, 230 mm.

    Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim spoked (juga ada pilihan unit aluminium) 17 inci, dibalut tayar masing-masing 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Tugas penghentian pula dijalankan oleh tetapan cakera tunggal 320 mm di hadapan dengan angkup Bybre dua piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup ByBre satu piston di belakang. Sistem ABS disediakan dalam dua mod iaitu Standard dan Supermoto.

    Informasi penting untuk tatapan penunggang dipaparkan melalui panel TFT 4.2 inci, yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk akses muzik, panggilan dan navigasi. Kapasiti tangki bahan api yang disediakan adalah sembilan liter, sementara tinggi tempat duduk 390 SMC R ini adalah 860 mm.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Jan – petrol RON 97 naik 5 sen seliter, diesel di Semenanjung juga naik 5 sen seliter

    Harga minyak 16-22 Jan – petrol RON 97 naik 5 sen seliter, diesel di Semenanjung juga naik 5 sen seliter

    Berita ini mungkin bakal memberikan perkhabaran yang kurang menyenangkan buat pengguna petrol RON 97 dan juga diesel kerana Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga bagi kedua-dua bahan api berkenaan dinaikkan sekali lagi untuk minggu bertarikh 16 hingga 22 Januari 2025.

    Di mana harga runcit petrol RON 97 dinaikkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM3.38 seliter, berbanding RM3.33 seliter pada minggu sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harga runcit RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala harga runcit bagi diesel untuk pasaran Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak lima sen seliter, daripada RM3.03 seliter kepada RM3.08 seliter. Namun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada minggu lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Petronas perkenal pelincir Urania StrongTech™ — tiga tahap kelikatan, harga dari RM20-RM400 setiap pack

    Petronas perkenal pelincir Urania StrongTech™ — tiga tahap kelikatan, harga dari RM20-RM400 setiap <em>pack</em>

    Petronas Lubricants Asia hari ini melancarkan barisan minyak pelincir untuk kegunaan kenderaan komersial ringan terbaru, Petronas Urania dengan StrongTech™ untuk pasaran Malaysia. Terdapat tiga versi kelikatan yang ditawarkan, dengan bungkusan dengan kapasiti berbeza untuk kesesuaian pengguna.

    Tiga jenis kelikatan yang dimaksudkan ialah Petronas Urania 3000 LCV 5W-30, Petronas Urania 3000 LCV LA 10W-40 dan Petronas Urania 3000 LCV 15W-40. Semua minyak pelincir ini dijual dalam pek 7.5 liter atau 1 liter, dengan harga dari RM20 hingga RM400 bagi setiap pek.

    Teknologi StrongTech™ yang diterapkan ini adalah merujuk kepada formulasi molekul dalam lapisan bendalir yang lebih kuat dan tahan lama serta mampu mengatasi keadaan penggunaan yang ekstrim, misalnya keadaan enjin yang perlu berfungsi dalam satu tempoh yang panjang serta suhu yang semakin meningkat bagi kenderaan pengangkut untuk operasi perniagaan. Ini membolehkan kelikatan pelincir berkenaan kekal dan tahan lebih lama.

    Petronas perkenal pelincir Urania StrongTech™ — tiga tahap kelikatan, harga dari RM20-RM400 setiap <em>pack</em>

    Kesannya, pergeseran antara komponen logam dalam enjin dikurangkan terutama dalam suhu ekstrim, menjadikan enjin lebih berkuasa dan bersih dan boleh digunakan dalam tempoh yang panjang dalam keadaan luar yang mencabar dan pelbagai. Ini memberikan kelebihan pengurangan kos kepada pengguna — jadual penukarannya adalah setiap 7,000 km, memanjangkan hayat enjin serta mengekalkan prestasi yang terbaik.

    Petronas Urania 3000 LCV 5W-30 merupakan minyak pelincir sintetik penuh dengan spesifikasi API CK-4 untuk kenderaan komersial ringan yang dilengkapi enjin diesel dengan penyuntik minyak, multi-injap, pengecas turbo dan beremisi rendah yang beroperasi dalam keadaan yang teruk.

    Petronas perkenal pelincir Urania StrongTech™ — tiga tahap kelikatan, harga dari RM20-RM400 setiap <em>pack</em>

    Petronas Urania 3000 LCV LA 10W-40 pula ialah minyak enjin separa sintetik dengan spesifikasi API CK-4, CJ-4, SN dan ACEA E7, E9 dan E11, dengan tahap prestasinya menepati Cummins CES 20086.

    Petronas Urania 3000 LCV 15W-40 pula merupakan minyak enjin mineral premium dengan spesifikasi teknikal API CI-4/API SL, SJ, ACEA E7, Global DHD-1 dan JASO DH-1. Sementara tahap prestasinya pula menepati piawaian Cummins CES 20078 dan Cummins CES 20077.

    Senarai harga seperti berikut:

    • Urania 5000 LCV LA 5W-30 (7.5L) – RM400 setiap pack
    • Urania 5000 LCV LA 5W-30 (1L x 16-pack karton) – RM58 setiap pack, RM926 setiap karton
    • Urania 3000 LCV LA 10W-40 (7.5L) – RM221 setiap pack
    • Urania 3000 LCV LA 10W-40 (1L x 16-pack karton) – RM30 setiap pack, RM480 setiap karton
    • Urania 3000 LCV LA 15W-40 (7.5L) – RM143 setiap pack
    • Urania 3000 LCV LA 15W-40 (1L x 16-pack karton) – RM20 setiap pack, RM320 setiap karton
     
     
  • Proton Saga MC3 dijumpai – satu lagi facelift sebelum model baharu guna platform AMA diperkenal?

    Proton Saga MC3 dijumpai – satu lagi facelift sebelum model baharu guna platform AMA diperkenal?

    Julai tahun lalu Proton sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Saga generasi sedia ada bakal dihentikan pengeluarannya di Shah Alam tahun ini. Dan menerusi pelbagai petanda, ia akan diganti dengan model generasi baharu yang akan mula diproduksi di Tanjong Malim selepas itu. Namun ini ada perkembangan yang tidak dijangka – pembaca paultan.org Azahar Jalil telah menjumpai Proton Saga generasi sedia ada dengan badan yang dibalut pelekat penyamaran!

    Menurut Azahar, Saga yang dibawa oleh lori pengangkut tersebut dijumpai di kawasan berhampiran dengan Litar Antarabangsa Sepang. Walaupun badannya dibalut penuh dengan pelekat penyamaran, bentuk badan dan juga rupa lampu belakang kereta berkenaan jelas adalah Saga generasi sedia ada. Malah bentuk rim yang dipadankan juga masih lagi sama.

    Jadi adakah Proton akan melancarkan satu lagi versi facelift yang akan dikenali sebagai MC3 sebelum kemunculan model generasi baharu? Saga generasi sedia ada ini mula dilancarkan pada September 2016. Kemudian selepas kerjasama Proton-Geely termeterai pada 2017, Saga diolah semula dan model facelift pertama dilancarkan pada Ogos 2019 yang menampilkan bukan sahaja perubahan pada rupa luaran dan dalaman, malah kotak gear CVT juga telah ditukar menggunakan kotak gear automatik konvensional 4AT.

    Proton Saga MC3 dijumpai – satu lagi facelift sebelum model baharu guna platform AMA diperkenal?

    Kemudian pada Mei 2022, Saga MC2 (MC bermaksud Minor Change) pula diperkenalkan dengan sedikit perubahan pada rupa luaran dan dalaman serta kelengkapannya. Untuk model MC3 ini kelak, ia mungkin turut akan menampilkan sedikit perubahan kecil. Dan tidak mustahil model ini akan terus dijual di bilik pameran bersama model generasi baharu sebagai pilihan lebih mampu milik, seperti apa yang dibuat oleh Perodua yang melancarkan kembali Axia E MT dan dijual bersama Axia generasi kedua.

    Untuk Saga generasi baharu nanti, Proton telah memberikan beberapa bayangan pada Ogos tahun lalu. Pembangunan model tersebut disahkan telah bermula di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Proton yang baru dibuka di Teluk Hangzhou, China pada April 2024.

    Model ini mungkin akan dijual lebih mahal kerana menggunakan platform AMA baharu yang lebih moden. Kami masih belum menerima sebarang perincian berkenaan platform AMA baharu tersebut, namun difahamkan bahawa ia diasaskan dari platform dari Saga sedia ada, di mana platform ini sendiri adalah versi tingkat taraf dari platform Saga BLM yang diperkenalkan pada 2008.

     
     
  • Morbidelli MBP T1002VX dilancarkan di Malaysia – motosikal jelajah enjin v-twin 997 cc, harga RM49k

    Morbidelli MBP T1002VX dilancarkan di Malaysia – motosikal jelajah enjin v-twin 997 cc, harga RM49k

    Morbidelli, melalui pengedarnya di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan sebuah model jelajah baru yang menggunakan nama MBP T1002VX untuk pasaran. Ia dijual pada harga RM53,888 tidak termasuk insurans, tetapi untuk 200 unit pertama, harganya dikurangkan kepada RM48,888.

    Motosikal ini dipacu oleh enjin v-twin 997 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan dan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 87 hp pada 7,500 rpm dan tork 89 Nm pada 5,250 rpm. Demi memudahkan pengguna, empat mod tunggangan disediakan iaitu Standard, Sport, Rainy dan Offroad.

    Melalui harga yang dibayar ini, MBP T1002 VX datang dengan barangan lengkap sebuah motosikal jelajah termasuk tiga kotak barangan belakang yang boleh dikunci, penghadang angin boleh laras secara manual, pelindung tangan, soket pengecas 12V, USB-C dan USB-A, serta fungsi auto cruise.

    Bukan setakat jalan berturap, MBP T1002VX juga boleh berhadapan dengan jalan lebih lasak kerana ia dilengkapi dengan rim jejari 19 inci di hadapan, 17 inci di belakang dan masing-masing dibalut tayar 120/70 dan 170/60. Memegang rim ini adalah fork USD Kayaba 43 mm boleh laras di hadapan dan monoshock Kayaba boleh laras di belakang.

    Tugas membrek dijalankan oleh kelengkapan dari J.Juan yang terdiri daripada cakera 320 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 260 mm dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS datang secara standard dan ia boleh ditutup dengan butang yang disediakan.

    Turut tersedia adalah meter jenis TFT, pemerhati tekanan angin tayar, lampu LED hadapan dan belakang serta pelindung bawah enjin dan panel tepi. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 265 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 20 liter.

     
     
  • Lima maut dalam kemalangan di Kuching akibat dirempuh kereta yang dipandu remaja 16 tahun

    Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana dipercayai memandu kereta tanpa lesen dan mengakibatkan kemalangan yang meragut lima nyawa di Jalan Teo Kui Seng / Stutong Baru, Kuching, Sarawak, tengahari semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu suspek telah hilang kawalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh dua motosikal serta dua kereta, laporan Bernama.

    Empat lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah Toyota Altis, Proton Saga serta dua motosikal iaitu Yamaha dan Modenas.

    Mohd Farhan berkata, empat daripada mangsa yang berumur antara 16 hingga 45 tahun termasuk seorang wanita meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

    “Kemalangan di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku apabila sebuah kereta dari arah Jalan Lapangan Terbang menghala ke Jalan Seria Raja hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan. Kereta itu kemudian merempuh dua motosikal dan dua kereta di laluan bertentangan itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Tambahnya, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082-259900 atau melaporkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

    Lima maut dalam kemalangan di Kuching akibat dirempuh kereta yang dipandu remaja 16 tahun

    Ini bukannya kejadian seumpamanya yang berlaku di negara kita. Pada Oktober 2023, seorang peniaga wanita berusia 32 tahun maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Kedah, Alor Star selepas motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah Proton Satria Neo yang dipandu oleh seorang remaja berumur 14 tahun.

    Pada tahun lalu pula, gara-gara ‘membiarkan’ anak lelakinya berusia 12 tahun memandu kereta, seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang atas pertuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anaknya itu kepada kecederaan fizikal. Kesalahan itu didakwa dilakukan lelaki terbabit yang merupakan warga Pakistan dan bekerja sebagai penjual karpet, dengan cara gagal mengawasi anaknya itu sehingga kanak-kanak terbabit memandu kenderaan. Walau bagaimana pun, mujur tiada sebarang kecelakaan berlaku.

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua kes yang melibatkan pemandu di bawah umur disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan, si ibu atau bapa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu.

    Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Sekesyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa maksud pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

     
     
  • Petron buka stesen minyak ke-800 di Pedas-Linggi arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan PLUS

    Petron buka stesen minyak ke-800 di Pedas-Linggi arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan PLUS

    Petron Malaysia telah mencatatkan kejayaan baharu untuk rangkaian stesen runcitnya, dengan pembukaan rasmi stesen ke-800 di laluan Pedas-Linggi (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan.

    Cawangan stesen minyak terbaharu ini adalah seluas 4,047 kaki persegi bertujuan untuk memenuhi keperluan pengguna setempat dan mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh ke arah selatan. Menurut Petron, stesen itu telah dibuka tepat pada masanya untuk cuti sekolah Januari serta musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tiba.

    Stesen yang baru dibuka itu menawarkan rangkaian penuh produk bahan api runcit daripada jenama itu, iaitu petrol Blaze 95 Euro 4M (RON 95), petrol Blaze 97 Euro 4M (RON 97), petrol Blaze 100 Euro 4M (RON 100), Turbo Diesel Euro 5 dan Diesel Max Euro 5.

    Selain bahan api, stesen Petron Pedas-Linggi ini turut menempatkan kedai runcit Treats Mart di mana pelanggan boleh membeli produk dalam kedai dari Dunkin’ dan Costa Coffee, serta menggunakan perkhidmatan ATM. Ini juga merupakan stesen Petron pertama yang menampilkan gerai Quick Treats di kawasan hadapan, membolehkan pelanggan membeli makanan ringan dan minuman sambil berada berdekatan dengan kenderaan mereka, kata Petron Malaysia.

    Sama seperti cawangan Treats Mart sedia ada di stesen runcit Petron, cawangan Pedas-Linggi (arah selatan) yang baru dibuka juga boleh dianggap sebagai pusat sehenti barangan keluaran tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Sapot Lokal’, sebagai sokongan kepada usahawan tempatan dengan Petron Treats Mart sebagai platform.

    “Pembukaan stesen kami yang ke-800 menandakan berakhirnya tahun 2024 yang hebat dan permulaan yang cemerlang untuk 2025 bagi Petron. Ini menunjukkan komitmen kami untuk membawa produk dan perkhidmatan kami kepada lebih ramai rakyat Malaysia, bagi memenuhi keperluan bahan api dan banyak lagi. Ketika kami mengubah stesen kami menjadi tempat yang selesa, kami teruja untuk mempelbagaikan perniagaan kami dan mengalu-alukan lebih ramai rakan kerjasama yang berkongsi minat dengan kami untuk perkhidmatan dan kecemerlangan,” kata Pengarah Urusan Petron Malaysia Mohd Nizam Mansor.

     
     
  • Ujian kalibrasi kamera AWAS di Terowong Menora/Meru hingga esok – lorong tutup, aliran kontra

    PLUS Malaysia Behrad (PLUS) telah mengumumkan terdapat ujian kalibrasi bagi pemasangan Kamera (Automated Awareness Safety System – AwAS) dijalankan di KM258.25 (Arah Utara) dan KM262.5 (Arah Selatan) di Jajaran Terowong Menora/Meru.

    Di mana ujian berkenaan dijadualkan berlangsung pada hari ini (15 Jan) dari jam 11 malam hingga 3 pagi di KM258.25 (arah utara) menghala ke Pulau Pinang dan esok (16 Jan) juga pada waktu yang sama melibatkan laluan di KM262.5 (arah selatan) arah ke Ipoh.

    Bagi kelancaran ujian ini, PLUS juga akan melaksanakan penutupan lorong dan mengaktifkan laluan kontra di lokasi terlibat. Anda boleh rujuk grafik di atas.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS.

    Ujian kalibrasi kamera AWAS di Terowong Menora/Meru hingga esok – lorong tutup, aliran kontra

    Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kamera AWAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

    “Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

    Laluan di Terowong Menora/Meru di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya KK-Karak, yang dianggap sebagai lokasi berisiko tinggi, akan menjadi lokasi pertama yang menerima kamera had kelajuan AWAS point-to-point ini.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Tahun lalu ikon budaya permotoran Jepun iaitu pelumba dan drifter lagenda Keiichi Tsuchiya dijemput untuk merasai sendiri barisan model-model prestasi tinggi Hyundai N termasuk hot-hatch EV sayap perlumbaan jenama automotif Korea Selatan itu, Hyundai Ioniq 5 N. Nampaknya Tsuchiya atau dikenali dengan gelaran ‘DK’ (Drift King) benar-benar berminat dengan model tersebut, dan kini kedua-dua pihak sudahpun bekerjasama untuk menghasilkan model istimewa – ini dia Hyundai Ioniq 5 N DK Edition!

    Model istimewa ini dibangunkan menerusi pelbagai siri ujian dan talaan oleh Tsuchiya sendiri, bagi menghasilkan sebuah Ioniq 5 N yang menampilkan karekterisitik pemanduan seperti yang digemarinya. Seperti biasa perkara yang paling dititik beratkan oleh Tsuchiya adalah suspensi, dan ini adalah talaan pertama yang dibuat untuk model istimewa berkenaan.

    Dalam ujian tersebut, Keiichi Tsuchiya mendapati tiada penyerap hentak boleh laras yang mampu menandingi kemampuan penyerap hentak adaptif kawalan elektronik asal Ioniq 5 N ini. Namun ia masih lagi boleh ditambahbaik dengan menggantikan spring asal kepada spring H&R yang menjadikan badan hot-hatch EV ini 15 mm lebih rendah. Penukaran spring berkenaan bukan sahaja menjadi stance Ioniq 5 N DK Edition ini nampak lebih gagah, malah ia turut memberikan titik graviti lebih rendah bagi menghasilkan prestasi pengendalian menerusi kestabilan dan pergerakan olengan lebih baik.

    Talaan suspensi berkenaan dilengkapkan dengan set roda baharu – model ini masih menampilkan rim berdiameter 21-inci, tetapi ia dibina menggunakan material aloi forged dengan lebar 10j. Menurut Hyundai N, rim dengan rekaan lima-jejari berkembar ini secara keseluruhannya dapat mengurangkan sebanyak 10.6 kg berbanding set rim asal. Ia masih dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Elect bersaiz 275/35R21.

    Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Keiichi Tsuchiya turut membuat tingkat taraf brek dengan menukar angkup hadapan dari empat omboh kepada enam omboh monoblok. Angkup baharu ini juga dibina dari material aloi super duralumin yang lebih ringan dan kuat, serta memberikan kawasan yang diapit pad brek 54% lebih besar. Kesemua pad brek Ioniq 5 N DK Edition ini menggunakan pad yang lebih berprestasi tinggi berbanding versi biasa.

    Kesemua komponen mekanikal tingkat taraf pada Ioniq 5 N instimewa ini datang dengan logo ‘DK Edition’ serta diberikan kemasan hijau, iaitu warna rasmi sut lumba Keiichi Tsuchiya sendiri. Dan satu lagi identiti Tsuchiya terhadap kereta-kereta sentuhannya iaitu penggunaan kit aero dari material karbon kering turut diterapkan pada Ioniq 5 N ini.

    Kit berkenaan terdiri dari splitter udara bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser udara belakang dan juga spoiler bumbung yang jauh lebih besar dari asal. Hyundai menyatakan kit aero ini memberikan tambahan downforce keseluruhan 93 kgf pada kelajuan 140 km/j, seterusnya memberikan kestabilan lebih baik pada kelajuan tinggi.

    Badan Hyundai Ioniq 5 N DK Edition ini diberikan warna putih dan hitam, bersama serlahan jalur hijau dan juga pelekat dengan grafik logo ‘DK Edition’. Ini memberikan imej seakan kereta harian Keiichi Tsuchiya yang dipandu setiap hari iaitu Toyota Sprinter Trueno AE86 ‘Touge Maou’.

    Tiada peningkatan kuasa diumumkan untuk model ini, menandakan ia masih sama seperti model standard. Ioniq 5 N menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan sistem AWD. Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

    Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

    Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

    Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

    Hyundai menyatakan bahawa Ioniq 5 N DK Edition ini hanya akan dijual di pasaran Jepun dan Korea Selatan. Manakala butiran lain seperti harga dan sebagainya akan diumumkan sebelum pelancarannya tahun ini.

     
     
  • VIDEO: Takumi Fujiwara ‘hidup’ di alam nyata, bertarung dengan juara WRC Kalle Rovanperä

    VIDEO: Takumi Fujiwara ‘hidup’ di alam nyata, bertarung dengan juara WRC Kalle Rovanperä

    Dengan merangkul gelaran juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) dua tahun berturut-turut, pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) Kalle Rovanperä kini merupakan ‘anak emas’ untuk Toyota. Beliau bukan sahaja berlumba dalam disiplin rali, malah Toyota turut memberikan lampu hijau dan sokongan kepada Rovanperä untuk turut menyertai sukan drift.

    Dalam video terbaharu yang diterbitkan dan disiarkan oleh penaja utama Rovanperä iaitu Red Bull, pelumba muda yang baru berumur 24-tahun itu mempamerkan kebolehannya dalam disiplin drift dengan menawan 69-selekoh yang kebanyakkannya selekoh hairpin di Bukit Iwaki yang terletak di Wilayah Aomori, Tohoku, Jepun.

    Jentera yang digunakan oleh Rovanperä adalah GR Corolla binaan Cusco yang disumbat dengan enjin enam-silinder turbo 2JZ-GTE dengan kapasiti yang sudah dipertingkat sehingga 3.4 liter, menghasilkan kuasa sekitar 900 PS. Kereta berkenaan sebenarnya adalah kereta yang sama Rovanperä gunakan ketika memenangi pusingan kedua Formula Drift Japan 2023 di Litar Ebisu.

    Video ini turut menampilkan beberapa ikon JDM lain seperti pemilik dan pengasas jenama penala Liberty Walk iaitu Wataru Kato, dan juga pelumba dan drifter profesional lagenda Jepun Manabu ‘Max’ Orido yang memandu Toyota GR 86 Advan.

    Dan yang paling menarik perhatian, selepas Rovanperä tiba di puncak Bukit Iwaki tersebut muncul Toyota Sprinter Trueno GT-Apex AE86 dari ‘Kedai Tauhu Fujiwara’, dipandu oleh watak anime itu sendiri iaitu Fujiwara Takumi! Walaupun AE86 tersebut dalam bentuk sebenar, kehadiran Takumi di dalam kabin masih lagi dalam bentuk lukisan manga.

    Apa yang dibuat oleh Kalle Rovanperä dan Fujiwara Takumi selepas itu? Anda saksikanlah video berkenaan sendiri yang telah kami sediakan di atas.

     
     
  • Honda M’sia anjur promosi sempena CNY – diskaun hingga RM8k, setahun servis percuma untuk City

    Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) bakal disambut dalam dua minggu lagi dan pastinya ada di antara anda yang merancang untuk membeli kenderaan baharu. Inilah masa yang paling tepat untuk buat keputusan kerana pasti ada syarikat pengeluar yang menganjurkan promosi jualan dengan menawarkan penjimatan yang memuaskan.

    Ini termasuklah Honda Malaysia yang memang tidak lekang membuat pelbagai kempen promosi, dan untuk bulan Januari 2025, sempena dengan CNY, anda berpeluang mendapat diskaun sehingga RM8,000 untuk mendapatkan kereta idaman anda, sama ada buatan tahun 2024 atau pun yang terkini 2025. Semua model CKD terlibat dengan promosi ini, kecuali Civic facelift yang baru dilancarkan minggu lalu.

    Kita bermula dengan stok 2024… apa yang ada. City Sedan dengan varian S, V SE dan RS hybrid ditawarkan dengan potongan sehingga RM6,000, namun paling menarik E diberikan diskaun sebanyak RM8,000! Manakala untuk City Hatchback pula diberikan diskaun sehingga RM6,000 untuk semua varian. Bagi WR-V pula, ia menerima potongan antara RM5,000 (S) hingga RM8,000 (S,V, RS).

    Klik untuk besarkan

    Untuk HR-V pula, ia ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM5,000 untuk varian asas S janaan-NA dan model bawah pengecas turbo E, sementara RS hybrid pula dengan diskaun mencecah RM6,000. Manakala bagi CR-V pula, diskaun sebanyak RM6,000 diberikan untuk varian asas (S) dan model spesifikasi tertinggi (RS hybrid), bagi varian E dan V, diskaun sebanyak RM8,000 diberikan.

    Jika anda inginkan model buatan tahun 2025, diskaun sebanyak RM1,000 diberikan untuk semua varian City Hatchback, WR-V, HR-V dan CR-V. Manakala City sedan didatangkan dengan rebat RM2,000 untuk semua varian, kecuali versi petrol RS yang diberikan diskaun sebanyak RM3,000.

    Sebagai tambahan kepada rebat tunai, mereka yang mendaftar City atau City Hatchback dari sekarang hingga 28 Februari akan mendapat bonus servis percuma selama setahun.

     
     
  • Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT kini di Malaysia – RM92,200, 1.9L Turbodiesel, 6MT, badan Double-Cab

    Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT kini di Malaysia – RM92,200, 1.9L Turbodiesel, 6MT, badan Double-Cab

    Isuzu Malaysia hari ini membuka tempahan bagi model paling mampu milik untuk trak pikap Isuzu D-Max facelift iaitu varian Low-Ride 4×2 MT. Varian lebih rendah, pacuan roda belakang serta kotak gear manual yang disasarkan untuk kegunaan kerja dan perniagaan ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM92,199 di Semenanjung Malaysia, RM94,280 di Sabah dan RM94,170 di Sarawak.

    Jadi varian ini adalah hampir RM7,000 lebih murah berbanding varian paling murah sebelum ini iaitu D-Max 1.9L Single Cab 4×4 MT yang dijual pada harga RM98,949. Malah dengan badan Double-Cab, varian baharu ini juga boleh membawa lebih ramai penumpang.

    Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 ini masih digerakkan dengan enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork 350 Nm yang telah mencatatkan rekod dalam Malaysian Book of Record kerana berjaya bergerak sejauh 2,000 km dengan satu tangki bahan api berkapasiti 76-liter. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual bagi menghantar kuasa sepenuhnya ke gandar belakang.

    Antara perincian yang diberikan termasuk tempat duduk fabrik, radio 1-DIN, stereng larasan atas-bawah dan teleskopik, sistem kunci sentral dan juga cermin sisi larasan elektronik. Menerusi jarak kelegaan tanah hanya 78 cm, Isuzu menyatakan bahawa ia dapat memudahkan barang dinaikkan pada ruang bed belakang.

    Manakala untuk keselamatan, D-Max Low-Ride 4X2 ini dilengkapi dengan dua beg udara, Brake Override System (BOS), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan, lampu Follow-Me Home dan penderia undur – menurut Isuzu Malaysia, sistem keselamatan asas ini sudah cukup membolehkan D-Max menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP.

    Model ini hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan warna badan iaitu Splash White. Ia turut diberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 150,000 km. Penghantaran pertama untuk pelanggan terawal menempah trak pikap ini akan bermula bulan hadapan.

     
     
  • Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Sedan EV yang dibangunkan dan telah dilancarkan di China November tahun lalu iaitu Mazda EZ-6 telah disahkan bakal dipasarkan di Eropah pada musim panas 2025. Di benua berkenaan, model ini akan dinamakan semula sebagai Mazda 6e (sebagai penerus model Mazda 6 sebelum ini) dan bakal ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa iaitu Mazda 6e dan Mazda 6e Long Range.

    Bagi model asas Mazda 6e, ia dilengkapi dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 68.8-kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 479 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 258 PS dan tork 320 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Ia boleh menerima sistem cas pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan kadar cas 10% hingga 80% dicapai dalam masa 22 minit, manakala jarak gerak sejauh 235 km dapat dicapai dengan cas hanya selama 15 minit.

    Manakala bagi Mazda 6e Long Range, ia menerima bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 80-kWj yang, memberikan jarak gerak sejauh 552 km. Jarak yang lebih jauh ini bukan hanya disumbang oleh bateri lebih besar, malah kuasa yang dihasilkan pada motor elektrik juga lebih rendah iaitu 245 PS dan tork 320 Nm. Kelajuan maksima masih sama pada 175 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j adalah sedikit lambat iaitu 7.8 saat.

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Walau bagaimanapun kapasiti mengecas untuk sistem DC pada Mazda 6e LR ini adalah lebih rendah iaiitu 95 kW, di mana cas 10%-80% dapat dipenuhkan dalam masa 45 minit. Di China, varian Long Range ini tidak ditawarkan, sebaliknya ia diganti dengan model yang menerima bateri LFP 56.1-kWj.

    Kedua-dua varian ini diberikan sistem mengecas AC dengan kapasiti yang sama iaitu 11 kW, di mana kadar cas 10%-80& dapat dipenuhkan dalam masa lapan jam untuk Mazda 6e atau 9.5 jam untuk varian Mazda 6e Long Range.

    Tidak ada perubahan rupa untuk Mazda EZ-6 pasaran China dan Mazda 6e pasaran Eropah. Ia menampilkan gril hadapan dengan logo yang bernyala, bersama bar lampu belakang yang akan menampilkan denyutan bagi memberikan isyarat berkenaan status kadar cas bateri.

    Ia juga datang dengan spoiler belakang aktif yang akan naik secara automatik pada kelajuan 90 km/j serta boleh dioperasikan secara manual. Lapan warna badan ditawarkan termasuk Melting Cooper dan Aero Grey, manakala untuk roda ia dilengkapi dengan rim 19-inci.

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Selain itu sedan ini turut diberikan bumbung panaromik, lampu suasana kabin 64-warna, upholsteri kulit sintetik sama ada dalam warna Warm Beige atau Hitam (kulit Nappa Tan bersama sued ditawarkan secara opsyen), paparan head-up AR, paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, skrin sesentuh utama 14.6-inci, skrin sesentuh kabin belakang dan juga sistem bunyi SonyPRO 14-pembesar suara.

    Ia turut diberikan fungsi kawalan gestur tangan serta kunci Bluetooth yang membolehkan pemandu menggunakan telefon pintar untuk mengunci dan menghidupkan kereta yang boleh dikongsi sehingga tiga orang. Mazda 6e ini juga dibekalkan dengan enam mod pintar iaitu Leaving Mode, Rest Mode, Relax Mode, Car Wash Mode, Private Call Mode dan Fresh Air Mode bagi melaras beberapa fungsi dengan hanya satu arahan.

    Model ini juga dijangka akan merangkul penarafan lima-bintang dalam ujian penilaian Euro NCAP dengan dilengkapi sistem bantuan pemanduan seperti pengekal lorong kecemasan, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, brek kecemasan automatik dan pelbagai lagi. Fungsi-fungsi ini disokong oleh pelbagai kamera, radar-radar gelombang-milimeter dan ultrasonic.

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Selain dari Eropah, Mazda 6e juga akan dijual di United Kingdom pada separa pertama 2026, bermaksud model ini turut bakal dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan.

    Mazda 6e/EZ-6 ini merupakan model yang dibangunkan oleh Mazda bersama pengeluar automotif China iaitu Changan. Ia menggunakan platform EPA Hybrid yang sama dengan sedan EV Deepal L07, iaitu jenama di bawah Changan. Apa yang menarik, pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto telah pun mewujudkan subsidiari Bermaz Changan dan dianugerahkan hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia pada November tahun lalu.

    Menerusi kerjasama itu, Bermaz Changan dijangka bakal melancarkan Deepal S05 dan S07 di Malaysia pada pertengahan 2025. Dan dengan pengenalan Mazda 6e versi RHD di UK tahun depan, mungkin model ini turut akan dibawa oleh Bermaz ke Malaysia bagi menggantikan Mazda 6 generasi sedia ada yang kini berada dipenghujung produksinya?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025