Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Prasarana sasar kurangkan gangguan bagi lima laluan perkhidmatan relnya dalam masa setahun – Loke

    Prasarana sasar kurangkan gangguan bagi lima laluan perkhidmatan relnya dalam masa setahun – Loke

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mensasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya dengan mengurangkan Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) bagi lima laluan rel kendaliannya dalam masa setahun. Ia melibatkan laluan Kelana Jaya, laluan Kajang, laluan Putrajaya, laluan Ampang dan Monorel.

    Memberi maklumbalas mengenai perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pihaknya berharap menjelang tahun hadapan, hanya ada sekali sahaja gangguan melibatkan satu juta kilometer laluan, laporan Harian Metro.

    “Apabila tren itu bergerak sehingga satu juta kilometer baru ada sekali gangguan. Sekarang ini mungkin ada laluan yang 200,000 atau ada yang 400,000 kilometer secara puratanya berlaku sekali gangguan. Kalau satu juta kilometer baru sekali gangguan, maksudnya kekerapan gangguan itu amat kurang. Mungkin setahun sekali atau dua kali gangguan.

    “Itu memang perkara biasa dalam mana-mana rel di seluruh dunia. Ini sasaran kita nak mengurangkan gangguan,” katanya pada sidang medianya semasa Sesi Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024 dan Pelan 2025 di Menara Prasarana hari ini.

    Tambah Loke, dari segi jumlah gangguan MKBF, tahun 2022 adalah yang tertinggi dicatatkan dengan 255 kali gangguan di kelima-lima laluan itu. Manakala pada tahun 2023 pula, jumlah gangguan adalah sebanyak 118 kali dan ia semakin berkurangan pada tahun 2024 dengan jumlah sebanyak 71 kali.

    “Apa yang kita maksudkan gangguan ialah tren tidak bergerak lebih daripada lima minit. Kalau tren itu tidak dapat bergerak lebih lima minit, itu dianggap satu gangguan. Gangguan yang lebih serius ialah tren yang tidak bergerak lebih 15 minit. Jadi kita nak mengurangkan gangguan ini. Sudah tentunya kita belum lagi berpuas hati, kita nak teruskan prestasi ini dapat ditambah baik,” katanya.

     
     
  • Honda CB650R, CBR650R E-Clutch tiba di Malaysia – tukar gear tanpa tarik klac, harga RM48k dan RM50k

    Honda CB650R, CBR650R E-Clutch tiba di Malaysia – tukar gear tanpa tarik klac, harga RM48k dan RM50k

    Dua model 650 daripada Honda iaitu CB650R dan CBR650R kini tiba dalam pilihan yang menggunakan E-Clutch dan dijual pada harga masing-masing RM47,999 dan RM49,999 tidak termasuk insurans. CB650R tersedia dalam pilihan tiga warna, sementara CBR650R ada pilihan dua warna.

    CB650R dan CBR650R menjadi dua model pertama di Malaysia yang menggunakan E-Clutch, iaitu satu sistem klac daripada Honda yang membolehkan pengguna menukar gear tanpa menarik tuil tangan sewaktu memulakan pergerakan, bergerak ataupun berhenti. Walaupun begitu, penunggang masih boleh menggunakan klac seperti biasa kerana tuil klac tangan dan tuil gear masih tersedia.

    Pakej penggerak dua model ini adalah sama, iaitu enjin empat silinder 649 cc DOHC bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada 12,000 rpm dan 63 Nm pada 9,500 rpm. Tangki bahan api untuk kedua-dua model juga adalah 15.4 liter.

    Informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT lima inci berwarna di bahagian kokpit, dan ia boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi RoadSync. Turut tersedia adalah kelengkapan lain seperti soket USB-C, lampu jenis LED serta sistem kawalan cengkaman HSTC.

    Memegang roda motosikal ini adalah suspensi Showa yang terdiri daripada fork USD SFF-BP 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Tugas membrek dijalankan oleh set cakera berkembar 310 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS diberikan secara standard.

    GALERI: Honda CB650R E-Clutch

    GALERI: Honda CBR650R E-Clutch

     
     
  • BMW Malaysia jual lebih 13,500 kenderaan sepanjang 2024 – jualan kenderaan jatuh 10%, EV jatuh 25%

    BMW Malaysia jual lebih 13,500 kenderaan sepanjang 2024 – jualan kenderaan jatuh 10%, EV jatuh 25%

    BMW Group Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,500 kenderaan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad pada pasaran tempatan sepanjang 2024. Menurut syarikat itu, 66% kenderaan yang dijual pada 2024 berkenaan adalah model pemasangan tempatan (CKD). Walau bagaimanapun angka jualan keseluruhan berkenaan sebenarnya turun sebanyak 10% berbanding 15,012 unit yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa 20.5% dari jumlah tersebut iaitu lebih 2,700 unit merupakan model-model elektrik sepenuhnya (EV) yang terdiri dari ketiga-tiga jenama berkenaan. Jadi sehingga kini BMW Group Malaysia sudahpun menjual hampir 33,000 unit EV di Malaysia, namun untuk 2024 jumlah berkenaan sebenarnya jatuh 25% – pada 2023, lebih 3,600 unit EV terjual hanya menerusi jenama BMW.

    Jika dipecahkan mengikut jenama, lebih 10,500 unit kereta jenama BMW telah terjual sepanjang 2024 berbanding 11,699 unit pada 2023, atau turun sebanyak 10%. Namun menerusi semakan pada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 10,259 unit kereta berjenama BMW didaftarkan di Malaysia (data ini lazimnya dicampur sekali dengan kenderaan recond/yang diimport secara persendirian). Jadi apa yang diumumkan berkenaan agak bercanggah dengan data dari JPJ.

    Kami laporkan percanggahan maklumat ini kepada BMW Group Malaysia dan diberitahu bahawa ada maklumat yang tidak padan. Menurut ketua komunikasi korporat dan kemampanan BMW Group Malaysia Sashi Ambi, syarikatnya telah melaporkan jumlah jualan hampir 10,500 unit berkenaan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan akan membuat semakan terperinci berkenaan perkara ini di JPJ.

    Seterusnya, model X1 sDrive20i dinamakan sebagai model Sports Activity Vehicle (SAV) paling laris BMW di Malaysia pada 2024 dengan jualan hampir 1,500 unit, atau naik 195% berbanding tahun sebelumnya. X4 xDrive30i M Sport berada di tempat kedua dengan jualan 700 unit, diikuti oleh X5 xDrive50e yang terjual sebanyak 400 unit. Jadi secara keseluruhan BMW telah menjual lebih 3,600 unit SAV tahun lalu, atau turun sekitar 10% berbanding 2023 di mana lebih 4,000 unit model SAV terjual pada tahun itu.

    Manakala untuk model BMW yang lain, lebih 2,700 unit 3 Series telah dihantar kepada pelanggan sepanjang 2024 (2,600 unit pada 2023, naik 4%), di mana varian 320i M Sport menjadi pilihan paling popular dalam segmennya untuk tahun kedua dengan jualan lebih 1,400 unit.

    Model lebih besar BMW 5 Series pula terjual sebanyak 790 unit sepanjang tahun lalu (800 unit pada 2023, turun 1%), di mana 520i menjadi varian yang paling laris. Manakala iX2 pula adalah EV BMW paling laris pada 2024 terjual lebih 460 unit dalam masa sembilan bulan. EV kedua terlaris pula adalah i5 eDrive40 M Sport yang terjual lebih 400 unit.

    Beralih ke jenama MINI, sebanyak 1,400 unit model jenama tersebut terjual tahun lalu, atau turun 20% berbanding 1,750 unit pada 2023. Model Countryman yang dijana enjin petrol merupakan model yang paling diminati pelanggan dengan jualan melebihi 340 unit. Ia diikuti rapat Countryman versi EV iatu Countryman SE All4 yang terjual sebanyak 320 unit dalam masa tujuh bulan selepas dilancarkan di sini.

    Walaupun dua jenama empat roda BMW mencatatkan penurunan jualan, divisi dua roda syarikat itu iaitu BMW Motorrad nampaknya mencatatkan sedikit peningkatan dengan lebih 1,600 motosikal terjual pada 2024, berbanding 1,563 unit pada 2023 (naik 2%).

    Barisan model Adventure menjadi pilihan utama pelanggannya di mana sebanyak 760 unit motosikal segmen itu terjual dengan model paling laris adalah R 1250 GS Adventure yang terjual sebanyak 300 unit. BMW Group Malaysia turut menyatakan bahawa motosikal di bawah segmen Urban Mobiliti juga menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 21% pada 2024, dengan C 400 GT menjadi model paling laris.

    Sepanjang 2024, BMW Group Malaysia memperkenalkan 27 model dan varian baharu merentas keseluruhan jenamanya. Syarikat itu juga mendedahkan ia telah menyediakan lebih 2,020 kemudahan pengecasan dalam rangkaiannya kepada pelanggan setakat ini melalui perkongsian strategik, manakala lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI tersedia di seluruh pengedar sahnya.

    “Tahun lalu merupakan tahun yang luar biasa bagi kami di BMW Group Malaysia, tahun yang ditakrifkan oleh kejayaan dan inisiatif yang mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi, kecemerlangan dan kepimpinan dalam ruang automotif premium,” kata Benjamin Nagel, pengarah urusan BMW Group Malaysia

    “Dari mengukuhkan komitmen kami kepada industri automotif tempatan Malaysia, dengan pengembangan Pusat Pengedaran Bahagian Serantau BMW Group kami, bagi memperkuatkan kedudukan kami sebagai pembekal kenderaan elektrik premium nombor satu di Malaysia untuk satu tahun lagi dengan lebih 2,700 kenderaan elektrik dihantar merentasi jenama BMW, MINI, dan portfolio BMW Motorrad, setiap peristiwa penting adalah bukti kepercayaan pelanggan dan rakan kongsi kami kepada kami,” tambahnya.

    BMW Group Malaysia turut mempunyai divisi pembiayaannya sendiri iaitu BMW Group Financial Services Malaysia. Sepanjang 2024 lebih 4,500 kenderaan telah terjual menggunakan pembiayaan syarikat tersebut, di mana 46% daripadanya adalah model elektrifikasi sama ada plug-in hybrid dan juga EV.

    Manakala kontrak yang dibiayai menerusi BMW Motorad Malaysia mencapai kadar penembusan global tertinggi pada 67% tahun lepas. Sementara itu, menerusi Portal Layan Diri di aplikasi MyBMW, lebih 3,300 kontrak berjaya dibiayai secara digital.

    BMW Group Malaysia juga mendakwa bahawa ia kini merupakan pengeksport terbesar kenderaan premium dari Malaysia, dengan lebih 11,000 unit dihantar ke Filipina dan Thailand sejak 2018.

     
     
  • ECRL Maran-Kota Bharu siap 2.5 bulan lebih awal daripada jadual, kemajuan di Kelantan kini cecah 88%

    ECRL Maran-Kota Bharu siap 2.5 bulan lebih awal daripada jadual, kemajuan di Kelantan kini cecah 88%

    Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan landasan dari Maran, Pahang ke Kota Bahru, Kelantan kini telah siap 2.5 bulan lebih awal daripada jadualnya, kata CEO Malaysia Rail Link (MRL), seperti dilaporkan Bernama.

    Projek ECRL di Kelantan yang merangkumi stesen Kota Bharu (untuk penumpang sahaja) di Bandar Baru Tunjong dan stesen Pasir Puteh (untuk barangan dan penumpang) di Cherang Tuli, sudah 87.8% siap setakat Disember 2024. Angka itu dijangka meningkat dengan pemasangan rel utama yang telah diselesaikan, dan kedua-dua stesen dijangka siap menjelang suku kedua 2026.

    “Ini akan mempercepatkan pembinaan sistem elektrifikasi, isyarat dan telekomunikasi untuk sepanjang 43.86 km di Kelantan,” kata Darwis, sambil menambah Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan kadar tambang dan menterinya Anthony Loke telah memberi jaminan bahawa harga tiket lebih “munasabah” dan tidak akan membebankan rakyat.

    Dibina oleh China Communications Construction ECRL (CCCCECRL), jajaran sepanjang 665 km itu akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor di Pantai Barat. Laluan Terminal Kota Bharu-Gombak yang melibatkan perjalanan selama empat jam, dijangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.

    CRRC Dalian telah memperuntukkan 11 unit tren berbilang elektrik (IMU) enam gerabak, dengan unit pertama dijangka tiba menjelang akhir 2025. Tren ini boleh membawa 430 penumpang dan mencecah kelajuan hingga 160 km/j. Ia juga akan menyediakan dua lokomotif elektrik yang akan dipasang di depoh Bandar Pelabuhan Kuantan untuk menarik kereta api barangan.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 — pilihan warna Canyon River Blue Metallic baru ganti Lunar Silver Metallic

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 — pilihan warna Canyon River Blue Metallic baru ganti Lunar Silver Metallic

    Honda Civic FE facelift 2024 yang diperkenalkan minggu lalu turut ditawarkan dengan warna baru Canyon River Blue Metallic. Ini kami bawakan galeri kecil untuk menunjukkan pilihan warna tersebut — selain warna hero merah dan putih yang ditunjuk ketika pelancarannya.

    Ia sebenarnya sudah pernah ditawarkan untuk model CR-V sebelum ini, yang kini turut menggantikan warna Lunar Silver Metallic. Warna biru ini boleh dipilih untuk semua varian kecuali hibrid.

    Pilihan warna lain untuk Civic 2025 ini adalah termasuk Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Ignite Red Metallic dan Crystal Black Pearl (warna hitam ini bagaimanapun tidak ditawarkan untuk hibrid) — menjadikan keseluruhan pilihan warnanya ada lima.

    Versi facelift bagi Civic FE ini menampilkan wajad depan baru yang jauh berbeza daripada yang lama, dengan melibatkan pertambahan banyak kelengkapan tetapi dikenakan tanda harga yang tidak banyak berubah. Model asas E hanya RM2,000 lebih mahal dengan tanda harga RM133,900, tetapi RS petrol pula RM2,000 lebih murah pada harga RM149,900. Model V dan RS hibrid pula mengekalkan harga lama, masing-masing dengan RM144,900 dan RM167,900.

     
     
  • Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Selepas dipertontonkan secara eksklusif menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 pada bulan lalu, malam ini, Proton telah melancarkan Proton X50 Sport Edition untuk pasaran Malaysia. Pelancaran secara maya ini turut membuka peluang orang ramai untuk menyaksikannya menerusi Facebook, TikTok dan YouTube Proton.

    Untuk pengetahuan anda, X50 Sport Edition ini secara asasnya adalah daripada varian X50 Premium 1.5T. Walau bagaimana pun, apa yang menariknya, jika X50 Premium 1.5T ditawarkan pada harga RM101,800, untuk X50 Sport Edition pula, Proton memberikan tawaran yang cukup menarik. X50 Sport Edition diberikan harga pakej menarik sebanyak RM3,500 (yang sebenarnya mencecah RM10,000!), membuatkan harganya jadi RM105,300.

    Namun, Proton mengumumkan satu kejutan yang gempak dengan memberikan rebat sebanyak RM7,000 jika anda menempahnya dalam bulan Januari ini, sekaligus menjadikan harganya dari RM98,300 atas jalan tanpa insurans. Proton turut memaklumkan X50 Sport Edition hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja.

    Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Seperti barisan X50 yang lain, X50 Sport Edition turut diberikan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had, lima-tahun pakej data percuma (1GB sebulan), enam kali kos buruh percuma dan Program Insurans Proton.

    Berkenaan dengan ciri khas yang diberikan untuk X50 Sport Edition, ia menampilkan warna luaran Quartz Black yang eksklusif bersama bampar hadapan dan kemasan tailgate hitam berkilat, Sport Edition aerokit untuk skirting hadapan, sisi dan belakang, roda aloi hitam 18-inci dengan rekaannya pertama kali dilihat menerusi Geely Binyue, lampu hadapan LED penuh, welcome light pada pintu hadapan, pelekat badan Sport Edition dan paip ekzos berkembar. Menjadikan X50 Sport Edition ini nampak berbeza dengan X50 R3.

    Untuk bahagian dalamnya pula, ciri baharu yang diberikan ialah lencana Sport Edition di bahagian belakang dan diberikan plet tepi pintu, pengacas Qi tanpa wayar, alas kaki Sport Edition, dan dulang barangan di belakang. Ruang dalamnya juga masih mengekalkan kombinasi rona hitam dan merah, dengan kombinasi meter LCD, konsol lantai ala terapung, tempat duduk hadapan larasan kuasa enam-arah, kawalan automatik bagi pendingin hawa, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Selain itu, ia juga dilengkapi unit infotainment 10.3-inci dengan pemproses dwi-kuad-teras, sistem arahan suara “Hi PROTON” dan aplikasi PROTON Link untuk kawalan kenderaan jarak jauh, kamera 360-darjah definisi tinggi dengan paparan 3D sekeliling, sistem audio enam-pembesar suara dan tint keselamatan yang mengurangkan sinaran UV berbahaya.

    Seperti yang dinyatakan dari awal, X50 Sport Edition ini menggunakan asas daripada model Premium, bermakna ia menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan, sekaligus mampu menghasilkan kuasa hingga 150 PS (148 hp) pada 5,500 rpm dan tork hingga 226 Nm pada 1,500 rpm

    Bagi aspek keselamatan, cirinya yang diperoleh sama seperti varian Premium, di mana X50 Sport Edition ini juga diberikan enam beg udara (bahagian pemandu dan penumpang hadapan, sisi hadapan serta tirai belakang), sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, Auto Brake Hold serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang.

    Diulang sekali lagi, untuk yang menempah X50 Sport Edition pada bulan Januari ini, harga atas jalan yang ditawarkan ialah RM98,300 tanpa insurans dan terhad hanya RM1,000 unit sahaja. Harga tersebut selepas mendapat potongan rebat sebanyak RM7,000 yang diberikan oleh Proton. Jika berminat, kena cepat-cepatlah menempahnya.

    Seiring dengan pelancaran SUV edisi khas ini, Proton turut menganjurkan kempen Test Drive and Win Prosperity Campaign dengan hadiah utama sebuah X50 Sport Edition. Pelanggan boleh menikmati ujian pandu model Proton di mana-mana pengedar dari Januari hingga Mac 2025.

    Mereka kemudiannya akan layak untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM5,000 serta hadiah utama bulanan iaitu pakej percutian bernilai RM10,000. Dengan setiap pembelian kereta Proton baharu, pelanggan akan secara langsung menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah utama.

     
     
  • Hankook kini jadi pembekal tayar tunggal untuk WRC bermula 2025 hingga 2027, ganti tayar keluaran Pirelli

    Hankook kini jadi pembekal tayar tunggal untuk WRC bermula 2025 hingga 2027, ganti tayar keluaran Pirelli

    Hankook Tire & Technology (Hankook Tire) menjadi pembekal tunggal untuk tayar dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bermula musim ini sehingga musim 2027. Ini akan menyaksikan sejarah 52-tahun penganjuran kejohanan itu di mana buat pertama kali tayar keluaran syarikat dari Korea Selatan berkenaan akan digunakan oleh semua kereta rali tidak kira apa jua kategori bermula pusingan pembukaan WRC 2025 Rally Monte Carlo hujung bulan ini.

    Hankook Ventus Z215 akan digunakan untuk permukaan kering dan basah, manakala Ventus Z210 akan digunakan dalam cuaca buruk termasuk permukaan jalan basah, dan Hankook Dynapro R213 pula merupakan tayar rali pelbagai permukaan dengan kebolehan menyerap hentakan, ketahahan dan memberikan cengkaman pada jalan yang tidak berturap.

    Hankook turut akan membekalkan tayar salji Winter i*cept SR20, dan juga tayar permukaan ais Winter i*Pike SR10W yang dilengkapi pin stad. Tayar-tayar istimewa ini akan mula digunakan pada Rally Sweden 2025 yang akan berlangsung pada 13 hingga 16 Februari nanti.

    Sebelum menjadi pembekal rasmi tahun ini, Hankook sebenarnya telahpun mula memulakan ujian di Eropah, di negara-negara seperti Finland, Sweden, France, Greece dan lain-lain. Ujian sejauh lebih 400 km dibuat di atas permukaan ais, 200 km pada permukaan campuran tar dan bersalji seperti di Monte Carlo, lebih 500 km sepenuhnya di atas permukaan tar, dan hampir 1,000 km di atas permukaan batu kerikil.

    Ujian-ujian berkenaan dibuat bersama tiga pasukan yang bertanding dalam kategori utama Rally1 iaitu Toyota, Hyundai dan Ford, serta pasukan Citroen untuk kategori Rally2.

    “Kami telah mewujudkan kerjasama yang berjaya dengan Hankook Tyre melalui Kejohanan Rali Eropah (ERC), dan kami sangat teruja untuk melanjutkannya ke WRC,” kata Jona Siebel, Pengarah Urusan WRC Promoter GmbH. “Hankook Tyre telah bekerja keras untuk membangunkan tayar untuk memenuhi keperluan khas WRC, dan kami sangat menantikan persembahan sulungnya di Rallye Monte-Carlo pada bulan Januari.”

     
     
  • GWM Malaysia catat peningkatan jualan hingga 331%

    GWM Malaysia catat peningkatan jualan hingga 331%

    Daripada keseluruhan 1,233,292 buah kenderaan yang dijual oleh Great Wall Motor (GWM) di seluruh dunia tahun lepas, 453,141 daripadanya adalah di luar negara China. Jumlah jualan di Malaysia tidak didedah, tetapi GWM Malaysia memberitahu, syarikat berjaya mencatat peningkatan jumlah jualan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 331%.

    Haval H6 HEV, yang dilancarkan pada bulan Oktober tahun lalu dikatakan menjadi penyumbang utama kepada jumlah jualan tinggi ini, dan ia turut dibantu dua lagi model yang dilancarkan tahun lepas, iaitu Ora 07 dan Tank 300.

    “Pelanggan Malaysia menunjukkan mereka mengutamakan inovasi, kualiti dan kepercayaan. Ini adalah satu tanggungjawab yang kami pandang serius, dan komited untuk memberikan produk serta servis yang melebihi jangkaan mereka,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Cui Anai.

    Untuk tahun 2025 ini, anda boleh menjangkakan ketibaan Tank 500 dan Haval Jolion dalam pasaran, sementara Wey 80 pula akan mula dipasang dalam negara (CKD) menjelang hujung tahun ini. GWM Malaysia seterusnya akan menyediakan pilihan kereta elektrik menarik termasuk EV kecil, EV coupe empat pintu, dua SUV urban, dua SUV offroad dan MPV mewah.

     
     
  • Pembinaan lorong tambahan di laluan Kulai-Sedenak Lebuhraya PLUS dihentikan antara 23 Jan-3 Feb 2025

    Pembinaan lorong tambahan di laluan Kulai-Sedenak Lebuhraya PLUS dihentikan antara 23 Jan-3 Feb 2025

    Kerja pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Kulai-Sedenak yang sedang giat dijalankan akan dihentikan 12 hari, bermula 23 Januari ini sehingga 3 Februari 2025.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, arahan pemberhentian kerja sementara itu dikeluarkan bagi mengelakkan kesesakan di laluan itu susulan musim cuti persekolahan dan cuti Tahun Baharu Cina, laporan Berita Harian.

    “Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina, semua kerja-kerja yang dijalankan di lokasi terbabit tidak akan membabitkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah lebuhraya dan tidak akan mengganggu aliran trafik sedia ada. Saya sudah mengarahkan supaya PlUS memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja di tapak pembinaan pada musim perayaan nanti.

    “Sempena dengan musim cuti ini, arahan pemberhentian kerja sementara sudah dikeluarkan selama 12 hari bermula daripada 23 Januari hingga 3 Februari. Arahan itu dikeluarkan supaya kelancaran laluan berkenaan tidak terganggu berikutan jangkaan pertambahan kenderaan nanti,” katanya selepas meninjau Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Plus Fasa 1 Senai Utara-Sedenak, Pakej A: Kulai-Sedenak di Persimpangan Bertingkat Sedenak, pagi tadi.

    Pembinaan lorong tambahan di laluan Kulai-Sedenak Lebuhraya PLUS dihentikan antara 23 Jan-3 Feb 2025

    Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.

    Projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng Utara hingga Senai Utara, adalah inisiatif kerajaan untuk menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS Wilayah Selatan yang sering berlaku ketika waktu puncak, terutamanya semasa cuti umum atau musim perayaan.

    Mengenai perkembangan projek pembinaan lorong tambahan PLUS laluan Kulai-Sedenak, Menteri KKR itu berkata, ia telah mencapai 5.02% kemajuan setakat 31 Disember lalu. Di mana kerja pembinaan yang bermula sejak Julai tahun lalu juga didapati berjalan lancar mengikut jadual.

    Beliau berkata, kerja yang sedang giat dijalankan di lokasi termasuk kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti dan pelan pengurusan trafik.

    “Selepas kerja-kerja tanah di laluan Sedena -Kulai arah Selatan ini selesai, kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi berkenaan akan dimulakan secara berperingkat. Keseluruhan kerja pembinaan lorong tambahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027.

    “Kos keseluruhan Fasa 1 ini adalah sebanyak RM515 juta di mana kos bagi jajaran ini (Sedenak-Kulai) ialah RM249 juta,” katanya.

    Tambahnya, projek pembinaan lorong tambahan yang akan dilebarkan dari dua lorong kepada tiga lorong itu dijalankan secara berfasa dari Fasa 1 ke Fasa 3 iaitu dari Senai Utara ke Machap. Projek berkenaan adalah inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan bagi menangani kesesakan di Lebuhraya Plus yang sering berlaku pada waktu puncak, semasa cuti umum dan musim perayaan, terutama di laluan selatan yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong sehala.

     
     
  • Acura RSX kini bukan lagi Honda Integra, tapi SUV EV guna platform Honda 0 series, produksi mula tahun ini

    Acura RSX kini bukan lagi Honda Integra, tapi SUV EV guna platform Honda 0 series, produksi mula tahun ini

    Acura RSX generasi pertama diperkenalkan di Amerika Syarikat pada Julai 2001, dan ia adalah coupe tiga-pintu yang sebenarnya merupakan Honda Integra generasi ke-empat (DC5) di pasaran Jepun. Selepas produksinya tamat pada 2006, tiada model gantian diperkenalkan sehinggalah Acura menggunakan semula nama Integra menerusi model generasi baharu yang diperkenalkan pada 2022.

    Namun menerusi pengumuman terbaharu yang dibuat oleh Acura, nama RSX bakal digunakan semula untuk sebuah model baharu – kali ini bukan lagi sebuah kereta prestasi, sebaliknya merupakan SUV dan digerakkan sepenuhnya menggunakan bateri dan motor elektrik (EV).

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan Acura turut menyiarkan gambar 3/4 sebelah belakang prototaip SUV berkenaan yang masih dibalut dengan pelekat penyamaran. Namun dapat dilihat SUV tersebut menampilkan rekaan belakang ala-coupe dengan bumbung landai ke belakang bersama bahagian but yang tinggi.

    Acura mengesahkan bahawa rekaan RSX generasi baharu ini akan diasaskan dari model konsep Acura Performance EV yang didedahkan pada Ogos tahun lalu. Model ini juga disahkan sebagai model Acura pertama yang akan menggunakan platform EV 0 Series Honda yang telah diperincikan tahun lalu, serta akan beroperasi menggunakan sistem ASIMO OS yang ditunjuk ketika CES 2025.

    Model prototaip ini juga diumum akan mula diuji pada jalan raya sebenar minggu ini, manakala produksinya akan bermula lewat tahun ini. Acura juga mengesahkan bahawa Acura RSX EV ini akan menjadi model pertama yang dipasang oleh Honda EV Hub di Ohio, Amerika Syarikat.

    “Plat nama RSX kembali dalam Acura menerusi RSX generasi akan datang dengan bentuk badan seperti coupe, dan ia benar-benar mewakili pendekatan berpandangan ke hadapan untuk prestasi pemanduan yang menyeronokkan,” kata Mike Langel, penolong naib presiden jualan nasional Acura.

    Dalam kenyataan yang sama Acura turut mengesahkan bahawa Acura ADX 2025 bakal dilancarkan pada musim bunga ini, di mana model premium tersebut masih akan dijana oleh enjin pembakaran dalaman yang dibantu oleh pengecas turbo.

     
     
  • Aveta Vanguard 250 dilancar di M’sia – dari RM14,888

    Aveta Vanguard 250 dilancar di M’sia – dari RM14,888

    Pasaran Malaysia menerima satu lagi skuter baru di awal tahun 2025 dan kali ini adalah daripada Aveta, iaitu Vanguard 250. Dua versi ditawarkan, bermula dengan Standard yang berharga RM14,888 dan Special Edition (SE) pada harga RM16,388.

    Namun sebagai promosi, untuk 200 unit pertama, Vanguard 250 ini diberikan dengan diskaun sebanyak RM400, menjadikan harganya RM14,488 untuk versi Standard, dan RM15,988 bagi versi SE. Semua harga ini adalah tidak termasuk insurans, dan didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Vanguard 250 sebenarnya berkongsi enjin yang sama dengan beberapa model jenama lain yang sudah berada dalam pasaran Malaysia, dan merupakan unit satu silinder suntikan bahan api 244.2 cc yang berkemampuan 24.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik CVT.

    Kelengkapan lain yang didatangkan secara standard untuk kedua-dua versi adalah termasuk sistem kunci pintar, tangki bahan api 13 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.5 liter, dua poket barangan, soket pengecas USB, ABS dual-channel, sistem kawalan cengkaman serta penghadang angin hadapan boleh laras secara manual.

    Melalui harga RM1,500 lebih tinggi berbanding varian Standard, SE mempunyai beberapa kelebihan termasuk fork teleskopik 37 mm, penyerap hentak belakang dengan tabung gas, angkup empat piston di hadapan dan dua piston di belakang, padanan rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 14 inci dengan tayar 140/70 di belakang, panel meter TFT tujuh inci yang boleh disambung kepada telefon pintar, kamera hadapan, pemerhati tekanan angin tayar serta sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup.

    Aveta Vanguard 250 dilancar di M’sia – dari RM14,888

    Sebagai perbandingan, varian Standard datang dengan fork teleskopik 33 mm, dua penyerap hentak biasa di belakang, angkup brek dua piston di hadapan (cakera masih sama, 260 mm), rim 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 13 inci dengan tayar 140/60 di belakang serta panel meter LCD biasa.

    Berat keseluruhan Vanguard 250 adalah 177 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 780 mm. Varian Standard cuma datang dalam warna Nano Grey, sementara varian SE datang dalam pilihan warna Majestic Green atau Titanium Grey.

    GALERI: Aveta Vanguard 250 Standard

    GALERI: Aveta Vanguard 250 Special Edition

     
     
  • BMW 530i M Sport 2025 kini di M’sia – CKD, anggaran RM400k, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    BMW 530i M Sport 2025 kini di M’sia – CKD, anggaran RM400k, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan varian baharu untuk BMW 5 Series generasi ke-lapan (G60) dengan enjin pembakaran dalaman di Malaysia, iaitu 530i M Sport. Ini merupakan tambahan varian untuk G60 di Malaysia selepas varian 520i dan 520i M Sport dilancarkan tahun lalu. Model ini ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD). Ia sudahpun boleh ditempah dengan harga anggaran buat masa sekarang adalah RM400,000.

    Varian ini datang dengan enjin B48 2.0 liter empat-silinder turbo yang dibantu dengan sistem hibrid ringkas 48V. Konfigurasi ini adalah sama seperti pada varian 520i, namun versi yang disumbat pada 530i ini menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 258 PS dan tork maksima 400 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik Steptronic Sport bagi memacu sepenuhnya roda belakang. Ini membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat, berbanding 7.5 saat untuk 520i.

    Model ini juga menerima kelengkapan casis lebih baik dari 520i, dengan dilengkapi penyerap hentak elektronik Adaptive Suspension Professional, dan juga sistem stereng pada gandar belakang Integral Active Steering dengan sudut putaran sehingga 2.5 darjah (memberikan radius pusingan hanya 11.7 meter) bagi memudahkan badan sedan yang besar ini dikendalikan dengan lincah.

    BMW 530i M Sport 2025 kini di M’sia – CKD, anggaran RM400k, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    Kelengkapan bagi 530i ini adalah hampir sama seperi 520i, namun ia tampil lebih garang dengan kit penggayaan M Sport yang diberikan secara standard. Jadi ia hadir dengan pakej Iconic Glow pada gril hadapan, lampu hadapan LED adaptif, lampu belakang LED, rim aloi ringan 938M 20-inci dan kemasan luaran Satin Aluminium.

    Manakala dalam kabin, 530i M Sport ini diberikan paparan instrumen digital BMW Curved Display dengan skrin 12.3-inci, skrin utama 14.9-inci, sistem pendingin hawa empat-zon dan juga tempat duduk hadapan sports kawalan elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu.

    Bagi sistem infotainment, model ini dikuasakan dengan BMW Operating System 8.5 dengan QuickSelect. Ia juga diberikan fungsi Intelliigence Personal Assistant, BMW ID, sistem navigasi menggunakan BMW Maps, interior camera, servis-servis keterhubungan pemandu, sistem telematik dan sokongan Digital Key Plus. Manakala untuk audio, 530i ini diberikan sistem bunyi Bowers and Wilkins 655W dengan 18-pembesar suara, berbanding 520i yang diberikan sistem Harman Kardon 12-pembesar suara.

    BMW 530i M Sport 2025 kini di M’sia – CKD, anggaran RM400k, 258 PS, suspensi adaptif, stereng belakang

    Selain itu kabin sedan ini juga dilengkapi dengan BMW Interaction Bar, pelapik bumbung Anthracite, kemasan Rhombicle aluminium bersama serlahan perak gelap M, serta pilihan upholsteri sama ada gandingan kulit Merino dalam kemasan Hitam/Atlas Grey atau Copper Brown/Atlas Grey.

    BMW 530i M Sport ini juga diberikan pakej Driving Assistant Plus yang memberikan fungsi Active Cruise Control dengan stop & go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Pedestrian Warning dan Speed Limit Info. Ia juga menerima Parking Assistant, yang menampilkan fungsi Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Lateral Parking Aid, Surround View System, Remote 3D View dan BMW Drive Recorder.

    Lima warna badan ditawarkan untuk BMW 530i M Sport ini iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Cape York Green Metallic, Brooklyn Grey Metallic, dan Phytonic Blue Metallic.

    GALERI: Imej Rasmi BMW 530i M Sport 2025

     
     
  • BMW i4 eDrive35 M Sport facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – bermula RM295k, lampu belakang laser

    BMW i4 eDrive35 M Sport facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – bermula RM295k, lampu belakang laser

    Selepas membuat kemunculan sulung global pada April tahun lalu, hari ini secara rasmi BMW Malaysia melancarkan BMW i4 eDrive35 M Sport facelift 2025 ke pasaran tempatan. Sebelum ini Gran Coupe EV berkenaan turut ditawarkan dalam varian eDrive35 dan M50, namun versi kemaskini dua varian ini masih belum diumum bila akan diperkenalkan di sini.

    BMW i4 eDrive35 M Sport 2025 ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM294,800. Harga ini adalah termasuk jaminan serta bantuan tepi jalan dan BMW Service Online selama dua tahun, dan jika pemilik mahukan jaminan serta pakej servis lima tahun, ia menjadi RM315,600.

    Model kemaskini ini boleh dikenali dari luar menerusi gril kidney baharu yang menampilkan elemen batu berlian yang sama seperi iX2. Ia juga diberikan lampu hadapan LED adaptif dengan teknologi BMW Selective Beam dan juga lampu nyalaan siang berbentuk-L. Manakala di belakang, sedan ini diberikan lampu Laserlight yang sama seperti pada model prestasi tinggi dengan enjin pembakaran dalaman iaitu M4 CSL.

    Rekaan bampar M Sport pada model kemaskini ini nampak tidak berubah, namun kemasan Frozen Grey pada model sebelumnya telah digantikan dengan kemasan Satin Aluminium. Manakala untuk set roda, rim 858M 18-inci sebelum ini telah digantikan dengan rim 996M dua-tona lebih besar berdiameter 19-inci.

    BMW i4 eDrive35 M Sport facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – bermula RM295k, lampu belakang laser

    Manakala untuk kabin, perincian tingkat taraf yang boleh dilihat termasuk roda stereng rata di bawah baharu yang diberikan penanda pukul 12, rombakan pada rekaan corong udara dan panel kawalan yang kini bernyala dengan warna sama seperti lampu suasana kabin, serta upholsteri M PerformTex yang lebih mesra alam.

    Perincian lain yang masih dikekalkan pula termasuk paparan instrumen digital BMW Curved Display dengan skrin 12.3-inci, skrin utama 14.9-inci, paparan head-up, kemasan Aluminium Rhombicle Anthracite M, sistem pendingin hawa tiga-zon, Connected Package Professional, pad pengecas tanpa wayar dan juga tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu.

    Unit rangkaian kuasa BMW i4 eDrive35 M Sport 2025 ini juga masih tidak berubah. Ia menerima motor elektrik tunggal berkuasa 286 PS dan tork 400 Nm yang hanya memacu roda belakang. Ia cukup membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 190 km/j.

    Motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri litium-ion berkapassiti 70.3 kWj, dengan kapasiti yang boleh digunakan adalah 67.1 kWj (sebelum ini 66 kWj). Ini membolehkan kereta ini bergerak sejauh 500 km dalam kitaran ujian WLTP. Untuk mengecas, ia menyokong sistem pengecas pantas DC (dengan penyambung CCS2) sehingga 180 kW bagi membolehkan bateri boleh dipenuhkan dri 10%-80% dalam masa 32 minit. Sistem pengecas AC 11-kW (dengan penyambung Type 2) pula membolehkan bateri dicas sepenunhnya selama tujuh-jam.

    BMW i4 eDrive35 M Sport facelift 2025 dilancarkan di Malaysia – bermula RM295k, lampu belakang laser

    Untuk sistem bantuan pemanduan, Gran Coupe ini datang standard dengan Active Cruise Control dengan stop & go, Lane Departure Warning dengan Lane Return, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Brake Intervention, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention dan Speed Limit Info.

    Ia juga menerima Parking Assistant, yang menampilkan fungsi Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Lateral Parking Aid dan Reversing Assist Camera.

    Warna badan sebelum ini seperti Alpine White, Mineral White, Black Sapphire, M Portimao Blue dan M Brooklyn Grey masih di ditawarkan, dengan dua warna tambahan iaitu Cape York Green dan Fire Red.

    GALERI: Imej Rasmi BMW i4 eDrive35 M Sport 2025

     
     
  • Polis laksana Op Selamat 23 pada 28 Jan hingga 2 Feb 2025 di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina

    Polis laksana Op Selamat 23 pada 28 Jan hingga 2 Feb 2025 di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengumumkan Op Selamat Siri 23 akan dilaksanakan mula 28 Januari hingga 2 Februari 2025 di seluruh negara. Dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ dan ‘Sayangi diri, jauhi kemalangan’, Op Selamat 23 ini adalah sempena dengan Tahun Baru Cina 2025 yang bakal disambut pada hujung bulan ini.

    Menurut PDRM, Op Selamat ini akan menumpukan perhatian khusus kepada enam kesalahan trafik utama yang telah dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.

    “Enam kesalahan trafik yang menjadi fokus utama PDRM ialah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan,memotong di garisan berkembar, memotong barisan ‘Q’, tidak mematuhi lampu isyarat, dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

    “Semua pengguna jalan raya diminta untuk mematuhi peraturan dan undang-undang demi menjamin keselamatan bersama,” kata PDRM menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.

    Sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan diri sendiri, penumpang dan orang di sekeliling semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua dan bila-bila masa. Jalan raya bukanlah tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

    Maka, amalkan pemanduan selamat dan tingkatkan fokus pemanduan serta pastikan kenderaan anda berada dalam kondisi yang baik sebelum memulakan perjalanan.

     
     
  • BMW Motorrad lancar BMW R 12 serba baru — 1,170 cc, 95 hp/110 Nm, 0-100 km/j dalam 3.9 saat; RM123k

    BMW Motorrad lancar BMW R 12 serba baru — 1,170 cc, 95 hp/110 Nm, 0-100 km/j dalam 3.9 saat; RM123k

    BMW Motorrad hari ini turut memperkenalkan motosikal BMW R 12 Serba Baru, yang menampilkan rekaan klasik yang digabungkan dengan kuasa dari enjin ikonik BMW serta teknologi inovatif untuk pasaran tempatan dengan harga RM123,000.

    Jentera ini dilengkapi enjin R boxer dua-silinder empat-lejang dengan kapasiti 1,170cc sejukan cecair serta empat-injap di setiap silinder, dan menghasilkan output sebanyak 95hp pada 6,500 rpm dan tork 110 Nm pada 6,000 rpm dengan kelajuan maksimum melebihi 200 km/j. Unit ini digandingkan pula dengan kotak gear enam-kelajuan yang lancar dan responsif.

    Enjin ini juga membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat. Kadar penggunaan minyak pula adalah 5.1 liter per 100 km. BMW R 12 serba baru ini mempunyai dimensi 2,200 mm panjang, 830 mm lebar dan 754 mm tinggi. Berat keringnya pula ialah 227 kg.

    BMW Motorrad lancar BMW R 12 serba baru — 1,170 cc, 95 hp/110 Nm, 0-100 km/j dalam 3.9 saat; RM123k

    Dari segi kelengkapan, BMW R 12 serba baru ini antara lain hadir dengan lampu depan dan belakang LED — dengan lampu depan Adaptive Pro dan Dynamic Brake Light di belakang.

    Menawarkan beberapa Mod Penunggangan termasuk Rock & Roll, BMW R 12 serba baru ini mampu disesuaikan untuk tunggangan dalam pelbagai keadaan dan persekitaran, sekaligus memberikan pengalaman penunggangan yang lancar. Tidak ketinggalan, ia turut didatangkan dengan fungsi kawalan cengkaman dinamik (DTC), sistem brek anti-kunci ABS Pro dengan sudut kecondongan yang optimum daripada BMW Motorrad sendiri, serta Bantuan Penukaran Gear Pro.

    BMW Motorrad lancar BMW R 12 serba baru — 1,170 cc, 95 hp/110 Nm, 0-100 km/j dalam 3.9 saat; RM123k

    BMW R 12 terbaru ini juga lengkap dengan Comfort Package, yang terdiri daripada ciri seperti kawalan melayar, bantuan mula mendaki, bantuan penukaran gear pro serta pemanas pemegang — motosikal ini direka untuk keselesaan penunggangan jarak jauh. Sistem tanpa kunci, port pengecasan USB dan Kawalan Penunggangan Terhubung menyediakan pengalaman penunggangan yang intuitif sekaligus meningkatkan pengalaman dalam setiap tunggangan.

    Penampilan luarannya juga diilhamkan daripada gaya vintage dalam warna Aventurin Red Metallic termasih di bahagian pelindung tayar depan dan belakang serta tangki dan fender, yang menyerlahkan lagi gaya klasik yang dibawanya. Rim dengan tempaan aloi ringan, sistem ekzos stainless-steel serta rekaan open shaft membuatkan rekaannya lebih menarik sebagai sebuah motosikal yang menyerlah dalam segmen cruiser heritage.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025