Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Modenas Kriss 125 Fi dilancar di Malaysia – RM5,620

    Modenas Kriss 125 Fi dilancar di Malaysia – RM5,620

    Modenas menaik taraf model Kriss dengan pengenalan model baru Kriss 125 Fi, yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada harga RM5,620 tidak termasuk insurans. Ia tersedia dalam pilihan warna Glacier Emerald Green dan Graphite Grey, berserta jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Daripada namanya kita sudah mengetahui bahawa peningkatan utama adalah di bahagian enjin, yang kini menggunakan unit satu silinder penyejukan udara SOHC 124 cc dengan sistem suntikan bahan api, dipadankan bersama tranmsisi empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 8.4 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Secara kasarnya Kriss 125 Fi ini nampak sama seperti Kriss 110 Fi yang dilancarkan tahun lepas, tetapi jika diperhatikan secara terperinci, semua panel badannya adalah berbeza. Ia juga dipertingkat dengan lampu siang serta lampu penunjuk arah LED.

    Ditawarkan sebagai pilihan motosikal mampu milik, Kriss 125 Fi ini datang dengan padanan brek cakera di hadapan dan dram di belakang, sementara rim 17 inci tanpa tiubnya dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap di belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 4.2 liter, pemula enjin elektrik dan tendang, ruang simpanan bawah tempat duduk, dua soket pengecas USB serta meter dengan penunjuk kedudukan gear.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia dan Malaysia Airlines tawar servis pemindahan terminal persendirian di KLIA 1

    Mercedes-Benz Malaysia dan Malaysia Airlines tawar servis pemindahan terminal persendirian di KLIA 1

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu syarikat induk Malaysia Airlines hari ini telah mengumumkan kerjasama strategik bagi menawarkan servis pemindahan terminal persendirian mewah antara terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke bangunan-bangunan satelit sekitarnya.

    Perkhidmatan yang telahpun bermula 16 Januari lalu ini menggunakan dua model sedan mewah S Class terkini Mercedes-Benz iaitu S 580 e Plug-in Hybrid dan juga versi elektrik penuh (EV) Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC. Servis ini akan ditawarkan untuk pelanggan-pelanggan yang layak dan bersedia untuk digunakan 24-jam setiap hari.

    Bukan hanya menawarkan perkhidmatan pengangkutan di lapangan terbang semata-mata, menerusi kerjasama ini juga ahli-ahli Enrich Platinum dan Gold akan menikmati ganjaran istimewa #MyMercedesRewards untuk model-model EV dan plug-in hybrid Mercedes-Benz terpilih bagi memberikan pengalaman pemilikan yang ekslusif. Sebagai tambahan, ahli yang membeli Mercedes-Benz baharu tahun ini berpeluang untuk menyertai percutian ke ke Jerman yang menawarkan pengalaman unik ke dalam dunia Mercedes-Benz.

    Mercedes-Benz Malaysia dan Malaysia Airlines tawar servis pemindahan terminal persendirian di KLIA 1

    Ahli kedua-dua Enrich Platinum dan Gold ini juga akan menikmati akses ke acara-acara eksklusif MBM dan juga Malaysia Airlines Enrich yang diatur. Malah bermula 1 Mac 2025, mana-mana pelanggan yang membeli kenderaan baharu dari Mercedes-Benz akan menikmati servis pemindahan terminal persendirian ini secara percuma selama setahun sekiranya terbang dengan Malaysia Airlines.

    “Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama Mercedes-Benz Malaysia dan Malaysia Airlines untuk menyampaikan pengalaman yang luar biasa. Pelanggan boleh menantikan tawaran istimewa, termasuk jemputan ke acara gaya hidup yang telah disusun atur secara eksklusif, insentif kenderaan khas dan perkhidmatan perjalanan yang lancar. Bersama-sama, tawaran ini menggabungkan kekuatan kedua-dua jenama untuk mencipta detik yang tidak dapat dilupakan,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    “Di Mercedes-Benz, misi kami adalah untuk mencipta pengalaman luar biasa—apa yang kami panggil Mercedes Moments—di mana teknologi termaju memenuhi keanggunan abadi untuk menjadikan setiap perjalanan tidak dapat dilupakan. Bekerjasama dengan Malaysia Aviation Group membolehkan kami meningkatkan pengalaman perjalanan mewah untuk pelanggan kami dan ahli Enrich, menetapkan tanda aras baharu dalam eksklusiviti dan kecanggihan,” kata CEO dan presiden MBM Amanda Zhang.

    “Kami berdedikasi untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dengan meningkatkan standard perkhidmatan. Perkongsian kami dengan Mercedes-Benz Malaysia memastikan ahli Enrich dan penumpang elit menikmati keselesaan premium. Ini menyokong usaha kami untuk meningkatkan tawaran dalam penerbangan dan di darat, mengukuhkan perkhidmatan premium Malaysia Airlines. Selain itu, melalui keistimewaan eksklusif dan penglibatan yang dipilih susun, kami berusaha untuk meningkatkan pengalaman Enrich, memastikan perjalanan yang lancar dan bermanfaat selain daripada penerbangan. Kami kekal komited untuk memberikan perkhidmatan luar biasa yang mencerminkan Hospitaliti Malaysia,” kata CEO Servis Kesetiaan dan Perjalanan MAG, Philip See.

     
     
  • Lebuhraya WCE: Persimpangan SKVE-Persimpangan KESAS dibuka mulai 22 Jan – tol percuma sebulan

    Lebuhraya WCE: Persimpangan SKVE-Persimpangan KESAS dibuka mulai 22 Jan – tol percuma sebulan

    Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) hari ini menyaksikan pembukaan rasmi bagi Seksyen 2 projek berkenaan, yang melibatkan jajaran laluan dari menghubungkan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Shah Alam (KESAS) yang bakal dibuka secara rasminya mulai 12.01 tengahmalam ini, 22 Januari 2025 (Rabu).

    Bahagian lebuhraya yang dibuka ini melibatkan jajaran sepanjang 7.2 kilometer dan pengguna kini mempunyai laluan alternatif yang lebih mudah dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebaliknya dengan sambungan terus ke Lebuhraya SKVE dan Lebuhraya KESAS.

    Pembukaan jajaran ini akan melengkapkan jajaran yang telah dibuka sebelum ini dari Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE yang telah dibuka pada 31 Ogos 2024 yang lalu. Pembukaan kedua-dua jajaran ini akan mempercepatkan perjalanan dari Shah Alam ke Banting atau KLIA berbanding menggunakan jalan sedia ada, sekali gus memberi impak positif kepada mobiliti penduduk dan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.

    Lebuhraya WCE: Persimpangan SKVE-Persimpangan KESAS dibuka mulai 22 Jan – tol percuma sebulan

    Dengan adanya jaringan perhubungan lebuhraya yang lebih baik ini dijangka menarik pelaburan ke kawasan perindustrian sedia ada seperti Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Bandar Botanik serta merangsang sektor industri dan komersial di sepanjang koridor ini. Selain daripada meningkatkan kelancaran pergerakan, Lebuhraya WCE turut menyediakan sambungan strategik ke Pelabuhan Klang yang bakal memanfaatkan sektor pengangkutan kargo.

    Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang merasmikan jajaran lebuhraya ini turut mengumumkan pemberian kadar tol percuma kepada pengguna laluan ini yang diberikan selama sebulan.

    “Dengan ini, saya sukacitanya mengumumkan bahawa Seksyen 2, Lebuhraya WCE, dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE, akan dibuka kepada pengguna mulai Rabu, 22 Januari 2025, pada jam 12.01 tengah malam. Sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya (di kedua-dua arah), mereka akan menikmati tol percuma selama sebulan bermula tengah malam ini.

    “Saya ingin mengingatkan pengguna yang menggunakan laluan dari Plaza Tol SAE menuju ke Plaza Tol Banting atau sebaliknya, bahawa pengecualian tol hanya akan diberikan sehingga Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE). Kadar tol bagi jajaran sedia ada akan dikenakan seperti biasa mengikut kelas kenderaan masing-masing,” kata Nanta Linggi.

    Sambungnya lagi, “Dengan tambahan jajaran sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat SKVE dan Persimpangan Bertingkat SAE ini, saya difahamkan tempoh masa perjalanan antara Shah Alam dan Banting akan menjadi lebih pendek iaitu dari 1 jam kepada 25 minit sahaja, sekaligus menawarkan laluan alternatif yang amat diperlukan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan dan komersial sepanjang laluan sedia ada.”

    Dalam masa yang sama, beliau juga percaya pembukaan Seksyen 2 WCE ini juga akan membawa manfaat yang lebih besar, bukan hanya untuk menghubungkan Lebuhraya SKVE ke Lebuhraya KESAS sahaja. Malah, ia akan menjadi “jalan kehidupan” yang membuka peluang baharu kepada masyarakat di sepanjang koridor pantai barat ini. Sebagai contoh, kawasan seperti Banting, Telok Panglima Garang, Pulau Indah, dan Bandar Botanik akan menjadi lebih mudah diakses, menjadikannya destinasi yang lebih menarik untuk pelabur serta merangsang jaringan perhubungan pengangkutan awam di sekitarnya.

    “Hasilnya, akan terwujudlah peluang pekerjaan baharu, peluang perniagaan, dan melonjakkan kegiatan ekonomi penduduk tempatan. Lebuhraya ini akan membuktikan pencapaian sebahagian daripada perjalanan negara ke arah matlamat Malaysia MADANI – perjalanan ke arah kemajuan yang berakar pada nilai-nilai kemanusiaan, kualiti hidup yang lebih baik, dan kemampanan untuk generasi akan datang,” tambahnya.

    Pembukaan jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 kilometer yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping di Perak. Dengan siapnya lebuhraya ini, WCE akan menjadi antara pemangkin utama dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, khususnya di sepanjang koridor barat Semenanjung Malaysia, meningkatkan aktiviti pelancongan domestik di samping di harap akan mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama jajaran lembah kelang ke utara semenanjung.

     
     
  • PETRA komited pasang 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang hujung tahun ini – Fadillah

    PETRA komited pasang 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang hujung tahun ini – Fadillah

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk memastikan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) diwujudkan seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

    Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi berkata penyediaan stesen pengecas itu perlu diwujudkan di semua kawasan bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga meliputi kawasan luar bandar, laporan Berita Harian.

    Di samping itu, katanya, ia perlu bagi menggalakkan lebih ramai beralih kepada kenderaan mesra alam dalam usaha menangani perubahan iklim.

    PETRA komited pasang 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang hujung tahun ini – Fadillah

    “Kenderaan EV sebenarnya di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi PETRA bertanggungjawab untuk meningkatkan stesen pengecas.

    “Kalau kita hendak menggalakkan (penggunaan kenderaan EV) mesti terlebih dahulu ada stesen pengecas untuk kemudahan orang ramai sebab kebanyakan kereta EV kapasitinya ialah setiap 300 kilometer (km) hingga 400km mesti kena cas semula, justeru peningkatan stesen pengecas itu memang salah satu agenda bersama di bawah MITI dan juga PETRA,” katanya.

    Sebelum ini, kerajaan menerusi MITI memang telah menyatakan sasaran pemasangan 10,000 pengecas EV terdiri daripada 1,500 DC dan 8,500 AC, menjelang akhir tahun 2025. Ini diutarakan pada tahun 2021 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030.

     
     
  • Penghantaran Nissan Kicks e-Power akan bermula dalam beberapa minggu lagi – EV berenjin dari RM114k

    Penghantaran Nissan Kicks e-Power akan bermula dalam beberapa minggu lagi – EV berenjin dari RM114k

    Selepas melihat sebuah unit pandu uji di PJ minggu lalu, barulah kami sedar sebelum ini tidak pernah melihat lagi Nissan Kicks e-Power atas jalan raya. Ini kerana penghantaran untuk SUV segmen B dengan penggerak unik tersebut masih belum bermula.

    Itu bagaimanapun akan berubah kerana Edaran Tan Chong Motor mengeluarkan kenyataan bahawa penghantaran untuk model yang dilancarkan sewaktu KL International Motor Show (KLIMS) 2024 awal bulan lepas itu akan bermula dalam beberapa minggu akan datang.

    “Kami teruja untuk berkongsi bahawa Nissan Kicks e-Power bersedia untuk penghantaran dalam masa beberapa minggu lagi. Pasukan kami komited untuk mempercepatkan proses ini bagi memastikan pelanggan kami dapat menikmati teknologi e-Power secepat mungkin. Pencapaian ini menunjukkan janji Nissan untuk membawa kenderaan masa hadapan kepada rakyat Malaysia sambil menyampaikan servis serta nilai yang terbaik,” kata CEO ETCM, Khoo Cheng Pah.

    Istimewanya penggerak e-Power pada Kicks ini adalah ia menggunakan kuasa elektrik untuk menggerakkan roda, iaitu melalui motor elektrik 129 PS/280 Nm, tetapi dibantu oleh enjin tiga silinder 1.2L NA berkuasa 82 PS/103 Nm yang bertindak sebagai generator untuk bateri 2.06 kWh yang digunakan.

    Dilengkapi dengan tangki minyak 41 liter, sistem janaan e-Power ini dikatakan mampu memberi kadar penggunaan bahan api 21.7 km/l (NEDC) dan boleh jarak perjalanan sehingga 900 km dengan satu tangki penuh petrol.

    Nissan Kicks e-Power ditawarkan di Malaysia dalam dua varian iaitu VL dan VLT (terdapat pilihan warna dua-tona bumbung hitam), dengan masing-masing dijual dengan harga RM113,800 dan RM121,800 (RM125,800 untuk versi dua-tona). Sebagai pengenalan, ETCM menawarkan rebat pengenalan sebanyak RM5,000 bagi 500 pembeli terawal serta lanjutan dua-tahun bagi komponen elektrifikasinya (menjadikan 10-tahun/160,000 km).

     
     
  • BMW Group Malaysia teruskan rancangan dorong EV meskipun jualan menurun, CKD dalam perbincangan

    BMW Group Malaysia teruskan rancangan dorong EV meskipun jualan menurun, CKD dalam perbincangan

    Meskipun jualan kenderaan elektrik (EV) jenama di bawahnya menurun 25% pada tahun 2024 berbanding 2023, BMW Group Malaysia masih akan meneruskan rancangan dorongan EV mereka dan dalam perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk proses pemasangan EV dalam negara.

    “Kami sudah pasti akan fokus kepada EV dan teruskan (rancangan sedia ada), tetapi pergi ke arah keterbukaan teknologi kami, jadi apa yang pelanggan mahu, itu yang kami akan bekalkan, dan kami juga pastinya akan membawa EV baru ke dalam negara,” kata pengarah urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel.

    Beliau menambah bahawa syarikat melalui banyak peralihan tahun lepas, dengan MINI menyambut ketibaan model generasi baru dan banyak pengenalan model BMW baru seperti iX2, dan varian baru iX1 pada pertengahan tahun.

    Nagel memberitahu, permintaan untuk model mewah dan besar seperti i7 masih lagi “sangat bagus” dan “mula stabil” berbanding waktu di puncak semasa ia baru dilancarkan, dan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) masih akan menjadi penyumbang jualan utama. Malahan, model ICE mencatat 80% daripada jualan keseluruhan BMW Group Malaysia tahun lepas.

    Memandangkan syarikat ini masih mahu meneruskan rancangan dorongan EV, sukar untuk kita abaikan isu berkenaan pelepasan cukai kepada EV import (CBU) yang sepatutnya berakhir hujung tahun ini. Adakah BMW Group Malaysia mempunyai perancangan lain untuk melindungi model EV mereka?

    “Kami, sudah tentu, dalam hubungan yang rapat dengan kerajaan. Kami rasa ia penting memandangkan kami merupakan pelabur jangka masa panjang dalam negara ini dan pelaburan kami perlu memberi hasil, jadi kami juga sedang melihat apa hala tuju kerajaan dan mengadakan perbincangan yang berguna,” kata Nagel.

    “Bila kami sudah jelas dengan hala tuju bukan sahaja untuk tahun hadapan tetapi jangka masa panjang – kerana pelaburan untuk pemasangan tempatan memerlukan rancangan jangka masa panjang – kami juga akan melihat kepada peluang ini untuk mengetahui apa yang boleh dilakukan. Kami mungkin tidak akan memasang dalam negara semua model dengan semua penggerak; di mana kami percaya pasaran terbesar untuk penggerak tertentu, kami akan pilih yang itu,” tambah beliau.

     
     
  • Proton Saga MC3 2025 – ini rupa sebenarnya nanti?

    Proton Saga MC3 2025 – ini rupa sebenarnya nanti?

    Minggu lalu menerusi gambar yang dihantar oleh pembaca paultan.org, kami mengesan bahawa Proton kini sedang membangunkan satu lagi versi tingkat taraf Saga sedia ada. Gambar pertama yang kami terima hanya memaparkan imej sebelah belakang model tersebut yang nampak masih sama dengan model yang sedang dijual sekarang.

    Namun menerusi satu lagi gambar yang lebih jelas, walaupun dilindungi oleh pelekat penyamaran, Saga berkenaan dilihat mengenakan lampu dan juga dilengkapi hadapan baharu bersama kamera sistem bantuan pemanduan termaju pada cermin hadapannya. Berdasarkan imej tersebut, pakar manipulasi automotif tempatan Theophilus Chin cuba untuk membayangkan rupa sebenar Saga ini kelak.

    Pertama sekali pada gril depan – Theo memberikan gril dengan elemen pin krom dan ia melengkung ke dalam, bersama logo Proton dengan ‘sayap ala-Mercedes Benz’ seperti yang boleh kita lihat di celah-celah pelekat penyamaran unit prototaip tersebut. Selari dengan rekaan-rekaan terkini Proton, bahagian bawah gril tersebut juga diberi rekaan ethereal-bow.

    Kemudian beralih ke rekaan lampu hadapan di mana klusternya direkaan seakan dari rekaan Saga FLX. Namun pada bahagian dalam lampu itu diberikan tiga jalur lampu nyalaan siang LED pada bahagian ‘kening’ dan juga unit projektor untuk lampu utama.

    Manakala untuk bampar, Theo memberikan rekaan apron lebih lebar dan juga perumah lampu kabus berbentuk-T yang diilhamkan dari rekaan bampar ‘abang’ Saga iaitu sedan segmen-C Proton S70. Saga ini masih menggunakan rekaan rim sama seperti model sedia ada seperti dilihat pada unit-unit prototaip tempoh hari.

    Kemaskini kali ini menampilkan perubahan yang agak banyak, jadi ia menimbulkan satu lagi persoalan – adakah ini merupakan satu lagi facelift yang sememangnya akan digelar sebagai Saga MC3, atau ini adalah model generasi baharu yang menggunakan platform AMA?

    Sekiranya ini adalah model facelift, ia bukanlah model sekadar untuk ‘menghabiskan stok’ kerana melibatkan penukaran lampu dan gril baharu serta sistem ADAS, dan sudah tentu akan dijual dalam tempoh yang lama untuk ‘balik modal’. Dan ia juga sudah tentu sukar untuk dijual pada harga lebih murah dari model sedia ada dengan penambahan perincian-perincian tersebut, mustahil untuk dijual bersama model generasi baharu seperti Perodua Axia E MT dan Axia generasi kedua.

    Tetapi jika ini adalah benar-benar model generasi baharu, sudah tentu ia agak mengecewakan kerana masih menggunakan badan yang nampak sama seperti model generasi yang ada di bilik pameran sekarang.

    Selain dari aspek-aspek yang boleh dilihat dengan mata kasar ini, ada pelbagai persoalan lagi bermain di kepala, antaranya adalah berkenaan unit rangkaian kuasa. Proton sebelum ini telah pun menghentikan pembangunan enjin Campro, jadi adakah model ini akan menerima enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely untuk kekal relevan dalam pasaran, atau masih akan mengekalkan unit yang sama seperti model sekarang?

    Ada pula rasa macam mana? Ini Saga MC3 atau Saga generasi baru?

     
     
  • Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

    Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

    Sudah dua tahun Mercedes-AMG C 63 S E Performance muncul dalam pasaran global, dan ia sudah berada di Malaysia sejak Julai lalu, namun model yang lebih berkuasa menghasilkan 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm berbanding 503 hp/700 Nm pada generasi sebelumnya ini agak kurang mendapat perhatian.

    Puncanya agak mudah untuk dikesan – model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin V8 Twin Turbo, sebaliknya ia digantikan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo yang dibantu oleh kuasa elektrik menerusi sistem plug-in hybrid. Jadi walaupun kuasa yang dihasilkan lebih besar, karekter asal dengan bunyi dan juga getaran V8 sudah lagi tiada pada C 63 generasi baharu ini – dan perkara ini sebenarnya diakui oleh bos Mercedes-AMG sendiri.

    Menurut CEO Mercedes-AMG Michael Schiebe dalam laporan Car, beliau akui bahawa jenama itu telah kehilangan pelanggan setia menerusi langkah tersebut, namun ia adalah halatuju yang betul untuk masa depan. Schiebe turut menyatakan bahawa pelanggan perlu pandu uji dahulu model ini sebelum membuat kesimpulan.

    Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

    “C 63 merupakan kereta yang penting dalam portfolio kami. Dulu, kini dan selepas ini. Kami ambil keputusan versi sedia ada benar-benar menggunakan teknologi terkini. Kami mahukan sesuatu yang baru dan sebab itu kami letakkan unit rangkaian kuasa F1 pada model yang sah digunakan di atas jalan raya.

    “Kami lihat sebahagian pelanggan-pelanggan kami yang sangat setia sukar untuk menerima konsep ini. Sudah tentu, tak dinafikan kami juga kehilangan sebahagian pelanggan yang hanya gemarkan V8,” kata Schiebe dan menambah “Anda perlu benar-benar pandu kereta ini. Ia merupakan produk yang meyakinkan”.

    “Kami menggunakan teknologi yang jauh ke hadapan, tetapi kami perlu lebih banyak menerangkan teknologi ini kepada jurujual dan pelanggan. Kami akan terus lakukan dan memperbaikinya. Ada pepatah Jerman menyebut ‘anda tidak akan dapat peluang kedua pada pandangan pertama’. Mungkin kami dah terlepas pandangan pertama, tetapi jika anda ada peluang, saya pasti anda akan yakin dengan teknologi ini,” tambahnya.

    Bukan sekadar mempertahankan teknologi PHEV ini, malah Schiebe percaya masa hadapan untuk industri automotif adalah elektrik walaupun ada beberapa pengeluar telahpun mula membangunkan semula enjin pembakaran dalaman, termasuk Mercedes-Benz sendiri. Beliau turut menyatakan bahawa Mercedes-AMG mempunyai perancangan untuk semua unit rangkaian kuasa, dari enjin pembakaran dalaman sehingga EV.

    “Ketika kami terus melabur dalam enjin pembakaran dalaman tanpa ada tarikh akhir yang ditetapkan, dalam masa yang sama kami tidak akan memperlahankan pembangunan [elektrifikasi]. Saya sangat positif berkenaan masa hadapan elektrik sepenuhnya untuk AMG. Teknologi baharu ini memberikan kami peluang yang sangat banyak – anda boleh buat banyak benda yang tidak boleh dibuat dengan enjin pembakaran dalaman hari ini,” katanya.

    Schiebe turut menyatakan AMG juga tidak berminat dengan bahan api sintetik e-fuels seperti Porsche dan Ferrari. “Kami akan menuju masuk ke elektrik sepenuhnya, ia tak boleh dikalahkan,” tegasnya.

     
     
  • Polis Nilai tahan seorang bapa kerana biarkan anak berusia 6 tahun bergayut pada pintu luar trak pikap

    Polis Nilai tahan seorang bapa kerana biarkan anak berusia 6 tahun bergayut pada pintu luar trak pikap

    Seorang bapa telah ditahan pihak polis kerana membiarkan anaknya berusia enam tahun bergayut pada pintu bahagian luar sebuah trak pikap yang dirakam dan tular di media sosial. kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.45 malam Khamis lalu di kawasan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, lapora Harian Metro

    “Kira-kira jam 11.10 pagi tadi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai mengesan satu video tular berdurasi 27 saat yang dimuat naik menerusi di akaun X. Ia menunjukkan kenderaan dipandu dengan keadaan seorang kanak-kanak bergayut pada sebuah pikap berwarna kelabu,” kata Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim.

    Tambah beliau, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai mengesan dan menahan pemandu pikap berkenaan dan dibawa ke IPD Nilai.

    Polis Nilai tahan seorang bapa kerana biarkan anak berusia 6 tahun bergayut pada pintu luar trak pikap

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku membabitkan pikap jenis Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun di kawasan Bandar Baru Nilai. Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang bergayut di pintu sebelah pemandu kenderaan itu adalah anak kepada pemandu terbabit.

    “Perbuatan kanak-kanak itu adalah sekadar suka-suka dan menjadi kebiasaannya membuat permintaan kepada bapanya untuk berdiri di luar kenderaan ketika bapanya memandu,” katanya sambil mengesahkan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 47(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 067904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor B Sharveen Raj di talian 011-26176424,” katanya.

     
     
  • Puspakom siasat kes pelanggan bertindak kasar di Taman Daya, JB berikutan kegagalan ujian brek

    Puspakom siasat kes pelanggan bertindak kasar di Taman Daya, JB berikutan kegagalan ujian brek

    Puspakom sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden di pusat Puspakom di Johor Bahru, di mana seorang kakitangan pusat pemeriksaan itu ditampar oleh pelanggan, laporan Bernama.

    Siasatan mendapati pelanggan terbabit bertindak kasar apabila kenderaan komersil yang dibawanya untuk ujian brek didapati gagal semasa pemeriksaan berkala, kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman.

    “Kegagalan itu mendorong suspek untuk berdepan dengan pemeriksa kenderaan Puspakom terbabit, kemudian secara tiba-tiba menyerangnya. Sebarang bentuk keganasan terhadap kakitangan Puspakom akibat kegagalan dalam pemeriksaan adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana pemeriksaan itu menunjukkan kenderaan itu tidak selamat untuk digunakan di jalan raya,” kata Mahmood dalam satu kenyataan.

    Puspakom siasat kes pelanggan bertindak kasar di Taman Daya, JB berikutan kegagalan ujian brek

    Tambah beliau, “Pelanggan yang menerima keputusan pemeriksaan seperti ini harus mengambil iktibar dan segera membaiki keadaan kenderaan mereka demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain, bukannya bertindak agresif terhadap kakitangan kami,” kata Mahmood.

    Berikutan itu, langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat sedang dikaji semula bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom itu. “Keselamatan di tempat kerja untuk kakitangan adalah keutamaan kami, dan kami komited untuk menguatkuasakan dasar ini tanpa pengecualian. Kami tidak akan bertolak ansur dengan perlakuan sebegitu, dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaku menerima akibat yang sewajarnya,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, pihaknya menerima video itu melalui pautan di X (sebelum ini Twitter), dan polis mengesahkan video yang tersebar menunjukkan seorang lelaki menampar seorang kakitangan Puspakom di Taman Daya, Johor Baru, dengan kejadian berlaku pada 18 November.

     
     
  • JPJ keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 27-28 Jan, 1-2 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    JPJ keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 27-28 Jan, 1-2 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan info grafik berhubung larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut minggu hadapan. Ia bakal dilaksanakan sepanjang tempoh empat hari iaitu 27 hingga 28 Januari (sebelum perayaan) dan 1 hingga 2 Februari 2025 (selepas perayaan).

    Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, kenderaan berat ini dikategorikan kepada tiga iaitu trak tunda yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), lori kontena dan kren bergerak serta lori pembancuh simen. Bagi setiap kategori ini, ia mempunyai masa yang dihadkan penggunaannya. Bagi kategori satu iaitu lori pembawa kenderaan, trak tunda ketika tidak menunda kenderaan motor dan lori jongket (tipper) yang berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kg.

    Selain itu, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, traktor, pengangkut simen, besi keluli, batu pasir, tanah dan bahan binaan lain seperti bijih timah dan arang batu turut berada dalam kategori satu yang mana tempoh larangannya ialah sepanjang empat hari berkenaan.

    Bagi kategori kedua pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya.

    Seterusnya bagi kategori ketiga membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

     
     
  • Proton Saga MC3 2025 sekali lagi dijumpai – ada kamera ADAS, rekaan lampu hadapan dan gril baharu

    Proton Saga MC3 2025 sekali lagi dijumpai – ada kamera ADAS, rekaan lampu hadapan dan gril baharu

    Selepas dilihat dibawa dengan lori pengangkut tempoh hari, kelibat prototaip Proton Saga MC3 2025 sekali lagi dijumpai – gambar ini diambil oleh Johnny Tan ketika unit berkenaan mengisi petrol di stesen Petron berhadapan Ibu Pejabat Proton di Shah Alam.

    Gambar yang diambil kali ini adalah lebih jelas dan mendedahkan beberapa perincian penting pada model kemaskini ini. Walaupun hampir keseluruhan badannya dibalut dengan pelekat penyamaran, dapat dilihat Saga ini menerima lampu hadapan dan gril baharu, dan yang paling penting ada kamera sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada bahagian atas cermin hadapan!

    Nampaknya kemaskini kali ini menampilkan perubahan yang agak banyak, jadi ia menimbulkan satu lagi persoalan – adakah ini merupakan satu lagi facelift, atau ini sememangnya model generasi baharu yang menggunakan platform AMA?

    Sekiranya ini adalah model facelift, ia bukanlah model sekadar untuk ‘menghabiskan stok’ kerana melibatkan penukaran lampu dan gril baharu serta sistem ADAS, dan sudah tentu akan dijual dalam tempoh yang lama untuk ‘balik modal’. Dan ia juga sudah tentu sukar untuk dijual pada harga lebih murah dari model sedia ada dengan penambahan perincian-perincian tersebut, mustahil untuk dijual bersama model generasi baharu seperti Perodua Axia E MT dan Axia generasi kedua.

    Tetapi jika ini adalah benar-benar model generasi baharu, sudah tentu ia agak mengecewakan kerana masih menggunakan badan yang nampak sama seperti model generasi sedia ada.

    Selain dari aspek-aspek yang boleh dilihat dengan mata kasar ini, ada pelbagai persoalan lagi bermain di kepala, antaranya adalah berkenaan unit rangkaian kuasa. Proton sebelum ini telah pun menghentikan pembangunan enjin Campro, jadi adakah model ini akan menerima enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely untuk kekal relevan dalam pasaran, atau masih akan mengekalkan unit yang sama seperti model sekarang?

    Apa pun yang pasti tahun ini Proton bakal memperkenalkan model-model yang menarik untuk pasaran tempatan. Selain dari Saga ini, Proton turut telah mengesahkan bahawa model EV keduanya turut sah akan dilancarkan tahun ini.

    Berbalik kepada Saga ini – adakah anda rasa ia model facelift MC3 atau ini memang benar-benar Saga generasi baharu? Bincangkan dan kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau pada laman-laman media sosial kami.

     
     
  • Rapid KL tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) tahun ini – Putrajaya, Kajang, Ampang

    Rapid KL tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) tahun ini – Putrajaya, Kajang, Ampang

    Nampak gayanya usaha Rapid Kl dalam menyediakan perkhidmatan van Demand Responsive Transit (DRT) di Lembah Klang mendapat sambutan di kalangan para penggunanya. Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2023 dalam ujian rintis, kini DRT menjadi perkhidmatan tetap selain bas perantara, yang tersedia di stesen tren kendalian Rapid KL.

    Bagi memenuhi permintaan yang makin tinggi, Rapid KL bakal menyediakan 300 unit van lagi untuk tujuan perkhidmatan DRT ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Katanya, van baharu itu akan mula beroperasi secara berperingkat antara Februari dan Jun.

    “Dua puluh van digunakan sejak tahun lalu dan ia menjadi popular. Ramai yang suka sebab kami caj cuma RM1 sehala. Jadi mulai Mac, 300 van baharu akan mula beroperasi secara progresif setelah kami mendapat van baharu,” kata Loke dalam sidang media hari ini.

    Selaku pengendali pengangkutan awam Rapid, Presiden Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pihaknya sedang merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan DRT di kawasan baharu di sepanjang laluan tren Putrajaya, Kajang dan Ampang, serta di kawasan yang kini tiada perkhidmatan rel atau bas Rapid.

     
     
  • Kilang Geely Mesir dibuka, pasang Emgrand dan Coolray; Proton hanya masuk pasaran mampu milik?

    Kilang Geely Mesir dibuka, pasang Emgrand dan Coolray; Proton hanya masuk pasaran mampu milik?

    Geely secara rasmi telah membuka kilang baharu di Bandar 6 Oktober, Mesir bagi menghasilkan model sedan Emgrand (asas untuk Proton S70) dan juga SUV Coolray (asas untuk Proton X50), lapor akhbar tempatan Ahram Online.

    Kilang berkenaan dibuka dengan kerjasama Auto Mobility (Geely Mesir), dan ia merupakan fasiliti industri pertama dibuka oleh Geely di kawasan Mesir, Afrika dan Timur Tengah. Kilang tersebut menampilkan dua barisan produksi yang mampu menghasilkan 10,000 unit kenderaan setahun untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan, serta boleh mengeksport 30,000 unit kenderaan untuk dipasarkan ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

    Geely dan Proton sebelum ini sudahpun bersama-sama berada dalam pasaran Mesir, masing-masing dengan rakan kerjasama yang berbeza. Dua bulan lalu Proton turut baru membuka kilang pemasangannya di Mesir juga dengan perancangan untuk mengeksport kenderaan ke pasaran MENA, namun buat masa sekarang hanya menghasilkan Saga dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

    Kilang Geely Mesir dibuka, pasang Emgrand dan Coolray; Proton hanya masuk pasaran mampu milik?

    Proton sebelum ini turut sudah menunjukkan kemampuannya untuk menghasilkan X50 dalam versi LHD di mana 200 unit model berkenaan diumumkan sudah diekpsort ke Vietnam. Jadi dengan perkembangan terbaharu ini nampaknya pasaran Proton di Mesir dan MENA mungkin hanya terhad pada model-model mampu milik seperti Saga serta model baharu berasaskan platform AMA pada masa akan datang?

    Walau bagaimanapun, Proton sebelum ini mendakwa bahawa kilangnya di Mesir tersebut mampu menghasilkan sebanyak 50,000 unit kenderaan setahun, lebih besar dari kilang Geely di sana yang hanya mampu menghasilkan sebanyak 30,000 unit kenderaan setahun, atau 1/3 dari jumlah produksi kilang utamanya di Tanjong Malim buat masa sekarang. Sekiranya angka yang dinyatakan ini adalah realistik, ini bermakna Proton berpotensi untuk menjual lebih banyak kereta di MENA berbanding Geely.

    Dalam perkara berasingan, Proton kini sudahpun berada di pasaran Afrika Selatan dengan menjual model-model rebadge Geely seperti X50, X70 dan X90 dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Sedan S70 juga telah dirancang untuk di bawa ke sana tetapi ia masih tertangguh sehingga sekarang. Ada khabar angin menyatakan Geely mungkin turut akan masuk ke pasaran Afrika Selatan dengan melancarkan SUV EV kembar Proton eMas 7 iaitu Geely EX5.

    November lalu kami sudahpun melaporkan bahawa Geely kini masuk ke pasaran-pasaran utama RHD termasuk Thailand, Indonesia, Australia dan New Zealand, di mana ia sepatutnya menjadi milik Proton seperti persetujuan awal kerjasama kedua-dua jenama itu yang menjanjikan bahawa Proton akan menjadi hab bagi pasaran-pasaran RHD.

    Namun selepas itu Geely memberikan respon bahawa ia tidak melupakan Proton dengan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan R&D serantau menerusi projek Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di kampung halaman Proton iaitu Tanjong Malim.

    “Geely akan memasuki dan mewujudkan rangkaian pengedar dalam pasaran yang Proton masih belum ada, bermula dengan produk NEV untuk membina reputasi jenama, yang akan menjadi pelengkap kepada produk sedia ada Proton,”” kata Ash Sutcliffe, pengarah perhubungan awam Geely Holding Group kepada paultan.org bulan lalu, dengan maksud bahawa Geely dan Proton tidak akan bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang sama.

    “Geely akan memanfaatkan sumbernya dalam pasaran ini, sama ada untuk membantu kemasukan Proton pada masa hadapan atau mengeksport produk dari Malaysia menggunakan AHTV sebagai hab pengeluaran, memaksimumkan sinergi dengan Proton dan rakan kongsi kami DRB-Hicom,” tambahnya lagi.

     
     
  • Prasarana sasar kurangkan gangguan bagi lima laluan perkhidmatan relnya dalam masa setahun – Loke

    Prasarana sasar kurangkan gangguan bagi lima laluan perkhidmatan relnya dalam masa setahun – Loke

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mensasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya dengan mengurangkan Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) bagi lima laluan rel kendaliannya dalam masa setahun. Ia melibatkan laluan Kelana Jaya, laluan Kajang, laluan Putrajaya, laluan Ampang dan Monorel.

    Memberi maklumbalas mengenai perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pihaknya berharap menjelang tahun hadapan, hanya ada sekali sahaja gangguan melibatkan satu juta kilometer laluan, laporan Harian Metro.

    “Apabila tren itu bergerak sehingga satu juta kilometer baru ada sekali gangguan. Sekarang ini mungkin ada laluan yang 200,000 atau ada yang 400,000 kilometer secara puratanya berlaku sekali gangguan. Kalau satu juta kilometer baru sekali gangguan, maksudnya kekerapan gangguan itu amat kurang. Mungkin setahun sekali atau dua kali gangguan.

    “Itu memang perkara biasa dalam mana-mana rel di seluruh dunia. Ini sasaran kita nak mengurangkan gangguan,” katanya pada sidang medianya semasa Sesi Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024 dan Pelan 2025 di Menara Prasarana hari ini.

    Tambah Loke, dari segi jumlah gangguan MKBF, tahun 2022 adalah yang tertinggi dicatatkan dengan 255 kali gangguan di kelima-lima laluan itu. Manakala pada tahun 2023 pula, jumlah gangguan adalah sebanyak 118 kali dan ia semakin berkurangan pada tahun 2024 dengan jumlah sebanyak 71 kali.

    “Apa yang kita maksudkan gangguan ialah tren tidak bergerak lebih daripada lima minit. Kalau tren itu tidak dapat bergerak lebih lima minit, itu dianggap satu gangguan. Gangguan yang lebih serius ialah tren yang tidak bergerak lebih 15 minit. Jadi kita nak mengurangkan gangguan ini. Sudah tentunya kita belum lagi berpuas hati, kita nak teruskan prestasi ini dapat ditambah baik,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025