Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

Dilancarkan di Malaysia pada hujung tahun lalu, Mercedes-Benz S-Class W223 akhirnya telah diumumkan harga rasminya. Limosin mewah generasi ketujuh ini yang ditawarkan dengan varian tunggal S 580 e plug-in hybrid, dijual pada harga atas jalan RM698,744 tanpa insurans.

Harga tersebut adalah RM52,000 lebih mahal berbanding model semasa S 560 e W222. Seperti biasa, angka tersebut termasuk rebat penuh cukai jualan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan pemasangan tempatan CKD sehingga 30 Jun ini. Ia turut diberikan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, limosin mewah ini dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris dengan hamburan kuasa 367 PS pada 5,500 hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm yang digandingkan bersama transmisi 9G-Tronic. Malahan penjana kuasa ini juga digabungkan dengan motor elektrik yang dijanakan dari bateri lithium-ion 28.6 kWh ini mampu memberikan output tambahan sebanyak 110 kW dan 440 Nm.

Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

Motor elektrik ini juga memberikan jarak pacuan (elektrik penuh) sehingga 100 km (kitaran WLTP) dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 140 km/j. Hamburan kuasa dari enjin konvensional dan motor elektrik ini membolehkan S 580 e dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Secara standard, S 580 e ini didatangkan dengan pengecas onboard 11 kW, dengan pengecas wallbox AC tiga-fasa mengambil masa sekitar dua hingga 2.5 jam untuk bateri mencapai 80% status pengecasan. Pek bateri ditempatkan di ruang but, membuatkan limosin versi PHEV ini hanya menawarkan sekitar 330 liter untuk ruang penyimpanan barang, berbanding 550 liter pada varian petrol atau diesel.

S 580 e ini diberikan peningkatan di keseluruhan bahagiannya. Bahagian hadapannya diberikan gril yang lebih besar dengan lampu utama trapezoidsal yang lebih nipis dan lebar serta lampu nyalaan siang (DRL) LED serta penunjuk arah berbentuk tajam. Tiga bintik lampu di dalamnya pula menggambarkan ini adalah model S-Class (E-Class menggunakan dua bintik).

Lampu ini datang secara standard dengan Multibeam LED, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada Digital Light yang mampu meningkatkan ketepatan Adaptive Highbeam Assist Plus sehingga 100 kali berbanding Multibeam dan memancarkan pelbagai informasi ke atas jalan seperti simbol amaran, tanda jalan dan panduan apabila melalui kawasan pembinaan.

Selain itu, ia turut diberikan rim multi-twin-spoke bersaiz 19-inci dan bumbung suria gelangsar panoramik. Pada bahagian belakang, lampunya menggunakan bentuk segi tiga baru dan mempunyai bintik-bintik yang boleh melakukan pelbagai urutan pergerakan. Di atasnya terdapat jalur krom yang bersambung di bahagian tengah. Ia juga tampil dengan kawalan penutup boot lid.

Untuk bahagian dalamnya, ia banyak diinspirasikan daripada rekaan bot mewah. Walau pun papan pemukanya kelihatan agak ringkas dan tidak mempunyai banyak butang kawalan, namun elemen eksklusif masih terserlah. Ia juga ditampilkan dengan kemasan kayuan lebar yang bersambung dari tengah sehingga ke tepi pintu.

Mercedes-Benz S580e 2022: PHEV W223 baharu kini RM698,744 di M’sia, lebih RM52k dari S560e W222

Pada bahagian tengahnya pula, terdapat skrin sesentuh besar yang bentuknya bersambung sekata sehingga ke konsol tengah, dan melaluinya, butang-butang kawalan dapat dikurangkan sehingga menjadi cuma satu baris di bawahnya. Manakala corong pendingin hawa menggunakan bentuk petak yang melintang di tengah dan menegak di tepi. Malah ia diberikan kawalan suhu Thermotronic untuk bahagian depan dan belakang,

Ciri lain yang turut diberikan termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi yang dibaluti kulit nappa, Keyless-Go, akses bebas tangan, konsol tengah dengan kemasan ala kristal hitam, sokat kuasa 12v pada bahagian penyimpanan barang, dan pencahayaan ambien dengan pantulan logo Mercedes-Benz.

Untuk aspek keselamatan, menurut Mercedes-Benz, S-Class menjadi kereta pertama di dunia yang menggunakan beg udara hadapan untuk penumpang belakang. Ia dipasang pada bahagian belakang tempat duduk hadapan dan mempunyai rekaan yang menjadikannya lebih lembut dan mengurangkan kecederaan. Tali pinggang keledar juga mempunyai beg udara sendiri. Keseluruhan jumlah beg udara untuk S 580 e ini ialah 13 unit.

Sistem bantuan pemandu sedia ada turut diberi peningkatan. S 580 e baharu kini datang terus dengan pelbagai ciri termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan trafik bertentangan yang diperbaiki, Adaptive Cruise Control (kini boleh mengelak perlanggaran sehingga 130 km/j), Lane Centring Assist, Lane Change Assist, Evasive Steering Assist, Active Emergency Stop Assist dan Blind Spot Monitoring. Sistem kamera 360-darjah disediakan sebagai pilihan tambahan dan dapat membantu mencari petak letak kereta kosong.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required